BAB 1

Romance Completed 1239674

CINCIN yang tersarung di jari manis diperhati. Cantik bentuknya. Terukir indah di situ. Cincin yang menjadi bukti bahawa sebuah status telah berubah. Sekelip mata dia sudah bergelar seorang isteri. Isteri kepada saudara angkatnya sendiri!

Jujur Erin masih sukar mempercayai. Rasa macam bermimpi pun ada. Namun, demi menurutkan permintaan keluarga angkat yang banyak berjasa dia menerima dengan redha takdir yang tertulis untuknya.

Segalanya berlaku terlalu pantas. Majlis pernikahan Erin bersama Faliq berlansung dalam upacara yang amat ringkas. Diadakan secara tertutup tanpa kehadiran orang luar. Itu permintaan Faliq. Katanya ini dilakukan untuk menjaga reputasi nama baiknya sebagai seorang ahli korporat terkenal di Malaysia. Erin turutkan sahaja demi kebaikan semua pihak.

Pelik dan hairan? Bagaimana Erin dengan mudah boleh bersetuju untuk bernikah dengan Faliq? Kisahnya berlaku seminggu yang lalu. Faliq datang menemui membawa dia makan malam di sebuah restoran mewah. Hanya mereka berdua. Dalam suasana penuh romantis. Lalu Faliq menuturkan kata-kata indah dan manis, memujuk dia menerima perkahwinan ini. Kata Faliq semua ini demi memenuhi permintaan kedua ibu bapa yang mereka sayangi.

Permulaan Erin agak sukar mempercayai. Faliq yang dikenali sebagai sombong dan angkuh selama ini boleh berubah menjadi seorang lelaki tampan yang baik dan bersopan serta mampu menawan hatinya. Tanpa ragu-ragu Erin bersetuju menerima lamaran Faliq. Dan mereka berdua selamat disatukan semalam.

Hari ini mereka berdua sudah berada di ruang VIP Lounge Lapangan Terbang Heathrow, menanti pesawat untuk kembali ke Malaysia. Memandangkan Erin juga sudah tamat tempoh pengajian peringkat sarjananya, maka tiada masalah untuk dia mengikut Faliq pulang. Faliq memaklumkan dia tidak dapat berada lama di London kerana ada mesyuarat penting yang perlu dihadiri.

Sambil menikmati minuman panas di sebuah meja di ruang VIP Lounge tersebut, Erin memerhati sekali lagi ke cincin di jari. Bibirnya mengukir senyuman. Kemudian, pandangan beralih mencari wajah sang suami yang entah menghilang ke mana sedari tadi. Mungkin ke tandas agaknya. Erin kurang pasti.

Ketika Erin sedang membuang pandang melihat ke arah sebuah pesawat melalui dinding kaca, seseorang muncul di meja tersebut. Erin menoleh memandang ke wajah itu. Wajah tampan yang berjaya mencuri hatinya dalam tempoh cuma beberapa hari. Senyuman dilemparkan buat lelaki itu.

Faliq membalas senyuman Erin lalu mengambil tempat di kerusi bertentangan. Satu dokumen yang berada di tangannya diletak di atas meja. Sebatang pen Mont Blanc turut dihulur kepada gadis itu.

"Sain," tutur Faliq sepatah.

Dahi Erin sedikit berkerut. Dia mencapai dokumen tersebut sebelum dibaca satu-persatu ayat yang tertulis dengan keliru. Keningnya bertaut.

"Apa ni?" soal Erin meminta penjelasan.

"This is our marriage contract."

"What?" Erin bertambah keliru. Tidak mengerti.

Faliq mengangguk untuk menjawab soalan Erin. Sudah menduga reaksi gadis itu.

"Kejap, saya tak faham. What do you mean perkahwinan kita akan berlansung selama setahun sahaja?" soal Erin merujuk kepada ayat yang tercatat di atas dokumen tersebut.

"It's true. Perkahwinan ini akan tamat selepas setahun. Itu pun aku dah rasa cukup lama. But, what to do? I have to," ujar Faliq sambil menyilang tangan.

Riak wajah Erin serta-merta berubah. Matanya membutang memandang ke arah Faliq. Perkara yang dimaklumkan ini benar-benar membuatkan dia terkejut. Malah, perubahan pada nada ucapan Faliq turut menambah kekeliruan.

"Tapi, kenapa?"

"Sebab aku terpaksa kahwin dengan kau."

"Terpaksa? Tapi, awak yang setuju kita berkahwin. Awak pujuk saya untuk setuju terima perkahwinan ni. Awak cakap awak jatuh cinta pada saya. Awak tipu saya ke?"

Faliq tertawa kecil sambil menggelengkan kepala. Erin bukan wanita pertama yang dia gunakan ayat-ayat manis untuk mencairkan hati. Sudah berapa ramai wanita dalam hidupnya juga pernah mengalami nasib yang sama.

Biasalah, perempuan. Bila dipuji sedikit, ucapkan kata-kata cinta terus sahaja percaya. Kali ini jauh lebih hebat kerana dia berjaya memujuk seorang gadis untuk bernikah dengannya. Walaupun hakikatnya perkahwinan tersebut tidak pernah diinginkan.

"I'm sorry sebab buat kau percaya. The truth is aku tak mungkin jatuh cinta pada kau. Aku buat semua ni kerana papa dan mama. Diorang yang nak sangat aku kahwin dengan kau."

Erin terkedu. Menelan liur sambil memerhati sekali lagi ke dokumen di hadapannya. Benar-benar kecewa. Remuk-redam hatinya saat ini. Bergenang air mata di hujung kelopak.

"...tapi, kita bernikah secara sah. Saya isteri awak dan awak suami saya..."

Teringat majlis pernikahan mereka yang berlansung di sebuah Pusat Islam di tengah Kota London semalam. Segalanya tampak indah dan sempurna biar pun diadakan secara ringkas. Malah, waktu itu senyuman sentiasa menghiasi bibir Faliq. Jadi, semuanya hanya pura-pura? Berlakon?

"Itu pada kau. Tapi, bukan aku. Aku tak pernah inginkan perkahwinan ni."

Erin mendengus nafas. Baru sehari mereka bernikah dia sudah disajikan dengan kisah pilu ini? Pernikahan mereka sebenarnya tidak diinginkan oleh suaminya sendiri? Erin rasa dirinya dipermainkan.

"Saya tak nak sain kontrak ni. Apa yang saya dapat?!" Erin membentak sambil berpeluk tubuh.

Jika benar Faliq sengaja mempermainkan dirinya, dia tidak akan berdiam diri. Cukuplah sekali diperbodohkan oleh lelaki ini. Dasar hidung belang. Menggunakan ketampanan wajahnya untuk mengheret dia ke dalam sebuah perkahwinan.

Melihat reaksi Erin membuatkan perasaan Faliq bertukar berang. Dia tidak peduli. Dia akan lakukan apa sahaja asalkan Erin menurut perintahnya.

"Berapa kau nak? Aku akan bayar. Aku nak kau sain sekarang."

Erin menjeling tajam ke arah Faliq. Geram dan marah dengan tindakan lelaki ini. Sudahlah menipu, masih boleh berlagak biasa.

"Bayar apa? Bayar untuk saya jadi isteri awak?"

"Bayaran untuk kau jayakan lakonan perkahwinan ni."

"No." Erin membantah.

"Fine. Kalau macam tu kita keluar dari sini dan patah balik. Beritahu papa dan mama kita akan berpisah sekarang," ujar Faliq dalam nada tegas sambil bangun dari sofa.

Mendengar sahaja kata-kata Faliq pantas Erin memaut tangannya, menahan langkah lelaki itu.

"Wait."

Hujung bibir Faliq terjungkit. Dia sudah menduga tindakan Erin sedari awal. Kerana itu dia sengaja mengugut seperti tadi. Benarlah gadis ini cukup mudah dijinakkan.

Erin memandang ke wajah Faliq dengan perasaan sayu. Sebak dadanya. Bukan sedih memikirkan lelaki ini. Tetapi, teringatkan wajah kedua ibu bapa angkatnya. Apakah perasaan mereka andai mengetahui tentang perkara sebenar? Pasti mereka kecewa dan berduka.

"Baiklah. Saya setuju dengan kontrak perkahwinan ni. Tapi, saya mohon walau apa pun yang berlaku jangan sampai papa dan mama tahu," pinta Erin.

"Mereka takkan tahu kalau kita tak beritahu."

Erin mengeluh perlahan. Lantas pen di hadapannya dicapai. Tandatangan diturunkan di atas dokumen tersebut. Faliq tersenyum puas. Dokumen di atas meja diambil. Salah satu salinannya diberikan kepada Erin.

"Sampai di Malaysia nanti kau buat hal kau, aku buat hal aku. Anggap kita berdua tak ada kaitan dan tak pernah kenal. Cukup tempoh yang sepatutnya, kita berjumpa semula untuk berpisah secara rasmi. Sepanjang tempoh satu tahun ni, pandai-pandailah kau pura-pura agar tak diketahui papa dan mama."

Begitu sahaja Faliq menuturkan kata-kata tanpa sedikit pun rasa bersalah. Apakah ijab & qabul yang terlafaz di bibirnya semalam lansung tidak bermakna apa-apa?

"Saya nak tanya awak satu soalan."

"What?" balas Faliq endah tak endah.

"Apa tujuan sebenar awak nikahi saya? Saya tak rasa semata-mata sebab papa dan mama. Is it?"

Wajah Erin dipandang. Memang benar bukan itu sebab sebenar dia berkahwin dengan Erin. Tapi, Erin tidak perlu tahu semua itu. Andai gadis ini tahu tentulah rosak semua rencana sebenar yang dia aturkan. Di mindanya sudah terbayang-bayang tanah berkeluasan beberapa ekar itu. Tengku Farid berjanji akan menyerahkan hak milik sepenuhnya kepada dia satu tahun lagi.

Kejam? Biarlah dia dianggap kejam kerana mempermainkan perasaan seorang gadis. Dia tidak peduli. Apa yang penting impiannya tercapai.

"Kau anggap aje kita berdua tak ada kaitan, okey? Sebab apa aku bersetuju menikahi kau juga tak perlu tahu."

"Jadi, status saya di mata umum sebagai apa? Isteri rahsia? Isteri simpanan?"

"Isteri atas kertas," selamba Faliq menjawab sambil melayangkan kertas dokumen di tangan.

Erin menahan nafas. Serendah itu darjatnya di mata Faliq? Kelu lidah Erin untuk membalas kata-kata lelaki itu.

"Kalau begitu saya nak upah. Sebagai isteri 'atas kertas' awak."

Faliq mengerling ke arah Erin dengan pandangan sedikit mencerlung. Wah, perempuan ini. Bukan senaif yang dia sangkakan.

"...bayaran sepuluh ribu dimasukkan setiap bulan ke akaun saya selama tempoh bergelar isteri 'palsu' awak," tutur Erin.

Faliq berdesis sinis. Sepuluh ribu jumlah yang terlalu kecil. Bila-bila masa pun dia mampu bayar.

"Okay, no problem," jawab Faliq dalam nada riak.

"Dan lagi satu... pastikan awak tak menyesal dengan apa yang awak buat ni."

"Menyesal? Aku lebih menyesal terpaksa kahwin dengan kau."

Erin menggenggam jemari. Tutur bicara Faliq benar-benar menggores hatinya. Tidak mengapa. Dia tidak akan menangis. Dia yakin suatu hari nanti Faliq pasti akan menelan kembali kata-kata angkuhnya.

Ketika itu kedengaran suara pengumuman meminta penumpang kelas perniagaan masuk ke dalam pesawat yang sedia menanti. Mereka berdua bangun sebelum berjalan menghampiri laluan ke pintu pesawat. Kota London yang menjadi saksi bermulanya ikatan antara mereka bakal ditinggalkan. Mereka akan menuju ke destinasi seterusnya. Benarkah cinta tidak akan berputik antara mereka selepas ini?

Share this novel

Fazil Siddiq
2022-03-05 20:26:36 

bestt

Fazil Siddiq
2022-03-05 20:26:33 

bestt

Fazil Siddiq
2022-03-05 20:26:32 

bestt


NovelPlus Premium

The best ads free experience