Bab 5
“Janganlah marak Cik Ton. Nanti saya mintak 20 sen, ha…” ugut Siti dengan nada bergurau.
Memang Cik Zaiton terpaksa menahan sabar dengan gurauan sebegitu. Gurauan yang sudah lali di telinganya. Gurauan yang tidak mampu ditepisnya.
Tambahan pula, nama suaminya ialah Shamsudin. Pak Cik Sudin. Pak Sudin. Namun bak kata orang, gurauan menambah bahagia. Mungkin kerana selalu ketawalah membuatkan wajah Cik Zaiton tidak dimakan usia.
“Cik Ton, mana Pak Sudin?” tanya Zira lalu mencepatkan langkahnya.
Ingin menyaingi langkah Cik Zaiton yang sedang berjalan di hadapan dengan Siti dan Emi.
“Tadi dia ke kedai mamak. Ada kat situlah agaknya.”
Dalam perjalanan ke tempat berkumpul iaitu di padang sepak takraw, ada beberapa orang terkejut dan terjerit melihat kelibat Siti bertelekung di tengah-tengah orang ramai itu.
Siti yang berasa bersalah kerana tidak menukar uniform sembahyangnya tadi hanya mampu meminta maaf di dalam hati sahaja.
“Havoc jugak ek. Apa terjadi sebenarnya?” gumam Maria di tengah-tengah orang ramai itu.
“Ada litar pintas kat rumah Milah. Tu yang meletup tadi tu,” jawab seseorang.
“Bahaya ke?” tanya Siti sambil menoleh ke arah suara itu.
“Tak tahulah. Tengoklah sekejap lagi macam mana,” jawabnya sambil matanya merenung tajam ke arah rumah yang dinyatakan.
Ke arah rumah Kak Jamilah yang berada di hujung blok, di tingkat dua.
“Semua dah ada kat sini ke?” tanya Zira yang sudah mula berasa bosan.
“Tentulah. Panik panik macam ni nak duduk dalam rumah lagi. Gilalah tu,” balas Siti.
“Abih tu, orang kat atas kita tu dah turun lom? Aku nak tengoklah muka dia macam mana,” kata Zira lagi sambil mata liar memerhati sekeliling.
“Sapa?” Tiba-tiba Cik Zaiton menyampuk.
“Orang yang tinggal di atas kami…” ulang Zira sambil menatap wajah Cik Zaiton.
“Apa engkau merepek ni, Zira? Mana ada orang kat atas tu. Dah dekat nak setahun apartment tu dah tak ada orang.”
“Hah???” Serentak, keempat-empat orang gadis itu terus mengelilingi Cik Zaiton dengan mulut terlopong.
*****
“Eh, macam mana ni korang?” ujar Maria.
Kedengaran getaran di sebalik suaranya. Sebaik sahaja mereka berempat tahu yang rumah di atas mereka sudah lama kosong, lidah mereka bagaikan kelu untuk berkata-kata.
Biarpun Cik Zaiton cuba mengorek rahsia kenapa mereka beria-ia menanti kemunculan ‘orang di atas’ itu tadi, namun tiada siapa mahu bercerita.
Masing-masing ketakutan.
Setiap kali ditanya, mereka akan membuka cerita lain. Dan akhirnya, apabila satu rumah sudah menyalakan lampu di rumah mereka, keempat-empat gadis itu cepat-cepat meminta diri.
Namun Cik Zaiton lebih cekap. Dia memegang tangan Siti sebelum keempat-empat mereka berlalu. Dengan lemah lembut dan kata-kata penuh berhikmah, dia memujuk mereka untuk bercerita.
Akhirnya, Maria yang lembut hati membuka mulut dahulu. Selepas Maria bercerita, yang lain-lain pula berlagak seolah-olah tidak menyempat-nyempat hendak menyampuk.
Sehabis mereka bercerita, mereka berempat meminta diri. Cik Zaiton yang kehairanan terus ke kedai mamak, menyusuli suaminya, Pak Sudin.
Fikirnya, seronok juga kalau dapat pekena teh tarik di malam yang hangat begitu. Sambil makan roti canai, sambil menonton siaran bola sepak yang merupakan kewajipan di setiap kedai mamak. Majoritilah.
“Tak tahu… buat bodoh jelah kot.” Setelah agak lama pertanyaan Maria itu terbiar sepi, akhirnya Siti bersuara.
Namun wajah Siti sugul sesugul sugulnya. Dia sudah mula berasa tidak sedap hati. Sesekali, matanya mengerling ke siling. Bagaikan ingin mengintai, siapakah atau apakah sebenarnya yang menjadi jiran mereka.
Tadi, ketika bergelap. Bukan dia tidak mahu menukar telekungnya kepada kain tudung. Tetapi dalam gelap pekat itu, dia tidak nampak apa-apa pun di dalam biliknya. Kebetulan tadi, telefon bimbitnya sudah kehabisan bateri, jadi untuk meraba-raba di dalam gelap, sungguh Siti tidak berani.
Jika hendak difikirkan, kata-kata Mak Cik Zaiton bagaikan tidak logik. Ini kerana setiap malam akan kedengaran pelbagai bunyi datang dari tingkat atas. Itu bermakna, penghuni di atas mereka sedang melakukan pergerakan.
Kalau bunyi datang dari atas, tidak mungkinlah pergerakan itu sebenarnya datang dari jiran sebelah pula! Kan?
Ish, tak puas hatilah.
Pelik sungguh. Kan?
“Boleh ke buat bodoh je?” tanya pula Maria diiringi kerutan di dahi.
“Tak apa, jangan risau. Kalau kita tak kacau dia, takkan dia nak kacau kita.” Akhirnya Siti berkata penuh yakin. Namun, benarkah kata-katanya itu?
Bukankah makhluk ghaib daripada jenis iblis, syaitan, segala jenis hantu ni, memang tugasnya adalah untuk mengganggu dan mengacau bagi melemahkan iman dan akidah manusia?
“Ermm… uols! Yang kita sound sound tu, korang rasa… benda tu dengar tak?” soal Maria perlahan, seakan berbisik.
…bersambung
Bab akan datang:
Siapakah yang menduduki apartment itu sebenarnya? Adakah benar ada makhluk lain di atas?
Share this novel