Hurm macam mana cara aku nak tolong dia ni? Puas aku fikir. Dan akhirnya aku memutuskan.
‘’Awak boleh tinggal dengan saya.. Eh maksud saya, awak boleh tinggal di rumah saya bersama ibu dan bapa saya. Gerenti mereka akan menerima awak. Awak tak boleh berputus asa, bukan sekarang. Jangn sama sekali! I’ll help you, I promise you,” Raid menuturkan kata kepada Durrah yang masih mengalirkan air mata di atas katil hospital. Sampai bila air mata itu akan terus-terusan mengalir, dia sendiri tidak pasti. Sejak beberapa bulan ini langsung tiada secalit senyuman terukir di bibir yang sudah kering itu. Hadiah yang Raid simpan di belakang tubuh masih tersorok.
“Allah tak akan menguji iman dan taqwa hambaNya kalau bukan kerana Allah sayangkan kita. Allah tak kejam. Allah tak pernah kejam dengan kita semua biarpun… kita ini hambaNya yang hina.”
Hati Durrah terusik mendengar kata-kata yang begitu lembut mengetuk tangkai hati. Namun begitu, pandangan kosong masih dicampak entah ke mana. Langsung tidak memberi peluang untuk sepasang matanya membalas renungan Raid di sisi. Dalam diam, hatinya merintih hiba. Rintihan yang tidak mampu untuk dilafazkan dek bibir yang sudah letih untuk meraung. Bibir yang sudah lelah untuk menyebut nama yang begitu bermakna buatnya. Angguk tidak, menggeleng apatah lagi. Sungguh, dia tidak mahu memberikan apa-apa respons kepada Raid. “Tinggalkan… tinggalkan saya,” rayunya lemah.
Mata Raid sedikit membulat. “Aaa… apa awak cakapkan ni?”
“Tolong… biarkan saya di sini, selama-lamanya. Sampailah ke nafas saya yang terakhir, saya tak nak keluar. Keluar ke dunia yang penuh dengan kehidupan yang pahit untuk saya telan; itukah yang perlu saya lakukan? Menyeksa hati dan diri saya sendiri semata-mata untuk bebas daripada hospital? Tak akan ada apa-apa yang berubah,” balas Durrah sebak. Amat sebak, hinggakan ada titisan jernih yang kian deras berlari menuruni pipi yang masih belum kering.
Raid menunduk, lama. Tubir matanya berlinangan. Mendengar bait-bait ayat Durrah begitu meluluhkan sekeping hati yang selama ini keras dan sukar untuk terusik oleh apa-apa. Dipandangnya wajah pucat lesi itu dengan seulas senyuman manis sebelum hadiah di belakang tubuhnya dihulurkan juga kepada Durrah. Hadiah… yang mungkin dapat menggembirakan Durrah.
Tidak! Hadiah yang pasti akan menggembirakan Durrah.
“Siti Nur Durrah… walau apa pun yang terjadi, walau apa pun yang awak paksa dan suruh saya buat dengan tinggalkan awak di sini, saya tak akan ikut cakap awak. Awak kawan saya. Kawan sehidup semati yang saya kenal selama lima tahun lamanya. Seorang kawan tidak akan meninggalkan kawannya yang berada di dalam kesusahan! Kalau awak masih nak saya tinggalkan awak, saya akan tinggalkan awak unless kalau awak bersetuju untuk tinggal dengan ibu bapa saya! Itu apa yang saya akan lakukan,” katanya tegas.
Durrah tergamam tanpa kata. “Raid… kenapa… kenapa awak…”
“Sebab saya nak awak tahu yang Allah akan sentiasa menemani awak, Durrah. Awak tak akan rasa keseorangan dengan adanya Allah di sisi, Allah yang awak cintai sepenuh hati. Kalau kita ingat Allah, mesti Allah pun ingatkan kita,” Hadiah sudah bertukar tangan. Terhinjut-hinjut bahu si gadis menatap kalamullah iaitu Al-Quran yang berbalutkan kain putih. Air matanya tidak henti-henti gugur. Bibirnya terketar-ketar dan perlahan-lahan kepalanya didongakkan agar memandang anak mata milik lelaki itu. Tiada selafaz kata yang mampu diluahkan. Hanya empat pasang mata saling berbalas pandangan tanpa ada niat untuk memecahkan keheningan sepi. Perasaan Durrah berkecamuk.
Satu beg kertas dihulurkan sekali lagi. Raid mengalihkan pandangannya ke arah lain lantas membuka mulut untuk berbicara. “Terapi yang paling baik untuk menyembuhkan luka di hati adalah dengan menunaikan ibadah solat. Ini telekung daripada ibu saya untuk awak. Awak ada Allah. Allah akan dengar rintihan hamba-hambaNya, Durrah. Dia akan sentiasa Mendengar kita. Awak pun tahu kan? Sifat Allah itu ialah Sama’, iaitu Maha Mendengar.”
“Raid…” Durrah menekup mulutnya.
Raid tertawa hambar dan menyeka air mata yang entah bila gugur setitis. “Minta maaf kalau awak ingat saya ni terlalu sibuk dengan hal peribadi awak. Saya minta maaf sangat-sangat. Tapi, saya tak nak awak berasa kehilangan lagi. Saya tak mahu awak terseksa dengan seorang lelaki yang tidak reti menghargai siapa sebenarnya Siti Nur Durrah yang sebenar. Awak tak bahagia dengan Imtiyaz, betul tak Durrah?” soalnya memohon kepastian nyata.
Imtiyaz. Nama yang amat menyakitkan hati dan perasaan! Durrah menguncikan mulut daripada membuka cerita. Biarlah hubungan di antara dia dengan Imtiyaz yang sudah ‘terputus’ ini tidak diketahui oleh sesiapa. Biarlah dia yang menanggung semuanya. Biarlah dia yang menanggung seksanya menjadi seorang isteri yang telah berpisah dengan suami yang dicintai. Senyuman palsu diukir sedaya-upaya untuk mengaburi mata Raid. “I’m happy to be his wife, Raid. He teaches me how to love and how to appreciate love,” bohongnya.
Raid menggeleng tidak percaya.
“You’re lying. Awak tak bahagia dengan dia. Dia tinggalkan awak, betul tak?”
Terkedu Durrah mendengarnya. “Raid… aaa… awak… awak…”
“Durrah, tolonglah jangan berbohong dengan saya! Saya tak suka awak cuba sembunyikan siapa sebenarnya Imtiyaz tu di mata saya. Saya langsung tak suka kalau awak mempertahankan lelaki tu semata-mata untuk menjaga maruah dia. Awak jaga maruah dia tapi ada dia jaga maruah awak? Saya nampak, Durrah! Saya nampak dengan mata saya sendiri yang dia curangi awak. Dia keluar dengan perempuan lain, langsung tak hiraukan perasaan awak yang bertungkus-lumus membersihkan rumah! Kan? Awak mengandung pun dia boleh buat tak tahu dan keluar lagi. Sehinggakan arwah anak awak…”
“Cukuplah tu! Cukup! Saya tak mahu dengar apa-apa, tolonglah berhenti!!!” Durrah terjerit kecil dan terus menekup telinganya. Mendengar perkataan ‘arwah anak’ itu terpacul dari bibir Raid meruntun hati wanitanya yang dibina tinggi. Teresak-esak dia menghamburkan tangisannya yang masih berbaki. Mengenangkan arwah anak lelaki yang baru sahaja meninggalkan dia setelah dilahirkan, dia seakan sudah berputus asa untuk hidup. Dunia seperti gelap dan tidak berpihak kepadanya. Arwah anak yang belum sempat dia bermanja-manja, belum sempat dia melihatnya membesar seperti kanak-kanak lain. Belum sempat dia ingin mendidik, mengasuh dan mengajar arwah anaknya itu.
Ajal dan maut itu… di tangan Allah. Dia tidak ada kuasa untuk menghalang.
“Tapi Durrah, Imtiyaz tu dah…”
“Jangan sebut nama dia lagi! Saya tak nak dengar apa-apa pun tentang dia, tolonglah fahami saya, Raid!!”
Share this novel