DAMIEN sandarkan tubuh ke kerusi. Bersilang tangan di dada sambil melihat setiap gerak dan laku si gadis di seberang sana. Memikirkan bagaimana susunan takdir hampir sahaja mempermainkan dirinya. Benar, takdir itu tidak kejam. Saat dia mula berputus asa, tiba-tiba gadis itu kembali muncul di depan mata. Tidak dia sangka juga rupanya jarak mereka dekat sahaja. Dia ada di depan mata tetapi Damien sendiri yang dibutakan sehingga tidak bisa melihat keberadaan si dia. dan kini, sekali lagi takdir mendekatkan mereka. Damien mahu percaya yang memang takdirnya terukir nama Camie. lebih-lebih lagi mengenangkan permintaan Camie sebentar tadi.
Keliru, tetapi Damien juga percaya ini peluang yang tidak seharusnya dia lepaskan. Kesungguhan Camie dalam memujuk benar-benar merangsang emosi Damien untuk membantu bukan sahaja Camie tetapi juga dirinya sendiri. Damien pasti ada caranya untuk mengubah peluang ini kepada kejayaan.
“Boleh ya tuan. Tuan cuma cakap yes aje. Yes, yes dan yes. Itu aje... senang, kan?” pujuk Camie tidak jemu. Dalam ramai-ramai lelaki yang dia kenali mengapa Tuan Damien juga yang dia pilih? Camie percaya semua ini suratan takdir.
Takdir yang membawa lelaki kacukan ini kepadanya jadi tidak salah jika Camie menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk kepentingannya sendiri. Hanya untuk kali ini, itu janji Camie. Selepas ini, jika Tuan Damien mahu menganggap dia tidak wujud pun tidak mengapa.
“Yes, yes and yes? Three yes?” sahut Damien, menegaskan semula tugas yang harus dia pikul. Kasihan pula melihat monyok di wajah Camie. Malulah tu.
“Erk... yeah sure. whatever... please?”
“Okay!” Akhirnya Damien bersetuju. Camie terus menala telefon yang sejak tadi tidak berhenti bergetar. Berbual beberapa minit sebelum simbol pembesar suara ditekan dan telefon diletakkan di antara dia dan Damien.
“Yes, yes and yes?” Damien ingatkan Camie akan arahan yang perlu dia patuhi. Camie angguk tanpa sebarang bantahan.
“Ya pakcik...”
“Kamu tahu hari ni birthday Camie?”
“Birthday?” Damien sedikit terkejut. Camie tersengih. namun sempat dia ulang arahan yang sama dengan gerak bibir tanpa suara.
‘Yes, yes and yes!’
Patuh. Damien tersenyum seraya angguk sekali.
"Yes..." Terzahir yes yang pertama berbaki lagi dua.
“Kamu betul-betul sayang Camie?” soal si ayah di hujung talian. Camie yang turut sama mendengar automatik mengangguk bak belatuk.
“Yes...” sahut Damien yakin sekali gus melafazkan yes yang ke dua.
Camie mula tersenyum suka. Yes!
“Bila nak datang jumpa ayah dan ummi. Kami nak juga berkenalan dengan bakal menantu...”
“Yes...” jawap Damien polos. Sama seperti perjanjian dia dan Camie sebentar tadi. Yes, yes dan yes. Maka, tertunailah sudah janjinya. Tiga kali yes.
“Huh? Yes lagi? Apa yang yesnya? Kamu ni kenapa Budiman? Asyik yes aje dari tadi? Kamu jangan main-main!” Panas pula hati si ayah bila Damien seakan mempermainkan dirinya. Sejak tadi hanya sekadar yes, yes dan yes sahaja yang keluar daripada bibir lelaki itu.
Damien kepal tangan di belakang tubuh. Budiman lagi? Siapa sebenarnya Budiman ni?
“Pakcik, saya Damien, saya tak tahu siapa Budiman tapi saya berani jamin dengan pakcik yang saya serius sukakan anak pakcik.”
“Err...” Giliran si ayah pula mati kata.
Entah dari mana datang keberanian, Damien tiba-tiba mula berikrar. “Saya Damien, dengan ini berjanji akan menjaga Camie dengan seikhlas hati dan dengan penuh kesabaran.” polos Damien membuat pengakuan, sontak membuatkan Camie tegak tubuh. ‘Ah, sudah!’
Meletus tawa besar di sebelah sana, perkataan sabar yang ditutur si jejaka berjaya mencuit emosi si ayah. Benar sekali, kesabaran yang tinggi menjadi tonggak utama dalam membina hubungan cinta dengan anak gadisnya, Camie. Tanpa kesabaran pasti hubungan tidak akan ke mana.
Panas telinga mendengar tawa suka si ayah, Camie matikan panggilan. Tajam pandangan mata Camie, Damien dibalas dengan riak datar. Paras yang cuba menjadi garang itu langsung tidak terkesan di hati Damien.
“Kan saya cakap yes, yes dan yes... Yang tuan pandai-pandai buat dialog sendiri tu dah kenapa?”
“Betullah tu. Yes, yes dan yes. Sekarang ni aku nak tahu siapa Budiman? Kau ada kekasih ke
“Betul tu memanglah betul. Tapi yang last tu kenapa boleh melalut sampai berjanji yang bukan-bukan?”
“Berjanji sudah, sekarang masa untuk aku tunaikan pula. Aku bukan ahli politik tau, yang hanya pandai menabur janji tanpa ditepati. Aku ni jujur orangnya.”
“Jujurlah sangat! Tu Teja tu, pergilah tunaikan janji tuan dengan dia.” gumam Camie geram. Menyesal pula memilih Tuan Damien. Jika bukan kerana haruman yang dipakai lelaki ini persis Abang Budiman, lelaki seperti Tuan Damien langsung tidak tersenarai dalam senarai rakan Camelia.
Damien mengeluh, entah bagaimana harus dia terangkan lagi yang Teja itu sekadar sejarah silam sahaja. Gadis itu sendiri lebih memilih Megat berbanding dirinya, mengapa disebut-sebut lagi?
SEBAIK sahaja sosok Damien hilang dari pandangan mata, tubuh yang tadinya tegak perlahan-lahan melorot jatuh sehingga terpaksa diampu dengan ke dua belah lengan yang bertongkat di paha sendiri. Ya, sendiri. Pada akhirnya Camie tahu dia akan tetap sendiri. Seseorang akan datang di saat dia memerlukan, tetapi semuanya tidak pernah kekal. Dia tahu itu dan dia sendiri sudah lali.
Mutiara jernih yang mula mengalir dibiarkan sehingga mencemari pipi sendiri tidak berniat untuk menghalang, biarlah... Untuk sekali ini dia mahu menangisi nasib diri sepuas-puasnya.
Jauh di sudut yang tersorok dari pandangan mata Camie, satu sosok tegap mula keluar. Melangkah perlahan ke arah si gadis bersama plastik merah di tangan, dan sebiji belon helium yang terapung mengikut setiap lenggok langkahnya.
Dengan mata yang berbalam, wajah si dia kelihatan samar-samar. Seakan mimpi tetapi Camie tahu ia realiti bila wajah sedikit demi sedikit semakin menghampiri wajahnya. Sengaja si dia membuang jarak antara mereka. Memandangnya dengan wajah yang sengaja di comelkan. Mata yang terkelip-kelip dengan laju memandang akhirnya meletuskan tawa Camie.
“Gelak pun... Penat aku buat muka dari tadi. Ingat dah tak reti nak gelak tadi.” Tali yang mengikat belon helium dihulurkan kepada Camie.
“Untuk saya?”
“Habis tu... Tak akan untuk makcik zumba tu pulak?” Spontan mata Camie melorot ke arah muncung si dia, kelihatan di mata sekumpulan wanita sedang khusyuk berzumba.
“Tuan...” Camie terharu dengan kesungguhan Tuan Damien.
“Ini pula?” Merujuk kepada plastik yang dijinjit Damien.
“Tu... aku minta dekat dia orang. Sebenarnya, aku minta benda ni aje... Tapi, macam-macam pula yang dia orang bagi... Muka aku ni nampak macam desperate sangat ke?” Sambil membebel tali belon helium di tangan Camie kembali di ambil, satu simpulan riben di buat pada batang pemegang kerusi kayu yang menjadi alas duduk mereka saat itu. Terapung terus belon helium di situ.
Andai sahaja hubungan mereka rapat. Mahu sahaja Camie memeluk Tuan Damien menzahirkan perasaannya yang berbunga saat ini. Tuan Damien di depannya saat ini umpama seorang lelaki yang berbeza. Tiada lagi mulut celopar tiada lagi ayat yang menyakitkan hati tiada jenaka makan dalam yang ada hanyalah sikap prihatin dan penyayang. Apakah yang sebenarnya mendorong perubahan sikap lelaki itu?
Damien selongkar plastik, Muffin Gardenia Quick Bite di bawa keluar dan di buka pembalutnya. Telapak tangan Camie ditarik sebelum muffin tadi diletak ke atas telapak tangan yang sedang dalam posisi menadah itu.
“Benda inilah yang aku minta dekat budak-budak tu tadi.” Sebatang cake topper berukir perkataan Happy Birthday di cucuk ke atas muffin.
Spontan, Camie menoleh ke arah sekumpulan gadis yang sedang berkelah di padang berhadapan tasik tidak jauh dari kerusi tempat duduk mereka. Tahu mereka diperhatikan si gadis melambai-lambai tangan kepada Camie.
“Lilin dengan pemetik api ni, dia orang kasi free... Tapi aku ambil satu ajelah. Dah orang bagi, tak akan nak melebih pula, kan?” Kini si dia sibuk pula menyalakan lilin nan sebatang itu. Setelah berkali-kali cubaan masih juga gagal. Mungkin kerana faktor angin petang, maka usaha si dia seakan sedikit payah. Namun usaha lelaki itu yang membuatkan Camie terharu sehingga tanpa sedar dia mula hanyut dengan khayalan.
“Okay, now... make a wish and blow the candle...” Si dia bentangkan muffin coklat bersama lilin yang menyala di depan muka Camie yang sudah memejamkan matanya. Memasang hajat barangkali.
“Muffin ni aku beli dekat kiosk sana, jangan kau ingat semua ni dia orang bagi. Aku ni bukanlah kedekut sangat. Tapi sebab ini emergency, terpaksalah aku tebalkan muka meminta-minta, kau patut bangga tau, aku tak pernah lagi memalukan diri sampai ke tahap ni untuk seorang perempuan. Kau yang pertama.”
“Kenapa tuan susah-susah buat semua ni? Saya ni bukan siapa-siapa pun... Saya dah biasa sambut birthday sorang-sorang macam ni.”
Jika di tanya kenapa, Damien sendiri tiada jawapannya. Melihatkan wajah sugul itu tadi, Damien dijentik satu rasa yang sukar untuk dijelaskan. Lantas, tanpa dirancang dia melakukan semua itu. Tiada siapa yang memaksa, hanya dia sendiri yang didorong satu kuasa. Melihat Camie hatinya turut sama dibadai rasa, dia sakit. Ya, itu apa yang dia rasa sebentar tadi dan rasa yang sama itulah juga mendorong dia bertindak sejauh ini. Kini, bila gadis ini mampu kembali tersenyum dia tahu dia telah membuat keputusan yang betul. Kerana kini, dia juga turut sama tersenyum bersama.
Jika di tanya apa perasaan Camie saat ini. Terharu. Itu sahaja yang boleh Camie nyatakan.
“Mulai hari ni, kau tak sendiri lagi. Bukan sekadar hari lahir, bila-bila aje kau perlukan teman, aku sentiasa ada.” luah Damien sementara tangan pula sibuk menyarungkan jam di pergelangan tangan.
“Sini...” Lengan Camie di tarik dan jam tangan bertukar pemilik.
“Aku tak ada hadiah nak bagi. Tapi jam ni... aku bagi kau. Jam ni biasa-biasa aje, dah lusuh dah pun tapi ada bau aku, bolehlah kau cium sebelum masuk tidur. Buat azimat.” seloroh Damien.
Mencebik Camie mendengar ocehan Damien. Lelaki itu tak pernah romantik bercakap pun ikut sedap anak tekak sahaja tetapi entah kenapa setiap ayat itu mampu membeli jiwa Camie tanpa dia sedari. Persis Abang Budiman, mungkin itu yang menarik Camie. Bayangan Abang Budiman jelas terzahir dalam setiap kelakuan Tuan Damien.
“Terima kasih tuan.”
“Dah lama aku terima kasih kau. Tunggu masa untuk kau pulak terima kasih dan sayang aku.”
Sinaran kejujuran di mata Camie menguatkan lagi azam Damien untuk memiliki si gadis. Hatinya kuat berkata ada sesuatu yang menghalang Camie daripada menerima cintanya tetapi apa? Itu yang akan dia bongkarkan. Apa pun caranya, gadis ini harus menjadi milik Damien. Noktah!
yes yes n yes... tq korang 10k views dah oh..xsgka mak rmai peminat damien rupanya.. enjoy eh.. xoxo
Share this novel