Bab 3 Keluar Bersama

Drama Completed 75239

Bab 3

P.O.V Izni Haryati

PUKUL 5.00 petang barulah aku dan Aina Afifah mengundurkan diri untuk pulang. Aku dan Aina memang selalu melepak di rumah Nur Izati. Kerana Nur Izati tidak mempunyai adik-beradik lain seperti aku dan Aina Afifah. Disebabkan itu kami selesa berada di rumah Nur Izati kerana tidak ada gangguan. Lagi pula Nur Izati tidak mudah untuk keluar dari rumahnya untuk melepak diluar. Ibu Nur Izati akan ikut sekali jika kami berjumpa di luar. Mungkin kerana Nur Izati adalah anak tunggal menyebabkan kedua-dua orang tuanya risau jika terjadi sesuatu kepadanya.

Nur Izati dahulu mempunyai seorang kakak tetapi meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya. Kerana itu orang tua Nur Izati benar-benar memantau aktiviti anak tunggalnya itu. Sebab itu jugalah aku dan Aina Afifah kerap datang ke rumah Nur Izati.

Masuk ke dalam rumah aku melihat mak sedang memotong kain untuk dibuat baju. Mak menoleh ke arahku bila aku melangkah masuk ke dalam rumah.

“Macam mana, dapat kerja tak?” tanya mak.

“Izni dah dapat kerja,” jawabku sambil tersengih.

“Baguslah kalau dah dapat kerja. Bila kamu nak mula kerja?” soal mak lagi.

“Minggu depan... Tapi Izni bukan dapat kerja dekat sini. Tempat dia jauh dari sini,” kataku serba salah untuk menerangkan.

“Kamu dapat kerja dekat mana pula dah?” ujar mak sambil merenung wajahku.

“Izni dapat kerja dekat, Kuala Lumpur,” jawabku.

“Apa, dekat Kuala Lumpur! Kenapa jauh sangat kamu pergi minta kerja,” balas mak agak terkejut.

“Alah, bolehlah mak. Izni kerja dekat Kuala Lumpur.” Aku cuba merayu.

“Kerja apa dekat sana? Lepas tu kamu nak tinggal dekat mana?” balas mak sambil tangannya mula meletak gunting di atas meja jahitnya.

“Izni kerja jadi pengasuh orang tua. Orang tua tu terbaring je tak boleh bangun. Izni akan tinggal dekat rumah orang tua tu.” Aku menjelaskan kepada mak.

“Mahal ke gaji dia? Yang kamu sampai sanggup nak jadi pengasuh orang tua tu,” soal mak sambil memandang ke arahku.

“Dalam 800 jugalah gaji dia sebulan. Lagipun kerja Izni hanya jaga orang tua tu je. Masak dan mengemas Izni tak perlu buat. Bab makan pula apa yang majikan makan itu jugalah yang akan Izni makan,” kataku menerangkan.

 

Tetapi aku tak cakaplah majikan tu cuma nak orang lelaki je. Kalau mak aku tahu mesti dia tak bagi.

“Terpulang kamulah, Izni. Tapi kamu kena jaga diri duk rumah orang ni. Jangan pula buat macam rumah sendiri. Lagipun kamu dah biasa jaga arwah tuk wan dulu,” kata mak sepertinya memberi izin kepadaku untuk kerja di Kuala Lumpur sebagai pengasuh.

“Terima kasih, mak,” kataku.

“Sama-sama,” balas mak.

“Mak, Izni nak pinjam gincu mak boleh tak.” Aku membuat alasan untuk masuk ke dalam bilik mak.

“Kamu nak pakai gincu... Tak pernah-pernah nak pakai gincu hari ni nak pakai gincu pula dah. Tapi bagus juga, kalau tak macam jantan je rupa kamu tu. Pergilah ambil gincu mak tu dalam bilik,” kata mak membenarkan aku masuk ke dalam biliknya.

“Okey, Izni masuk bilik mak sekarang tau,” kataku sambil berjalan ke arah bilik mak.

Aku ingin masuk ke dalam bilik mak bukan untuk ambil gincu. Tetapi ingin mencari kad pengenalan abang kembarku yang mak simpan. Lagipun aku tak pernah suka dengan alat make up ni. Akhirnya aku menjumpai Mykad abang kembar aku yang berada di dalam laci almari. Setelah menjumpai apa yang aku cari, aku pun segera keluar dari dalam bilik mak.

Aku masuk ke dalam bilikku dan menyimpan Mykad abang kembar aku tu. Mykad abang aku akan aku guna bila terdesak sahaja. Tapi kalau urusan rasmi mestilah aku guna kad pengenalan aku sendiri. Tapi rasanya setakat jadi pengasuh ni tak perlu pun tunjuk kad pengenalan abang aku ni.

Tetapi sekadar berjaga-jaga jika majikan aku tiba-tiba ada rasa prasangka pada aku. Bolehlah aku tunjukkan kad pengenalan abang aku ni sebagai bukti aku ni lelaki.

Malam ini fikiran aku melayang-layang kerana memikirkan minggu depan aku akan pergi ke Kuala Lumpur. Pada mulanya aku bercadang ingin naik motosikal sahaja sampai ke Kuala Lumpur. Tetapi majikan aku tidak membenarkan aku menungang motosikal dengan alasan terlalu jauh dan bahaya. Lagi pula aku bukan pernah menungang motosikal sampai Kuala Lumpur. Dia juga memberikan aku kebenaran untuk menguna motosikalnya yang ada di rumahnya. Aku juga diberi cuti pada hari Ahad. Jadi setiap hari Ahad bolehlah aku mencari info tentang ayah dan abang kembar aku.

Aku tengok di media sosial majikan aku ni umur dalam 30 tahun. Wajahnya biasa saja bagi aku. Tak adalah rupa macam artis K-Pop yang aku minat. Yang penting kerja aku hanya menguruskan ayah dia je yang terlantar di atas katil tidak mampu berbuat apa-apa, kerana terkena serangan strok.

Aku mengunakan pengangkutan awam untuk ke Kuala Lumpur. Esok aku akan pergi membeli tiket kereta api untuk ke Kuala Lumpur. Kena beli awal-awal takut tiket habis. Majikan aku yang akan ambil aku di Stesen KTM KL Sentral. Aku cuma berharap mereka tidak akan syak bahawa aku adalah perempuan. Tapi sebenarnya aku risau juga jika identiti sebenar aku terbongkar nanti. Tapi yakin aku pasti boleh. Nasib baiklah aku mempunyai suara yang agak serak, tidak lembut seperti kebanyakan perempuan.

Aku berharap sangat dapat berjumpa dengan ayah dan abang aku. Walaupun aku tidak suka dengan ayah. Kerana ayahlah aku dan abang berpisah. Tapi sebab keinginan aku kuat untuk bertemu dengan abang kembar aku. Akan aku lakukan apa saja untuk boleh tinggal di Kuala Lumpur. Walaupun terpaksa menyamar menjadi lelaki guna identiti abang kembarku.

 

 

“WEI, jom kita pergi tengok wayang. Aku dengar hari ni ada cerita best.” Aku memberi cadangan.

“Okey juga tu. Aku pun dah lama tak tengok wayang,” balas Nur Izati.

“Aku tak ada duitlah, nak tengok wayang,” kata Aina Afifah.

“Alah, jangan risaulah. Aku dan Zati akan belanja kau,” balasku.

“Betul tu... lepas ni mungkin kita dah tak boleh nak berkumpul dah,” ujar Nur Izati.

“Terima kasih korang, selalu faham dengan masalah aku,” ucap Aina Afifah.

“Kita bukan berkawan baru sehari dua, tapi dah lima tahun. Jadi kita orang dah tahu sangat masalah kau,” balas Nur Izati.

“Aina, kau ada minta kerja dekat gerai Pak Abu tu kan? Macam mana dapat tak kerja dekat situ?” tanyaku.

“Alhamdulillah, aku dapat kerja dekat situ. Dah tiga hari aku kerja dekat gerai Pak Abu tu.

Hari ni kedai Pak Abu tutup, jadi dapatlah aku ikut korang berdua,” jelas Aina Afifah.

“Wei, cepatlah pergi beli tiket wayang. Nanti habis pula,” kata Nur Izati.

“Okey, aku nak pergi belilah ni,” kataku mula ingin berjalan ke tempat kaunter tiket.

“Izni! Tunggu,” panggil Nur Izati.

“Ada apa?” soalku sambil menoleh ke arah Nur Izati.

“Kau tak mau duit ke,” kata Nur Izati sambil menghulurkan duit 100 ringgit kepadaku.

“Nak je,” balasku.

“Hari ni aku belanja korang berdua. Mak dan ayah aku bagi duit lebih tadi,” kata Nur Izati.

“Nampaknya jimatlah duit aku,” ujarku.

“Aku tahu, kau tu memang kena jimat duit sebab esok kau dah kena pergi Kuala Lumpur,” balas Nur Izati.

“Kau memang kawan yang sangat memahamilah,”kataku sambil mengambil wang di tangan Nur Izati.

Aku berjalan ke kaunter tiket lalu membeli tiket wayang. Selesai membayar dan telah mendapat tiket aku berjalan kembali ke arah Aina Afifah dan Nur Izati.

“Tiket dah beli, jom kita masuk. Sebab dah nak mula tayang,” kataku sambil menunjukkan tiket yang ada ditanganku.

Kami bertiga berjalan masuk ke dalam pawagam. Aku tengok sudah ramai orang berada di dalam pawagam. Aku, Aina dan Zati segera mencari bangku yang tertulis di tiket kami. Setelah jumpa kami bertiga duduk di bangku itu. Tak lama kami duduk cerita pun mula ditayangkan.

“Alah, tiket cerita apa yang kau beli ni?” tanya Nur Izati.

“Cerita lawanlah,” jawabku.

“Aku nak tengok cerita cinta tu. Hero dia handsome, ni hero ganas nak mampus,” kata Nur Izati kurang suka dengan cerita yang sedang kami tonton ini.

“Alah, manalah aku tahu. Sebab kau bukannya bagi tau pun nak tengok cerita apa. Aku hentam sajalah beli, yang penting boleh tengok juga,” balasku sambil tersengih.

“Dahlah, kita layan je tengok cerita ni.” Aina Afifah cuba memujuk Nur Izati. “Okeylah, lagi pun esok Izni dah nak kena pergi Kuala Lumpur,”kata Nur Izati.

Setelah selesai menonton wayang. Kami bertiga pergi ke sebuah restoran makanan segera yang ada di dalam Shopping Mall ini. Kami memesan dan membayar di kaunter, kemudian kami duduk meja yang masih kosong. Aku lihat Nur Izati asyik memandang jam ditangannya.

“Alah, Zati belum pukul 6.00 lagilah,” tegurku.

“Sekarang ni dah dekat pukul 5.30, kita ada masa dalam setengah jam lagi ni,” kata Nur Izati.

“Alah, makan ni bukan ambil masa lama pun. Nanti lepas makan kita keluarlah dari Shopping Mall ni tunggu mak dan ayah kau,” balasku.

“Betul juga kata Izni tu,” sampuk Aina Afifah.

“Okeylah,” kata Nur Izati setuju.

Usai makan kami bertiga bertiga berjalan keluar dari Shopping Mall. Kerana jam sudah hampir pukul 6.00 petang. Seperti yang dijanjikan oleh mak dan ayah Nur Izati, mereka memang sudah sampai di tempat parkir untuk mengambil kami bertiga.

Tepat pukul 6.30 petang kami sudah pun sampai di rumah Nur Izati. Keluar sahaja dari dalam kereta aku dan Aina Afifah meminta diri untuk pulang. Hampir pukul 7.00 barulah aku sampai di rumah.

“Kak Izni, ada beli mainan tak kat baby?” tanya adikku bila aku sudah masuk ke dalam rumah.

“Alah, akak lupalah,” kataku sengaja menyakat. Kerana aku ada je belikan mainan untuk dia.

Tapi aku beli mainan yang tidak berapa mahal.

“Tak mau kawan dengan, Kak Izni,” ujar adikku dengan mulut cebiknya.

“Alah, janganlah merajuk. Nah, mainan untuk baby,” kataku sambil menyua mainan yang aku beli untuknya.

“Yeay! Sayang akak,” kata baby sambil tangannya segera mengambil mainan di tanganku.

“Lepas ambil mainan tu kena cakap apa?”tanyaku.

Baby memandang ke arahku lalu tersenyum. “Lupalah... terima kasih,”kata baby.

“Sama-sama,”balasku lalu berjalan masuk menuju ke bilik tidurku.

“Izni, esok kamu jadi ke nak pergi Kuala Lumpur ni?” soal mak ketika aku ingin berjalan masuk ke dalam bilik.

“Mestilah jadi, tiket kereta api pun Izni dah beli,” balasku sambil mula melangkah mendekati mak yang berada di meja mesin jahit.

“Kamu naik kereta api pukul berapa?” tanya mak lagi.

“Dekat tiket tu dia tulis pukul 9.00 pagi,” jawabku.

“Esok bangunlah awal sikit, kalau lambat nanti tertinggal kereta api pula.” Mak mengingatkan aku.

“Okey,” balasku.

 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience