CERITA 2 : MAKMAL SAINS

Horror & Thriller Series 12390

-Cik Min, nanti jangan kunci Makmal Sains 3 ya. Saya nak stay petang ada kerja sikit.-

CIKGU MAULA menghantar pesanan kepada pembantu makmal Cik Min melalui WhatsApp. Cikgu Maula menyambung semula kerjanya yang tergantung. Dia membetulkan rambutnya yang sudah kusut, sebagai seorang guru dia mesti menjaga penampilan. Ini merupakan hari ketiga dia terpaksa pulang lewat kerana menyiapkan kertas soalan ujian.

Permintaan pengetua untuk menyediakan soalan-soalan KBAT membuatkan Cikgu Maula berasa sedikit gusar kerana dia tidak pernah membuat soalan ujian, jadi dia terpaksa membuat sedikit ‘homework’ bagi menyajikan kepada pengetua soalan-soalan yang mantap.

“Haih, nak kena turun pergi makmal pula, kalau bukan sebab buku rujukan buat soalan sains ni kat sana. Tak adanya aku nak stay kat sana, baik buat kat taman landskap. Lagi sejuk, tenang, aman, dan tenteram,” rungut Cikgu Maula. Cikgu Maula mengemas barang-barangnya dan memasukkannya ke dalam beg Adidas pemberian tunangnya sebelum dia menjadi guru 2 bulan lepas. Dia tersenyum girang ketika melihat wallpaper iPhonenya, wajah tunangnya yang ayu membuatkan dia berasa sedikit bertenaga dan gembira.

Cikgu Maula melangkah dengan pantas menuju Makmal Sains 3 yang terletak di bangunan lama sekolah itu. Kawasan keliling sekolah agak sunyi kerana kebanyakan murid sudah pulang yang tinggal hanya murid-murid tingkatan 3 dan 5 kerana menghadiri projek kelas tambahan petang. Cikgu Maula bersyukur dia tidak terlibat dengan kelas tambahan tersebut kerana dia tidak mengajar tingkatan yang mengambil peperiksaan besar, jika tidak mesti dia akan pulang lewat ke rumah setiap hari.

Tinggal beberapa langkah lagi Cikgu Maula akan sampai ke Makmal Sains 3, dia dapat melihat pintu makmal 3 tertutup rapat. Namun dia yakin Cik Min tidak menguncinya kerana Cik Min bukannya seorang yang pelupa. Apabila Cikgu Maula melangkah masuk ke dalam makmal tersebut, dia dapati Cik Min ada di dalam makmal tersebut, sedang berdiri membelakangi dia menghadap ke belakang makmal. “Eh, Cik Min? Tak balik lagi? Ada budak buat eksperimen ke tadi?” soal Cikgu Maula kepada Cik Min. Namun, Cik Min hanya berdiam diri. Cikgu Maula meletakkan begnya di atas meja guru dan mula mencari bahan rujukan di almari buku di tepi meja guru.

“Cik Min nak balik jam berapa ni? Tak elok anak dara balik lambat-lambat ni. Lepas tu dalam makmal ni dahlah kita dua pulak tu, kang nanti ada pulak gosip liar pasal kita. Kesian pakwe Cik Min tahan cemburu, hahaha,” gurau Cikgu Maula sambil mencari bahan rujukan tanpa melihat kepada Cik Min yang tadinya berdiri di belakangnya. Tiada sebarang jawapan, Cikgu Maula pusing untuk melihat Cik Min. Namun, Cik Min tiada di situ, menghilang dalam sekelip mata. Cikgu Maula mencari Cik Min di luar makmal sains, tiada sesiapa di situ. Dia hanya mengerutkan dahi, dan masuk semula.

Cikgu Maula memulakan kerjanya. Perlahan-lahan dia menelaah buku rujukan yang ada di depannya. Semua soalan yang ada dia kaji dan dituliskan di dalam sekeping kertas. Selepas dia berpuas hati barulah dia menaip di dalam Macbooknya. Dia mahu memberikan hasil yang bombastic. Dia terus fokus dengan kerjanya.

Ting…

Bunyi kaca berlaga memenuhi ruangan kosong Makmal Sains 3 tersebut. Cikgu Maula mengangkat wajahnya dan matanya tertumpu pada bikar-bikar yang tersusun di tepi kiri makmal. Dia yakin bunyi itu terhasil dari situ. Dia menjengah untuk melihat sama ada tikus atau ada sesiapa yang berada di sana, namun kosong. Cikgu Maula mengerling jam Rolex kepunyaannya, jam sudah menunjukkan pukul 6.00 petang.

Aduh, baliklah. Esok sambung, kata hati Cikgu Maula , dia mula memasukkan semua barangannya dan mengemas kembali buku-buku yang telah diambilnya. Ketika dia sedang sibuk memasukkan buku ke dalam almari, pintu makmal terbuka dengan sendiri.

Krekkk…

Perlahan bunyi pintu itu membuatkan bulu roma Cikgu Maula meremang. “Haisy, buat takut je, gelak Cikgu Maula dalam hati. Cik Min masuk ke dalam makmal sambil senyum kepada Cikgu Maula. Cikgu Maula seakan-akan terpana melihat Cik Min.

“Eh? Cik Min? Tak balik lagi? Tadi pergi mana?” soal Cikgu Maula sambil memerhatikan Cik Min. “Saya ada je kat sini,” balas Cik Min sambil berjalan lemah masuk ke dalam bilik pembantu makmal. Cikgu Maula hanya memandang Cik Min. Apabila pintu bilik makmal tertutup barulah pandangan Cikgu Maula teralih. Dia segera mencapai begnya yang telah siap dikemas dan berlalu meninggalkan Makmal Sains 3. Dia membiarkan pintu makmal terbuka memandangkan Cik Min masih berada di dalam.

Sampai sahaja Cikgu Maula di hadapan keretanya, dia menyeluk saku seluarnya untuk mengeluarkan kunci, puas menyeluk sakunya namun tiada. Dia membuka begnya dan mencarinya, namun hampa. “Mungkin dalam makmal.” Terlintas dalam fikirannya. Cikgu Maula berpatah balik ke makmal, peluh sudah membasahi baju kemeja biru gelapnya kerana dia memarkir keretanya jauh dari bangunan lama tersebut.

“Aduh, jangan dia dah balik dahlah. Mampus aku nak ambil kunci macam mana,” rungut Cikgu Maula apabila dia melihat pintu Makmal Sains 3 itu tertutup rapat. Apabila dia sampai di depan pintu makmal dia dapati pintu tidak berkunci. “Fuh, selamat. Sengaja tutup kut.” Lega hati Cikgu Maula.

Cikgu Maula memberi salam sambil membuka pintu. Mata Cikgu Maula terpukau dengan pemandangan di hadapannya. Cik Min terbaring di atas meja berlumuran darah, bau hamis darah memenuhi ruang. Di tepi Cik Min terdapat seorang wanita sedang mencangkung badannya semua hitam rambut panjangnya menutupi wajahnya. Wanita itu memandang Cikgu Maula dengan bengis, mukanya hodoh dan berulat, ulat-ulat kecik berjatuhan dan terkena badan Cik Min. Matanya yang merah menyala memerhati Cikgu Maula yang hanya berdiri kaku. Wanita itu terbang dan menerkam CIkgu Maula seakan-akan harimau menerkam mangsanya. Cikgu Maula menjerit kuat dan pandangannya gelap.

SEORANG pengawas lelaki mencapai mikrofon, dia ingin menyegerakan tugasnya pada hari itu. “Assalamualaikum dan selamat sejahtera, pada hari yang mulia ini, mari kita sedekahkan surah Al-Fatihah kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW, para sahabat, muslimin dan muslimat sekalian.” Setelah selesai bacaan doa, murid itu meneruskan ucapannya. “Pada hari ini, kita akan sedekahkan bacaan Yasin kita kepada, Cikgu Muhammad Maula dan pembantu Makmal Sains 3, Cik Shamin Natasha, yang telah hilang pada 2 hari lepas. Semoga mereka berada di dalam keadaan selamat dan sejahtera.” Murid itu segera menyerahkan mikrofon kepada murid yang akan membacakan Yasin pada hari itu. Ikhmal memulakan bacaan dan surah Yasin bergema di seluruh sekolah tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience