Bab 3

Romance Series 60650

TAK senang duduk Arin waktu ini. Tadi memang Arin plan nak balik ke rumah lepas habis berborak dengan Suria tapi bila muncul mamat seorang ni terus tak jadi plan asalnya. Ini semua Suria punya pasal. Boleh pula Suria buat andaian yang mamat ni syok kat dia. Tak pasal Arin terpacak depan kaunter ni kerana nak tengok gerak-geri mamat seorang ni.

“Woit! Skondeng anak bujang orang eh,” sergah Suria.

“Eee… kau ni…” Arin cubit lengan Suria.

“Woi! Sakitlah.”

“Padan muka. Siapa suruh cari pasal dengan aku,” jeling Arin. Tapi bukan Suria kisah. Lagi bertambah dia mengusik Arin.

“Amacam… Dah dapat signal ke hati tak?”

“Banyaklah kau punya signal. Kau jangan nak merepek buat cerita eh. Pandai-pandai je kau cakap dia syok kat aku.”

“Kalau kau tak percaya asal dari tadi kau dok screening dia dari jauh. Pergilah screening depan mata. Mana tahu cepat sikit signal tu sampai ke hati kau.”

Sikit lagi saja Arin nak cepuk Suria. Kawannya itu memang tak ada kerja lain. Asyik nak kenenkan dia dengan mana-mana lelaki. Kata Suria kalau dia tak sampai hati nak keluar dari rumah kerana kesiankan mama jadi dia perlu cari sebab untuk keluar tanpa rasa bersalah.

Idea yang paling bernas yang Suria cadangkan adalah kahwin. Sebab wanita yang sudah kahwin memang akan ikut suaminya jadi tak perlulah Arin rasa serba salah nak keluar dari rumahnya lagi. Sebab itulah Suria sibuk cari calon untuk dia. Tak pasal lelaki yang hanya muncul ikut waktunya itu yang jadi mangsa Suria seterusnya.

“Asal kau boleh terfikir yang si Emirhan tu boleh syok kat aku.”

“Dah tu sejak kau kenal dengan dia memang setiap kali cuti sekolah mesti dia datang bertandang kat kafe aku. Dah dua tahun kan korang kenal?”

Ya. Memang sudah dua tahun Arin mengenali lelaki yang bernama Emirhan itu. Siapa sangka lelaki yang tidak pernah dia kenal selama ini boleh termasuk dalam fasa perubahan kehidupannya. Tapi dalam tempoh dua tahun mereka mengenali antara satu sama lain tetap juga Arin rasa antara dia dengan Emirhan seperti orang asing kerana hubungan mereka bukanlah bertambah akrab seiring waktu perkenalan mereka.

“Dia datang bertandang kat kafe kau so apa kata kau syok sendiri fikir dia syok kat kau je.”

“Alangkah bagusnya. Sujud syukur aku kalau boleh fikir dia syok kat aku. Memang dia bertandang kat kafe aku tapi kat kafe aku ada kau. Faham tak?” Suria masih dengan andaiannya.

Arin hanya mencebik. Sikit pun tak termakan dengan kata-kata Suria.

“Kau ni pun satu…Takkan sikit pun tak ada rasa syok kat Emirhan tu. Kau kan suka penulis buku yang nama dia Ilhan tu. Hujung dah sama ada Han… han… takkanlah Han yang sorang ni tak boleh buat hati kau dup dap dup dap. Dia tu pernah berjasa pada kau tau.”

“Habis tu kalau dia pernah berjasa dalam hidup aku jadi aku kena terjatuh suka kat dia. Macam tu… Macam aku korbankan perasaan dalam hati aku sebab Bad berbudi dengan jasa orang lain?” Ternaik nada suara Arin.

Suria terdiam. Bukan niatnya mahu samakan apa yang pernah terjadi pada Bad dengan diri Arin yang sekarang.

“Bukan tu maksud aku… aku… cuma…” Serba salah Suria sekarang ini. Dia cuma mahukan Arin bahagia. Kalau dulu Suria sokong keputusan Arin untuk melepaskan Bad kerana Suria fikir Arin mampu kecapi kebahagian bersama dengan orang lain tapi sekarang ini Suria sendiri risau keadaan Arin setalah satu persatu kejadian berlaku.

“Aku tahu niat kau tapi aku tak nak kau semak kan dalam kepala pasal aku. Macam aku ni kawan yang menyusahkan pula.”

“Ehhh… jangan nak fikir kau menyusahkan aku pula. Aku ni yang pernah menyusahkan kau. Kalau bukan sebab kau, jangan harap aku boleh buka kafe ni tau.” Belum sempat Arin nak membalas tiba-tiba muncul seorang wanita cantik masuk ke dalam kafe. Entah kenapa mata Arin dan Suria terus melekat melihat wanita itu berjalan sehingga ke meja…

Meja yang diduduki oleh Emirhan.

“Nampaknya kau tak payahlah nak menyusahkan diri kenenkan aku. Calon kau kepunyaan wanita lain rupanya.” Arin menyiku lengan Suria.

Suria mencebik. “Alaaa….”

Ketawa Arin tapi matanya tak berkalih melihat Emirhan.

SEBELUM Arin keluar dari kafe sempat lagi dia memandang Emirhan yang fokus mendengar bicara perempuan cantik tadi. Apa yang si Emirhan tu fokus dengar pun Arin tak tahu. Bukan dia boleh pasang telinga curi dengar perbualan mereka. Tengah fokus bincang pasal kahwin kut. Teka Arin. Eh, kau ni Arin sibuk je. Hairan pula kau kalau dia nak kahwin.

Arin terus keluar dari kafe dan berjalan menuju ke keretanya yang tidak jauh parkir.

Sedang Arin melangkah pergi menuju ke tempat parking keretanya tiba-tiba lengan tangannya dipegang dari belakang. Tersentak Arin. Langkah kakinya terhenti dari melintas ke seberang jalan.

“Kak Arin…”

Arin berpaling dan terkejut melihat Sofea.

“Fea…Fea buat apa kat sini.” Arin pandang Sofea dengan perasaan yang masih terkejut. Kalau tadi dia terkejut kerana kemunculan Sofea secara tiba-tiba dan sekarang ini pula dia terkejut melihat perubahan imej Sofea.

Sofea makin ayu dan sopan bila bertudung. Kalau dulu Sofea sangat moden dalam berfesyen tapi sekarang ini Sofea makin simple dengan imejnya. Nampaklah kematangan selari usianya.

“Fea datang sini sebenarnya nak jumpa akak.”

“Jumpa akak?” tanya Arin pelik.

Yalah sudah dua tahun mereka tak berjumpa. Tanya khabar langsung pun tidak tapi kenapa tiba-tiba Sofea datang mahu berjumpa dengannya pula.

“Ada apa Sofea nak jumpa akak?”

“Hmmm…” Sofea mengeluh perlahan.

Hati Arin pun berdebar menantikan sebab Sofea mahu bertemunya.

“Sofea dengan Abang Bad bakal menimang cahaya mata kami.”

Tersentak Arin. Ini rupanya sebab Sofea mahu berjumpa dengannya. Hanya untuk berkongsi khabar gembira mereka sekeluarga.

“Oh…Tahniah Fea. Akak tumpang gembira,” ucap Arin sambil maniskan mukannya.

“Tapi Fea lagi gembira kalau akak dah berkahwin.”

Arin tersentak sekali lagi. Apa kena pula urusan hidupnya berkahwin atau tidak dengan kegembiraan Sofea.

“Apa yang Fea cakap ni. Akak tak faham.”

“Fea cakap yang Fea lagi gembira kalau akak dah kahwin sebab Abang Bad boleh lupakan akak terus.” Kuat suara Sofea.

Arin terdiam. Dalam hati pilu juga rasanya bila tahu yang Bad masih belum melupakannya sedangkan dia…

“Akak tak tahu apa yang Fea cakapkan ni cuma satu benda akak minta… Jangan libatkan akak dalam hal rumah tangga Fea,” tegas Arin.

“Macam mana Fea tak libatkan akak kalau dalam hati suami Fea masih tak dapat lupakan bekas tunang dia.” Sofea sudah menangis teresak-esak.
Arin pejamkan matanya. Mengumpul sisa-sisa kekuatan yang tinggal. Bertahan supaya dia boleh mengawal emosinya. Badan yang rasa lemau kerana mengantuk pun rasa sudah segar apabila diserang begini.

“Sekarang Fea dah mengandungkan anak kami jadi takkan Fea nak biarkan Abang Bad terus ada perasaan pada akak sedangkan Fea hamilkan anak dia. Lagipun Fea dah berubah. Fea dah terima Abang Bad sebagai suami. Fea dah sayang suami Fea. Jadi Fea tak nak berkongsi kasih. Lagi-lagi dengan akak yang bukan milik Abang Bad lagi. Dulu ya… Fea tak kisah kalau bermadu dengan akak tapi sekarang tak… Fea tak sanggup. Fea nak dalam hati Abang Bad cuma ada Fea dan anak kami.” Tersedu-sedu Sofea. Tangannya mengusap perut yang masih belum kelihatan lagi.

“Jadi Fea nak akak buat apa?” Mendatar suara Arin. Tak sangka sekali lagi dia terkait dengan hubungan Sofea dan Bad.

“Akak kena kahwin. Supaya Abang Bad boleh lupakan akak. Fea tahu Abang Bad masih tak boleh lupakan akak sepenuhnya sebab Abang Bad fikir satu hari nanti dia boleh bersama dengan akak. Kalau akak dah kahwin bermakna Abang Bad takkan mengharap apa-apa lagi. Kalau betul akak dah lupakan suami Fea, buktikan pada kami semua.”

“Gila ke apa? Takkan akak nak berkahwin semata-mata untuk buktikan yang akak memang dah lupakan Bad.” Kali ini suara Arin juga kuat. Dah mengarut sangat ini fikir Arin.

“Kenapa tidak? Kalau betul akak dah tak cintakan Abang Bad kenapa akak tak boleh buktikan. Atau akak pun sama je macam Abang Bad. Tak boleh lupakan kisah cinta korang. Hanya semata-semata nak buat baik bagi semua orang fikir Fea yang jahat. Jadi perampas. Pemusnah kebahagian korang.” Makin banyak Sofea buat tuduhan.

Panas pula hati Arin dituduh sebegitu. “Jaga mulut Fea tu. Akak dah tak anggap Fea sebagai perampas. Akak sendiri dah reda jadi jangan Fea suka hati nak tuduh akak. Hal rumah tangga Fea dengan Bad tiada kaitan dengan akak jadi jangan kaitkan akak lagi.”

“Dah tak anggap tapi tetap akak pernah anggap Fea sebagai perampas jugakan.” Sofea pusingkan kata-kata Arin.

“Ya memang pernah tapi itu dulu. Sekarang akak dah move on. Jadi akak dah langsung tak pedulikan hal korang lagi.” Sinis Arin dengan menunjuk riak muka yang menyakitkan hati Sofea.

“Termasuk perasaan Abang Bad?” soal Sofea.

“Ya… Akak langsung tak kisah. Bad boleh jadi milik Fea seorang je. Fea jagalah Bad tu baik-baik,” jawab Arin laju.

“Berlagaknya akak. Jangan sebab Abang Bad seorang saja masih kemaruk dengan akak jadi akak perlekehkan hati dan perasaan suami Fea. Betullah cakap mama yang orang macam akak ni takkan pernah peduli hati dan perasaan orang lain.”

Eh budak ni. Dah tu dia nak aku peduli ke perasaan suami dia? Karang aku peduli takut dia yang meroyan nanti. Tadi bukan main cakap tak nak berkongsi kasih. Bersabar jelah Arin oii…

“Apa-apa jelah Fea. Lebih baik Fea balik sekarang. Tak ada apa pun yang kita perlu bincangkan atau akak perlu buktikan. Dua tahun Fea… Ada ke dalam tempoh dua tahun ni akak muncul semata-mata nak haru birukan rumah tangga korang. Lepas ni akak tak nak jumpa Fea kalau sebab hal merepek ni.” Arin rendah ton suaranya. Perempuan hamil macam Sofea ni sudah tentu beremosi. Jadi buang masa saja kalau dia terus bertekak dengan Sofea. Selagi Arin boleh kawal emosinya lebih baik Arin berhenti dari mengeruhkan keadaan.

“Fea pegang kata-kata akak. Jangan satu hari nanti akak pula yang datang mengemis atau menuntut cinta pada Abang Bad. Masa tu jangan harap Fea akan kesiankan akak.” Sofea terus pergi meninggalkan Arin.

Terdiam Arin fikir kata-kata Sofea yang tidak masuk akal baginya. Bukan dia mahu berlagak tapi dia memang sudah lupakan bekas tunangnya. Sikit pun tak terlintas dalam hatinya untuk memikirkan Bad kerana dia tak mahu menambah beban fikirannya lagi.

Malas Arin nak berterusan memikir kata-kata Sofea terus laju dia menonong berjalan nak melintas pergi ke keretanya tanpa sedar ada sebuah motor menghala ke arahnya dengan laju sehinggalah tangannya direntap dari arah belakang menyebabkan Arin terdorong ke belakang dan kini sudah berada dalam pelukan seseorang.

“Berapa kali saya perlu selamatkan awak, Arin.”

Arin terkesima apabila suara Emirhan berkumandang di telingannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience