Chapter 6

Romance Series 19306

BAB 6

AKU mengkhabarkan berita gembira itu pada Anisa. Sebagaimana layaknya seorang kawan, dia tumpang gembira dengan perubahan aku. Namun aku dapat mengesan reaksi kurang senangnya bila aku menyatakan keinginan aku untuk menjalin hubungan yang serius dengan Navin. Seolah-olah ada sesuatu yang dia rahsiakan.

“Baguslah Dura…at least kau pun dah banyak berubah. Cuma kalau kau nak serius dengan Navin tu…aku tak nak komen apa-apa. Tapi…”

Bertapi pula padahal dulu dia yang beria-ia ingin menjodohkan aku dengan Navin. Malah bukan main lagi dia mencanang kebaikan Navin. Sanggup marahkan aku sekiranya aku menyakitkan hati Navin. Sekarang lain pula jadinya. Aku pelik! Hairan!

Mustahil dalam tempoh sebulan, Anisa sudah menukar pandangannya terhadap Navin. Lagipun selama sebulan ini, aku tidak pernah berasakan apa-apa yang tidak kena dalam hubungan aku dan Navin. Segala-galanya seperti biasa.

Malah aku sering menemankan Navin menghadiri kelas agama. Secara tak langsung, aku juga sudah semakin banyak belajar tentang agama aku sendiri. Bukankah itu sesuatu yang amat memberangsangkan?

Aku juga sudah banyak meninggalkan aktiviti luar aku yang tidak berfaedah. Seboleh-bolehnya aku hendak berikan tumpuan sepenuhnya pada Navin. Memberi dia semangat dan dorongan selagi aku mampu.

Puas aku meminta penjelasan dari Anisa tapi jawapannya tetap sama. Selebihnya dia suruh aku bersabar dan lihat perkembangan selanjutnya. Selalunya Anisa jarang bersikap begitu. Dia lebih senang berterus-terang walau apa keadaan sekalipun. Dan sikapnya kali ini memang membuat aku diburu tanda tanya. Malah perasaan aku mula jadi tidak tenteram. Macam-macam yang menganggu pemikiran aku.

Aku takut dengan kemungkinan yang bakal berlaku. Ini kerana, perasaan cinta aku terhadap Navin sudah mula bercambah. Malah akhir-akhir ini, perasaan itu semakin menguasai aku.

Akupun hairan. Entah bagaimana perasaan aku terhadap Navin boleh berubah secepat kilat. Dari hanya menganggapnya seorang kawan biasa tapi kini aku merinduinya seperti nak gila.

“Dura…aku dengar kau sekarang ni bukan main rapat lagi dengan Navin. Ada apa-apa ke?”

Pertanyaan Farah yang secara tiba-tiba membuat aku agak malu. Maklumlah..sebelum ini, kami memang jarang bercakap tentang hal peribadi masing-masing. Lagipun, aku memang kurang rapat dengan Farah walaupun kami tinggal serumah.

“Jangan sampai kau termasuk dalam perangkap Si Navin tu sudahlah, Dura.” Sambung Farah tanpa menunggu jawapan dari aku.

Aku tersentak. Perangkap? Apa maksud Farah? Serta-merta jantung aku seperti hendak tercabut. Mata aku bulat memandang Farah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience