Bab 3: Dia Yang Aku Cintai

Romance Series 895024

AKU ketawa. Ya, aku ketawa sehingga semua orang menatap ke arahku. Mungkin mereka fikir aku gila? Terserah... Aku masih ketawa kecil sambil perlahan-lahan bangun berdiri. Sampah? Aku di samakan dengan sampah?

Kali terakhir aku dihalau dari rumah neraka itu, aku dicampak seperti sampah. Hari ini, aku bertemu lagi dengan lelaki durjana itu, dan aku terus dipanggilnya sampah. Entah kenapa, aku terasa mahu ketawa.

“Kak, kenapa gelak macam orang gila? Tahu tak siapa tadi?!” tegur lelaki itu kepada aku.

Aku berjaya bangun berdiri walaupun dahiku masih sengal dan sakit. Aku memandang lelaki di hadapan aku tanpa sebarang riaksi setelah berhenti ketawa.

“Siapa dia? Pemilik bangunan ini?” soalku sinis.

Lelaki itu terpempan. “Kau tak sihat ke? Macam mana kau boleh diambil kerja?! Tuan Erfan adalah pelanggan VIP kami. Dia datang untuk servis kereta! Kalau aku kena adu, siap kau! Buat kerja mata letak di lutut!” herdik lelaki itu. Wajahnya merah padam.

Aku mengetap bibir. Jadi, syaitan itu adalah pelanggan di sini? Dunia ini amat sempit, kenapa aku harus bertemu lagi dengan lelaki yang telah menghancurkan hidup aku sehingga aku pernah hampir berputus asa untuk mendepani manusia.

“Maaf, saya akan lebih hati-hati lepas ni,” ujarku perlahan lalu memusing badan. Aku berjalan lurus menuju ke lif membawa peralatannya mencuci.

Kalau dia hanya pelanggan sudah tentu dia tidak selalu datang ke sini. Tidak mengapa, aku tidak perlu berhenti kerja hanya kerana lelaki tidak berguna itu. Tya pada hari ini... Bukan lagi dirinya dahulu.

PETANG semakin ke penghujung. Aku sempat membeli barang basah di sebuah pasar raya sebelum balik ke rumah dengan menaiki bas. Ya, aku hanya mampu menaiki kenderaan awam. Aku tahu hidup ini sangat sukar, adakala aku mahu menghamburkan tangisan juga.

Semakin aku tahan, semakin dada aku sesak. Aku masih muda walaupun mempunyai anak berusia 6 tahun. Jika wanita seusia aku pasti sedang meniti bahagia dengan perkahwinan yang indah, ataupun sedang fokus dengan kerjaya yang hebat.

Tetapi, aku tidak punya apa-apa pun melainkan satu-satunya harta yang aku ada iaitu Aqif. Aku melahirkan Aqif ketika aku berusia 20 tahun. Terlalu muda dan terlalu awal untuk menjadi seorang ibu.

Aku menarik nafas dalam-dalam apabila segala memori tiba-tiba cuba menerobos ingatanku. Perkara yang aku ingin lupakan untuk seumur hidup. Tetapi... Entah kenapa, hari ini segalanya menghimpit aku. Tya... Kau jangan sesekali menitiskan air mata lagi kerana lelaki itu. Dia adalah kisah silam yang terburuk dan tidak layak untuk ditangisi.

Aku mengetap bibir yang bergetar. Aku tidak mampu menepis ingatan... Kenapa ia kembali lagi. Kenapa...

Imbas kembali...
8 tahun lalu.

AKU ketika itu berusia 18 tahun, di mana aku harus memulakan hidup berdikari. Aku keluar dari rumah kebajikan anak-anak yatim setelah selesai sekolah dan mendapat keputusan yang sederhana dalam SPM. Aku tidaklah terlalu bijak, tetapi sepatutnya aku tidaklah terlalu bodoh.

Aku menghubungi Kak Hani iaitu kakak angkat aku yang pernah membesar bersama di rumah anak yatim. Tetapi dia dua tahun lebih tua daripadaku. Oleh itu, dia kini sudah bekerja di Kuala Lumpur. Dia sering bercerita bahawa bandaraya itu penuh dengan pekerjaan yang boleh menjamin masa hadapan.

Aku percaya. Ya, aku manusia yang mudah percaya. Sehingga apabila Kak Hani meminta wang pendahuluan untuk masuk rumah sewa, aku tidak ragu-ragu untuk memberi hampir seluruh simpanan aku yang tidak banyak. Aku memasukkan duit kepadanya, dan akan menyusul ke bandar raya itu.

Aku menaiki kereta api dari selatan menuju ke Kuala Lumpur seorang diri, membawa pakaian dan sedikit wang untuk memulakan hidup baru. Aku tidak bermimpi untuk mengubah dunia, tetapi cukuplah untuk mengubah hidup aku yang sebatang kara ini.

Ketika itu, aku teringatkan Adam. Adam juga lebih tua daripada aku beberapa tahun, dia adalah abang dan sahabat aku. Dia menentang keputusan aku untuk ke Kuala Lumpur, tetapi aku tetap berdegil kerana aku lebih percayakan Kak Hani.

Aku akhirnya sampai juga di alamat yang diberikan oleh Kak Hani dengan menaiki teksi. Aku terkejut dengan harganya. Dari KL Central ke alamat itu aku harus membayar lebih 200 ringgit. Aku hampir kekurangan wang dan aku amat berharap baki yang ada masih boleh bertahan sehingga aku dapat pekerjaan di sini.

Aku cuba menghubungi Kak Hani, tetapi tidak berjaya. Rumah itu juga gelap dan seperti tidak berpenghuni. Aku sangat kaget ketika itu. Hari sudah malam dan aku tidak berjaya menghubungi Kak Hani. Aku akhirnya menangis dan berjalan tanpa arah tuju. Aku tidak mengenali sesiapa dan aku tidak tahu untuk ke mana.

Nasib aku semakin buruk apabila hujan turun dengan lebat pada malam itu. Aku bersendirian di perhentian bas dengan basah kuyup. Ketika itu, beberapa lelaki turut berteduh di bawah perhentian bas itu. Aku memeluk beg pakaian aku dengan erat. Aku sangat bimbang, dan kebimbangan aku berasas.

“Wey, budak kampunglah!” jerit lelaki itu.

“Fuhhh... Kampung sangat!”

“Baru sampai KL ke?!”

Aku lantas bangun berdiri. Aku memusingkan badan dan terus berjalan di dalam hujan dengan tubuh yang menggigil, entah kerana kesejukan atau takut! Aku berjalan di satu lorong kerana mahu melalui jalan pintas ke seberang bangunan. Di situ aku melihat tanda 'motel'. Aku yakin mungkin tempat itu tidak terlalu mahal untuk aku bermalam.

Tiba-tiba tubuhku ditarik. Aku menjerit sekuat hati kerana terkejut. Ya, lelaki-lelaki tadi!

“Jangan sentuh saya!” jeritku dalam hujan yang lebat. Entah jeritan aku boleh didengari atau tidak. Mereka hanya ketawa!

“Kena tipu ke? Kalau tak ada tempat nak pergi, ikut kami!”

Aku menggeleng. “Lepaskan saya! Saya nak balik rumah.”

“Di mana rumah kau? Ini bukan kali pertama kami tengok budak kampung kena tipu!”

Berdekah tawa mereka sehingga aku terus meraung. Benarkah aku ditipu Kak Hani? Tapi, kenapa?

Ketika mereka cuba menarik aku ke dalam sebuah kenderaan yang tiba-tiba berhenti di situ. Aku cuba melawan dengan seluruh kudrat aku sehingga pipi aku ditampar hebat. Aku terasa pening dan tumbang di atas tar. Pandangan aku makin berpinar.

Ketika itu... Dalam kesamaran malam, dan hujan lebat yang membasahi bumi, serta air mataku yang mengalir sepi, aku lihat seseorang telah datang. Tiga lelaki durjana yang cuba menculik aku dipukul oleh seorang lelaki dengan sebatang kayu. Kayu golf mungkin... Kemudian aku tidak ingat apa-apa lagi.

AKU terasa hangat. Tubuhku berada di dalam selimut tebal dan badanku terasa berada di atas sesuatu yang empuk. Perlahan-lahan aku membuka mata. Aku berada di ruang tamu yang luas.

“Ah!” Aku pantas bangun daripada perbaringan. Aku melihat keadaan diriku. Rupanya aku tidur di atas sofa panjang, bersama selimut tebal, dan pakaian aku juga sudah ditukar!

“Tya Farhana...”

Aku terus menoleh ke sebelah. Seorang lelaki sedang membelek kad pengenalan diri aku.

“Saya di mana?!” soalku dengan bergeletar seluruh tubuh. Air mataku juga merembes keluar tidak mampu ditahan.

“Anggaplah di tempat yang selamat...”

Selamat? Aku menggeleng laju. “Tuan yang tukar pakaian saya?!”

Lelaki itu memandangkan aku tepat. “Kau nak tidur dengan baju basah?”

“Tuan tak ada hak! Biar saya tidur dalam baju basah pun!” Aku berteriak.

Lelaki itu mengecilkan mata memandang aku. Aku dapat lihat bibirnya pecah dan masih ada kesan darah. Ketika itu, barulah aku teringat akan peristiwa sebelum aku pengsan. Jadi... Lelaki ini, adalah penyelamat aku?

Bunyi guruh yang berdentum hebat membuat aku menjerit kecil. Aku menutup kedua-dua belah telinga.

“Kau takut guruh?” soalnya.

Aku pantas menggeleng walaupun tanganku masih menekup telinga. Air mata aku juga mengalahkan hujan.

“Kau lari dari rumah atau... Kau baru sampai ke KL?” soal lelaki itu sambil menunjukkan beg pakaian aku.

Aku diam dan tidak memberi apa-apa jawapan. Sungguh aku benar-benar tidak tahu apa yang harus aku lakukan di saat ini. Aku ingin berlari keluar, tetapi gurun dan hujan lebat di tengah malam yang larut benar-benar menakutkan aku.

“Terima kasih...” Aku akhirnya meluahkan.

Lelaki itu bangun dan terus mengatur langkah ke arah dapur. Aku hanya melihat dia menghilang. Kemudian aku menyentuh badanku. Nampaknya pakaian dalam aku tidak dipakaikan. Aku hanya memakai pakaian lelaki itu. Kemeja putih yang paras paha. Dan bahagian bawah ditutup dengan selimut tebal ini. Aku yakin tubuh aku sangat terdedah jika keluar dari selimut ini.

Lelaki misteri itu kembali semula dengan membawa satu mug di tangannya.

“Minum hot chocolate, nanti kau demam.” Hulurnya.

Aku perlahan-lahan menyambut dan badan mug itu aku pegang supaya aku terasa lebih hangat.

“Terima kasih...”

“Jawab soalan aku tadi... Kau tinggal di mana? Nanti esok aku hantar,” katanya dengan tegas.

Aku akhirnya memberanikan diri memandang lelaki itu. Aku tidak pernah melihat seseorang yang begitu... Begitu tampan seperti ini.

“Saya akan balik sendiri...”

“Yeah... Perempuan memang degil. Pergi masuk bilik tetamu, tidur. Esok kau akan lebih segar,” katanya selamba.

Aku angguk. Entah kenapa begitu mudah aku patuh. Mungkinkah kerana lelaki ini telah menyelamatkan aku? Aku jadi mudah percaya kepadanya. Setelah minum air coklat panas itu sehingga habis kerana aku kelaparan, aku pantas bangun tanpa memikirkan apa-apa.

Aku membuka langkah, tetapi kaki tidak berguna aku itu terlanggar beg pakaian, sehingga aku terjatuh! Ya, terjatuh di atas riba lelaki itu. Aku menjerit kuat kali ini. Pinggang aku dipaut erat. Dan mata kami bertentangan. Aku juga tidak perasan tangan aku memaut bahu lebarnya.

Lelaki itu tidak melepaskan aku. Malah, aku juga kaku. Terdiam dan kelu. Apa yang pasti dada aku berdegup aneh. Aneh sehingga aku terlupa untuk bernafas. Perasaan apa seperti ini?

“Maaf!” Aku akhirnya tersedar dan pantas ingin bangun.

Lelaki itu mengeratkan pelukannya. Aku jadi bingung.

“Tu... Tuan...” Tanganku terus menggigil.

“Aku dah lihat tubuh kau...” luahnya dengan jujur. Suaranya amat garau membisik hangat di telinga aku. Jelas wajahku terus merona merah. Aku malu, tetapi pada masa yang sama aku hampir hanyut dengan pandangan redup itu.

“Boleh ke... Kau bayar aku sebab selamatkan kau tadi... Tya?” bisiknya. Kali ini wajah kami benar-benar hampir.

“Ba... Bagaimana?”

Lelaki itu tersenyum. Penuh menggoda. “Begini....”

Aku kaku apabila bibir aku buat pertama kalinya disentuh oleh seorang lelaki. Dadaku hampir mahu pecah. Tetapi kenapa perasan dicium lelaki ini... Buat aku leka.

Butang kemeja miliknya di tubuh aku dibukanya satu per satu. Aku pantas menahan tangannya dan menggeleng.

“Tuan, saya takut...”

“Jangan takut... Aku akan buat kau tidak lupakan malam ini.”

Tubuh aku terus diangkat dan dibawa ke dalam biliknya. Di situlah aku kehilangan maruahku. Aku kehilangan harga diri dan segala-galanya. Benar kata dia, aku tidak melupakan malam itu. Sehingga aku terus hidup bersama dia tanpa memikirkan dosa.

Sejak itu juga, aku sungguh tidak mampu melupakan lelaki itu. Layanannya, kasih sayang palsunya, keghairahannya ke atas tubuh aku. Benar-benar buat aku lemas dalam hubungan yang terlarang. Dan tanpa sedar... Aku tenggelam dalam rasa cinta yang amat dalam. Sehingga akhirnya perasaan itu meluruh... Dan menghukum untuk seumur hidupku.

p/s: hello silent readers... :p ..... Ya syg2 PJ semua yg rajin komen dari dulu sehingga kini, PJ bahagia kerana anda semua...terima kasih.

Share this novel

Norman001
2024-03-13 13:17:20 

Good read

Ain Suhaimi2401
2022-04-20 12:36:09 

Xde smbungan ke,?

Zuraida Ahmad
2021-10-20 16:34:07 

x de smbungan nya kah


NovelPlus Premium

The best ads free experience