Emas Olimpik Pertama!

Romance Completed 117449

BAB 23

Lapan tahun kemudian...

 “GOSIP ni tak boleh keluar dari dinding bilik ni apatah lagi keluar ke media mahupun internet faham!” Lelaki berkemeja warna kelabu dan tali lehernya ditarik sehingga longgar berdiri bercekak pinggang sambil matanya tajam merenung ke depan. Beberapa keping gambar yang baru dilemparkan ke lantai dibiarkan begitu saja. Suaranya yang kuat boleh menggegarkan gegendang telinga siapa yang mendengar.

“I tak tahu macam mana ada orang boleh ambil gambar tu.” Dayana tidak mengendahkan sergahan bosnya itu. Dia duduk menyilang kaki dan mukanya masam mencuka.

“I tak tak tanya macam mana ada orang boleh ambil gambar you ni, tapi I nak tahu kenapa you tak berhati-hati! Gambar you kat parti liar macam tu boleh rosakkan imej you sebagai artis yang disayangi ramai. Kalau gambar tu sampai kepada wartawan you akan habis!” Wan Zahari masih tidak boleh mengendurkan amarahnya.

“Apa yang orang tu nak dari kita?” Soal Karl dengan tenang. Selaku pengurus kepada Dayana dia juga bertanggungjawab dalam hal ini. Pada mulanya dia juga dipersalahkan kerana terlepas pandang aktiviti artis muda jelita itu. Sekali imbas dia memandang gambar Dayana yang seksi di parti liar ketika mereka ada penggambaran di Kota Paris bulan lalu. Dayana bersama teman-temannya ketika belajar di luar negara dahulu membuat reunion di sebuah parti.

“Orang tu nak duit untuk tutup cerita ni. Semua ni kau uruskan Karl, aku nak semuanya settle dalam masa terdekat! Sekarang kau orang boleh pergi.” Wan Zahari kembali duduk di kerusinya dengan wajah berkerut. Matanya tajam memandang Dayana.

“Dayana... ini kali terakhir aku dengar cerita-cerita macam ni! Kalau tidak kau akan tahu akibatnya.”

Dayana bangun berdiri. “I tahu.” sepatah ayatnya kerana dia malas untuk bertekak lagi dengan bosnya itu.

Mereka keluar tanpa sepatah kata. Beberapa pekerja yang berselisih dengan mereka juga tidak berani menegur kerana sudah tahu dari air muka Dayana pasti baru lepas bertekak dengan pengurus syarikat ini, Wan Zahari. Karl pula kelihatan amat bertenang sekali. Dia juga kecewa dengan sikap Dayana yang tidak sensitif itu. Sikap liarnya selama ini dikawal oleh Karl tetapi kerana Karl tidak mengikut artis jelita itu ketika mereka ada penggambaran di Kota Paris bulan lalu, Dayana mengambil kesempatan untuk bertindak sesuka hatinya.

“Well... you tak nak cakap apa ke? You tak nak maki I ke?” Dayana menyoal sinis.

“Buang air liur I je bertekak dengan you. Benda dah jadi.” Karl berjalan lebih laju dan terus kehadapan.

Dayana berdengus. Pengurusnya yang kacak itu terlalu dingin dengannya sejak apa yang berlaku. Itu sememangnya mengguris hatinya.Dalam diam dia menyimpan rasa hati kepada pemuda itu. Dia amat cemburu jika ada orang mendekati lelaki itu. Walaupun hakikatnya mereka sentiasa bersama ke mana sahaja. Namun tidak disangka sejak peristiwa itu Karl kelihatan banyak berubah. Dayana tersenyum.

“I akan pastikan you tetap milik I, Karl...”

Aku rasakan seluruh badanku sangat letih pada hari ini. Banyak perkara terjadi sejak akhir-akhir ini sememangnya sangat memenatkan. Sebenarnya hari ni hari lahirku yang ke-24! Wah... Nur Marhaya sudah pun besar panjang. Semakin comel dan semakin tinggi. Hehehe... aku lalui 8 tahun ini dengan pelbagai cerita suka dan duka. Ayah dan adik beradikku semuanya pulang ke kampung arwah ibu di Kedah untuk memulakan hidup baru. Ayahku berpindah selepas Tuan Adam Taylor meninggal dunia lima tahun lalu. Aku sangat bersedih dengan kehilangan lelaki yang sudahku anggap seperti datuk kandung sendiri.

Tetapi aku tidak pulang ke kampung kerana ada sesuatu yang seperti mengikatku di sini. Ahh... aku sudah lupakan semuanya. Tetapi aku tetap merasakan hidupku lebih bermakna di sini. Abang Is sekarang menjadi guru di Sekolah Tinggi Adam Taylor. Kami tidak tinggal bersama kerana aku duduk di rumah sewa sendiri bersama kawan-kawan. Tetapi mereka bukanlah Bella dan Rita kerana kedua sahabatku itu kini bekerja di tempat yang jauh. Seorang di JB seorang lagi di Pulau Pinang.

Aku? Emm... kehidupanku sangat sukar. Selepas tamat pengajian Ijazah dalam bidang kesetiausahaan aku tidak dapat peluang pekerjaan yang baik. Akhirnya aku kerja macam-macam sebelum mendapat pekerjaan yang tetap. Akhirnya aku bekerja sebagai pembantu peribadi. Baru dua bulan aku mendapat kerja ini dan aku sangat menyukainya. Walaupun aku tahu ia amat sukar kerana bos aku bukanlah ramah sangat dengan aku. Tapi disebabkan aku pernah menjadi ‘hamba abdi’ seseorang sesuatu masa dahulu, aku seperti sudah lali pula melakukan pekerjaan seperti sekarang.

“Awak tidur dalam kereta ke?!”

Ahhh! Aku bangun dari pembaringan dengan mata yang terbeliak. Terkejut sehingga jantungku hampir tercabut. Kusyen Kereta kembali aku tegakkan. Terpisat-pisat sebentar sambil mengatur nafas semula.

“Sorry saya buat awak terkejut sangat ke?” Karl masuk dan duduk di sebelahku sambil tersenyum.

“Tak... tak. Saya cuma fikirkan kenangan lama je.” Aku termalu pula apabila mata Karl memandangku dengan redup. Lelaki itu sentiasa kelihatan tenang. Walaupun kerjanya mengurus artis yang sangat popular. Karl banyak berjasa dalam menaikkan nama Dayana ke persada seni. Aku juga... aku juga seorang PA kepada artis terkenal itu. Walaupun mengikut sejarah aku adalah orang yang ke-15 menjadi PA Dayana dalam tempoh dua tahun penglibatannya dalam dunia seni. Ini menunjukkan Dayana mestilah sangat cerewet! Dan aku perlu banyak bersabar untuk itu.

Aku yang kelihatan gelabah terus menghidupkan enjin kereta. Karl hanya tersenyum melihat gelagatku.

“Awak ni seorang yang sabar ye... dengan kerenah Dayana tu. Ada PA yang mampu bertahan sehari je. Awak dua bulan... kira okey sangat la tu.” Karl memuji.

“Saya belajar dari awak, Encik Karl.” aku tersenyum.

“Kenapa awak suka panggil seseorang tu dengan nama gelaran macam tu. Encik Karl, Cik Dayana. Kita kan dah kenal rapat. Tak perlu la panggil macam tu, Aya.” Karl masih tersenyum.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Kenapa ya? Aku pun susah nak jawab soalannya kali ni.

“Awak pernah jadi PA orang bangsawan ke sebelum ni?” Usik Karl. Dia ketawa kecil.

Aku terdiam. Hanya tersenyum. “Emm... keluarga elit dan bangsawan sangat mementingkan protokol Encik Karl. Kami sebagai pelayan, mesti kena jaga keluarga Tuan kami dengan baik. Sebab saya berdarah pelayan yang baik, jadi mungkin sebab itu saya dapat bertahan dengan kerenah Cik Dayana.”

Karl mengerutkan dahinya kerana kurang faham. “Pelayan?”

“Bukan pelayan GRO encik Karl...” aku ketawa besar.

Karl turut menyambut ketawaku. “Habis tu masih ada ke macam tu? Butler?”

Aku mengangguk.”Ini bukan kisah dongeng atau klasik. Ayah saya dulu juga seorang Ketua Butler.”

Karl mengangguk. “Oh... seronoknya jadi anak-anak keluarga elit, ada pelayan. Tunjukkan sikit macam mana seorang butler?” Karl bersungguh-sungguh. Dia semakin berminat untuk berbicara dengan gadis comel ini. Sungguh petah berbicara.

“Okey. Encik Karl jadi tuan muda, saya jadi butler.” Aku bersemangat untuk melakonkan watak itu. Aku menggengam ke dua belah tangan penuh dengan protokol.

“Tuan muda, sila datang ke ruang makan. Majlis makan malam akan bermula sekejap lagi.”

“Kejap lagi la, saya tak lapar.” Karl ketawa kecil sambil turut berlakon.

“Tuan muda, tuan besar dan puan besar sedang menunggu. Silakan turun sekarang.”

Karl kemudian terus ketawa. Aku juga melepaskan tawaku.

“Tak penat ke... formal sangat la.” Komennya kemudian.

“Tapi itu la melambangkan status.” aku bersungguh-sungguh bercerita sehingga terlupa akan Dayana.

Tiba-tiba ingatanku terus mengingati Puan Sara, Hanna, Tam dan beberapa wajah lagi yang masih aku ingati. Bagaimana keadaan mereka sekarang setelah ketiadaan Sir Adam?

Tiba-tiba kedengaran pintu kereta jenis MPV itu ditolak dengan kasar. Dayana masuk dengan masam mencuka.

“You pergi mana yang lama sangat. Kita orang tunggu dalam kereta ni hampir kematu tahu?” Bebel Karl.

Aku hanya memandang Dayana melaui cermin tengah. Wajahnya masam mencuka.

“I pergi toilet la, ingat perut I ni tak sakit lepas dengar bos mengamuk tadi. Tension betullah!”

“Lain kali sebelum buat apa-apa fikir dulu akibatnya...”

“You jangan nak tambah sakit hati I karl!”

“Aya, cepat drive. Saya dah lapar ni.” aku akur dengan saranan Karl. Terus aku menekan minyak dan kereta itu bergerak keluar dari basement bangunan itu.

Dayana merengus bila kata-katanya tidak disambut Karl. Malah boleh pula cakap dengan lembut dengan PAnya itu!

“Aya, aku nak kau pergi belikan makanan. Aku tak nak turun makan. Baik makan kat rumah aje.”

“Baik, Cik Dayana.” Aku melemparkan senyuman.

Karl kelihatan tidak puas hati dengan nada yang digunakan Dayana kepada Aya, sedangkan gadis itu selalu merendahkan suaranya walaupun di arahkan buat macam-macam. Tetapi Karl malas mahu menambah panas hati Dayana waktu itu lalu mendiamkan diri saja.

**********

            “Argghhhhh!!!!”

            Hampir tersedak aku dibuatnya apabila terdengar jeritan rakan serumahku itu. Mug yang berisi air coklat panas aku letakkan di atas meja lalu bangun berjalan dari dapur ke ruang tamu. Sambil bercekak pinggang aku bersuara.

            “Apa yang kau orang menjerit tu!”

            “Kak Aya tak minat pasal dunia hiburan tak payah masuk campur!” jawab salah seorang rakan serumah aku itu sambil memegang sebuah majalah. Linda namanya. Tetapi kami hanya memanggilnya Lin. Disebelahnya Julia yang turut tekun membelek majalah itu. TV yang terpasang cerita sebuah drama tempatan tidak dipedulikan.

            Aku menyilang tangan ke dada sambil bersandar di dinding ruang tamu yang memisahkan dengan ruang dapur.

            “Gossip artis ya... memang akak tak minat. Tapi jangan la menjerit macam langsuir nanti jiran sebelah rumah datang bawak kayu baru tau. Dia orang dah berapa kali warning tahu!”

            “Ala, Kak Aya ni. Dia orang tu memang poyo. Anak dia orang bergaduh memekik menangis time kita orang nak study lagi teruk. Kami tak kisah pun.” Balas Julia. Mereka berdua pelajar sebuah universiti swasta. Sengaja aku mencari pelajar untuk menyewa sekali. Kerana mereka pasti lebih muda dari aku. Senang untuk aku mengawal keadaan.

            Lagi satu, mereka sememangnya tidak tahu pekerjaan sebenar aku. Mereka cuma tahu aku seorang pembantu peribadi yang mereka fikir mungkin bos aku orang korporat. Tidak terlintas di fikiran mereka aku seorang PA  artis terkenal. Aku lebih selesa begini, lebih baik mereka yang fanatik dengan dunia hiburan itu tidak tahu status sebenar pekerjaan aku.

            “Majlis pertunangan yang mendapat perhatian seluruh negara. Dan dia akan pulang ke Malaysia bersama tunangnya bulan ni.” Julia membaca rangkap seterusnya dalam artikel dalam majalah tersebut.

            Aku mengerutkan dahi. Majlis pertunangan yang mendapat perhatian? Siapa orang itu besar sangat ke?

            “Siapa?” soalku mula berminat.

            “Pemain piano terkenal kelahiran Malaysialah. Dia mencipta nama di London selama empat tahun. Bekas pelajar Pengajian Gubahan Muzik Klasikal Juilliard School Music di New York. Dia akan pulang ke Malaysia bersama tunangnya dan akan mengadakan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC. Abang aku pernah pergi konsert dia di London dulu. Memang best gila... orang gelar dia Beauty Pianist. Sebab disebalik keindahan lagu-lagu yang dia bawa dia memiliki aura kecantikan yang luar biasa. Memang sangat mengagumkan.” Hujah Lin pula bersungguh-sungguh.

            Aku menelan liur. Selama ini aku tidak ambil peduli pula tentang pemain-pemain piano ni. Walaupun aku pernah dengar juga tentang pemain piano anak kelahiran Malaysia yang menempa nama di London. Setakat itu sahaja aku tahu.

            “Dia memang terkenal di Eropah sebab itu pertunangan dia mendapat perhatian, lagipun dia wanita berdarah bangsawan.” Balas Julia pula.

            Aku yang berkira-kita mahu melangkah ke dapur semula terasa kakiku kembali melekat di lantai. Dadaku tiba-tiba terdetik sesuatu. Lantas aku melangkah laju menuju ke arah Lin Dan Julia yang duduk di sofa. Pantas aku merampas majalah itu dari tangan Lin dengan kasar. Julia terpinga dan Lin tersentak dengan perbuatan aku itu.

            Mataku terus menumpu kepada halaman yang sudah terbuka itu. Terpampang wajah seorang wanita cantik yang sedang tersenyum di sebelah piano besar. Beberapa trofi kemenangannya juga dipamerkan. Dadaku berdegup semakin kencang.

            “Kak Aya kenapa main rampas-rampas ni. Nak tengok cakap la elok-elok.” Muncung Lin tidak puas hati.

            “Cik... Cik Sallyna...” bibirku turut bergetar dan mataku perlahan-lahan ke halaman sebelah. Gambar majlis pertunangannya di London...

            “Tak... tak mungkin...” majalah itu terlepas dari peganganku.

            “Kenapa Kak Aya? Terkejut tengok tunang Sallyna yang handsome tu ke?” usik Julia pula sambil mengutip majalah yang sudah jatuh ke lantai itu.

            Aku tidak pedulikan mereka lantas membuka langkah ke arah pintu. Aku sempat mencapai kunci skuter aku di dinding dan helmet di lantai berdekatan pintu. Julia dan Lin terlopong melihatku sehingga ternganga mulut mereka.

            “Kenapa dengan Kak Aya tu?”

**********

            “Kenapa mesti dia...” Aku sungguh runsing kala ini. Duduk di atas tembok yang menghala ke arah jalan raya yang bersimpang siur langsung tidak memberikan ketenangan. Lagipun aku bukan datang mencari ketenangan.

            “Jadi selama ni Harry sudah tahu...” aku akhirnya menyebut juga sebaris nama yang sudah lapan tahun aku tidak sebut itu.

            Harry... Harry.... aku mengangkat mataku ke arah depan. Wajah Harry terpampang besar di sebuah skrin. Di sinilah aku selalu datang apabila mengingatinya. Aku tidak boleh menipu diriku sendiri bahawa aku sangat merinduinya. Oh hati... bersabarlah.

            “Jadi... Harry memang... benar-benar cintakan Cik Sallyna!” Aku terasa air mataku tidak dapat di tahan lagi. “Macam mana ni... macam mana dia boleh pendam perasaan dia sampai macam itu sekali.”

            “Sebab mereka memang ditakdirkan untuk bersama. Tetapi kita adalah penghalangnya...”

            Aku tersentak. Dadaku berombak kencang sehingga hampir badanku menjadi tidak seimbang kerana aku duduk di atas tembok yang terletak berhampiran jejantas. Lantas ada tangan yang memaut lenganku dari belakang. Kemudian kedua belah bahuku dipegang dengan kejap. Mataku terbuka luas. Aku ingin menoleh namun hatiku... seperti dapat mengenali suara itu dan kedua belah tangan sedang memegang bahaku dari belakang. Air mataku semakin deras mengalir.

            “Cik Aya...” panggilnya perlahan.

            “Se... senior...” aku menekup mulut dengan kedua belah tanganku. Lantas aku menoleh badanku.

            Senior Ray tersenyum. Oh tidak...! Sumpah aku merindui lelaki ini! Lelaki yang selama ini menjadi pelindungku, menjadi sahabat yang paling memahamiku. Kehilangannya sama seperti Harry. Sejak pertemuan di jejantas lapan tahun lalu. Aku tidak lagi mendengar berita tentangnya. Air mataku mengalir laju.

            “Senior Ray...” aku kini turun dari tembok. Berdiri betul-betul di hadapannya.

            “Muka awak langsung tak berubah bila menangis. Tapi lebih cantik dari dulu.” Senior Ray ketawa kecil. Lantas meraih tubuhku dalam pelukannya. “Saya sangat merindui Aya...”

            Aku hanya mampu berdiri kaku. Tidak membalas pelukannya tetapi tidak pula menolak.

            “Macam mana... senior boleh tahu saya ada di sini.” soalku. Senior Ray meleraikan pelukannya. Dia masih memegang ke dua bahuku.

            “Saya sihat, Alhamdulillah.” balas Ray tidak menjawab soalanku. Dia hanya ketawa kecil melihat reaksiku.

            Aku baru tersedar, sepatutnya aku perlu tanya khabarnya dahulu. Apalah aku ni...

            “Maaf... saya...” aku jadi serba salah. Lapan tahun tidak bertemu aku sungguh rasa kekok berhadapan dengannya nya.

            “Aya... mungkin ada jodoh di antara kita. Saya baru tiba di airport, dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga saya. Tapi Tuhan dah janji yang saya akan bertemu Aya dulu sebelum sesiapa. Masa di traffic light saya ternampak Aya termenung di atas tembok ni. Saya fikir mungkin bayangan aje, kerana memang saya sangat merindui Aya. Tapi rupanya tidak...”

            “Apa... jadi Senior pulang bersama...” aku tidak jadi menyambung ayatku. Serba salah pula. Malah aku masih lagi bingung kerana kebetulan ini terlalu mengejutkan aku.

            “Sally...” Ray menyambung. Aku membalas pandangan matanya sambil mengangguk.

            “Aya mesti terkejut bila dapat tahu tentang pertunangan saya dan Sallyna kan?”

            “Saya... baru dapat tahu.”

            Ray tersenyum. “Saya yakin dia...” Mata Ray beralih kepada sebuah skrin besar yang memaparkan sebuah gambar. Tidak jauh dari tempat itu. “Dia pasti ada ceritakan semua ni kepada Aya...”

            “Tapi dia tak beritahu saya... siapa bakal tunang Cik Sallyna. Tak sangka...”

            “Harry tu memang teruk. Dia korbankan perasaanya kepada Sallyna kerana sudah tahu tentang perkahwinan kami yang sudah di atur sejak kecil. Kenapa dia bodoh sangat...”

            “Senior... Harry dah banyak berkorban termasuklah...”

            “Termasuklah paksa Aya jadi kekasih palsunya, supaya Sally akan putus asa? Macam tu? Itu tindakan orang paling lemah!” Wajah Ray bertukar merah.

            “Tapi... itu untuk kebaikan semua kan?” aku rasakan hatiku turut disiat-siat kini.

            “Sallyna dah tahu...”

            Aku tersentak dengan lebih hebat. “Apa?”

            Ray kembali memandangku. “Sally dah tahu kepura-puraan Harry selama ni. Pertunangan kami sebenarnya untuk mengambil hati keluarga. Tiba masanya kami akan putuskan.”

            Aku ternganga. “Apa..?”

            “Sallyna hanya cintakan Harry seorang. Dan Harry sepatutnya tak jadi selemah itu untuk membiarkan cinta pertamanya hilang begitu saja. Tugas kita sekarang... adalah untuk menyatukan mereka kembali Aya...”

            Lemah seluruh sendi tulangku ketika ini. Oh...aku sungguh rasa lemah.

            “Aya... lupakan Harry. Dia bukan takdir awak...” Ray memegang bahuku.

            “Saya ada... sentiasa ada di sisi awak Nur Marhaya.” sambungnya lagi.

            Aku tidak mampu berkata apa lagi. Hanya air mataku yang mengalir sehingga aku rasakan tubuhku hampir melayang.

*********

            SALLYNA melemparkan senyuman kepada seluruh ahli keluarga tunangnya yang berkumpul pagi itu di rumah keluarga Ray. Mereka menyambut kepulangannya dengan meriah. Malah malam ini akan di adakan party untuk  mereka di sebuah hotel milik keluarga Ray. Ray pula hanya kelihatan tenang duduk di sebelah tunangnya yang cantik jelita. Seorang pemain piano yang terkenal di serata Eropah. Malah kepulangannya juga amat dinantikan oleh peminatnya di negara sendiri. Sallyna benar-benar seorang wanita yang sangat anggun malah dicemburi wanita-wanita kelas atasan yang lain, apatah lagi di kelas biasa. Keluarga Ray yang sangat berpengaruh dalam bidang hartanah sangat berbangga dengan bakal menantu keluarga mereka itu.

            “Majlis malam ni akan datang ramai wartawan untuk menyiarkan berita tentang kepulangan Sally. Ramai yang menanti persembahan Sally minggu depan. Dengar cerita semua tiket sudah terjual. Kami sangat berbangga dengan Sally.” Puan Tiara memuji bakal menantunya dengan hati yang berbunga. Tidak sia-sia ikatan yang sudah diikat sejak kecil itu akan membuahkan hasil juga. Mujurlah anak-anak mereka itu tidak membantah malah setuju dengan hati yang terbuka.

            “Terima kasih aunty, saya pun tak sabar nak buat persembahan untuk kali pertama di tanah air sendiri.” balas Sallyna dengan sopan. Matanya melirik ke arah Ray yang hanya tersenyum biasa. Sallyna sudah tahu, tunangnya itu sudah ada wanita idamannya sendiri. Tetapi lelaki itu tetap merahsiakannya. Sallyna tidak pula memaksa lelaki itu untuk menceritakan kisah peribadinya. Baginya kisah hatinya sendiri pun sudah cukup berat. Tanpa sedar satu keluhan kecil terbit di bibirnya.

            “Kenapa, Sally tak sihat ke?” soal Tuan Burhan pula yang menyedari perubahan air muka wanita itu.

            “Sally masih letih rasanya, Maklumlah sudah lama tak kena angin Kuala Lumpur.” Ray pantas menjawab bagi pihak tunangnya. Mereka mengangguk faham.

            Sallyna hanya tersenyum hambar. Dia menyampaikan ucapan 'terima kasih' melalui senyumannya itu kepada Ray disebelahnya.

            “Daddy!!” tiba-tiba adik bongsu Ray yang baru berusia 15 tahun berlari anak menuruni tangga dan datang ke arah mereka.

            “Raihana, kenapa berlari ni.” Wajah Puan Tiara ternyata berubah. Manakala Tuan Burhan tersenyum kecil. Pasti anak bongsunya itu ada perkara untuk diceritakan.

            “Cepat buka TV sukan!” pantas tangan kecilnya mengambil remote seraya menukar channel. Mereka semua terpinga dengan telatahnya.

            “Malaysia dapat pingat emas Olimpik pertama negara!” jeritnya kecil. Wajahnya ternyata ceria bak bulan purnama.

            “Siapa?” serentak mereka bersuara.

            Waktu itu semuanya menumpukan di skrin TV. Terpampang wajah seorang perenang elit negara yang bertahun-tahun berlatih di luar negara akhirnya muncul sebagai pemenang pingat emas Olimpik pertama negara. Sebentar mereka semua terpegun melihat di skrin apabila buat pertama kalinya bendera Malaysia dinaikkan di pentas Olimpik dan lagu Negaraku berkumandang dengan megah.

            “Budak bertuah!” Ray tersenyum bangga ke arah skrin TV. Manakala Sallyna menyimpan senyuman gembiranya dalam wajah yang tenang, Dalam hatinya, dia pasti akan memeluk lelaki itu apabila tiba di Malaysia bersama kemenangannya kelak.

            “Tengok, tak sia-sia adik tampal poster dia penuh bilik kan daddy!” Raihana ketawa manja sambil memeluk leher ayahnya.

            “Nanti daddy ambil dia buat menantu okey.” Gurau Tuan Burhan sambil ketawa.

            Sallyna yang ketika itu sedang minum air yang dihidangkan terus tersedak sehinga terbatuk.

            “Sally okey ke?” soal Puan Tiara cemas. Ray hanya tersengih kecil.

            Sallyna menggeleng kepala sambil lap mulutnya dengan tisu yang dihulurkan oleh Ray. Terkejut dibuatnya. ‘He’s mine.’ katanya dalam hati. Sallyna memaksakan dirinya untuk tersenyum, sedangkan dalam hatinya membuak-buak rindu kepada lelaki yang sedang mencium pingatnya di skrin TV.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience