Surya : Bab 21
Tangga tangki dipanjat pantas. Penutup lubang laluan dikuak serentak itu satu lagi libasan terkena Rizal. Mujur sempat berpaut pada palang besi di situ.
Suasana atas bumbung bangunan itu agak kacau bilau. Surya bagaikan maharani bagi makhluk-makhluk yang mengganggu keamanan kampus ketika itu. Terlalu dahsyat. Langkah dimula penuh berhati-hati, mengelakan memijak atap yang sudah reput. Haron nyaris terjelepuk selepas tersepak kopak kayu yang terjungkit.
"Surya!" Surya cuma menyeringai kepada Rizal selepas ditempik namanya. Beberapa lembaga hitam muncul menyerang hendap. Haron pantas memula langkah melindungi Rizal yang sedikit terkejut.
"Teruskan, Rizal!"
"Tapi... Kau?"
"Abaikan aku. Aku mampu. In shaa Allah. Yakin!"
Berpegang pada keimanan, Rizal terus melangkah meskipun berat hati. Sesekali mendengar Haron merintih kesakitan membuatkan Rizal menoleh beberapa kali. Namun, Haron masih menegahnya dan meminta dia meneruskan langkah.
Setiba di titik tengah bangunan, Rizal kini menghadap Surya yang masih mengawal. Suasana malam begitu suram. Hingga rembulan tidak mampu menunjukkan cahayanya. Cuma abu dan biasan api kejauhan kelihatan menerangi kaki langit. Seluruh kampus gelap. Sesekali jeritan kedengaran.
"Surya!"
Surya memandangnya. "Berambus, manusia lemah. Kau terlalu lemah menentang kami!" Bongkak. Makhluk itu semakin kuat dan kini mengawal tubuh Surya untuk menjadi lebih berkuasa.
"Aku ada ini! Aku pasti kau tahu ini apa, Karim Surya!"
"Bangsat! Mana kau dapat?!" Menjengkil mata Surya yang kehitaman memandang. Dia menghampiri Rizal dan memandang tepat ke dalam matanya.
"Dan aku pasti kau mengenali aku juga, Karim Surya!"
"Bangsat, Andika!"
**
Andika muncul selepas Rizal tidak berpuas hati kerana hilang secara tiba-tiba. Wajahnya masih mempamer senyum buat cucunya.
"Maaf... Atuk acah aje."
"Cincin dan permata serta darah itu jika berasingan mampu menjadi menguat Karim Surya. Tapi, jika berbentuk begini dan bercampur ianya mampu melemahkan Karim Surya. Atuk mengetahuinya daripada guru Atuk dulu. Kerana darah itu cukup lemah jika bercampur serbuk besi."
"Macam mana nak buat?"
"Kamu tuang pada tangan macam ahli angkat berat buat tu, semasa bertempur, cubalah sentuh tubuh Surya untuk melemahkan Karim Surya. Tak apa, ini darurat. Kamu terpaksa sentuh Surya." Rizal cuma mengangguk mengerti.
Melihat Andika menghilangkan diri selepas memberi salam dan senyumannya. Sedikit rasa rindu pada Atuknya yang tidak pernah dia ketemu.
**
"Sudah tiba masa untuk kau tunduk kepada Tuhan, Karim Surya! Aku cuma manusia yang yakin kekuasaan Tuhan!" Lantang suara Rizal selepas mengikut pesanan Andika. Sedikit tercabar Karim Surya. Menyebabkan dia mendarat pada bumbung dan mengawal Surya dalam mod tempur.
Nafas Rizal ditarik seiring bacaan-bacaan ayat suci dan pujian kepada Tuhan dan utusan-Nya.
Karim memulakan langkah. Satu libasan pantas singgah pada tubuh Rizal. Kali ini menyebabkan dia terundur sedikit. Beberapa siri libasan muncul tanpa sempat dihalang. Rizal kini terundur hingga hujung bumbung. Sedikit darah mengalir pada luka hasil libasan tadi.
"Kau akan mati Andika!"
Share this novel