MAB 17: HANTU CINA*

Romance Completed 902208

Sedar tak sedar, sudah empat episod mereka tonton. Hanya berbaki enam episod lagi sebelum tamat. Zahran bergerak sedikit, cuba membetulkan kedudukannya kerana kakinya sudah kebas dek terlalu lama memangku Lily dan Lana. Lena benar dua beradik itu tidur.

“Tolong alihkan Lana boleh? Kebaslah,” ujar Zahran.

“Oh sekejap. I cuci tangan.” Arianna pantas bangun lalu menuju ke dapur sebelum kembali ke ruang TV tidak lama kemudian.

“Which one is Lana?” tanyanya.

“The left one.”

Arianna mendekati Lana yang tidur berbaring di sofa dengan kepala dilabuhkan di paha Zahran. Dengan berhati-hati dia mengangkat kepala Lana dan Zahran mengengsot, sebelum bangun dengan Lily di dalam gendongannya. Arianna mencapai bantal kecil lalu diletakkan di bawah kepala Lana sebelum dia mengalihkan tangannya. Pergerakan itu membuat Lana merengek dan bergerak sedikit.

“Shhh…” Arianna menepuk-nepuk bahu Lana sehingga anak itu tertidur semula.

Zahran yang baru meletakkan Lily di sofa hanya memerhatikan perbuatan Arianna itu sambil menggeliat membetulkan urat-urat tubuhnya yang pegal. Lebih sejam dia memangku Lily dan Lana, namun itu tidak sedikit pun membantutkan acara menonton anime yang telah dirancangnya bersama Arianna.

“Aku nak call Dina kejap,” ujarnya sambil mencapai telefon di atas meja lalu melangkah ke balkoni.

Arianna hanya mengangguk. Ya, respons apa lagi yang boleh dia berikan. Dia bukan teman wanita Zahran yang mahu bertanya tujuan lelaki itu menghubungi Irdina. Lagipun dia mengagak Zahran hanya mahu bertanya tentang Zahrin.

“He loves your mommy right?” gumam Arianna sambil membelai rambut Lana yang jatuh di dahi.

“He didn’t say anything, but I know he loved her. His eyes speak the truth.”

“Will I have a chance to be that one woman he will look at, like the way he looks at your mommy?”

Arianna tiba-tiba mentertawakan dirinya sendiri. Selalu mengimpikan sesuatu yang tidak mungkin dapat dia gapai.

“Jangan main api, Arianna.” Ditepuk-tepuk pipinya sendiri supaya tidak terus hanyut dengan mimpi.

Hanya dalam hitungan hari, dia akan bertunang dengan Aaron. Suka atau tidak, dia perlu menerima Aaron sebagai pasangan hidupnya. Cinta mungkin boleh letak ke tepi. Lagipun, tidak semua orang yang kita cinta akan mencintai kita semula. Ya, kata-kata itu terpakai untuk dia Aaron. Mungkin juga dengan berlalunya masa, akan tumbuh cinta dalam hatinya untuk Aaron. Aaron tidak kurang apa-apa. Sempurna sebagai seorang lelaki dan teman lelaki.

“Tolong tengokkan Lily Lana. Aku nak turun bawah sekejap.”

Kemunculan Zahran yang tiba-tiba itu membuat lamunan Arianna sirna. Gugup dia tiba-tiba apabila menyedari Zahran sedang merenungnya.

“Oh…Okey. Lama ke?”

“Sekejap je. Dina kata tadi dia mintak pengasuh hantar baju Lily Lana. Sekejap lagi dia sampai.”

Arianna mengangguk. “Okey.”

Zahran berlalu. Arianna memerhatikan belakang badan lelaki itu sehingga Zahran menghilang di sebalik pintu. Nafas ditarik dalam, sebelum perlahan dia lepaskan.

“See…Macam tu je…”

Arianna bangun lalu mengemaskan kotak-kotak pizza yang sudah kosong. Piring dan cawan yang digunakan semasa menonton tadi di bawa ke sinki sebelum mencuci dan memasukkannya ke dalam rak pengering.

Kemudian dia kembali ke ruang TV, mengelap kesan minyak, sos, dan lelahan air batu yang mengotori meja. Setelah berpuas hati dan yakin bersih, berulah dia kembali ke dapur. Ketika dia sedang membersihkan kain pengelap di sinki, suara rengekan di belakangnya membuat dia menoleh.

“Lily?” Dia mengecam Lily dan Lana berdasarkan baju yang mereka pakai. Segera dia mencuci tangan lalu mengelapnya sehingga kering.

Lily yang hampir menangis itu dihampiri. Arianna bertinggung bagi mensejajarkan ketinggiannya dengan anak kecil itu.

“Uncle mana?” tanya Lily.

“Uncle turun ambik baju Lily Lana dengan nanny. Sekejap lagi uncle balik.”

Lily diam. Tangan kanannya yang memegang patung kuda laut, terangkat mengesat air mata yang mula meleleh.

“Errmmm…Lily nak susu? Auntie ambikkan?”

Lily geleng dengan esakan halus yang mula lolos dari bibir mungilnya.

“Then Lily nak apa? Tell me.” Arianna memujuk lembut. Dalam hati berdoa supaya tangisan Lily tidak pecah, bimbang akan
mengejutkan Lana dan si kecil yang seorang lagi itu juga akan menangis.

“I want uncle…”

“I want your uncle too…”

“Auntie pun nak tidur dengan uncle?” tanya Lily dengan wajah polosnya.

“Ahhh? Hahaha…No…No…No…I…I…” Arianna tidak tahu harus memberi jawapan apa. Kata-kata tadi laju sahaja meluncur keluar dari bibirnya.

“Nanti Lily bagitahu uncle.”

“Eh…Eh…Tak payah…Auntie dah pernah tidur dengan uncle dulu.” Arianna mengernyit lantas meringis dengan keceluparannya. Laju sahaja dia mengeluarkan kata-kata seolah-olah ia hanya berseleweran di pinggir bibir; hanya menunggu masa untuk dihamburkan.

Tiada tanggapan daripada Lily membuat Arianna mendesah lega. Semoga apa yang diperkatakannya tadi tidak melekat di otak anak kecil itu.

“Jom, kita pergi depan. Lily nak tengok TV?” Arianna berdiri lalu mengganding tangan Lily kembali ke ruang depan.

Lily geleng. “I want uncle.”

Ketika itu juga, bunyi beep menandakan kata laluan pintu dibuka membuat Arianna dan Lily sama-sama menoleh ke arah sana. Zahran muncul bersama satu beg baju di tangan kanannya dan satu beg kertas di tangan kirinya.

“Uncle!” Lily segera menerpa ke arah bapa saudaranya itu.

Zahran yang sedang menutup pintu, menoleh. Barang-barang di tangannya diletakkan di atas meja konsol sebelum dia mendukung Lily lalu mencium pipi anak saudaranya itu.

“Dah lama bangun?” tanyanya.

Lily tidak menjawab, sebaliknya menyembamkan muka ke bahu Zahran.

“Nak tidur lagi ke?” tanya Zahran lagi sambil melangkah menuju ke sofa. Satu tangannya mengusap belakang kepala Lily.

Arianna hanya memerhati interaksi dua orang itu. Diambil beg baju dan beg kertas yang diletakkan Zahran di atas meja tadi lalu dibawanya ke ruang depan.

"Nak makan tak?” tanya Zahran setelah melabuhkan duduk di sofa dengan Lily masih dalam gendongannya.

Lily angguk.

“Jom. Tadi unni ada hantar makanan,” ujar Zahran. Lily dan Lana agak cerewet makan. Ayam, mereka hanya makan bahagian isi sahaja. Jika ada tertinggal sedikit sahaja tulang, walaupun tulang lembut, mereka tidak akan menyentuh makanan itu. Benar-benar seperti ibunya, Irdina.

“Lana?” Lily menunjuk ke arah Lana yang masih tidur.

“Biarlah Lana tidur.”

“Lily nak tunggu sampai Lana bangun.”

“Tak apalah. Lily makanlah dulu.”

Lily geleng. “Nak tunggu Lana.”

“Kalau macam tu kita tengok TV dulu?” Arianna tiba-tiba bersuara.

Lily dan Zahran sama-sama menoleh ke arahnya.

“Nak?” tanya Arianna apabila Lily hanya terkebil-kebil memandangnya.

“Nak.”

“Okay, nak tengok apa?” Zahran mencapai alat kawalan jauh TV.

“Lily pandai…Lily pandai…Lily nak buat sendiri.”

Zahran menyerahkan alat kawalan itu kepada Lily. Jemari kecil Lily mula menekan-nekan alat kawalan itu, menaip rancangan TV yang mahu ditontonnya.

“A…”

“R…” Lama dia merenung alat kawalan itu sebelum dia menoleh ke arah Zahran. “I can’t find R.”

“Ni…” Zahran tunjuk huruf R key board.

“Oh…” Segera Lily menekan huruf itu.

“Lepas tu huruf apa?”

“P…” jawab Lily sambil matanya meneliti satu persatu huruf pada key board mencari huruf P.

“Tu P dekat…”

“Jangan cakap. Lily nak cari sendiri.”

“Oh…Okay…”

“Dah jumpa P!” jerit Lily.

“Yay Good job!” Zahran tepuk tangan.

“Then O.”

“Arpo? What is Arpo?” tanya Zahran.

“Tu!” Lily tunjuk ke arah kaca TV yang mula menayangkan siri animasi Arpo The Robot.

“So Arpo is a robot?” ujar Zahran.

“Yes.” Lily sudah berdiri di depan TV, menonton rancangan kegemarannya itu.

“Lily, jauh sikit daripada TV. Sit here. Come,” ujar Zahran sambil menepuk sofa di sebelahnya.

Lily berundur sedikit, namun dia tidak duduk. Berdiri di depan TV, dia sudah terkekeh-kekeh menonton aksi robot pengasuh itu.

Arianna pula sedari tadi tersenyum melihat interaksi antara Zahran dengan Lily. Di sebalik sikap Zahran yang menyebalkan, lelaki itu ternyata pandai melayan anak-anak saudaranya. Jika tidak, masakan Lily dan Lana lebih memilih ditinggalkan bersamanya berbanding pengasuh mereka.

“Baby tu kan macam Liyyan. Very naughty,” ujar Lily sambil menunjuk bayi di dalam siri kartun itu.

“Who’s Liyyan?” tanya Arianna.

“My little brother."

“Oh…How about Lily? Lily nakal tak?” Arianna cuba memancing perbualan dengan anak kecil itu.

“No. Daddy selalu cakap Lily is a good girl.”

“Really? How about Lana?”

“Lana also good girl because she’s my twin.”

Arianna tertawa. “Good like mommy or daddy?”

“Mommy and daddy.” Mulutnya petah menjawab, namun matanya tetap fokus ke TV.

“Pandai dia jawab,” ujar Arianna, membuat Zahran tersenyum nipis.

“Macam mommy dia.”

Perlahan, namun jelas terdengar di telinga Arianna, yang membuat senyum Arianna memudar. Riak wajah dan suara Zahran itu terdengar begitu jauh, seolah dia mengatakannya dari sebuah dimensi lain.

“Anak memang cenderung ikut perangai mak,” kata Arianna.

“Kesian anak kau nanti.”

“Kenapa pulak?”

“Merata cium orang depan tandas shopping complex.”

Arianna picing mata. Baru beberapa saat tadi dia rasa kasihan melihat riak wajah Zahran. Nah sekarang rasa kasihan itu sudah lebur jadi asap, berganti dengan rasa geram. Dicapai bantal kecil di hujung kaki lalu dibaling ke arah Zahran. Zahran pantas mengelak menyebabkan balingan itu tersasar lalu terjatuh ke atas muka Lana. Merengek Lana kerana terasa tidurnya terganggu.

Buntang mata Zahran memandang Arianna sambil dia menepuk-nepuk bahu Lana supaya tidur semula. Namun bunyi TV dari siri Arpo itu membuat mata Lana terbuntang luas. Segera dia bangun lalu mendekati Lily.

Berdiri dua beradik itu di depan TV menonton Arpo.

“Lily, Lana, kenapa tak duduk?” tanya Zahran. Pelik sungguh dia dengan tabiat dua beradik itu. Jika menonton TV, mesti dalam keadaan berdiri. Itu belum lagi Liyyan. Bukan setakat berdiri, siap berjoget di atas meja.

“Because we’re standing.”

Meledak tawa Arianna dengan jawapan Lily. Zahran juga ikut tertawa. Sementara dua beradik itu tidak mengendahkan apa-apa, terus leka mengadap TV.

“Lana dah bangun, Lily nak makan sekarang?” tanya Zahran.

“Sekejap. Nak tunggu Arpo habis.”

Zahran akhirnya bersandar pada sofa, turut menonton rancangan kartun itu sehingga tiba-tiba rasa bosan menyerang. Dia toleh, memandang Arianna yang duduk di hujung sofa berbentuk L itu; tersenyum-senyum memandang aksi Lily dan Lana yang petah membuat ulasan tentang rancangan yang mereka tonton itu.

Menyedari dirinya dipandang, Arianna toleh. Diangkat sedikit dagunya, sebagai isyarat bertanya ada apa.

Zahran menggerakkan sedikit kepala, meminta Arianna datang kepadanya. Arianna akur tanpa banyak bertanya.

“What?” tanyanya selepas melabuhkan duduk di sebelah Zahran.

“Kita sambung tengok episod lapan,” ujar Zahran sambil menggeser skrin telefonnya. Saluran Netflix dibuka dan mereka menyambung semula menonton siri Violet Evergarden pada telefon Zahran.

“Kecik sangatlah skrin. Tak ada mac book ke?” ujar Arianna.

“Kat office, tak bawak balik.”

“Sambung tengok minggu depanlah.”

“Tak boleh. Kena habiskan hari ni jugak. Minggu depan aku sibuk.”

Arianna berdecit. Sebal, malas, namun dia melayan juga. Merapatkan belakang ke sandaran sofa, dia menonton siri anime itu pada telefon Zahran.

“So sad. Violet tak boleh terima Gilbert dah mati.” Arianna menggumam apabila episod itu memaparkan babak Violet mencari Dietheard bagi bertanya tentang Gilbert.

“Which is Gilbert sebenarnya tak mati,” balas Zahran.

“Tapi Violet tak tahu.”

“Yeah…Pity her.”

“But I still wish to be Violet. Because in the end, she gets to be with the man she loves.”

“Everyone deserves that tak kira siapa pun dia,” ujar Zahran.

Ya, semua orang layak hidup bahagia bersama dengan orang yang dicintai. Semua orang kecuali dia. Dia tidak dapat menentukan bahagianya sendiri. Menyedihkan memang, tapi apa dayanya. Dia hanya hidup untuk membahagiakan datuk, daddy, mommy, Aaron, keluarga Aaron. Dia? Entahlah.

"Hmmm..." Tanpa sedar, satu keluhan kecil lolos dari bibirnya, dan an itu tidak luput dari perhatian Zahran. Namun lelaki itu tidak berkata apa-apa.

Terlalu memfokuskan mata pada skrin yang kecil membuat mata Arianna letih, sebelum menjadi layu, kuyu dan akhirnya terkatup. Suara Lily dan Lana yang berceloteh tentang siri Arpo yang sedang ditonton sedikit pun tidak mengganggu tidurnya.

SETELAH tamat siri Arpo yang ditonton, Lily dan Lana mendekati Zahran dan Arianna yang sama-sama sudah terlelap di sofa dengan kepala Zahran terlentok di atas kepala Arianna yang terkulai di bahunya. Telefon di atas tapak tangan Zahran masih menayangkan siri anime Violet Evergarden entah episod berapa.

“Uncle tidur,” ujar Lana

“Lily lapar.”

“Lana pun.”

“Uncle kata unni ada hantar makanan.”

“Mana?”

Mata Lily melilau mencari beg yang dibawa bapa saudaranya tadi sehinggalah matanya tertancap pada satu beg kertas dan satu beg pakaian yang diletakkan Arianna di atas meja kopi.

“I think this one.” Lily membuka beg kertas lalu mengeluarkan dua bekas makanan. Penutup bekas dia buka dan senyumnya melebar apabila melihat ayam katsu kegemarannya bersama sos keju yang diletakkan di dalam bekas berasingan.

“Chicken katsu!” jerit Lana.

Bersila di lantai, Lily membuka bekas sos lalu mencurah sos di atas ayam itu dan menikmatinya dengan penuh berselera.

Suara dari siri anime di telefon Zahran menarik perhatian Lana.

“Uncle tengok cerita apa?” tanya Lana.

Lily angkat bahu, tidak peduli kerana mengisi perutnya yang keroncongan lebih penting. Apa-apa masalah berbangkit akan diselesaikan setelah perutnya kenyang. Dari tadi dia lapar. Namun demi menunggu Lana dan mahu menonton Arpo, dia tangguhkan dahulu acara makannya.

“Auntie tu bukan orang gila hari tu ke?” ujar Lana.

Lily yang sedang menggigit ayamnya, mengangkat muka memandang Lana sebelum toleh ke kiri, meneliti wajah Arianna yang nyenyak tidur di bahu pakcik mereka. Lama dia merenung wajah Arianna sambil berfikir-fikir dengan mulutnya yang tidak berhenti mengunyah.

“Yes. Yang kiss uncle tu.”

“Kenapa uncle berkawan dengan orang gila?”

“Because she’s beautiful.”

Lana mengangguk-angguk, menerima jawapan adiknya.

Suasana berlalu sepi dan hening selepas itu apabila mereka menikmati makanan dengan senyap. Licin dua keping chicken katsu, mereka tersandar kekenyangan.

Muzik anime dari telefon Zahran lagi-lagi menarik perhatian mereka. Lily bangun lalu mendekati bapa saudaranya itu.

Telefon dari tapak tangan Zahran diambil lalu menekan keluar dari aplikasi Netflix. Terpampang gambar Zahran bersama mereka semasa hari raya yang lalu pada skrin.

Laju tangan Lily menggeser skrin jika ada game yang boleh mereka main, namun sayangnya tidak ada.

“No games,” ujarnya kecewa.

“Jom ambik gambar,” kata Lana. Dia memang suka bergambar dan berswafoto.

Lily mengangguk setuju. Telunjuk comelnya segera menekan aplikasi kamera dan mula mengambil gambar swafoto mereka berdua. Berbagai gaya dan dan mimik muka sehingga penuh galeri telefon Zahran dengan foto mereka.

“Ambik gambar uncle,” ujar Lana.

“Macam mana nak nampak uncle?” soal Lily sambil menunjuk skrin telefon itu yang hanya menampakkan wajah mereka. Ya, dia tidak tahu bagaimana mahu menukar kamera belakang. Yang dia tahu, selfie.

“Turn your body around.” Lana memusingkan tubuh Lily supaya membelakangi Zahran dan Arianna sehingga imej dua orang itu terpapar jelas pada skrin telefon.

Dengan senyum menampakkan barisan gigi yang putih bersih, dua jari terangkat menunjukkan simbol peace, berpuluh-puluh gambar mereka ambil dengan berlatar belakangkan Zahran dan Arianna yang sedang lena.

Setelah puas, mereka melihat gambar-gambar yang diambil. Saat itulah Lana menyedari bahagian hadapan baju Lily yang sudah kotor terkena lelehan sos keju tadi.

“Lily, baju Lily dah kotor. Nanti mommy marah,” kata Lana sambil menunjuk ke arah kotoran pada bahagian depan baju Lily. Mommy mereka sangat cerewet menjaga baju. Bip tidak pernah lupa dipakaikan jika makan. Tisu dan napkin sentiasa disediakan untuk mengelap tangan dan mulut selepas makan.

Lily tunduk memandang baju yang kotor sebelum dia memandang Lana dengan wajah cemas.

“Macam mana ni?” Lily hampir menangis.

“Kena cuci.”

Lily meletakkan telefon Zahran ke meja lalu mengangkat tangan, sebagai isyarat supaya Lana membantu menanggalkan bajunya.

“Tak boleh buka baju kat sini. Nanti uncle bangun, dia nampak.”

“Oh…” Lily menurunkan semula tangannya. Baru dia teringat pesan mommy supaya tidak membuka pakaian di depan orang lelaki.

“Then how? Nanti mommy marah Lily.”

Lana menarik tangan Lily menuju dapur, berniat mahu membasuh baju adiknya itu di sinki. Namun melihat sinki yang tinggi dan paipnya tidak tercapai oleh tangan mereka, terpaksa dia menarik kerusi. Melihat itu, Lily turut melakukan perkara yang sama. Kemudian mereka memanjat kerusi, berdiri di depan sinki. Lana melalukan tangannya di bawah pili sebelum air mengalir keluar dari sana. Dibasahkan tangannya sebelum dia membasuh bahagian kotor pada baju Lily.

“Kalau tak hilang macam mana?” Lily mula merengek apabila kesan kotoran masih belum hilang walaupun Lana sudah membasahkannya beberapa kali.

"Just say sorry mommy. I won’t do it again,” jawab Lana.

“Tak nak! Nanti mommy marah.” Lily menghentak kakinya.

“Then tolonglah Lana cuci baju ni.”

Mendengar suara kakaknya yang sudah meninggi, Lily turut membasahkan tangan lalu membantu Lana mencuci sisa lelehan keju pada bajunya itu.

Namun entah bagaimana, ketika dia mendekatkan tubuhnya ke arah pili untuk membasahkan tangan, titisan air dari bajunya yang menitis ke kerusi membuat kakinya tergelincir lalu dia jatuh tersungkur ke lantai. Menggaung tangisan Lily di ruang dapur itu membuat Lana panik. Malah turut membuat Zahran dan Arianna terjaga. Terpinga-pinga mereka mencari arah suara apabila melihat ruang di depan TV itu sudah kosong.

“Dapur!” ujar Arianna lalu mereka bergegas berlari ke sana.

“Ya Allah Lily!” Zahran segera menerpa ke arah Lily yang sudah merah mukanya kerana menangis.

Diangkat tubuh Lily lalu didukung dan membawanya ke ruang tamu. Belakang Lily diusap lembut, memujuknya supaya berhenti menangis.

“Kenapa Lily? What happened? Lily buat apa kat dapur?” tanya Zahran lembut. Melabuhkan duduk di sofa, tubuh Lily masih dia peluk apabila tangisan Lily tidak kunjung berhenti.

“Lana nak cuci baju Lily, lepas tu Lily tiba-tiba jatuh.” Lana menjawab bagi pihak adiknya. Dari nadanya, jelas menggambarkan rasa bersalah.

“Jatuh?” Zahran melonggarkan pelukannya, mahu memeriksa tubuh anak saudaranya itu jika ada lebam atau benjol di mana-mana.

Saat itulah dia melihat dahi Lily yang sudah membenjol.

“My god! Dah benjol.” Arianna terkejut. Melihatnya saja sudah terasa sakit, apa lagi Lily yang menanggungnya.

“I pergi ambik ais,” ujarnya lalu terus berlalu ke dapur.

Beberapa minit kemudian dia kembali dengan ais yang dibalut di dalam sapu tangan nipis lantas dihulurkan kepada Zahran.

Lily masih teresak manakala Lana pula berdiri di depan Zahran, memandang Lily dengan wajah bersalah.

“Lily, I’m sorry…” ujarnya.

Zahran yang menuam dahi Lily, mengangkat muka memandang Lana.

“It’s okay Lana. It’s not your fault. Uncle yang salah sebab tak jaga Lily Lana. Jangan sedih dan jangan rasa bersalah, okey?”

Lana diam, menunjukkan kata-kata Zahran tidak langsung melegakannya yang masih dibebani rasa bersalah.

Melihat itu, Arianna mendekati Lana. Memusingkan tubuh Lana mengadap ke arahnya, dia bertinggung mensejajarkan ketinggiannya dengan anak itu. Wajah Lana direnung dan anak mata Lana dicari.

“Lana dengar uncle cakap tadi kan? It’s not your fault. Tapi salah uncle dengan auntie. Uncle and auntie will be responsible for what happened to Lily okay? You don’t have to worry. Lily will be fine.”

“Dahi Lily kena jahit tak?” Tiba-tiba Lana teringat dahi Liyyan yang terpaksa dijahit selepas terjatuh beberapa minggu lalu.

Lily yang mendengar pertanyaan Lana itu kembali meraung, menjerit-jerit tidak mahu dijahit. Meronta-ronta dia di pangkuan Zahran membuat bapa saudaranya itu kewalahan mengawalnya.

“Lily…Lily…” Zahran cuba menenangkan anak saudaranya itu. Dipeluk erat tubuh Lily supaya berhenti meronta.

“Dengar uncle. Dahi Lily tak perlu jahit sebab tak koyak.”

Raungan Lily terhenti, namun esakannya masih bersisa. Setelah Lily sedikit tenang, Zahran kembali menuam bahagian yang benjol sambil tidak henti-henti meminta maaf. Benar-benar dia rasa bersalah kerana cuai sehingga Lily terjatuh.

Arianna hanya memandang. Ternyata Zahran ada sisi lain yang hanya dia tonjolkan saat bersama anak-anak saudaranya.

Ah, kenapa dia jadi semakin terpesona dengan lelaki yang menyebalkan ini?

Setelah hampir lima belas minit menuam, benjol pada Lily kelihatan surut sedikit.

“Lily nak cuci baju Lily kotor. Nanti mommy marah,” ujar Lily. Ditunjukkan bahagian bajunya yang terkena lelehan keju tadi

“Bukak baju tu, biar uncle cuci. Then terus mandi okay?”

“Mommy kata tak boleh mandi dengan orang lelaki,” ujar Lana.

“Oh…Then…” Terkedu Zahran, tidak tahu harus berkata apa.

“Mandi dengan auntie nak?” Arianna menawarkan diri.

Lana mengangguk, namun Lily masih diam di pangkuan Zahran.

“Boleh ke?” tanya Zahran, memastikan.

“Mestilah boleh.”

“Lily mandi dengan auntie okey?” ujar Zahran.

“Okey.”

“Guna bilik sana tu.” Zahran menunjuk ke arah bilik yang pernah digunakan Arianna sebelum ini.

Arianna angguk sekali sebelum memimpin tangan Lily dan Lana menuju ke bilik yang ditunjukkan Zahran.

ARIANNA mengisi air ke dalam tub, membiarkan Lily dan Lana bermain dengan buih, sementara dia mencuci kotoran pada baju Lily.

“Auntie, next time if you want to kiss uncle, you have to ask for his permission first.”

Nasihat tulus dan polos daripada Lana itu membuat Arianna nyaris tersedak air liurnya sendiri.

“Okay, I will keep that in mind.”

“What’s your name?” tanya Lily.

“Arianna. You can call me auntie Ari.”

“You’re Chinese?” tanya Lana pula.

“Yes.”

“Ni hen piyau liang, ni hen mei (Awak sangat cantik),” ujar Lily.

Arianna yang sedang memerah baju Lily yang sudah siap dicuci menoleh dan memandang Lily dengan tatapan kagum.

“You can speak chinese?”

“Belajar dekat sekolah. We have many Chinese friends.”

“Really? Can I be one of your Chinese friends?” Arianna bertinggung di tepi tub setelah selesai mencuci baju Lily.

“Shi. Women shi huen ni…(Kami sangat sukakan awak),” jawab Lana.

Arianna tersenyum. Gelagat dua beradik ini benar-benar menghiburkan. Pandai berkata-kata dan menyenangkan. Bijak juga.

“Wo ye shi huen ni (Saya pun sukakan awak),” kata Arianna.

Lily dan Lana tersengih lalu meniup buih ke muka Arianna membuat ‘kawan baru’ mereka itu terjerit. Arianna membalas semula dengan mengumpulkan buih di tangannya lalu ditiup ke arah Lily dan Lana.

Pecah tawa dua beradik itu, bergabung dengan tawa Arianna. Riuh seketika ruang bilik mandi itu dengan jeritan dan tawa renyah mereka.

SEMENTARA Zahran, mengemaskan bekas-bekas makanan Lily dan Lana di ruang tamu. Tahulah dia yang dua beradik sudah kenyang menikmati makanan yang dihantar Sinta saat dia dan Arianna tertidur.

Ketika sedang berkemas-kemas, dia ternampak telefonnya yang masih menyala. Segera dicapai benda pipih itu, dan dalam hitungan detik, matanya membuntang luas. Mana tidak, gambar swafoto Lily Lana dengan Arianna terlentok tidur di bahunya terpampang jelas pada skrin. Jangan ditanya apa khabar dengan jantungnya saat ini. tidak tercabut dari tangkainya saja sudah cukup bagus. Segera dia membuka semua aplikasi media sosial, jika Lily Lana secara tidak sengaja terkongsi gambar tersebut itu di mana-mana. Whatsapp, Telegram, Fac, Instagram, habis diselongkarnya. Mujurlah tidak ada.

“Haish budak-budak ni. Sakit jantung aku,” gerutunya sambil mengusap dada.

Dibelek semula galeri foto sebelum apa yang dilihatnya membuat bola matanya nyaris terjojol keluar. Ada lebih seratus gambar swafoto anak-anak saudaranya itu dengan berbagai gaya: mata terbuntang, lidah terjelir, bibir termuncung, simbol peace, love, senyum acah comel, lubang hidung melopong. Daripada marah, dia tertawa sendiri. Apatah lagi melihat kesan minyak, sos keju dan kesan cap jari pada skrin telefonnya.

“Adoii…Nasib la kepala kau benjol Lily, jadi uncle maafkan. Kalau tak, aku suruh daddy kau ganti phone ni.”

Beberapa helai tisu dia tarik dari kotak lalu mengelap kesan pada skrin telefonnya sebelum dimasukkan telefon itu ke saku seluar tanpa memadam gambar-gambar tadi.

ZAHRAN membawa Lily dan Lana ke Villa seroja kerana Zahrin perlu ditahan di hospital sehari lagi. Esok baru adiknya itu dibenarkan pulang. Teruk dia dibebel ibunya kerana cuai sehingga dahi Lily benjol. Dia tidak berkata apa-apa kerana dia tahu itu memang salahnya. Mujurlah Lily tidak ada apa-apa. Benjolnya juga sudah surut.

Ketika dibawa ke klinik semalam pun, kata doktor jika Lily tidak muntah dan tidak demam, jadi tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan.

Mujur juga Lily dan Lana tidak membuka cerita tentang Arianna. Jika tidak, mati dia dikerjakan ibu.

“Dina kata ada perempuan kat kondo kau semalam. Siapa dia?” tanya Zahrin ketika dia melawat adiknya itu semalam.

“Kawan.” Ya, dia tidak berbohong. Arianna hanya sebatas kawan. Tidak ada hubungan istimewa antara mereka.

“Kawan macam mana? Kawan biasa ke, luar biasa ke, tak biasa ke?”

Zahran berdecit tidak suka. “Kawanlah. Aku tak categorizekan kawan aku biasa ke, luar biasa ke, tak biasa. Semua kawan.”

“Siapa nama dia?”

“Eh kau ni soal siasat mengalahkan ibu pulak.”

“Daripada ibu tahu, baik aku yang tahu. At least kalau berlaku apa-apa, aku boleh back up kau.” Zahrin memancing Zahran untuk bercerita.

“Tak payah back up. Aku boleh back up diri sendiri.”

“Melayu ke Cina ke India?” Zahrin masih tidak berputus asa.

“Sino-Kadazan.”

Berubah wajah Zahrin, membuat Zahran ketawa. Ternyata Zahrin masih belum membuang rasa cemburunya.

“Gurau kasar kau ek,” ujar Zahrin sebal.

“Kau ingat dia sorang je ke perempuan Sino-Kadazan dalam Malaysia ni? Ramai lagilah.”

“Tak…Tak…Punya banyak suku kaum dalam Malaysia ni, kenapa Sino-Kadazan jugak yang kau nak cari? Cari keturunan lainlah.”

“Eh kita kan kembar. Sejak kecik memang kita sama taste kan.”

“Banyaklah kau punya sama taste. Sino-Kadazan tu taste aku. Kau cari taste lain.”

Zahran tergelak. “Olololo marah pulak adik aku. Meh cium sikit.” Ditangkup kedua-dua pipi Zahrin lalu menghadiahkan ciuman di dahi adiknya itu.

“Eh siallah kau!” Zahrin mengusap kasar bekas ciuman Zahran di dahinya.

“Cium pun marah. Lempang mau?”

Tiada jawapan daripada Zahrin membuat suasana menjadi hening.

“If I have someone special in my heart, I’ll make sure you’re the first to know. I promise,” kata Zahran. Dia tahu Zahrin berkecil hati kerana berasakan dia menyembunyikan sesuatu. Tetapi buat masa sekarang, dia tidak mahu bercerita tentang Arianna kerana gadis itu bukan seseorang yang istimewa dalam hidupnya.

“So yang kat kondo tu…Kawan biasa?” Zahrin kurang percaya. Zahran tidak pernah membawa mana-mana perempuan ke kondonya. Dan setahunya Zahran tidak pernah ada kawan perempuan selain Irdina.

“Yup.”

“Walaupun dia perempuan yang sama yang cium kau dulu?”

Tercengil mata Zahran dengan pertanyaan Zahrin itu.

“Itu bukan ciuman. Itu kemalangan. Macam kaulah accident sampai berjahit mulut sebab cium jalan tar. Aku tak kena jahit sebab…”

“Sebab kau yang jahit kain dia. Hahahahahahaha!” Saking galak mahu mengenakan Zahran, Zahrin ketawa besar membuat nyeri menyerang bahagian sudut bibirnya yang berjahit. Berair matanya menahan pedih.

“Itu la…Derhaka lagi dengan aku. Tuhan bayar cash.”

Zahrin menjeling sebal sambil memegang kesan jahitan pada bibirnya bagi mengurangkan rasa perih yang berdenyut-denyut.

“Patutnya mulut kau yang kena jahit,” gerutunya.

“Tak serik-serik lagi.”

“Diamlah kau.”

Zahran terkekeh.

“Majlis Aaron minggu depan kau pergi tak?” tanya Zahrin.

“Pergilah. Aku dah kosongkan jadual aku minggu depan.” Tidak mungkinlah dia tidak hadir majlis pertunangan Aaron sedangkan dialah ketua pengapit. Lagipun dia mahu kenal juga siapa wanita bertuah yang menjadi teman hidup Aaron.

.
. .

ZAHRAN baru melangkah beberapa anak tangga menuju biliknya di tingkat atas apabila dia mendengar ibunya mengomel dari ruang menonton. Malah namanya turut disebut-sebut. Walaupun tidak dinyatakan langsung, namun dia tahu ia ditujukan kepadanya.

"Kenapa semua cerita melayu hero dia perangai macam mak bapak tak ajar? Ni lah sebabnya perempuan Malaysia suka kahwin lelaki Bangla, Nepal, Rohingya. Dah lelaki Melayu payah laku, termasuklah sorang yang kat rumah kita ni.”

Zara tersengih dengan mata memandang skrin telefon. Entah sengihan itu kerana bebelan ibunya atau kerana mesej yang dihantar teman lelakinya.

Zahran mendengus sebal. Satu kakinya yang sudah melangkah satu anak tangga, diundur semula, menghampiri ibunya di ruang menonton bersebelahan tangga.

"Bukan lelaki Melayu tak laku, tapi perempuan Melayu kualiti macam baju lelong made in Bangladesh. Orang pegang, ramas, letak balik. Lepas tu orang lain pulak datang pegang, ramas, letak. Kalau ada yang beli pun, pakai dua bulan lepas tu buat kain buruk."

Tersentak PS Wahida kerana tidak menyangka Zahran mendengar omelannya. Terkebil-kebil dia memandang Zahran sambil berusaha menelan kepedihan kata-kata anaknya tadi.

"Ehhh....sedap dia mengata. Abang jangan lupa. Yang dalam rumah ni pun ada dua perempuan Melayu tau," ujar Zara sebaik otaknya kembali ke tempat asal setelah sejenak berengsot dek terkedu dengan kata-kata Zahran.

"Kau dengan ibu kualiti lain. Macam t shirt LV night sequin. Jangan kata nak ramas, nak pegang, nak basuh pun tak boleh. Limited edition kata orang putih. Orang tertentu je boleh beli."

Tercengil mata PS Wahida dengan jawapan Zahran.

"Hish budak ni!" Sebiji bantal kecil dicapai lalu dilibas ke kepala anaknya itu.

Lily dan Lana yang sedang mewarna tidak jauh dari PS Wahida terkekeh melihat bapa saudara mereka itu dipukul dengan bantal.

"Uncle suka orang Cina," ujar Lily.

Hek!!! Nyaris Zahran tercekik lidahnya sendiri dengan kata-kata yang meluncur dari mulut Lily.

"Auntie tu cantik kan?" ujar Lana pula.

"Auntie mana, sayang?" Tanya PS Wahida tanpa dapat menyembunyikan binar teruja pada wajahnya. Jika benar Zahran sudah ada teman wanita, Tuhanlah tahu betapa dia insan yang paling gembira.

"Auntie yang kat rumah uncle tu," jawab Lily jujur.

Perlahan PS Wahida menoleh, memandang Zahran dengan tatapan curiga.

Zahran tertawa, namun dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Seram dengan riak wajah ibunya itu.

"Rin kena bawak anak-anak dia jumpa ustaz ni. Tutup hijab. Yang bukan-bukan je dia orang nampak."

"Betul...auntie tu..."

"Kurus-kurus, rambut panjang, putih kan? Muka macam Cina, betul tak?" Cepat-cepat Zahran menyela sebelum sempat Lily bercerita.

"Betul...Betul...Auntie tu baik sangat."

"Ermm sahlah tu .." Zahran mengangguk-angguk.

"Apa yang sah?" tanya PS Wahida. Garang.

"Hijab anak-anak Zahrin ni dah terbukak. Memang ada makhluk yang dia orang cakap tu kat kondo. Dulu tak ada. Semenjak dua menjak ni kerap pulak dia muncul. Entah dari mana datangnya. Tapi Ran buat tak tahu je sebab dia tak kacau orang. Kadang-kadang dia tolong kemas rumah, bersihkan dapur, habiskan makanan dalam peti..."

"Eh panggil ustazlah. Biar ibu call ustaz Luqman..."

"Eh, tak apa bu. Tak payah ustaz. Setakat hantu macam tu, Ran sendiri boleh handle."

“Ye ke?”

“Ya.”

“Ran tak sorok apa-apa daripada ibu kan?” PS Wahida memicingkan mata dengan telunjuk dituding ke muka Zahran.

“Auntie tu pandai buat buih besar.”

Kata-kata Lily itu benar-benar membuat Zahran geram. Elok ibunya sudah nampak percaya dengan ceritanya, sekarang sudah jadi curiga semula.

“Bila dia buat buih besar?” tanya Zahran dengan wajah yang sengaja dikerutkan.

“Masa dia mandikan Lily dengan Lana.”

“Astaghfirullahalazim ibu…” Zahran melekapkan tapak tangannya ke dada.

PS Wahida ikut beristighfar. “Kenapa Ran?”

“Lily Lana mandi sendiri je kat rumah Ran semalam. Patutlah lama dia orang mandi. Main dengan hantu rupanya.”

“La, kenapa biar budak-budak mandi sendiri? Bahaya!”

“Dia orang ni taat sangat dengan mommy. Mommy kata tak boleh mandi dengan orang lelaki,” jawab Zahran.

PS Wahida mengangguk-angguk. Dia tahu tentang itu. Irdina memang tegas mendidik anak-anaknya, sehingga jika dia tidak ada pun, ajarannya kuat melekat di dalam minda Lily dan Lana.

“Bahaya tu sampai dia berani tunjukkan diri depan budak-budak ni. Takut-takutnya dia ikut balik, kang tak pasal-pasal
tersampuk pulak Lily dengan Lana. Nanti-nanti ibu bawak Ustaz Luqman pergi kondo. Kita buat sembahyang hajat dan baca Yassin. Ajak budak-budak tahfiz sekali. Jap ibu call Ustaz tu tanya bila dia free.” Tanpa menunggu jawapan Zahran, PS Wahida bangun meninggalkan ruang menonton itu, mencari telefonnya untuk menghubungi Ustaz Luqman.

Zahran pula terkebil-kebil memandang belakang tubuh ibunya dengan mulut ternganga.

Share this novel

Asmah
2022-05-14 20:03:04 

kalah dgn anak menakan hahaha...

norsila
2022-05-13 21:53:43 

kelakar dn lucu sgt bad ni..hahahahahaha


NovelPlus Premium

The best ads free experience