Bab 43

Short Story Series 55082

‘Bersabarlah, kebahagiaan abadi sedang menantimu...’

Rina terjaga dari tidurnya akibat terdengar suara wanita yang berbisik di telinga. Malam itu hujan renyai-renyai membasahi bumi membuatkan suasana terasa sejuk dan nyaman. Rina memandang ke arah anaknya, Qallifh yang lena tidur di sisinya. Rina meraup wajahnya berkali-kali sebelum melawan khantuknya untuk menuju ke bilik air di tingkat bawah untuk berwudhuk dan naik semula ke tingkat atas lalu terlihat cahaya di bawah pintu bilik Aqilah. Nampaknya kawannya itu masih belum tidur walaupun sudah hampir pukul tiga pagi.

Rina duduk bertafakur di atas sejadahnya selepas menunaikan solat sunat disepertiga malam seperti malam-malam kebiasaannya. Wajahnya pucat dan air matanya masih tidak berhenti mengalir daripada tadi. Disebabkan mendengar tangisan Rina itu Qalifh terjaga daripada lenanya. Terpisat-pisat anak kecil itu turun daripada katil dan menuju ke arah Rina yang tidak menyedari kehadirannya.

"Ummi, kenapa menangis? Ummi jangan menangis. Allah kan ada." Qalifh berkata di dalam pelatnya. Qalifh belajar kata-kata itu daripada Rina kerana setiap kali anaknya itu menangis Rina akan berkata hal yang sama. Kedua tangannya yang kecil menghapus air mata Rina yang masih mengalir di pipi. Disebabkan ibunya itu masih tetap menangis Qalifh mencium dahi Rina dan merangkul leher wanita itu ke dalam pelukannya.

"Kalau ummi tidak lagi bersama kamu, kamu jangan pernah lupa untuk mendoakan ummi ya, nak." Rina membalas pelukan anaknya itu dengan erat.

"Ummi nak ke mana?" Qalifh bertanya pelik. Walaupun kata-kata Qalifh masih sukar difahami tetapi sebagai seorang ibu Rina faham apa yang anaknya itu katakan.

"Setiap yang hidup pasti akan mati. Itulah namanya kehidupan. Ummi, datuk, abi, Mak Sofi, Cik Ain bahkan Qalifh pun pasti akan menghadapi kematian. Ummi tidak tahu sampai bila ummi boleh bersama Qalifh tapi ummi akan sentiasa berada di sini." Rina meletakkan tangannya di dada anak kecil itu.

"Jika kamu berasa sedih tadahkan tangan kamu dan berdoa kepada Allah. Berselawatlah kepada junjungan Rasulullah s.a.w. Jika Qalifh rajin doakan ummi kita akan bertemu di syurga Allah kelak, InsyaAllah. Qalifh kena jadi anak yang soleh dan mencintai ummi dan ayah walau betapa jahatnya kami pada kamu. Maaf, ummi tak mampu memberikan kamu keluarga yang bahagia seperti kebanyakkan keluarga di luar sana. Semuanya salah ummi yang tidak mampu bertahan lagi dengan bahtera kita. Kamu tidak boleh salahkan diri sendiri apabila kamu meningkat dewasa. Kamu faham?" Rina memandang anak mata Qalifh dengan pandangan yang redup.

Rina menjawab pertanyaan Qalifh itu dengan lembut dan penuh kasih sayang seakan mahu anaknya itu memahami kata-katanya. Qalifh mengangguk tanda faham walaupun sebenarnya dia tidak mengerti masalah kehidupan yang dikatakan oleh ibunya itu. Rina sering menghubungkaitkan agama dalam mengajari anaknya tentang kehidupan di dunia. Faham atau tidak itu bukan masalah baginya apa yang penting dia tidak jemu untuk membentuk anaknya itu menjadi anak yang soleh. Kanak-kanak seumuran Qalifh sudah harus didedahkan tentang hidup beragama supaya apabila mereka menginjak dewasa mereka tidak akan terjerumus dengan permainan dunia. Itulah yang diajarkan dahulu oleh Puan Mawar kepadanya.

"Ana uhibbu ummi (saya sayang ibu)." Qalifh mencium pipi Rina.

"I love you more, ya bunayya (anak kesayanganku)." Rina mencium hidung kecil Qalifh. Qalifh ketawa kecil apabila digeletek oleh Rina. Seperti kebanyakan anak kecil yang lainnya, selepas penat bermain Qalifh tertidur di dalam ribaan Rina.

Hatiku tersakiti dan aku lelah,
Tak boleh ku lihat jiwaku,
Hatiku hancur kerananya.

Telah lelah wajahku dan air mata mengalahkanku.
Dunia melumpuhkan keadaanku,
Dan membuatkan aku benci kehidupanku.

Aku benci cinta,
Tak ingin mengulanginya lagi cinta yang menghancurkanku,
Aku baik-baik saja,
Kerana aku tahu keadaan yang menimpaku.
Hatiku tersakiti dan aku lelah,
Tak boleh ku lihat jiwaku,
Hatiku hancur kerananya.

Setiap hari menimpa masalah yang lebih berat dari sebelumnya,
Aku telah merasakan pelbagai kesengsaraan,
Kesengsaraan yang tiada seorang pun pernah merasakannya.

Tiada seorangpun yang mengerti diriku,
Disaat aku memerlukannya,
Kekejaman manusiakah? Aku tak tahu,
Atau dunia yang kejam?,
Ya Allah,
Lindungilah aku dari kekejaman dunia,
Ya Ilahi,
Damaikanlah keresahan ini dengan berakhirnya segala kezaliman,
Hatiku tersakiti dan aku lelah,
Tak bolehku lihat jiwaku yang hilang,
Hatiku hancur kerananya.

Rina berpuisi syahdu syair arab yang dihafalnya meluahkan segala-galanya kepada Allah yang Maha Mengetahui. Rina benar-benar tidak berdaya ketika itu. Dia perlukan 'pelukan' dari Allah untuk menguatkan hatinya yang rapuh itu demi menjaga keimanannya. Sampai bila ujian terus-menerus ini akan berhenti menimpanya sesungguhnya dia kini kembali merindukan dirinya disaat dia koma tidak perlu berhadapan dengan semua permasalahan itu.

"Astaghfirullahalazim, sungguh hamba orang yang tak bersyukur Ya Allah." Rina mengutuk dirinya sendiri yang tidak pandai bersyukur di atas nikmat Allah. Bukankah Allah memberikan dirinya peluang untuk 'hidup' semula untuk merasakan nikmat beribadah terhadap-Nya? Dan bukankah Allah memberikan dirinya peluang untuk merasai kebahagiaan menjadi ibu Muhammad Qalifh Althar? Oh sungguh, dia benar-benar orang yang tidak bersyukur! Maka nikmat Tuhan yang manakah kau dustakan?

"Semoga hanya kebahagiaan mengiringi perjalanan hidup kamu, anakku." Rina memandang Qalifh yang lena.

"Rina, boleh aku masuk?" Tiba-tiba terdengar suara Aqilah di hadapan pintu biliknya. Rina mengangguk dan tersenyum memandang Aqilah.

"Kenapa masih tidak tidur?" Rina bertanya kepada Aqilah yang sudah duduk di hadapannya. Rambut sahabatnya itu sudah pendek. Setahunya Aqilah tidak suka berambut pendek. Tiga tahun berlalu banyak perubahan yang dia lihat pada kawannya itu.

"Aku baru saja selesai solat sunat jugak seperti kau. Sejak kau tiada, aku berjinak-jinak menunaikan solat sunat sama seperti yang kau lakukan. MasyaAllah, sungguh aku menemui ketenangan yang pernah kau katakan ketika bersimpuh kepada Allah memohon keampunan-Nya. Terima kasih, sahabat." Aqilah memeluk Rina. Tangannya menyapu wajah Rina yang basah dengan air mata sama seperti yang dilakukan oleh Qalifh kepada dirinya tadi.

"Alhamdulillah. Berterima kasihlah pada Allah kerana menjadikan kau salah satu hamba-Nya yang beruntung dapat bangun malam seperti ini. Tidak semua orang mampu melakukannya." Rina tersenyum memandang perubahan Aqilah yang semakin dekat kepada Allah.

"Kenapa kau tak pernah sekalipun telefon aku, Rina?" Aqilah bertanya apabila soalan itu yang mahu ditanyakan sejak daripada semalam tetapi dia tidak mahu mengganggu emosi Rina yang ketika itu masih tidak stabil.

"Aku malu, Aqilah. Kau sudah banyak membantu aku sampaikan kau juga terpaksa menanggung malu kerana berkawan dengan aku. Sudah tiba masanya kau bebas daripada dibelenggu oleh masalah aku." Rina memberitahu alasannya mengapa dia tidak mahu berhubungan lagi dengan wanita itu.

"Sampai hati kau. Kitakan sahabat mengapa harus kau berfikiran seperti itu. Aku tidak peduli jika satu dunia menentang kau Rina sebab aku tahu siapa sebenarnya kawan aku. Kita senang sama-sama dan sedih juga sama-sama." Aqilah berpura-pura merajuk.

"Dan sampai bila kau mahu bersama aku, Aqilah? Kau ada kehidupan kau sendiri. Kau berhak bahagia." Rina mencapai tangan Aqilah dan digenggamnya tangan itu erat.

"Kau juga berhak bahagia! Di dunia ini semua orang berhak bahagia. Pilihan ada di tangan kita Rina, takdir memang sudah ditentukan tapi takdir juga boleh berubah atas kehendak Allah." Inilah yang dirisaukannya. Rina menjadi orang yang tidak mempercayai diri sendiri selepas semua yang menimpanya. Wanita itu seolah-olah sudah berputus asa dengan yang namanya kebahagiaan.

"Sudahlah bercerita tentang aku. Bagaimana pula dengan kau dan teman lelaki kau? Bila kau akan berkahwin?" Rina cuba mengubah topik perbualan mereka. Rina mahu tahu apakah kesudahan cinta sahabatnya itu dengan lelaki pilihan hati wanita itu.

"Kami sudah tidak bersama. Dia curang di belakang aku, Rina. Empat tahun bersama, aku berharap dialah yang bakal menjadi pendamping hidup aku tapi nampaknya jodoh aku bukan dengan dia. Salah aku kerana ikutkan nafsu. Tak sepatutnya aku bersama dengan lelaki yang tidak pernah berniat mahu memperjuangkan aku." Ada riak sedih di wajah Aqilah ketika itu. Sakit dikhianati oleh orang yang dicintai sangat menyakitkan. Di situ dia belajar hanya Allah satu-satunya cinta yang abadi.

"Aqilah, aku yakin Allah akan hadirkan lelaki yang jauh lebih baik daripada dia untuk kau. Kau wanita yang baik dan hanya lelaki yang baik saja yang berhak memiliki kau. Belajarlah dalam mencintai Allah sepenuh hati kau nanti Allah akan hadirkan lelaki yang mencintai-Nya juga sepenuh hati untuk menjaga kau." Rina memberikan semangat kepada Aqilah. Terlupa seketika masalahnya itu lebih berat berbanding masalah Aqilah yang putus cinta.

"Jadi sekarang macam mana?" Aqilah bertanya kembali kepada nada yang serius.

"Sekarang macam mana apa?" Rina bertanya tidak mengerti maksud sahabatnya itu.

"Apakah kau masih mahu meneruskan perkahwinan yang tiada masa depannya ini? Aku tahu perceraian bukanlah perkara yang terbaik untuk dipilih tapi jika ini satu-satunya jalan untuk menemukan kebahagiaan untuk kau dan Qalifh, kau harus melakukannya. Aku yakin Qalifh akan mengerti satu hari nanti mengapa dia tidak memiliki keluarga seperti keluarga kawan-kawannya." Aqilah memujuk Rina untuk menggugat cerai. Dia bukanlah mahu menjadi batu api tapi dia rasa hanya itu saja satu-satunya jalan penyelesaian semua permasalahan ini.

Rina diam seketika. "Aku akan menuntut fasakh Aqilah. Ini demi kebaikan kami bersama. Aku harap Haikal dapat menemukan wanita yang mampu mengubah dirinya." Walau di dalam kesengsaraan dia tetap mendoakan suaminya itu kebaikan. Itulah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Balaslah keburukan dengan kebaikan sesungguhnya Allah akan membalas kita dengan kebaikan.

Aqilah mencebik apabila Rina mendoakan kebahagiaan Haikal. "Sudah jadi seperti ini pun kau masih nak doakan kebaikan untuk lelaki tak guna tu? Kau rasa ada ke wanita yang sanggup hidup bersama lelaki panas baran macam itu?" Aqilah bertanya tetapi tiada jawapan yang didengar daripada Rina.

Akhirnya Aqilah meminta diri untuk kembali ke biliknya meninggalkan Rina sendirian kerana dia harus tidur juga agar keesokan paginya dia tidak mengantuk di tempat kerja. Ketika itu sempat Aqilah menoleh semula ke dalam bilik Rina apabila baru dia tersedar bahawa bilik itu tidak membuka lampu utama tapi membuka lampu sisi di katil sahaja tetapi kenapa bilik itu seakan bercahaya sangat. Cahaya yang mampu menerangi seluruh ruang bilik itu. Aqilah mengjungkitkan bahunya sebelum masuk ke dalam biliknya membiarkan keanehan itu berlalu. Mungkin dia tersalah melihat kerana matanya yang sudah begitu mengantuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience