Bab 52

Short Story Series 55082

“Allah…” Rina melirih kesakitan sambil memejamkan matanya apabila kesakitan yang ditanggungnya itu sangat menyakitkan kepalanya. Aqilah yang berada di sebelahnya segera memberhentikan keretanya ketepi sam melihat keadaan Rina. Wajah Rina semakin pucat daripada tadi di surau kampung. Sekali lagi Aqilah melekapkan belakang tapak tangannya ke dahi Rina untuk merasa suhu panas di badan Rina. Aqilah terkejut apabila suhu badan Rina juga semakin panas, kelihatannya Rina harus segera di bawa ke hospital tetapi dia tidak arif dengan kawasan disitu.

Aqilah keluar daripada keretanya sebentar untuk bertanya kepada penduduk disitu tetapi tiada pula orang yang berlalu lalang baik yang jalan kaki atau yang membawa kenderaan. Aqilah semakin runsing, diambilnya telefon pintarnya untuk meminta bantuan tetapi tiada pula talian disitu. Aqilah mula beremosi dan memarahi situasi itu. Dia terlupa seketika bahawa dia sedang diuji kesabarannya oleh Allah.

Aqilah masuk semula ke dalam keretanya dan mahu tidak mahu dia harus berpatah semula ke maahad tahfiz Ustaz Tobrani kerana hanya lelaki itu sahaja yang mereka kenali di kawasan kampung itu. Nasib baik mereka tidak pergi terlalu jauh jadi dia masih boleh membawa Rina ke sana meminta bantuan. Tidak sampai setengah jam dia sudah berada semula di maahad tahfiz itu. Aqilah meminta bantuan kepada Ustaz Tobrani untuk membawa Rina ke hospital tetapi ditolak oleh Rina. Rina mengatakan bahawa dia hanya perlu berehat sebentar sebelum melanjutkan perjalanan.

“Kamu betul tidak mahu ke hospital Rina?” Ustaz Tobrani bertanya sambil memberikan air kepada Rina selepas dibacakan ke air tersebut.
Rina mengangguk seraya menyambut air tersebut dan meminumnya sehingga habis. Aqilah membantu Rina berbaring di atas katil di dalam bilik tetamu yang diberikan oleh Ustaz Tobrani untuk mereka tumpang berehat.

“Sudah jadi macam ini pun masih berdegil. Tak paham betul aku dengan kau ni, Rina.” Aqilah membebel sambil membetulkan selimut di badan Rina.

“Sudahlah memarahi orang yang sakit itu Aqilah tiada gunanya dipaksa kalau tuan empunya badan tidak mahu. Mungkin Rina memang perlukan rehat sebentar. Sudahlah, mari ustaz bawa kamu melihat kawasan di maahad ini.” Ustaz Tobrani mengajak Aqilah untuk mengikutnya dan membiarkan Rina untuk berehat sebentar apabila dia melihat Rina sudah seperti mahu terlelap.

Aqilah mengeluh sebelum dia membuntuti Ustaz Tobrani untuk melihat maahad tahfiz milik gurunya itu. Aqilah sempat melihat ke arah Wana yang duduk di ruang tamu sambil membaca sebuah kitab bewarna hitam. Apabila mata mereka bertembung Wana segera memalingkan wajahnya tidak mahu melihat Aqilah. Aqilah juga begitu apabila melihat sikap Wana itu Aqilah juga segera menjeling menandakan dia juga merasakan apa yang Wana rasakan ketika itu. Saling tidak menyukai.


Rina terjaga daripada tidurnya ketika mendengar azan maghrib berkumandang. Rina menguatkan dirinya untuk bangun walaupun kepalanya masih terasa berat. Dia harus mengqadakan solat Asar yang tidak sengaja dia tinggalkan kerana tubuhnya yang lemah tidak bermaya sehingga tidak menyedari waktu asar sudah berlalu. Rina melihat bilik tetamu yang kosong itu, Aqilah pasti berada di luar. Rina memanggil nama Aqilah tetapi tiada balasan sahutan yang didengarnya. Dengan lafaz bismillah Rina cuba bangun tetapi akibat kepalanya yang terasa berat dia hampir jatuh terduduk tetapi ada seseorang cepat-cepat memeluknya. Rina melihat Wana yang yang memeluknya erat kerana takut Rina terjatuh. Didudukkan Rina dengan berhati-hati.

“Terima kasih.” Rina berkata perlahan melihat wajah Wana yang mendatar tidak tersenyum ataupun membuat muka tidak suka terhadapnya.

“Awak nak ke mana? Berehat saja sampai kawan awak tu datang.” Wana menegakkan badannya sambil mengarahkan Rina untuk berehat kembali sehingga Aqilah datang.

“Saya mahu solat.” Rina memberitahu keinginannya ketika itu. Hatinya berasa tidak tenang jika dia membiarkan waktu solat itu berlalu seperti itu. Jika tadi meninggalkan solat asar dia sudah berasa melakukan dosa besar walaupun tidak disengajakan dia tidak mahu berasa lebih berdosa jika meninggalkan solat maghrib begitu saja.

Wana yang melihat wajah Rina yang bersungguh-sungguh mahu menunaikan solat meminta Rina untuk tunggu sebentar. Wana datang semula membawa dua baldi sederhana besar dengan satu berisi air dan satu lagi baldi kosong. Di rumahnya tiada debu untuk Rina bertayamum jadi dia terpaksa memikul dua baldi ke dalam bilik Rina untuk mengambil wuduk. Wana membantu Rina mengambil wuduk dengan sabar kerana dia sudah biasa melakukan itu ketika menjaga arwah ibunya yang sakit. Selesai berwuduk, Wana membantu Rina berdiri menghadap kiblat. Diletakkan satu kerusi di belakang Rina untuk duduk ketika bersujud kerana Rina tidak mampu untu menunduk.
Rina mengangkat takbir dan hanyut di dalam solatnya sambil diperhatikan oleh Wana untuk berjaga-jaga takut Rina jatuh pengsan tiba-tiba. Wana yang berhalangan untuk menunaikan solat hanya memandang Rina daripada tepi. Melihat Rina yang khusyuk di dalam solatnya membuatkan Wana memikirkan semula kelakuannya terhadap Rina dan Aqilah yang tidak sepatutnya dia melakukan itu. Wana mula diterpa rasa bersalah tetapi kerana keegoannya dia hanya membiarkan perkara itu berlalu begitu saja.

Selesai Rina menunaikan solat maghrib, Aqilah muncul di hadapan pintu sambil melihat Rina dan Wana silih berganti. Melihat Aqilah yang sudah berada di dalam bilik itu Wana bangun meninggalkan mereka berdua dengan wajah yang sama datarnya sejak daripada tadi. Aqilah mendekati Rina yang duduk dikerusi sambil tersenyum kecil melihatnya. Aqilah merasakan suhu Rina sekali lagi dengan tangannya. Demam Rina sudah surut sedikit itu sudah membuatkan Aqilah lega.

“Alhamdulillah, turun sikit panas kau ni. Eh, tadi kenapa Wana ada di sini?” Aqilah bertanya ingin tahu apabila teringatkan Wana yang baru saja keluar daripada bilik itu.

“Dia tolong aku ambil wuduk dan menjaga aku sewaktu solat.” Rina memberitahu kebaikan Wana terhadapnya kepada Aqilah yang seakan tidak percaya dengan ucapannya.

“Dia nak tolong kau? Macam tak percaya je. Tadi bukan main dia marah kita tiba-tiba jadi baik pula.” Aqilah mencebik masih tidak percaya dengan kata-kata Rina bahawa Wana membantu sahabatnya itu.

“Husnudzon, mungkin dia tidak sengaja bersikap seperti itu. Lagi pula Ustaz Tobrani sudah melakukan kebaikan kepada kita jadi jangan kita bicarakan tentang buruk anaknya. Sudahlah, mari kita bersiap-siap balik ke Kuala Lumpur. Aku rindukan Qalifh sangat-sangat.” Rina melipat telekung yang dipakainya dan diletakkan di atas katil.

Aqilah dan Rina meminta diri kepada Ustaz Tobrani dan mengucapkan terima kasih diatas kebaikan Ustaz Tobrani memberikan tempat untuk mereka berehat sebentar. Keadaan Rina masih tidak begitu baik. Mereka memulakan perjalanan mereka menuju ke Kuala Lumpur. Tidak lama mereka di jalan kedengaran pula laungan azan daripada masjid berdekatan. Rina yang terjaga dari tidurnya meminta Aqilah berhenti dan menunaikan solat isyak di masjid itu. Ketika mereka berada di kawasan meletakkan kereta tiba-tiba Rina ketawa kecil sehingga membuatkan Aqilah mengerutkan keningnya kehairanan.

“Dah kenapa ketawa tiba-tiba ini?” Aqilah menegur Rina yang masih ketawa sehingga sepet mata wanita itu.

“Aku teringat kata-kata Ustaz Tobrani yang menyuruh kita berhenti untuk solat isyak di masjid pertama yang kita lihat. Sepertinya guru kita itu dapat merasakan bahawa kita akan ke maahadnya semula.” Rina menjelaskan punca dirinya ketawa.

Mendengar kata-kata Rina itu membuatkan Aqilah turut ketawa dalam waktu yang sama dia berasa kagum. Mungkin itu keistimewaan yang Allah kurniakan kepada guru mereka yang terkenal dengan kealimannya. Aqilah keluar daripada kereta terlebih dahulu untuk memapah Rina masuk ke dalam ruang solat wanita. Aqilah menyediakan semua kemudahan untuk Rina menunaikan solat agar sahabatnya itu berasa selesa.

Suara gema takbir daripada imam kedengaran. Imam yang mengimami solat itu ternyata mempunyai suara yang amat merdu ditambah pula ketika itu bacaan surah yang menjadi pilihan adalah surah Ar-rahman, surah kegemaran Rina. Tidak menunggu waktu yang lama, air mata Rina mengalir dan kedengaran esakan kecil yang keluar daripada mulut Rina yang mengerti erti daripada makna surah itu. Surah itu dihabiskan bacaannya pada rakaat kedua. Air mata Rina masih mengalir tetapi tiada lagi kedengaran esakan tangisan seperti tadi sehinggalah mereka selesai menunaikan solat isyak empat rakaat.
Selesai salam diberikan Rina menutup wajahnya dengan kedua tapak tangannya dan melepaskan tangisannya yang ditahan sewaktu solat tadi kerana takut solatnya terbatal akibat terlalu banyak menangis sehingga mengeluarkan bunyi esakan yang kuat dan mengganggu bacaan solatnya. Aqilah hanya menjadi pemerhati kerana dia tahu itulah diri Rina Altafunisa yang akan menangis semahunya apabila mendengar alunan surah al-Quran yang didengarnya ditambah pula jika Rina mengerti makna surah dibaca. Sudah seringkali juga dia melihat Rina seperti itu di rumah mereka jadi dia sudah tidak berasa pelik lagi.

Aqilah melipat kain telekung yang dipakainya dan diletakkan semula di tempat asal. Aqilah sempat bersalaman dengan jemaah wanita yang sudah mahu pulang ke rumah sementara menunggu Rina selesai menunaikan solat sunat baadiah isyak. Aqilah mendekati Rina setelah sahabatnya itu selesai berdoa. Dibantunya Rina bangun perlahan-lahan daripada kerusi tetapi Rina menolak dengan lembut tangan Aqilah tidak mahu dibantu. Aqilah memerhatikan gerak jalan Rina yang sedikit laju sehingga Aqilah turut melajukan langkahnya. Aqilah mula berasa gelisah apabila Rina berjalan tidak menuju ke arah kereta tapi sebaliknya wanita itu berjalan ke arah tempat solat jemaah lelaki.

“Rina.” Aqilah memanggil seakan berbisik tetapi Rina langsung tidak menoleh memandang ke arah dirinya sehingga mahu tidak mahu Aqilah terpaksa mengikuti langkah sahabatnya itu. Mata Aqilah mula meliar melihat keadaan sekeliling sebelum dia berasa lega apabila tiada lagi jemaah lelaki yang tinggal Cuma beberapa orang sahaja yang sedang berbual sesama sendiri.

“Adam Aqil.” Rina menyeru memanggil nama Aqil.

Mendengar namanya diseru oleh suara yang cukup dirinduinya membuatkan Aqil yang sedang berbual menoleh ke kirinya. Matanya membulat apabila dia melihat dua sosok wanita yang cukup dikenalinya walaupun seorang daripada mereka memakai purdah. Tidak menunggu lama Aqil meminta diri kepada AJK masjid kampung di situ untuk berbicara dengan Rina dan Aqilah. Aqil berjalan ke arah Rina yang sudah memberhentikan langkahnya. Mereka saling melihat satu sama lain sebelum Aqil memandang Rina. Melihat mata Rina yang berkaca-kaca itu membuatkan Aqil menundukkan wajahnya semula kerana hatinya tidak sanggup melihat air mata wanita yang dicintainya itu mengalir jatuh ke bumi.

“Mengapa kamu berdua berada di sini?” Aqil bertanya tetapi wajahnya masih tidak diangkat daripada memandang kedua wanita di hadapannya itu.

“Masih begitu marahkah awak sehingga awak tidak lagi mahu pulang ke pangkuan keluarga, Aqil?” Rina bertanya dengan nada hiba. Sebenarnya sewaktu mendengar suara imam melantunkan surah Al-fatihah dia sudah mengetahui bahawa lelaki itu adalah Aqil. Dia kenal sekali dengan suara lelaki kerana sudah banyak kali juga Aqil menjadi imam ketika mereka tinggal sebumbung di rumah Tan Sri Mansur. Disebabkan itu juga Rina menangis bersyukur kepada Allah kerana akhirnya mereka dipertemukan semula di rumah Allah ini.

“Mereka yang mengusir saya Rina. Hanya disebabkan saya anak angkat, papa lebih rela membela Haikal anak kandungnya walaupun dia tahu Haikal melakukan kezaliman terhadap diri awak.” Aqil juga tidak dapat mengawal apabila mendengar suara Rina yang lirih itu membuatkan dia turut sama mengalirkan air mata.

“Mereka sudah menyesalinya dan meminta awak pulang ke rumah. Sudah puas mereka mencari awak merata ternyata awak berada di sini bersama Ustaz Tobrani. Pulanglah ke pangkuan kami, padamlah api kemarahan di dalam hati awak kerana Aqil yang saya kenal bukan seorang yang pendendam.” Rina memujuk lagi agar Aqil mahu mengikut mereka pulang ke Kuala Lumpur.

“Saya tidak mungkin menjejakkan kaki ke rumah itu lagi Rina. Hati saya sudah terlalu hancur apabila papa mengusir saya hanya disebabkan saya mempertahankan maruah awak. Saya tidak mampu untuk menatap wajahnya dengan penuh kasih sayang semula apabila saya teringatkan awak. Hati saya benar-benar sakit setiap kali melihat air mata awak mengalir akibat perbuatan Haikal. Jika saya kembali dan harus melihat perkara yang sama terulang lagi saya tidak tahu sama ada saya mampu mengawal diri saya. Disebabkan saya takut murka Allah maka saya memilih untuk pergi daripada hidup kamu semua. Mungkin ini yang sebaiknya sejak daripada dulu lagi, Rina.” Pengakuan Aqil itu membuatkan Rina semakin menangis hiba sehingga Aqilah datang memeluk tubuhnya. Aqil begitu mencintainya tetapi cinta lelaki itu kepada Allah lebih besar sehingga dia sanggup mengalah demi kebahagiaan semua orang.

“Begitu besarkah cinta awak kepada Rina Altafunisa?” Rina yang berada di dalam keadaan lemah jatuh terduduk apabila dia tidak mampu menahan tubuhnya lagi untuk tetap berdiri.

“Setelah arwah ibu saya, tiada lagi wanita yang saya cintai kecuali Rina Altafunisa dan ibundanya. Saya mencintai Rina kerana Allah dan saya mencintai ibu Rina kerana dia adalah orang yang paling awak cintai di dunia ini. Saya diberi pilihan sama ada memilih awak ataupun papa sementara keduanya adalah orang-orang yang saya cintai, saya memilih untuk tidak memilih keduanya. Saya serahkan segala urusan saya kepada Allah kerana hanya Allah yang berhak mengaturnya. Hanya satu keinginan saya iaitu awak dan papa bahagia.” Aqil duduk melipat kedua kakinya menghadap Rina. Dia memberitahu isi hatinya kepada Rina agar wanita itu mengerti dan berhenti memujuknya untuk kembali semula ke pangkuan Tan Sri Mansur kerana memang tidak mampu melakukan itu.

“Demi Allah, biar mereka menjadi saksi padam malam ini di rumah Allah. Adam Aqil, mahukah awak menjadi nahkoda di dalam bahtera kehidupan Rina Altafunisa dan Qalifh Althar? Mahukah awak menjadi pelindung kami? Mahukah awak menjadi imam kepada saya dan ayah kepada Qalifh? Jika di dalam diari ini awak adalah Majnun maka saya ingin menjadi Lailanya. Jika Nabi Ibrahim mempunyai Siti Sarah, Nabi Musa mempunyai Shafura, Nabi Yusuf mempunyai Zulaikha, Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai Khodijah, Ali Abi Talib mempunyai Fatimah Azzahrah menemani di dalam dakwahnya sudikah awak menerima saya yang tidak sehebat wanita-wanita soleha itu menemani jalan dakwah awak?” Rina mengeluarkan diari Aqil daripada beg yang dibawanya dan diserahkan semula kepada Aqil.

“Terimalah lamaran daripada Rina, Aqil. Kau tahu Rina itu seorang yang pemalu dan tidak mungkin dia berbicara seperti ini dihadapan lelaki lain tetapi disebabkan aku tahu Rina juga mencintai kau sejak daripada dulu maka digagahkan dirinya untuk melamar kau. Dia bukan lagi isteri kepada Haikal. Dia sudah bebas daripada tali tak bergantung. Haikal sudah melafazkan talak kepada Rina demi kebahagiaan Rina dan kau.” Aqilah yang menjadi saksi cinta sahabat baiknya itu memujuk Aqil.

Mendengar kata-kata Rina dan Aqilah itu membuatkan Aqil menangis haru. Aqil lantas segera bangun menghadap ke kiblat sebelum dia mengangkat takbir lalu bersujud syukur. Suasana di dalam masjid itu hening dan hanya kedengaran suara tangisan mereka bertiga silih berganti sehingga ahli AJK masjid yang sejak daripada tadi melihat mereka daripada jauh datang mendekati. Tiba-tiba seseorang memberi salam daripada luar dan mereka melihat Ustaz Tobrani ditemani Wana sedang tersenyum panjang melihat mereka. Aqil segera bangun dan meluru ke arah Ustaz Tobrani. Dipeluknya erat lelaki itu sehingga air matanya mengalir semula. Ustaz Tobrani yang memahami jihad keduanya menahan hawa nafsu turut memeluk erat Aqil dan dibisikkan doa-doa di telinga Aqil.

Tidak menunggu lama, Ustaz Tobrani meminta beberapa lelaki yang berada disitu termasuk Aqilah dan Wana sebagai saksi perempuan pada majlis akad Aqil dan Rina. Dengan sekali lafaz, Rina Altafunisa sah menjadi isteri Adam Aqil. Aqil mendekati Rina perlahan-lahan. Tagan kanannya menggigil kerana secara sedar buat pertama kalinya dia menyentuh Rina yang selama ini amat dijaganya. Aqil membacakan doa-doa sebelum dikucupnya kepala Rina. Sementara Rina yang mendengar doa yang dibacakan Aqil mengaminkan doa tersebut dan mencium tangan kanan Aqil yang dihulur oleh lelaki itu sebelum dia jatuh pengsan tidak mengingati apa-apa lagi selepas itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience