BAB 7

Romance Completed 4317

“Banyak yang berubah, Lia. Atau... mungkin saya patut panggil awak Aisyah?” Dahlia ketawa kecil. Kepalanya tergeleng-geleng. Sudu dan garpu di tangan diletakkan di birai pinggan. Jam di tangan ditoleh.

“Saya kena balik ofis sekarang.”

“Awal lagi. Lagipun, saya masih tak puas borak dengan awak,” tahan Yusra. Bukan cuma tak puas borak, tapi juga tak puas lagi menatap wajah Dahlia. Terasa beban rindu yang ditanggung selama ini terlerai bebas. Dahlia memaksa senyuman.

“Saya kena balik. Kalau awak tak dapat hantar, saya naik teksi.”

“Okey, okey... saya hantar awak. Tapi, kita boleh jumpa lagi lain kali, kan?” Yusra masih mencuba nasib.

Dia tahu Dahlia bagaikan cuba mengelak darinya. Membaca daripada gerak-geri dan reaksi gadis itu saja dia sudah tahu semuanya. Tetapi dia tetap tidak mahu mengalah. Cukuplah dia membazir masa selama bertahun-tahun memendam perasaan sendiri.

“Insya-Allah.” Hanya itu balasan Dahlia sebelum dia terus bangkit berdiri.

Kisah Dahlia dan Yusra bermula sejak zaman mereka bergelar pelajar lagi. Waktu itu, Dahlia Samuel hanyalah seorang gadis dari Sabah yang datang untuk menuntut ilmu di menara gading.

Sudah takdirnya, dia berkenalan dengan Yusra yang ketika itu juga menuntut di universiti dan juga jurusan yang sama dengannya. Perkenalan yang bermula ketika hari pertama kuliah bermula dan berlanjutan hingga mereka menjadi semakin rapat dan akrab.

Bagi Dahlia, Yusralah tempat dia bergantung harap memandangkan keluarganya tinggal jauh di Sabah. Setiap kali dia ada masalah, Yusralah orang pertama yang dia akan cari.

Persahabatan yang erat antara mereka berdua tanpa sedar telah memutikkan perasaan yang berlainan di hati Dahlia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience