MEGAT ARIFF masih merenung Tihani yang berada di depannya. Dia menarik nafas dalam dan menghela perlahan. Makanan yang sudah mengotori seluar dan karpet pejabatnya direnungung kosong. Kemudian, matanya kembali ke arah Tihani.
Tanpa membuang masa, Tihani merempuh tubuh Megat Ariff dan cuba keluar dari situ. Namun, Megat Ariff pantas memeluk tubuh Tihani dengan kemas. Tihani cuba menolak kasar badan Megat Ariff dari terus memeluknya. Tetapi, dia gagal meleraikan pelukkan. Hangat tubuh itu, membuatkan Tihani rindu. Tetapi, rasa sakit hatinya melebihi rasa rindu. Dia tidak mahu terbuai dengan pujuk rayu Megat Ariff yang telah menghancurkan hidupnya. Dia tidak mahu lelaki itu semudahnya mengucap kata maaf tanpa penyesalan.
“Please, Hani. We need to talk!” keras suara Megat Ariff menutur kata apabila Tihani meronta dengan kuat cuba melepaskan diri. Tubuh Megat Ariff terdorong sedikit ke belakang. Pelukkan terlerai. Wajah wanita itu dipandang sayu.
“Hani... Abang nak pujuk Hani. Please, maafkan abang. Im sorry. Abang...” Kata-katanya terhenti di situ. Megat Ariff cuba mendekati Tihani semula. Tihani berganjak ke belakang beberapa langkah. Dia tidak mahu Megat Ariff menyentuhnya. Dia benci! Benci dengan sentuhan lelaki itu.
“Jangan dekat! Saya nak keluar. Tolong ke tepi...” tangis Tihani separa merayu. Suaranya tersekat-sekat cuba menahan tangisan. Air mata dikesat berkali-kali dengan lengan baju. Hatinya terlalu luka. Dia tidak mampu memandang wajah lelaki itu dengan lebih lama. Segala perbuatan Megat Ariff kepadanya berlegar-legar di fikiran. Hatinya kembali luluh.
“Kita perlu berbincang, sweetheart.” Megat Ariff cuba memujuk. Sekali lagi dia cuba mendekati Tihani. Tangisan Tihani membuat Megat Ariff gusar.
Please, dont cry!
“Tiada apa yang perlu dibincangkan. Saya dah buang tuan dari hidup saya seperti mana tuan buang saya dan halau saya dahulu,” tutur Tihani perlahan. Wajah Megat Ariff tidak dipandang. Tidak sanggup dia melihat wajah lelaki itu. Dia menahan tangisnya.
“Hani tidak boleh buang abang...” tutur Megat Ariff yang sudah berdiri betul-betul di hadapan Tihani. Perlahan dia meraih tangan Tihani. Ketika tangan mereka bertaut, hati Tihani semakin luluh. Dia rindu ucapan dan sentuhan lembut lelaki itu. Tapi, segala yang terjadi setahun yang lalu menghalang semua perasaan rindunya.
“Setahun lebih tuan gantung saya tidak bertali. Tolonglah, berhenti menyeksa saya. Lepaskan saya.” Ketika ucapan itu dilafazkan, wajah Megat Ariff berubah. Pegangan tangan Hani dilepas kasar. Dia berundur setapak ke belakang. Wajahnya diraup kasar. Tihani yang masih menunduk ke lantai direnung dengan dahi yang berkerut.
“I tidak akan lepaskan you, Tihani Zahira. I nak you kembali pada I walau dengan apa cara sekalipun. I akan lunaskan semua nafkah sepanjang I tinggalkan you. You cuma perlu tunggu saat itu.” Keras suara Megat Ariff menutur kata. Dia terus masuk ke bilik air di dalam bilik pejabatnya itu. Megat Ariff menahan sesak di dada. Matanya mula kabur dek air mata.
Maafkan abang, Hani, rintih hati Megat Ariff. Entah mengapa dirasakan kemaafan itu terlalu mahal untuk dia terima dari Tihani. Atau egonya masih kuat di hati sehingga Tihani tidak merasakan keikhlasan kata maaf darinya?
Tihani yang mendengar ucapan itu, terus menghamburkan tangisan. Entah sampai bila Megat Ariff mahu menyeksa dirinya. Dia sendiri tidak tahu. Perlahan dia melangkah keluar dari ruangan itu dengan tangisan yang teresak-esak. Daphine yang berada di tempat duduknya terpinga-pinga melihat Tihani keluar dari bilik majikannya sambil menangis.
“Miss, are you okay?” soal Daphine cemas. Tihani hanya menggelengkan kepalanya dan terus berlalu pergi dari situ. Daphine mengerutkan dahinya.
Apa yang berlaku?
TIHANI merenung wajah Tarif yang lena di atas katil itu. Dia mencium lembut dahi Tarif. Air mata yang mengalir diseka perlahan. Teringat akan peristiwa siang tadi sewaktu dipejabat Megat Ariff. Hatinya pedih. Sakit setiap kali melihat dan mendengar kata-kata lelaki itu. Setahun lebih dia sudah membuang segala kenangan dia bersama Megat Ariff. Tetapi, kenapa lelaki itu muncul semula? Apa yang membuatkan lelaki itu mencarinya kembali?
Dia bangun dan keluar dari bilik itu. Kelihatan Zainab dan Jalal sedang duduk sambil berbual bersama di ruang tamu. Tihani menghampiri mereka.
“Biarlah Tarif tidur di sini malam ini,” tutur Zainab. Tihani hanya tersenyum hambar. Dia tidak mahu menyusahkan Zainab untuk menguruskan Tarif.
“Siang tadi, ada orang datang ke sini. Dia ada beri sedikit wang untuk Tarif.” Jalal menyerahkan wang tersebut kepada Tihani. Tihani sudah biasa menerima duit sumbangan dari penduduk di situ apabila mereka melihat Tarif. Bukan dia meminta simpati pada orang lain. Tetapi, mereka sendiri yang mahu memberi. Mahu atau tidak, Tihani terpaksa menerima sumbangan itu.
“2 ribu? Banyak sangat ni abah.” Tihani terkejut apabila menerima wang tersebut. Jalal hanya tersenyum.
“Rezeki Tarif. Yang ni pula untuk Hani,” Jalal menyerahkan sekeping sampul kepada Tihani. Sekali lagi Tihani mengerutkan dahinya. Dia mengambil sampul tersebut dan melihat ke dalamnya.
“Banyaknya. Siapa pula yang beri ni?” soal Tihani terkejut apabila melihat cek bernilai 5ribu di dalam sampul itu. Dia mula tidak sedap hati.
“Ada sorang dermawan nak bersedekah. Dia tahu kamu ada anak istimewa. Ambil sahaja Hani. Rezeki kamu,” ujar Jalal tenang. Tihani terdiam. Dia merenung cek tersebut lama.
“Bulan depan, Khai balik ke sini lagi. Dia minta kamu masakkan ikan keli sambal hijau untuk dia. Boleh Hani?” soal Zainab sambil memandang Tihani. Tihani tersenyum. Dia mendekati Zainab dan melabuhkan punggungnya di sebelah wanita itu.
“Bukan dia dah balik bulan lepas? Dia tak bosan ke makan ikan keli tu?” soal Tihani sambil ketawa kecil. Zainab dan Jalal turut ketawa bersama.
“Dia rindukan Tarif. Setiap kali buat video call je, nak tengok Tarif. Tarif tu tengah main, dia bolayan sahajalah si Khai tu,” cerita Jalal tentang Khai yang setiap hari akan membuat panggilan video semata-mata mahu melihat Tarif. Tihani ketawa lagi.
“Khai ada cadangan mahu bawa Tarif ke terapi untuk anak-anak istimewa ni. Nanti dia carikan,” tambah Jalal lagi. Senyuman Tihani mati.
“Nanti Hani ke hospital kerajaan sahaja, abah. Hospital kerajaan pun ada pakar terapi untuk anak-anak istimewa. Cuma buat masa sekarang ni, Hani belum punya masa untuk ke sana,” tutur Tihani lembut. Dia bukan tidak sudi, tetapi dia tahu, jika dia menerima cadangan itu, pasti Khai akan membayarkan segala kos untuk Tarif. Dia tidak mahu terhutang budi pada lelaki itu. Dia juga tidak mahu memberi harapan kepada Khai.
“Khai yang mahu Tarif pergi sesi terapi di swasta. Mudah katanya. Dia akan upah seseorang untuk bawa Tarif ke kelas terapi. Jadi, Hani tak perlu bersusah payah hantar Tarif,” ucap Jalal tenang. Dia tahu Tihani tidak bersetuju. Tetapi, dia harus menyatakan hasrat lelaki itu kepada Tihani.
“Nanti Hani fikirkan ya, abah.” Tihani mula rasa serba salah. Dia tidak sampai hati mahu menolak cadangan keluarga itu.
“Hani tak perlu risau. Nanti mak atau abah, boleh temankan Tarif. Kalau kamu boleh ikut, kita pergi sama-sama,” pujuk Zainab pula. Tihani tersenyum tawar. Kepalanya ligat memikirkan cadangan tersebut.
“Terapi swasta mahal, mak. Hani tak mampu,” ucap Tihani jujur. Dia mengeluh lemah. Bukan dia tidak sudi, tetapi kewangannya tidak mengizinkan untuk dia membawa Tarif ke terapi swasta. Dan kekangan masa juga menyebabkan Tihani tidak sempat untuk ke hospital kerajaan. Dia tulang belakang keluarga kecilnya. Tanggungjawab yang digalas bukan sedikit. Walaupun keluarga Jalal banyak membantunya, dia tidak mahu mengambil kesempatan atas kebaikan mereka.
“Khai yang nak bayarkan. Jangan risau. Dia dah anggap Tarif tu macam anak dia sendiri. Abah pun anggap Tarif tu macam cucu abah sendiri. Abah dah janji nak jaga kamu dengan Tarif kan. Jangan fikir-fikir lagi. Terima sahaja cadangan Khai tu,” tegas Jalal bersungguh-sungguh. Tihani terdiam. Dia tidak mampu melawan kata-kata Jalal. Dia juga tidak mahu lelaki itu berkecil hati. Mahu atau tidak, Tihani terpaksa akur dengan kehendak mereka.
“Baiklah, abah,” balas Tihani sambil tersenyum tawar. Dia menarik nafas dalam. Sungguh, bukan mudah mengurus keluarga walaupun hanya ada seorang anak. Tanpa suami disisi. Bukan mudah. Segalanya harus difikirkan sendiri.
“Haa..kan bagus begitu. Esok abah beritahu Khai,” balas Jalal dengan wajah yang ceria. Zainab turut tersenyum gembira dengan keputusan yang diucapkan Tihani sebentar tadi.
Keesokan harinya...
TIHANI turun dari motor. Dia membuka box yang berada di belakang motor, dan mengeluarkan 3 bungkusan makanan yang ditempah oleh pelanggan di situ. Dia berjalan sambil menolak pintu pejabat tersebut. Setelah mendapat bayaran, Tihani keluar dari situ dan berjalan menuju ke motor. Langkah kakinya terhenti apabila melihat susuk tubuh seseorang sedang berdiri di sebelah motornya. Dadanya mula terasa sesak. Dia cuba berlagak tenang..
“Hantar makanan ke?” soal Megat Ariff sambil tersenyum mesra ke arah Tihani. Wajah Tihani tegang dan dingin. Dia tidak mempedulikan lelaki itu. Dia cuba mengambil helmet yang disangkutkan ke kerusi motor. Megat Ariff memerhati segala tingkah laku Tihani sambil tersenyum pahit.
“Teman abang makan, boleh?” soal Megat Ariff sambil memandang wajah Tihani. Wanita itu masih sibuk membuka helmet yang tersangkut di kerusi motor. Puas ditarik dan direntap dengan kuat, namun masih gagal dileraikan.
Eeiiii..masa ni kau nak buat halll!! rungut Tihani dalam hati.Dia menyumpah-nyumpah helmet tersebut. Seolah-olah sengaja mensabotaj dirinya di depan Megat Ariff.
“Buka perlahan-lahan, dinda.” Megat Ariff cuba membantu. Namun, renungan tajam Tihani membantutkan niatnya. Megat Ariff menelan air liur tatkala melihat wajah garang Tihani. Inilah pertama kali wajah garang itu di tunjukkan kepada Megat Ariff.
“Slowly, sweetheart. Marah helmet ke, marah abang ni?” soal Megat Ariff dengan nada yang lembut. Tihani menahan perasaannya dari menggila di situ. Perasaan marahnya bertambah apabila mendengar suara lelaki itu. Dia benci! Sungguh benci! Lelaki itu muncul dan bercakap dengannya seolah-olah tiada rasa bersalah di atas perbuatannya yang lalu.
“Biar abang tolong. Hani rentap macam tu bertambah tersangkut nanti.” Megat Ariff cuba membuka tali helmet yang tersangkut itu. Tihani melempar pandangan ke arah lain. Benci melihat kebaikan yang entah ikhlas atau tidak oleh lelaki itu.
Tak sampai beberapa minit, tali helmet terlerai. Megat Ariff menyerahkan helmet tersebut kepada Tihani. Dia memandang wajah Tihani yang masih dingin dan tegang itu. Tihani mengambil helmet tersebut dengan kasar dan disarungkan ke kepala. Dia menghidupkan enjin motor dan terus berlalu meninggalkan Megat Ariff di situ. Megat Ariff menarik nafas dalam. Kemudian, dia beredar menuju ke arah keretanya semula.
MEGAT ARIFF menunggu kedatangan seseorang di restoran itu. Suasana di situ agak sunyi dan sepi. Dia termenung seketika mengingat kembali peristiwa sebelum dia sampai ke restoran ini.
Imbas kembali…
MEGAT ARIFF masih lagi menunggu wanita itu di sisi motornya. Kali ini dia membawa sejambak bunga ros untuk Tihani. Dari jauh kelihatan wajah Tihani mencuka. Megat Ariff rindu melihat wajah itu. Dia tersenyum sendiri dan menunggu dengan sabar sehingga wanita itu datang ke arah motornya.
“Abang belikan bunga ini untuk, Hani. Bunga ros warna merah. Ada 15 kuntum semuanya. Maksud 15 kuntum ni....” belum sempat Megat Ariff menghabiskan kata-katanya, Tihani merampas bunga itu dan dicampak ke jalan raya. Kemudian, Tihani membonceng motornya lalu melanggar bunga tersebut berkali-kali di depan Megat Ariff. Setelah itu, dia terus meninggalkan Megat Ariff di situ. Megat Ariff terpinga-pinga. Dia terkejut melihat tindakan Tihani itu. Wajah geram Tihani ketika melenyek bunga tersebut dengan motornya terbayang-bayang di minda Megat Ariff. Dia menggeleng kepala perlahan.
“Gaya macam nak langgar aku je,” gumam Megat Ariff sendiri. Namun, dia tetap tidak akan berputus asa untuk membuat Tihani kembali padanya.
Lamunan Megat Ariff terhenti apabila susuk tubuh yang ditunggu muncul di depannya. Mata mereka bertaut. Mereka saling berbalas senyuman.
“Have a sit, Thalia,” ucap Megat Ariff. Dia sedikit terkejut kerana Puteri Laila sudah berani berpakaian seksi ketika berada di Malaysia. Selalunya pakaian seperti itu dipakai ketika dia di Italy.
“Thank you, dear ex-hubby,” ucap Puteri Laila sambil ketawa kecil. Wajahnya kelihatan ceria. Dia melabuhkan punggungnya sambil menyilang kaki. Terserlah pahanya yang putih gebu itu. Dia yang memakai dress ketat paras paha itu kelihatan sangat seksi dan menggoda. Sekali sekala mata Megat Ariff terpandang paha wanita itu.
“Tergoda kee?” soal Puteri Laila sengaja mengusik. Megat Ariff tersenyum sinis. Dia menggeleng kepalanya perlahan.
Masih tak berubah!
“Wheres Fausto?” soal Megat Ariff sambil menyandar ke dada kerusi. Tangan kirinya di letakkan ke bahu kerusi sambil menongkat dagu. Puteri Laila menggigit bibirnya sambil tersenyum menggoda. Dia suka melihat Megat Ariff dengan posisi seperti itu. Nampak manja.
“Hey, Thalia. I tahu I handsome. Jangan tenung I begitu! Mana Fausto? You cakap dia ada di Malaysia.” Megat Ariff menghentikan lamunan Puteri Laila. Wanita itu ketawa besar tertangkap merenung Megat Ariff.
“Well. Dia sibuk dengan bisness dia. I sorang jalan-jalan sini. Sudah lama I tak pulang ke Malaysia,” balas Puteri Laila sambil membuka jaket kulit yang menutup badannya. Terserlah tubuhnya yang menggiurkan. Sekali dia tersenyum memandang Megat Ariff.
“Stop doing that, Laila.” Megat Ariff memberi amaran. Dia tahu wanita itu sengaja mengusiknya. Pecah tawa Puteri Laila sekali lagi. Megat Ariff lelaki yang susah untuk di tarik ke ranjang. Tapi, Puteri Laila sukakan cabaran.
“You balik rumah papa you tak?” soal Megat Ariff sambil membetulkan duduknya. Dia menghirup air teh yang masih penuh di dalam cawan itu. Kemudian, diletakkan semula ke atas meja.
“Tak. I tak nak papa mati terkejut tengok I begini,” balas Puteri Laila sambil ketawa lagi. Dia masih merenung wajah Megat Ariff. Megat Ariff hanya mengangguk perlahan. Senyuman hambar terukir di bibirnya.
“You masih tak jumpa dengan wife kesayangan you tu?” soal Puteri Laila ingin tahu. Dia menarik kain di paha yang sudah mula tersingkap ke atas. Megat Ariff menarik nafas dalam dan menghela perlahan.
“Sudah. Cuma masih tak dimaafkan,” balas Megat Ariff perlahan. Dia menyebak sedikit rambut yang sudah terjuntai di matanya itu ke belakang. Lehernya digosok lembut. Cuba mengurangkan rasa tegang di leher.
“You jahat sangat. Padan muka you!” ucap Puteri Laila sambil ketawa lagi. Dia tahu pasti Megat Ariff bengang dengan kata-katanya.
“Tulah. I nak pada you, you tak nak,” tambah Puteri Laila dengan lenggok manjanya. Megat Ariff hanya ketawa kecil sambil menggelengkan kepalanya.
“Ya, I tahu I jahat,” balas Megat Ariff ringkas. Dia malas mahu berbalah dengan Puteri Laila. Cukuplah kepala otaknya penat memikirkan cara untuk memujuk Tihani.
“Ariff, if something happen to me, you tolong tengokkan papa dengan mama I ya.” Tiba-tiba Puteri Laila berkata begitu. Kening Megat Ariff berkerut. Puteri Laila tersenyum hambar. Wajahnya kelihatan gusar tiba-tiba.
“Kenapa tiba-tiba you cakap begini?” soal Megat Ariff sambil menggosok dagunya perlahan. Puteri Laila mendiamkan diri seketika.
“Ada beberapa kumpulan mafia di Roma sedang mencari Fausto. I tak tahu sebab apa. I rasa Fausto belot pada kumpulannya,” terang Puteri Laila tenang. Wajahnya tidak ceria seperti tadi. Riak wajah Megat Ariff berubah. Dia mula bimbang akan keselamatan Puteri Laila.
“Sebab tu, you dengan Fausto ke Malaysia?” soal Megat Ariff. Tiba-tiba Megat Ariff bangun dan mengambil jaket yang berada di sebelah kerusi Puteri Laila, diletakkan ke paha wanita itu. Sakit matanya melihat skirt yang asyik tersingkap dari tadi. Puteri Laila ketawa kecil sambil membetulkan jaket yang berada di pahanya. Kemudian, mata mereka kembali bertaut.
“Berapa Fuasto mahukan untuk tebus you?” soal Megat Ariff lagi. Sekali lagi Puteri Laila ketawa. Dia terharu Megat Ariff begitu bimbang akan dirinya.
“No, Ariff. I love him. I tak boleh tinggalkan dia. He need me right now,” tutur Puteri Laila perlahan. Megat Ariff menarik nafas dalam. Wajah Puteri Laila direnungung.
“You bahayakan diri you, Laila!” Keras suara Megat Ariff menutur kata. Dia sangat bimbang jika terjadi apa-apa kepada wanita itu. Sekali lagi Puteri Laila ketawa.
“I sanggup bahayakan diri I untuk dia. You jangan risau. I takkan mati selagi Fausto ada. Dia lindungi I,” balas Puteri Laila dengan tenang. Megat Ariff hanya menggeleng kepala. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan untuk membuat Puteri Laila menjauhi ketua mafia itu.
Beberapa minggu selepas itu…
Megat Ariff mencapai telefon bimbitnya dan mendail pantas nombor telefon Tina. Setelah beberapa minit, barulah panggilannya dijawab.
“Helo, Ariff.” Suara Tina yang serak basah menarik halwa telinga Megat Ariff. Pasti wanita itu sudah tidur.
“Sorry, I ganggu you. Esok malam kalau I mahu makan malam di rumah mak ayah you, boleh ke? Boleh I melawat Tarif sekali,” tutur Megat Ariff. Fikirannya ligat memikirkan alasan-alasan yang harus diberikan kepada Tina jika wanita itu bertanya.
“You nak makan malam di rumah mak ayah I?” soal Tina agak terkejut.
“Kalau tak boleh, it’s okay,” balas Megat Ariff. Sengaja dia mahu ke rumah mak ayah Tina. Dia mahu Tihani tahu bahawa dia tahu tentang kewujudan Tarif. Dengan cara itu sahaja, Tihani akan berlembut dengan Megat Ariff. Itu harapan Megat Ariff.
“Eh, boleh, boleh. Malam esok ya? I beritahu parents I,” balas Tina seakan-akan teruja. Hatinya berbunga riang.
“Alright, Tina. Thanks. Jumpa malam esok.” Panggilan telefon ditamatkan. Megat Ariff menghela nafas lega. Dia berharap segala yang dirancang berjalan lancar.
Share this novel