BAB 2

Romance Completed 1239674

TROLI yang memuatkan dua bagasi bersaiz besar ditolak menuju ke balai ketibaan KLIA. Erin memandang sekeliling. Melihat suasana persekitaran. Bibirnya mengukir senyuman. Setelah bertahun-tahun meninggalkan negara ini, akhirnya dia kembali ke tempat asalnya. Malaysia yang selama ini dirindui.

Senyuman di bibir Erin bagaimana pun kian pudar saat melihat dari jauh kelibat seorang lelaki sedang berjalan menuju ke sebuah kenderaan mewah. Kelihatan lelaki itu disambut dengan hormat oleh dua orang pembantunya. Salah seorang sedang membawa barangan ke bonet kereta. Manakala seorang lagi membantu membukakan pintu untuknya. Gaya tuan besar.

Erin dan Faliq berpisah ketika turun dari pesawat tadi. Perpisahan pertama selepas termeterainya perjanjian perkahwinan antara mereka. Perpisahan yang belum rasmi. Jujur Erin kecewa dengan apa yang berlaku. Andai dapat diundur waktu mungkin dia tidak akan menerima lamaran 'palsu' Faliq minggu lepas.

Tak mengapalah. Seperti kata Faliq, cuma setahun diperlukan. Dia harus berpura-pura hidup bahagia dalam perkahwinan penuh lakonan ini demi kedua ibu bapa angkatnya. Sebaik sahaja tempoh itu tamat nanti dia bebas untuk meneruskan kehidupan yang diinginkan.

Sedang Erin leka memerhati berbagai jenis kenderaan yang keluar masuk di laluan berhadapan balai ketibaan tersebut, pandangannya tertancap pada tubuh seorang lelaki yang berada berhampiran tempatnya berdiri.

Lelaki itu kelihatan begitu sibuk. Sedang berbicara di telefon sambil sesekali melihat ke arah jam di lengan kiri. Hingga tidak menyedari barangannya terjatuh ketika ingin berlalu ke sebuah teksi. Atas dasar ingin membantu, spontan Erin mengambil barangan tersebut lalu menghampiri lelaki berkenaan.

"Excuse me..."

Lelaki itu menoleh ke arah Erin. Untuk seketika dia bagai terpukau melihat wajah gadis di hadapannya. Panggilan yang sedang disibukkan juga seakan hilang dari fokus. Saat gadis itu menghulurkan beg kertas bersaiz sederhana kepadanya, baru dia menyedari barangannya yang terjatuh.

"Thanks!"

Erin sekadar mengangguk sambil tersenyum dan berpaling ingin berlalu pergi.

"Wait."

Erin menoleh semula ke arah lelaki itu. Dilihat sebelah tangan lelaki itu sedang dihulur ke arahnya.

"I'm Zafril. Nice to meet you."

"Saya Erin," jawabnya sambil menyambut huluran tangan lelaki itu.

"Orang Malaysia?" soal Zafril sedikit kehairanan. Dilihat raut wajah gadis ini bukan seperti orang tempatan.

Erin mengangguk lagi sambil mengukir senyuman.

Zafril ingin berbicara lebih lanjut. Entah mengapa tidak puas menatap wajah ini. Hatinya seolah telah dicuri pada pandangan pertama. Tetapi, laungan suara pemandu teksi menamatkan lamunannya. Baru teringat dia sebenarnya sedang mengejar masa.

"I've got to go. Jumpa lagi, Erin," ucapnya bersama senyuman sebelum melambai tangan dan menghilang ke dalam perut teksi.

Erin sekadar memerhati teksi tersebut bergerak meninggalkan lapangan terbang lalu kembali semula ke troli bagasinya yang ditinggalkan seketika tadi. Tidak lama kemudian kelihatan sebuah kereta sedan yang dipandu seorang gadis berhenti di hadapannya. Gadis itu keluar dari ruang pemanduan sebelum berlari mendapatkan Erin.

"ERIN!!!"

Mereka berdua berpelukan erat. Terpancar riak ceria dan gembira di wajah masing-masing. Teruja dengan pertemuan semula setelah bertahun terpisah.

"Hai, Zara. Rindu aku tak?"

"Of course lah rindu! Dah lama tak jumpa kau. Makin cantik kau sekarang. Maklumlah dah jadi orang London kan. Ni aku cakap Melayu kau faham tak?" Zara berseloroh.

"Apa pulak tak faham? Aku Melayu okey. Bukan mat saleh. Haha."

"Yelah. Kau kan half-half. Mana tahu kot-kot kau dah lupa. Eh, aku gurau je tau. Kau jangan ambil hati pulak ye. Hehe."

Erin sekadar tersengih. Mereka memang biasa bergurau senda seperti itu. Zara adalah sahabat baiknya sedari zaman sekolah rendah. Persahabatan mereka tetap erat biar pun Erin telah berpindah ke London sepuluh tahun lalu.

Selepas apa yang berlaku antara dia dan Faliq di Lapangan Terbang Heathrow lebih empat belas jam yang lalu, Erin hanya teringat untuk menghubungi Zara. Mungkin dia boleh menumpang tinggal bersama Zara seketika sebelum mendapatkan kediaman lain selepas ini.

"Kau apa khabar? Sihat?" Erin menyoal.

"Kau tengok pipi aku yang makin chubby ni. Memang sihat sangat-sangat. Hehe. Kau sihat? Parents kau apa khabar?"

"Alhamdulillah macam kau nampak ni. Parents aku pun sihat."

"So, kau datang nak bercuti di sini berapa lama? Seminggu? Sebulan?" soal Zara.

"Setahun."

Melopong mulut Zara mendengar jawapan Erin.

"Lamanya. Betul ke ni? Kau lari dari rumah ke apa?"

Erin menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia tidak bercadang menceritakan perihal sebenar situasi yang berlaku kepada Zara. Mungkin suatu hari nanti apabila keadaan mengizinkan. Tapi, bukan sekarang.

"Aku baru habis belajar. Aku cadang nak cari kerja di Malaysia. Mungkin kau boleh tolong aku dapatkan kerja yang sesuai."

"Oh, boleh aje. Insya-Allah aku akan tolong kau. Jom kita balik rumah dulu. Nanti kita borak panjang lagi okey. Aku rindu sangat nak spend time dengan kau macam dulu."

"Samalah. Aku pun rindu sangat kat kau."

Setelah itu Zara membantu membawa bagasi milik Erin ke bonet keretanya. Mereka meninggalkan KLIA untuk menuju ke Kuala Lumpur. Ketika berada di dalam kereta sempat Erin menghantar mesej memaklumkan kepada ibu angkatnya bahawa dia sudah selamat mendarat di Malaysia.

HAMPIR satu jam, kenderaan dipandu Zara tiba di kawasan parkir bertingkat sebuah kondominium di pinggir Bandaraya Kuala Lumpur. Erin mengekori langkah Zara menuju ke salah satu unit kediaman yang terletak di aras ke 15 bangunan tersebut.

"Jemput masuk," ucap Zara dengan mesra saat menolak daun pintu di hadapannya.

Erin memerhati sekeliling. Ruang unit kediaman berkeluasan seribu kaki persegi itu kelihatan amat cantik dan selesa dengan dekorasi bercirikan elegan serta mewah.

"Kau tinggal seorang ke kat sini?"

"Taklah. Dengan sepupu aku. Ni rumah dia sebenarnya. Dia ajak aku tinggal dengan dia kat sini. Sunyi duduk seorang katanya."

Kebetulan ketika itu seorang gadis dengan bentuk tubuh lansing dan bergaya berjalan keluar dari bilik tidur utama. Tangannya sedang mengenakan anting-anting ke telinga.

"Beb, ini bestfriend yang aku cakap dalam mesej tadi. Dia nak tumpang duduk sini kejap. Boleh eh?" soal Zara.

Gadis berwajah jelita itu memerhati ke arah Erin sebelum senyuman manis dipamerkan.

"Oh, ini kawan yang kau cakap dari London tu ye? Boleh aje."

"Erin, ni sepupu aku Tania. Beb, ini Erin." Zara memperkenalkan mereka.

Lantas kedua gadis di hadapan Zara saling berjabat tangan dengan mesra.

"Aku nak keluar kejap. Erin, you buatlah macam rumah sendiri ye. Nanti kita berbual lagi okey. See you," ujar Tania lalu melangkah keluar dari unit kediaman itu.

Sebaik kelibat sepupunya menghilang, Zara berlalu ke ruang dapur mengambil minuman sejuk di dalam peti sebelum diberikan kepada Erin untuk menghilangkan dahaga.

"Sepupu aku tu model. Rumah ni boyfriend dia hadiahkan. Bukan setakat rumah, BMW yang parking sebelah kereta aku tadi pun boyfriend dia yang kasi. Maklumlah boyfriend dia salah seorang terkaya kat Malaysia ni."

Erin sekadar mendengar butir bicara Zara tanpa niat mencelah. Tidak berminat ingin mengambil tahu.

"So, kau pulak dah ada boyfriend baru ke?" Erin sengaja menyoal mencari topik untuk dibualkan bersama.

"Erm buat masa ni aku malas nak bercinta. Frust dengan ex aku hari tu belum habis lagi. Kau masih ingat kan aku pernah cerita yang dia curang belakang aku. Dahla perempuan tu tak cantik. Aku ni lagi cun."

Erin tertawa kecil melihat mimik wajah Zara. Kisah yang pernah diceritakan oleh gadis itu dahulu menyapa ke minda. Walaupun mereka sudah lama tidak bertemu, namun pelbagai cerita tetap dikongsi bersama.

"Kau pulak? Ini cincin tunang ke cincin kahwin? Senyap-senyap aje kau eh?"

Erin tersentak saat pandangan Zara sedang fokus terhadap cincin yang tersarung di jari manisnya. Alamak. Terlupa pula nak tanggalkan.

"Err cincin ni..." serba salah Erin nak menjawab. Lantas cuba mengalih topik. "Eh, beg-beg aku ni nak letak dekat mana?"

Zara mengetap bibir. Sedikit tertanya-tanya dengan perubahan pada reaksi temannya. Namun, tidak ingin bertanya lanjut. Lalu dia menunjukkan arah ke sebuah bilik tetamu sebelum membantu Erin memasukkan barangan ke ruangan tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience