BAB 2

Romance Completed 11647

Aku menjalani hari hariku seperti biasa. Siang hari, aku tidur. Manakala malam hari, aku akan melayan pelanggan pelanggan yang perlu dihidangkan dengan santapan nafsu. Ramai yang menginginkan aku kerana aku masih bergetah. Aku bangga dengan pujian demi pujian yang diberikan oleh pelanggan pelangganku saban malam.

Hidupku bertambah senang apabila aku dijadikan sebagai pelayan high class. Aku hanya perlu melayan golongan atasan. Jadi, pulangan yang aku dapat pula mencecah ribuan ringgit.

Kata Jay, akulah primadona kelab malam itu.

Suatu malam, kelab malam yang selalu menjadi tempat aku melayan pelanggan diserbu polis. Aku yang ketika itu baru selesai melayan pelangganku yang berpangkat Dato' cuba meloloskan diri melalui tingkap bilik. Belum sempat aku memanjat tingkap, pintu bilikku dibuka.

Langkah kakiku menjadi kaku.

Lelaki yang memakai t-shirt biru gelap berlogo polis mengacukan pistolnya ke arahku. Aku tidak keruan apabila anak matanya menikam tepat ke anak mataku. Aku terkedu, air mata mula mengalir membasahi pipi. Bayangan ibu di kampung mula menerpa minda. Tak dapat ku bayangkan betapa kecewanya ibu apabila anaknya ini dimasukkan ke penjara.

"Cepat lari." Kata kata itu mengejutkan aku daripada lamunan. Tanpa membuang masa, aku lari tanpa sempat mengucapkan terima kasih. Semasa cuba memanjat tingkap, sebelah kasut tumit tinggiku tertanggal. Memandangkan masa semakin suntuk, aku terus berlari tanpa menghiraukannya.

Aku meredah malam tanpa menghiraukan bahaya yang mendatang. Air mata yang mengalir di pipi keluar selaju dengan larianku. Sampai saja di sebuah deretan kedai, aku terduduk lemah.

Aku menarik kedua dua belah lututku dan menekupkan wajahku di situ. Aku menangis semahu mahunya. Luntur segala make-up yang menghiasi wajah.

"Anak okay?" Tegur satu suara.

Dalam sendu, aku mengangkat muka. Seorang lelaki berjubah putih dan berkopiah berdiri di hadapanku, dia kelihatan agak terkejut apabila memandang wajahku. Aku hanya diam sambil memerhatikan redup wajahnya. Tenang.

"Mari ikut pak cik."

Awalnya, aku teragak agak untuk mengikutinya. Tapi memandangkan keadaan aku yang berada dalam situasi yang agak bahaya dan juga melihatkan pemakaiannya, aku tidak jadi menolak.

Sepanjang perjalanan, aku hanya mendiamkan diri di dalam kereta Viva keluaran tempatan itu. Katanya ingin dibawa aku pulang ke rumah. Aku tidak kisah, asalkan aku selamat.

"Anak nama apa?" Tegur pakcik itu selepas lama mendiamkan diri.

"Rose." Ujarku sepatah.

"Nama pak cik Hamid. Panggil saja Pak Mid." Aku pandang ke wajahnya. Dia masih seperti tadi, fokus dengan pemanduan.

"Terima kasih, Pak Mid." Ucapku perlahan.

Dia hanya tersenyum tanpa memandangku. Aku memandang ke luar tingkap. Cahaya berwarna warni daripada ICT Shah Alam langsung tidak menarik perhatianku ketika ini.

Aku terpisat pisat membuka mata apabila terasa ubun ubunku diusap perlahan. Rupanya aku tertidur di dalam kereta. Leher yang terasa lenguh dipicit perlahan. Aku terpandang wajah tua itu. Serta merta air mataku mengalir laju di pipi.

Aku rindu ibu.

Wanita itu lantas memelukku. Untuk beberapa ketika aku berasa tenang. Dia memimpin aku keluar dari kereta. Aku berjalan seperti orang capik ketika itu kerana sebelah kasutku tertanggal di kelab.

Aku diberikan sebuah bilik yang dicat dengan warna biru laut, memberikan sensasi nyaman kepada sesiapa yang melihatnya.

Selesai membersihkan diri, aku memakai t-shirt dan menyarungkan kain batik yang diberikan oleh wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Mak Mah. Oleh kerana terlalu penat, aku terus berbaring di katil dan terlena.

Aku tersedar apabila terdengar ketukan di pintu bilik. Dengan mata yang masih mengantuk, aku membuka pintu untuk melihat siapa yang mengetuknya. Rupa-rupanya Mak Mah. Dia mengajakku untuk solat Subuh berjemaah bersama-sama.

Sudah lama aku meninggalkan solat. Kali terakhir aku bersolat ialah solat Isyak sebelum aku menemui Jay. Aku segera mandi wajib. Kedinginan air tidak aku hiraukan memandangkan Pak Mid dan Mak Mah sedang menunggu aku untuk solat bersama-sama.

Selesai mandi, aku baru tersedar yang aku tidak mempunyai telekung untuk solat. Aku menuruni tangga untuk ke ruangan solat yang berada di tingkat bawah.

Semasa berjalan, mataku tertacap pada satu susuk tubuh yang membelakangkan aku di ruangan solat. Siapa dia? Entah mengapa jantungku berdegup kencang ketika itu.

Aku memberanikan diri untuk bersuara.

"Mak Mah."

Kesemua insan yang berada di ruangan itu berpaling melihat aku yang hanya bert-shirt dan berkain batik.

Aku terpandang pada wajah itu. Dia. Aku menjadi tidak keruan. Aku melarikan anak mataku daripada terus melihatnya.

Mak Mah memberikan aku sepasang telekung yang masih elok terlipat. Subuh itu, dia mengimamkan kami bertiga. Sungguh syahdu aku mendengar alunan ayat suci Al-Quran yang dibacanya. Aku menutup mata untuk menghayati bacaannya.

Selesai solat dan membaca doa, aku menyalami dan mencium tangan Mak Mah. Sekali lagi, air mataku mengalir. Sudah lama aku tidak merasa kehangatan sentuhan seorang ibu. Mak Mah tidak berkata apa apa, hanya tersenyum melihatku.

Pagi itu, aku menolong Mak Mah menyediakan sarapan. Aku diberikan sehelai selendang untuk dipakai di dalam rumah. Aku yang dari kecil tidak diberi didikan agama yang mendalam terasa pelik apabila perlu memakai tudung di dalam rumah.

Kata Mak Mah, menutup aurat itu wajib kepada semua muslim. Allah itu ada di mana mana dan penglihatan-Nya mencangkupi semua perkara. Allah akan mengira semua perbuatan yang dilakukan oleh hambanya walaupun sebesar biji sawi. Menurut Mak Mah, kata kata itu dipetik daripada Surah Luqman.

Tanpa sempat aku bertanya, Mak Mah menceritakan tentang lelaki tadi. Seperti yang aku agak, lelaki itu merupakan anak lelaki tunggalnya. Namanya Hamka.

"Mak Mah, Hamka kerja di mana?" Tanyaku. Bukan hendak mengambil tahu tentangnya namun aku ingin memastikan samaada tekaan ku itu benar atau tidak.

"Hamka kerja sebagai polis, di bahagian mana mak cik lupa." Kata Mak Mah sambil memotong bawang merah. "Tapi selalu juga Hamka memberitahu mak cik yang dia menyerbu kelab malam." Ujarnya lagi.

Polis? Darah menyerbu ke muka. Jadi benarlah tekaan aku. Dialah lelaki yang melepaskan aku di kelab pada malam itu. Selesai membantu Mak Mah di dapur, aku terus naik ke bilik. Aku yakin sekejap lagi dia akan turun untuk bersarapan. Kalau boleh aku ingin mengelak untuk berjumpa dengannya.

Tidak sampai lima minit aku masuk ke bilik, pintu bilikku diketuk. Aku menyangka Mak Mah yang mengetuk pintu. jadi tanpa memakai tudung di kepala, aku membuka pintu.

Sangkaanku meleset apabila rupa rupanya bukan Mak Mah yang mengetuk pintu. Tapi Hamka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience