LAMA Natrah berdiri di hadapan Ehsan yang sedari tadi duduk menghadap komputernya. Wajahnya bengis dan riaknya kosong. Entah apa yang ditaip oleh Ehsan, Natrah juga tak tahu. Pagi tadi semasa di dalam lif bukan main lagi Ehsan suruh dia masuk bilik. Semacam ada perkara penting sahaja hendak disampaikan. Kini apabila dia sudah terpacak tegak di hadapan lelaki itu, tak pulak dia bercakap apa-apa.
'Dia ni nak suruh aku nyanyi lagu Negaraku ke apa ni? Kaki ni dahlah lenguh berdiri lama macam ni! Ayoyo..'
Natrah rasa macam nak lenyap terus je dari situ. Dia memang sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Tapi tak disangka pula dia bertemu Ehsan di dalam lif seawal itu.
Suara deheman Ehsan mengembalikan Natrah ke alam nyata. Badannya yang terliuk-lentok tadi cepat-cepat ditegakkan. Dia lihat Ehsan sudah bersandar pada bahu kerusi sambil merenungnya tajam.Alamakk, aku buat salah lagi ke?!
Anak mata Ehsan seakan tak mahu berpaling dari terus-terusan memandang wajah keanak-anakan Natrah itu. Dalam diam, ekor matanya sedari tadi perhatikan gelagat Natrah. Tercuit juga hatinya dengan perilaku selamba gadis itu di hadapannya. Kalau stafnya yang lain, nak batuk pun takut-takut.
Dia kalihkan pandangan ke skrin komputer. Takde apa-apa pun di situ! Kosong, sekosong hatinya saat ini. Dia hanya memikirkan cara untuk minta maaf kepada gadis itu tanpa perlu mengucapkannya. Dia kan ego, mana mungkin dia mahu meruntuhkan dinding keegoan itu, apalagi di hadapan Natrah, gadis yang dia anggap tak punya tarikan sebagai seorang wanita!
Namun dia buntu. Bagaimana hendak meminta maaf tanpa perlu mengucapkannya? Seumur hidup, belum pernah lagi dia mengakui kesalahannya walaupun sudah terang lagi bersuluh kesalahan itu di atas bahunya. Dia diajar untuk selalu berani dan tegas. Tetapi tak pernah diajar untuk selalu minta maaf dan mengalah. Dia diajar agar sentiasa menang supaya tak nampak lemah. Ya, dia sedar itu. Benar kata Tuan Kassim. Padahnya, dia sunyi tanpa ada teman bicara dan rakan akrab.
Ehsan menghela nafas dalam-dalam. Dia keluarkan sepucuk sampul dari dalam briefcasenya. Lantas diletakkan di atas meja.
Natrah angkat kening. Duit lagi ke? Untuk apa bagi duit? Eirfan takde pulak langgar dia lagi!
"Ambiklah! Nak saya wrap cantik-cantik jugak ke baru awak datang ambik?" sindir Ehsan tatkala tubuh Natrah masih tidak berganjak dari situ.
Natrah hela nafas perlahan-lahan. Sampul itu sudah bertukar tangan. Dia tahu isinya berupa wang. Tapi tak dipastikan berapa jumlahnya kali ini. Dia tidak puas hati. Atas alasan apa Ehsan memberikannya wang? Dia bukannya terdesak nak pakai duit. Wang yang hari itu pun masih tersisa banyak.
"Untuk apa duit ni?" Natrah memberanikan diri bertanya. Ada sedikit getaran pada nada suaranya.
"Tak payah tanya! Ambik saja.. Tak suka duit ke?" sahut Ehsan sambil jari-jemarinya dari tadi menari-nari di atas papan kekunci. Entah apa yang ditaip, sengaja sahaja dia buat-buat sibuk.
Wajah Ehsan dipandang dalam-dalam. Natrah bengang dengan cara lelaki itu. Memang nak kenalah lelaki ni!
"Semua orang suka duit. Tapi kalau ada orang bagi duit kat kita tanpa sebab ,perasaan tu jadi tak suka, tak senang, tak tenang. Contoh macam kalau saya bagi tahi lembu kat encik tanpa cakap sebab dia ,encik nak terima ke?"
Ehsan berusaha menahan tawanya daripada terburai. Tahi lembu? Dalam banyak-banyak contoh, dia boleh pulak guna tahi lembu?!
"Saya takkan terima duit ni kalau encik tak bagitau saya kenapa saya kena terima. Melainkan encik nak pecat saya.."
"Kalau saya bagi duit ni sebab nak pecat awak, apa perasaan awak?"
Natrah ketap bibir. Arghhh!!!
"Saya tak kisah! Mungkin takat ni aje rezeki saya kat sini. Alaaa berlambak lagilah kerja kat luar sana saya boleh cari.."
Ehsan memuji kelantangan Natrah bersuara di hadapannya. Rasa-rasanya semenjak dia menjadi CEO di situ, belum pernah lagi ada mana-mana staf yang seberani Natrah.
"Wowww, bravo!" Ehsan tepuk tangan. Dia bangkit lalu berdiri di hadapan Natrah. Sempat juga dia mengeluh kerana ketinggian Natrah tak setanding dirinya. Terpaksa juga dia menunduk lalu duduk di atas meja bagi menyamai ketinggian mereka. Dalam erti kata lain, Natrah itu pendek. Sangat pendek sehinggakan 5 inci heels pun belum tentu dapat menyamai ketinggian mereka.
"Saya bukannya nak pecat awak. Kalau saya pecat awak sebab perkara semalam, atok saya takkan approved! Saya tahu awak berbakat, saya boleh nampak dalam kertas kerja yang awak serahkan pada saya hari tu. Cuma..."
Natrah pandang Ehsan tak berkedip. Lama dan dalam.
Ehsan berdehem, cuba mengatur bicara. Kenapa suaranya terasa tersekat pulak tiba-tiba? Dia rasa kurang nafas. Sesak! Tali leher dia longgarkan cepat-cepat.
"Cuma hasil kerja awak tak menepati cita rasa saya yang sangat cerewet. Dan bila itu berlaku, saya akan marah secara spontan sebab saya dah tetapkan standard kerja awak ke tahap yang paling tinggi. But the result..."
Natrah terangguk-angguk. Dia memahami maksud kata-kata Ehsan itu. Ya, dia sekarang sedang bekerja dengan manusia ego tinggi yang punya taste yang sangat cerewet. Demand!
"Atok saya suruh mintak maaf kat awak. But sorry, I won't do that. Saya takkan rendahkan ego saya dengan meminta maaf pada awak. I have my own bondaries. So..."
Ehsan kembali ke posisinya. Punggung dihenyak di atas kerusi. Wajah Natrah ditatap lagi.
"Duit tu sebagai tanda minta maaf saya pada awak!"
Natrah menyungging senyuman sinis. Berkali-kali dia mengetap bibir. Penumbuk digenggam. Kalau boleh, ingin sangat rasanya dia nak tumbuk wajah penuh eksen itu!
Natrah maju setapak ke hadapan. Kemudian dikeluarkannya isi sampul tersebut. Ada banyak nota berwarna ungu. Kalau dikira-kira, agak-agaknya ada dalam dua ke tiga ribu. Wow! Murah betul tanda kemaafan Ehsan padanya. Dia rasa terhina dengan cara Ehsan itu. Dia memang orang miskin, tetapi dia bukan pengemis!
"Saya memang orang miskin. Tapi saya bukan pengemis! Thanks but no thanks!" ucap Natrah seraya meletakkan kembali sampul dan duit tersebut di atas meja kerja Ehsan.
Cepat-cepat dia keluar dari situ. Maruahnya rasa dipijak-pijak sahaja. Hatinya sedih diperlakukan seperti itu. Dia mengelap air mata yang sudah turun munculkan diri di pipinya.
AZIZAH menyiku Hasma yang duduk di sebelahnya. Hasma menoleh lantas menyoal namun mereka seperti berbisik. Kerana tidak mahu mengganggu Natrah yang duduk di hadapan mereka seperti sedang menunggu hukuman mati sahaja.
Setiap kali Natrah keluar dari bilik Ehsan, pasti dia tunjukkan wajah muram dan sikapnya tiba-tiba menjadi sepi. Tadi pun, jika tidak dipaksa oleh Hasma, tidak mungkin Natrah mahu ke kantin bersama mereka.
"Kau okey ke ni?" soal Hasma. Prihatin.
"Kau buat kita orang risau" sahut Azizah pula.
"Aku okeylah! Kenapa? Selera makan korang hilang ke tengok muka cekodok basi aku ni?"
Hasma dan Azizah gelak. Inilah Natrah yang mereka dok rindui.. Tak macam tadi. Macam Natrah jadian saja.. Hi hi hi..
"Tahu takpe! Nak makan pun ragu-ragu. Dok terbayang muka hang yang sequpa mak lampiq tu..." seloroh Azizah dalam loghat utaranya.
"Mak lampir ni jugak yang kawan dengan korang berdua!" jawab Natrah sambil tergelak.
"Helo girlss!! What did I miss?" sapa Eirfan. Tanpa dipelawa, laju saja punggungnya duduk di sebelah Natrah.
"Ni lagi sorang. Datang-datang je terus cakap omputeh!" komen Natrah. Dia sudah mencebik. Muncungnya sudah sedepa.
"Awak buat lagi muncung macam tu.. haaaa.." Eirfan tak mampu menahan gelojak hati. Silap-silap haribulan, diculiknya Natrah ni bawak lari ke Lombok. Haishh...
"Mengada tak sudah!" gerutu Natrah. Jangan nak bergurau soal hati perasaan di hadapan malaun dua orang ni. Payah dia nak menjawab nanti!
"Apa kes?" tanya Eirfan lagi. Tak sabar menunggu waktu lunch. Sebab waktu itu sahajalah dia dapat dengar celoteh dari bibir mungil itu.
"Ara kena panggil bos masuk ofis tadi" Azizah sudah membuka cerita.
"Iye? Lepas tu apa jadi?" tanya Eirfan ingin tahu.
"Itulah pasal. Ara tak nak cerita apa-apa. Macam ada pakatan rahsia je antara dia dengan bos" sampuk Hasma pula.
Demi mendengarkan itu, wajah Natrah dipandang. Eirfan mahu tahu perkara sebenar. Kot-kotlah si Ehsan tu buat yang bukan-bukan kat Natrah, atau sakitkan hati dia lagi.
"Apa?" tanya Natrah selamba dan mendatar sambil menikmati french friesnya. Dia tahu enam pasang mata sedang galak memerhatikannya.
"Ceritalah apa jadi" gesa Hasma lagi.
"Yelah-yelah" Natrah mengalah juga.
"LAAAA dia bagi kau duit lagi?" Hampir nak tersembur air yang disedut Azizah itu ke wajah Hasma. Nasib baik dia dapat kawal, kalau tidak...
"Berapa banyak weyy?" Hasma pula menyoal.
"Beribu jugaklah" jawab Natrah. Mengenangkan itu, hatinya diusik rasa hiba. Sedihnya jadi orang miskin! Hari-hari maruah kena pijak dengan duit!
"Untungnya... Aku dah boleh bayangkanlah nak beli apa dengan duit tu. Aku nak guna duit tu untuk kuruskan badan aku yang XXL ni ke saiz XS. Haaa barulah semua mata memandang aku. Tak gitu nyahh??" Azizah pandang Hasma. Tapi Hasma buat wajah cemberut pula.
Hasma lebih risaukan wajah dan riak Natrah itu. Macam tak berperisa saja wajah itu!
"Tak untunglah!" komentar Natrah menarik minat Eirfan untuk mendengar. Dia boleh agak yang Natrah tidak menerima wang tersebut.
"Dia beli kemaafan dari aku dengan wang ringgit. Orang lain bolehlah dia buat macam tu, tapi dengan aku. Sorry naik lorilah!"
Azizah tercengang. "So kau tak ambiklah duit tu?"
"Penting sangat ke duit tu dibandingkan dengan maruah aku yang dia dah pijak-pijak? Dia malukan aku depan ramai orang. Ye, aku tahu aku orang miskin. Aku takde apa-apa. Tapi tu bukan alasan untuk dia layan aku sesuka hati dia je! Tak kiralah apa taraf kita semua sekalipun, but once you treat a person like a shit, you are not more than a rubbish to me!"
Eirfan menyimpul senyum. Dia kagum dengan sikap dan pendirian yang ada dalam diri Natrah itu. Dan dia juga tidak menyangka kalau Natrah memang bijak orangnya. Petah bercakap. Mungkin saja rezekinya belum ada untuk menyambung pelajarannya. Setahu dia, Natrah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM enam tahun yang lepas. Fikirnya, gadis itu akan menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Tetapi hampa yang bertandang apabila dia sudah tidak mendengar sebarang khabar berita dari gadis itu semenjak keputusan SPM diumumkan. Dan kini, dia tidak menyangka bertemu dengan Natrah lagi setelah enam tahun berlalu. Terlalu banyak persoalan yang berlegar-legar di mindanya tentang gadis itu.
"Yelah kan. Kalau aku ingat balik kejadian semalam, aku rasa memang tak patut pun bos buat kau macam tu. Kalau aku di tempat kau, aku tak rasa aku boleh bangun pagi lagi dan berada kat sini..." ujar Hasma. Dia menjadi mata-mata akan kejadian itu semalam. Oleh itu, dia turut merasa apa yang dirasakan oleh Natrah. Dan sehingga ke saat ini, dia masih lagi dibayangi perasaan gerun dan takut tatkala berhadapan dengan Ehsan.
"Tapi macam mana kau boleh lagi tersenyum pagi turun kerja hari ni?" Soalan Azizah membuatkan Natrah tersedak air. Terbatuk-batuk dia sehinggakan tanpa sedar tangan Eirfan sudah naik menggosok belakangnya.
Malu dengan perlakuan spontan Eirfan, Natrah menolak tangan lelaki itu dengan lembut.
Hasma memerhati dalam diam. Hmmm something fishy....
"Adalah seseorang ni bagitau aku. Yang aku tak perlu rasa malu atau rasa bersalah sebab memang bukan salah aku seratus peratus. Aku tak buat salah, kenapa nak kena takut?" Natrah teringat kata-kata Eirfan. Senyumannya mulai bergentayangan di wajah. Setiap kali teringatkan sokongan dari lelaki itu, entah kenapa dia rasa bersemangat sehinggakan jika ada bom ditikam ke arahnya saat ini, dia mampu untuk menolak dengan sekali libas sahaja. Eeww apa ni?
Tersenyum Eirfan mendengar ayat Natrah itu.
"Siapa yang bagitau kau tu?" Azizah korek rahsia.
"Secret!" balas Natrah dengan gelak tawanya.
"Secret ke secret admire?" tebak Hasma pula. Dia mula dapat menghidu sesuatu di antara Natrah dan Eirfan.
Sekali lagi, Natrah tersedak. Terbatuk-batuk sehinggakan Eirfan sekali lagi bertindak sebagai penyelamat. Tetapi kali ini, Natrah tidak pula menolak atau menepis tangannya.
"Dahlah! Aku nak naik ofis. Rimaslah aku dengan korang berdua ni" Natrah cepat-cepat pergi dari situ. Soalan demi soalan dari kedua temannya itu lebih menyesakkan jika dibandingkan berhadapan dengan Ehsan!
"Saya ikut! Ara, tunggu!" Eirfan mengejar Natrah yang sudah jauh di hadapan.
"Weyy, aku rasa macam nak mintak penamparlah dari kau!" Permintaan Hasma itu dipandang pelik. Dah kenapa pulak nak mintak penampar bagai ni?
"Sini! Hang nak aku tampaq belah mana? Kiri ke kanan?"
"Amboi!! Laju kau eaa? Aku rasa kan, betullah apa yang kau cakap. Ara dengan encik Eirfan tu macam ada sesuatu je" Hasma memuntahkan rasa hati.
"Kan? Macam Kuch Kuch Hota Hai sangat kan diorang tu?"
"Aah lah"
Dari pandangan ke hadapan, Hasma kalih ke sisi. Di situ, pandangannya bertemu dengan mata Azizah.
"Kussemangat mak engkau!!" ucap Hasma spontan.
"Apasal? Kau berharap nak berpandangan dengan lelaki ke?"
"Ye! Muka kau tu lebih seram dari muka cekodok basi Ara tu!"
"Tapi lagi seram muka kerut bertingkat-tingkat encik Ehsan tu kan?"
"Yang tu aku setuju!"
Ketawa keduanya meletus.
TAK senang duduknya tatkala mengingatkan kembali kata-kata Azrul pagi tadi. Kerjanya serba tak kena sahaja. Ada sahaja yang tidak betul. Tindak-tanduknya pula mulai hilang irama. Nafasnya mulai terasa sesak. Seperti ada mata-mata yang memandang segala gelagatnya padahal dia bersendirian sahaja ketika itu.
"Saya ikhlas nak memperisterikan awak Bihah"
Ayat Azrul itu masih terngiang-ngiang di gegendang telinganya. Dan ketika Azrul menyuarakan hasrat hatinya, wajah itu tampak tenang sahaja. Namun dia mampu menghidu keikhlasan lelaki itu. Tetapi masalahnya hanyalah dia. Dia tidak tahu hendak bereaksi bagaimana. Dia senang dengan lamaran itu namun dia risau dengan masa depan.
Terlalu banyak yang difikirkannya. Mampukah dia menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri buat kali kedua? Bisakah dia memupuk kembali rasa cinta di hatinya setelah ianya tertutup sejak kepermegian suaminya dua tahun lepas?
Dia tidak menafikan layanan yang diberikan Azrul kepada Ayish sangat berbeza. Azrul meladeni telatah Ayish penuh sabar dan dia boleh nampak keserasian di antara mereka. Bahkan Khadeeja juga seperti sudah bisa menerima dia dan Ayish dalam keluarga mereka.
Dan Puan Ramona? Tak usah cakaplah! Wanita itu memang sangat baik bahkan segala keperluan Ayish, akan dia turuti. Dia menganggap Ayish seperti cucunya sendiri. Sehinggakan dia pula yang segan dilayan seperti itu.
"Malam nanti, keluarga saya akan datang merisik awak. Saya harap sangat awak takkan mengecewakan saya. Saya betul-betul ikhlas Bihah. Deeja pun suka awak dan Ayish"
Sekali lagi, kata-kata Azrul terngiang-ngiang di gegendang telinganya.
"Macam mana nak bagitau Ara hal ni? Hmmm..."
BARU sahaja dia nak hidupkan enjin skuternya, kereta Myvi milik Eirfan berdiri betul-betul di hadapannya. Natrah mengeluh sambil memakai helmet ke kepala. Batal niat nak duduk atas skuter.
"Nak balik ke? Masih awal lagi ni" Eirfan tilik jam di tangan. Masih pukul 2.45 petang.
"Kak Bihah called. Suruh beli barang" jelas Natrah.
"Barang apa?"
"Banyak ni.. ada kak Bihah WhatsApp"
Natrah sudah keluarkan telefon bimbitnya lantas membaca pesanan tersebut.
"Ohh tengok jap" Tak menunggu lama, sekejap sahaja telefon bimbit Natrah direbut. Mengeluh panjang gadis itu dengan tingkahnya.
Eirfan tersenyum lebar sambil menilik kontak di dalam telefon bimbit Natrah. Dia kepingin tahu sesiapa juga yang menjadi teman bual atau chat gadis itu. Kot-kotlah ada teman istimewa, tak ke malu dia sebab dah luahkan isi hati malam tu!
Tilik punya tilik, tiada satu pun istimewa di dalam kontaknya. Eirfan menarik nafas lega. Gadis pujaan masih belum berpunya. Dia lantas menaip sesuatu dalam senyuman nakalnya.
"Apa benda awak buat tu?"
"Ambik balik handphone awak ni" Eirfan menyerahkan kembali telefon bimbit kepada Natrah. Kemudian nombor Natrah yang sudah dia hafal, dia salin di dalam kontaknya. Dia save nama Love!
"Apa benda entah dia buat!" omel Natrah sendiri. Tidak lama selepas itu, telefon bimbitnya berdering. Tertera nama Hubby di situ. Natrah menjegilkan matanya. Hubby? Hubby siapa?
"Okey, dah. Tu nombor saya. Save okey?" ujar Eirfan seraya kerdipkan matanya.
"Ni?" Natrah tunjukkan kontak nama Hubby itu kepada Eirfan. Laju saja lelaki itu mengangguk sambil melakar senyum nakalnya.
"Suruh kita save nama dia, tapi dia sendiri dah save! Apa daaa..."
"Saja. Supaya awak tahu dan alert"
"Apasal letak nama Hubby?"
"Suka hati sayalah!"
"Jap lagi saya tukar. Saya nak letak nama mangkuk hayun"
"Letak lerr! Tak heran pun. Tapi jangan salahkan saya kalau..." Eirfan berjeda.
"Kalau apa?"
"Kalau cinta, jangan kacau. Kalau sayang, tak perlu marah. Kalau ikhlas tak minta berbalas. Serahkan cintamu pada yang punya cinta" Lagu Kalau Cinta daripada Aliff Aziz itu dinyanyikan oleh Eirfan.
"Mengada je lebih!" omel Natrah namun tidak dinafikan dia senang dengan gelagat lelaki itu. Suara pun lunak merdu je. Haishhh...
"Macam tu ke cara awak mintak nombor telefon dari seorang perempuan?"
Eirfan menggeleng kepala. "Saya tak pernah lagi mengorat perempuan. Kiranya awak ni orang pertamalah yang saya ngorat. Bangga tak?"
"Tak!" Bohong Natrah. Dia suka, tapi saja je tu..
"Yelah tu. Serahkan cintamu pada yang punya cinta" Eirfan bernyanyi lagi. Dan dia betul-betul maksudkannya!
"Dah arr.. Saya nak balik ni. Tepi sikit. Nanti skuter saya ni langgar awak, jangan salahkan saya pulak! Bye. Roger and out" Natrah pamit lantas dalam sekelip mata saja, bayangannya hilang dari tubir mata Eirfan.
"Ek elehh.. Dia ni! Sendiri punya hal, dia salahkan skuter buruk dia tu pulak. Myvi kita yang hensem ni tak nak pulak dia naik. Selesa pulak tu"
Tapi takpelah! Dia dah dapat nombor telefon Natrah, itu yang paling penting. Senang sikit dia nak kacau si Ara tu kalau dia rindu atau... Arghhh!! Sekarang ni pun tengah rindu....
Share this novel