SUDAH lama Qatrunnada bertapa di pintu rumah sewanya itu. Sejak jam 7.30 pagi lagi dia sudah terjenguk-jenguk ke arah rumah sebelah kirinya jika penyewa rumah sebelah ada keluar dari rumah. Untuk mengetuk sendiri pintu rumah sebelah dia rasakan kurang manis pula. Mufidah yang pada awalnya berniat murni ingin menemaninya untuk mendapatkan keizinan bagi menggunakan WiFi rumah sebelah sudah selamat dijemput pulang oleh kakak dan abang iparnya sebentar tadi. Mufidah pulang tidak lama. Dia hanya membawa pulang barangan bersaiz besar yang boleh dimuatkan ke dalam kereta abang iparnya sahaja memandangkan saiz kereta tidaklah besar mana. Dia akan kembali untuk mengambil saki-baki barangannya yang boleh dia bawa sendiri menaiki bas beberapa hari lagi.
Qatrunnada mengerling jarum jam yang sudah menunjukkan angka 10.00 pagi. Dia kembali menjenguk ke arah rumah sebelah. Seorang pemuda baru sahaja keluar dari rumah dan menghampiri keretanya. Qatrunnada yang menyedari akan hal tersebut segera keluar dari rumah sewanya. Dia tidak risaukan auratnya kerana dia sememangnya memakai pakaian yang menutup aurat dan tudungnya juga sudah sedia tersarung di kepala sejak dia melancarkan misi menunggu kemunculan jiran sebelah rumah lagi. Dia hanya mengenali tiga dari lima orang penyewa rumah sebelah dan mujurlah pemuda yang baru keluar dari rumah sebentar tadi adalah pemuda yang dia kenali. Dia berjalan menghampiri pagar yang memisahkan rumah sewanya ini dengan rumah sewa jiran sebelah.
“Assalaamu`alaikum.” Qatrunnada memulakan sapaannya. Pemuda yang baru sahaja membuka pintu kereta tempat pemandu itu menutup semula pintu kereta. Segera pemuda tersebut berjalan menghampiri pagar bersama senyuman lebar.
“Wa`alaikumussalam, Nada. Ada problem ke? Nak minta tolong tukarkan lampu? Abang Fir boleh tolong.” Firhan yang suka membahasakan dirinya dengan nama Abang Fir menjawab salam dari Qatrunnada sambil terus memberi tawaran pertolongan.
Huwaaa!! Dia ni tengah perli aku ke apa? Mentang-mentanglah kitorang pernah minta tolong tukarkan lampu dulu. Bersangka baik okey, Nada! Dia memang ikhlas nak tolong kalau ada masalah.
“Eh, taklah Fir! Saya nak minta tolong tapi bukan pasal lampu. Sebenarnya macam ni, saya ada kena jawab online assessment malam ni pukul 8.30 sampai 11.30 malam. Kawan yang ada broadband dah balik kampung, kalau nak pergi jawab kat CC bahaya pula lepas tu nak berjalan balik seorang diri. Jadinya saya ingat nak minta permission Fir nak guna WiFi rumah korang untuk tiga jam online assessment tu boleh?” dengan panjang lebar Qatrunnada menerangkan keadaan sebenar dan turut meminta keizinan dari Firhan untuk menggunakan WiFi rumah mereka. Firhan kembali tersenyum lebar.
“Lah, pasal itu aje ke? Ingatkan apa tadi. Boleh sangat! Guna ajelah.” Laju sahaja Firhan memberi kebenaran kepada Qatrunnada.
“Err, Fir tak nak beritahu pada kawan-kawan yang lain dulu ke pasal saya nak guna WiFi tu? Takut mereka tak setuju aje.” Qatrunnada menyuarakan kebimbangannya.
“Eh, takpe. Diorang tak kisah punya. Lagipun WiFi tu memang guna nama Abang Fir.” Firhan kembali meyakinkan Qatrunnada.
“Oh okey. Kalau macam tu boleh tak Fir bagi saya password WiFi tu? Lepas saya dah habis guna nanti kalau Fir nak tukar password tu, tukar aje.” Qatrunnada sudah mengeluarkan telefonnya untuk menyalin kata laluan. Firhan menyebut kata laluan dan dengan tekun Qatrunnada menaip dan menyimpannya di dalam telefon.
“Thanks Fir.” Ujar Qatrunada sebaik sahaja kata laluan sudah dia simpan.
“My pleasure. Nada dah breakfast? Abang Fir dan Jay nak keluar breakfast ni. Jomlah join kami.” Firhan mempelawa Qatrunnada untuk sama-sama bersarapan pagi. Ketika itu seorang pemuda baru keluar dan mengunci pintu rumah sewa. Pemuda tersebut terus berjalan dan berdiri di sebelah Firhan.
“Morning Nada! Jom join kami breakfast.” Belum sempat Qatrunnada menjawab pertanyaan Firhan, Wijdan dengan cerianya turut mengajaknya untuk sarapan pagi bersama.
“Morning Jay. Saya dah breakfast tadi dengan Fida. You guys enjoy your meal, okay. Saya masuk dulu ye. Thanks again Fir.” Qatrunnada menolak pelawaan Firhan dan Wijdan. Dia sempat mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Firhan sambil tangan kanannya yang memegang telefon diangkat sedikit dan digoyang-goyangkan. Firhan tersenyum lebar sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. Wijdan sudah memandang pelik sahabatnya itu. Sebaik sahaja Qatrunnada menutup pintu rumah sewanya, Wijdan yang tidak tahu apa-apa segera menghamburkan pertanyaan kepada rakannya.
“Fir, korang berdua exchange phone numbers ke?” tanya Wijdan dengan gelabah. Tak boleh jadi ni, dah lama aku dok usha Nada alih-alih Nada bagi phone number dia pada Fir ke? Oh man!!
“Kalau ya kenapa? Padam muka kau. Hahaha!” Firhan sengaja membiarkan kawannya yang tersalah anggap itu berterus-terusan menerima anggapan yang salah.
“Mana boleh! Aku kenal Nada sebelum kau kenal Nada masa open house Kak Risya dulu. Akulah yang patut dapat phone number dia dulu.” Wijdan sudah bersuara tidak puas hati. Firhan melepaskan tawa dan terus menuju ke arah kereta.
Share this novel