Merajuk

Drama Series 421991

Aku mengalas beg berisi baju kotor di bahu, melangkah malas ke rumah Joy setelah turun dari LRT. Sejak tamat peperiksaan akhir semester beberapa minggu lalu, aku menumpang tinggal di rumah Joy - rumah yang daddy Joy sewakan kerana Joy tak mahu pulang bekerja di syarikat daddynya. Alasan Joy mahu timba pengalaman di syarikat lain dulu. Dan dia sudah bekerja tetap, aku ni je yang belum. Aku hanya bekerja sementara.

Rumah Joy adalah apartment tiga bilik terletak di pinggir bandaraya. Ada bas transit untuk ke rumah Joy tapi sengaja aku nak berjalan kaki. Konon nak layan kepala. Lagipun cuaca tak panas sangat petang ni.

Sebenarnya fikiranku serabut!
Bukan sebab di rumah mak sibuk dengan persiapan perkahwinan Nura yang semakin hampir tapi kepala aku semak dengan nama Yusri yang sentiasa terselit dalam ayat ayat setiap kali berbual dengan aku.

"Mak.... cukup cukup la. Dah dia tak datang meminang kakak, dah la. Kenapa nak sebut sebut nama orang yang tak sudi?", ujarku sambil terkial kial mencantum kelopak bunga untuk dijadikan sekuntum bunga. Bukan kemahiran aku buat benda begini. Kenapa la tak beli je, wahai adikku Nuha?

"Kalau dia jumpa kakak macam masa kakak sekolah dulu, mesti dia terus datang meminang. Silap silap terus ajak kawin. Salah kakak la, pakai macam apa je masa first date".

Aku menjeling pada Nuha, hishhh dia ni menyampuk pula. Tau la dah nak tukar status tak lama lagi, nak jadi isteri orang. Terasa macam dah tua sangat la tu sesuka hati mencelah perbualan aku.

"Mak, tak perlu la dok sebut nama Yusri tu. Kan Zah dah beritahu hari tu, Yusri tengah berkawan rapat dengan budak perempuan yang belajar di Jordan. Dia kenal kat fac", sampuk Kak Zah pula, yang duduk di sebelahku  memotong kain net warna perak untuk dijadikan sarung telur nanti. Nadanya lembut saja, aku tau Kak Zah cuba menenangkan emosiku yang mula berubah. Mak diam tak berkutik. Namun aku perasan sesekali dia menjeling kepala lututku yang tak berlapik.

"Ye la tu. Alasan nak jauhkan diri dari kakak je tu. Sebab kau la kakak, kempunan mak nak bermenantukan ustaz lepasan dari Mesir", balas Nuha dengan mimik muka minta penyepak je aku rasa.

"Eh.. kenapa pula kempunan. Anak dah ada yang jadi ustaz, takkan menantu pun nak ustaz jugak? Kalau macam tu apa kata kau je kawin dengan Yusri. Tak payah kawin dengan supervisor kilang tu. Tunaikan hajat mak", jawab aku berang.

Ya, aku hilang sabar. Dari aku tiba pagi semalam sampai ke hari ni, semuanya salah aku. Itu salah aku, ini salah aku. Aku balik ni nak membantu serba sedikit untuk majlis Nuha sebelum hari besar tiba, alih alih aku yang dipersalahkan sebab pihak Yusri senyap tanpa berita. Bersungguh sangat nak aku dan Nuha bernikah bersama, naik pelamin sekali.

"Ishh.. tak kuasa. Adik dengan Zaf dah nak kawin. Takkan nak putus gitu je. Lagipun adik cintakan Zaf", balas Nuha mencebik.

"Dah sibuk sangat nak mak dapat menantu ustaz kan? Kenapa kakak pula jadi mangsa? Banyak je ustaz lain dalam dunia ni. Kenapa mesti Yusri?", bentak aku.

"Sebab Yusri ni lain dari yang lain", jawab mak.

"Mak je la kawin dengan Yusri tu", tempelak aku.

"Kakak!!". Suara Kak Zah sedikit tinggi, matanya tepat memandang aku. Jelas dia kurang senang dengan tingkah lakuku waktu ini.

Berkerut dahi aku, menggeleng kepala. Tape hijau untuk lilit batang bunga telur aku campak ke lantai. "Kakak belum bersedia nak kawin. Tolong la faham keadaan kakak. Bagi la Yusri ke Mazli ke P.Ramlee ke... kakak tak nak!"

Aku bangun meninggalkan mereka. Panas hati aku.

"Nampak gayanya mak, Zaf tak dapat la belikan adik rantai dengan loket tu. Nak kena tukar beli gelang je la", keluh Nuha. Aku dengar tapi aku buat buat tak dengar. Lantak la, dah kau nak kawin sangat kan, aku pula yang jadi mangsa keadaan.

"Kak".
Aku membiarkan tuan punya suara itu di pintu bilik, aku tau apa mahunya. Aku masukkan baju baju yang aku dah pakai dan belum berbasuh ke dalam beg galas. Hanya tinggal pakaian yang akan aku sarung sebentar lagi.

"Tak baik kakak cakap macam tu tadi pada mak", pujuk Kak Zah sambil mendekatiku. Bahuku diusap perlahan. Aku jadi lemah, luluh dengan perlakuannya. Aku terduduk di birai katil.

"Kakak tau. Tapi Kak Zah....", balasku dengan rasa penuh bersalah, sebak. Memang itu perasaan yang menyelubungi aku. Semakin lama aku di rumah, makin aku rasa berdosa. Kenapa? Aku sering 'menjawab' kata kata mak dalam hati.

"Kak Zah faham. Dengan along, Kak Zah dah bagi warning jangan sesekali sebut pasal Yusri. Tak sangka pula mak dengan Nuha yang". Tangan Kak Zah kugenggam kuat sehingga dia terdiam.

"Biarlah. Kakak rasa berdosa sebenarnya tapi kakak tak tahan la. Dari hari tu lagi kak Zah, bukan kak Zah tak dengar kan?", aduku sayu.

"Sabar ye kakak. Mak bimbang kakak jadi anak dara tua, tu je. Orang dulu dulu kata melangkah bendul ni tak elok untuk orang yang dilangkah. Makin lambat jodoh kakak nanti", jelas Kak Zah.

Aku memandang tepat matanya.
"Kak Zah pun percaya perkara macam tu? Kak Zah dan along orang pandai agama pun terpedaya dengan kata orang lama?", ujarku seakan mengejek.

"Dalam Islam memang tak ada perkara macam ni. Cuma dari pengamatan sekeliling, itu yang jadi kata orang dulu dulu.
Kakak, orang dulu dulu ni cara hidup mereka berbeza dengan kita, pemahaman dan pemikiran mereka. Ada kebenarannya juga, jadi kita tak boleh untuk menidakkan semuanya".

Aku terdiam dengan tutur lembut Kak Zah.

"Nak balik hari ni? Bas pukul berapa?", tanya Kak Zah sambil menepuk beg galasku. Dia tahu aku merajuk. Sepatutnya aku balik petang esok, dia yang beli tiket untukku tempoh hari. Dengan keadaan yang menegang kini, aku rela beli lagi satu tiket bas petang ini. Rugi pun rugi la.

*****

Aku melepaskan lelah selepas mendaki tangga lima tingkat apartment sewa Joy. Aku lihat ada dua pasang kasut lelaki. Aku mengeluh, siapa pula seorang lagi ni. Sepasang kasut tu memang aku kenali - kasut Aedy. Sandal perempuan warna hitam kelihatan masih baru, elok terletak di rak kasut yang memang kami letak di tepi pintu rumah.

Pintu kubuka.

"Assalamualaikum Nura", sapa seorang lelaki yang sedang duduk di sofa.

Eh, Ahmad?

Aku pandang ke dapur, ada Yati. Kemudian terlihat ada beg gambar garfield yang sangat kukenali. Beg yang sering Yati gunakan mengisi baju jika ke mana mana dalam jangkamasa singkat.

"Waalaikumsalam. Dah lama korang sampai?", jawabku sambil tersenyum. Aedy sekadar mengangkat kening padaku, kemudian matanya kembali pada skrin televisyen. Sibuk melayan game FIFA di playstation yang baru dibelinya.

"Ada la setengah jam lepas. Sesat kami tadi. Aku tak reti sangat jalan sini", balas Ahmad ramah seperti biasa.

"Agak la... jalan nak ke sini pening sikit kalau tak biasa. Tapi kan ada waze. Kenapa tak guna?", soalku meletak beg galasku di tepi pintu bilik. Saja aku tak buka pintu bilikku dulu.

"Bateri aku kong. Phone Yati pun dah nyawa nyawa ikan. Mujur sempat call Joy. Aedy datang jemput kami", terang Ahmad ketawa kecil.

Aku mendapatkan Yati, siap berpeluk cium lalu aku bertanya. "Ada interview kat sini ke?".

Yati memandang Ahmad kemudian memandang aku.

"Kau lupa?", soal Yati. Fikiranku cuba mencari jawapan bagi soalan Yati namun gagal.

"Kan esok kenduri Seth. Lupa ke?", berkerut dahi Ahmad melihat aku seolah bingung.

Aku betul betul terlupa. Mana taknya, kad jemputan tu aku letak dalam laci Yati. Itulah kali pertama dan terakhir aku tengok kad tersebut.

Malam itu kami keluar berlima. Masing masing dengan pasangan tapi aku? Tak apa la, mereka ni pun tak la membiarkan aku sendirian. Kami dah lama saling kenal mengenali. Aedy membawa kami ke restoran makanan laut terkenal. Katanya mahu belanja kami makan yang enak enak kerana perniagaannya untung besar.

Yati pula dengan gembiranya menghulurkan kad jemputan kawin pada aku dan Joy. Tarikhnya seminggu sebelum tarikh pernikahan Nuha.

*****

Di dewan majlis perkahwinan Seth dan Naza, jemputan masih ramai walaupun kami tiba agak lewat dari waktu puncak. Langkahku berat dan lambat dari kereta ke dewan tersebut. Tiada rasa teruja, gembira, seronok di dalam diri. Aku hanya memenuhi undangan dari 'teman baik'.

Perit, sangat aku terluka pabila terlihat Seth duduk di pelamin bersama Naza. Sama padan berbusana kuning diraja desain melayu moden. Lebih pedih bila mak Seth mendapatkan aku yang pura pura berjalan ke meja buffet seolah tak nampak kehadiran dia, lebih tepat tak mengenali Aunty Sally.

"My sweet baby.. what happened to your hair?", ujarnya sewaktu aku berpaling bila dicuit bahuku. Aku rasa nak menangis saat itu bila berpelukan erat dengan ibu kandung Seth yang dah kuumpamakan ibu sendiri kerana keakraban kami sebelum ini. Kedua dua belah pipiku dicium berkali kali. Aku sekadar tersenyum menjawab soalannya.

"Mak Nura mana?"

"Mak ada hal di kampung., tak dapat datang. Dia kirim salam", bohongku. Padahal aku tak sampaikan pun jemputan Seth pada ahli keluargaku. Dan aku tak jemput pun Aunty Sally untuk ke kenduri Nuha. Aku datang ni pun sekadar menutup mulut teman serumah yang sibuk menggossip aku dan Seth bercinta dulunya. Sedang aku katakan kami hanya berkawan. Padan muka aku, mendapat!

"Nura datang dengan siapa?", tanya Aunty Sally menyantuni aku. Dia yang menyenduk lauk ke pingganku. Tetamu lain yang baru hadir tak dipeduli.

"Datang dengan teman serumah masa di uni. Tu duduk di meja hujung, pakai tudung hijau", jawabku sambil menuding jari. Aunty Sally berjalan ke arah meja tersebut, aku mengekorinya.

"Kawan Seth juga ye? Dengan Naza?", soal Aunty Sally.

"Ye, kenal Seth sebab serumah dengan Nura. Seth selalu datang jemput Nura kalau diorang nak keluar. Naza tu fakulti lain. Kenal rupa saja", jawab Yati bersalaman dengan Aunty Sally.

"Korang, kenalkan ni mummy Seth". Aunty Sally tersenyum lebar, masih menggenggam erat tanganku.

"Ni pula my sweet baby. Mummy ingat Seth akan berkawin dengan Nura sebab dari sekolah asyik berdua ke mana saja. Siang malam berkepit. Tau tau Seth nak kawin dengan Naza. Frust mummy tau bila Seth bawa Naza balik hari tu Kita pun dah lama tak jumpa kan, Nura?".

Aku perasan riak wajah Yati dan Ahmad berubah seketika. Manakala aku iyakan saja. Betapa terlukanya hati ni bila aunty Sally berkata begitu. Menyesal aku ikut Yati.

Share this novel

Hana
2019-10-30 13:39:52 

seth tu berlagak...nak naza...naza ria ke naza kia..haha

UdangGalah
2019-10-16 02:41:46 

Yusri dah hilang dari radar, Seth pun dah melepas.. tinggal si bos harapan ibu pertiwi..


NovelPlus Premium

The best ads free experience