4 Kau Lagi?

Family Series 57531

Deila Araferro melangkah masuk ke dalam sebuah rumah sederhana besarnya. Rumah satu tingkat di mana bahagian atas diperbuat dari kayu dan tingkat bawah dari bata. Jendela tingkat atas menggunakan cermin keping bertingkat-tingkat manakala jendela bahagian bawah mengunakan cermin jenis sliding berwarna kehijau-hijauan.

Wajah terlebih ceria, siap melangkah sambil bersiul-siul dengan lantang. Di tangan kanan, menjinjing sebiji durian sebesar bola keranjang. Kaki dibawa terus menuju ke dapur.

“Amboi anak dara sorang ni, siapa ajar kau bersiul macam tu hah? Tak sopan! Mana sifat-sifat gadis Timur yang opah ajar kau saban hari hah? Ni kalau calon mertua lalu nama kau terus terpelanting dari dalam senarai menantu pilihan!”

Suara sergahan itu sontak buat Delia kemam bibir.

“Tak, Deila buat senaman bibirlah opah.”

“Ada je jawapan kau kan? Ni, awal-awal pagi dah hilang kau ke mana hah? Ingat sikit Deila, kau tu perempuan! Tak elok ke hulu ke hilir tak reti nak duduk diam di rumah. Siapa nak kahwin dengan kau nanti? Opah ni dah tua, dah tak lama di dunia ni. Opah risaukan kau, tau tak? Siapa nak temankan kau di rumah ni nanti?”

Ah, bab ni yang buat dia rasa serba salah ni! Nak jawab salah, tak jawab lagilah salah. Durian di tangan dia letak di atas meja makan. Dihampiri tubuh tua yang hanya tinggal tulang dibaluti kulit berkedut yang sedang sibuk mengupas kulit bawang berdekatan sinki. Bahu tua opah dipeluk dengan penuh kasih sayang.

“Opah, janganlah cakap macam tu. Ni, pepagi dah buka cerita sedih tak elok untuk minda tau. Kita kena sentiasa berfikir positif. Opah yang ajar Deila kan? Be positive, opah! Jom makan Musang King!”

“Hah, pandai kau ubah topik kan? Dari mana kau dapat durian tu? Setahu opah kita tak ada pokok durian.” Opah yang sudah selesai mengupas kulit bawang untuk dibuat nasi goreng mengalihkan tangan ke sinki lalu dibasuh hingga bersih.

“Opah ingat tak Deila pernah cerita yang Deila jumpa sepohon pokok durian di tengah jalan tu? Setiap hari Deila hilang pepagi tu kerana nak jaga pokok tu dari diganggu haiwan perosaklah. Deila siap pasang perangkap haiwan tau. Hah, nila hasilnya opah. Banyak lagi buah dia, cuma belum boleh dipetik lagi. Opah duduklah dulu, biar Deila kopek buah durian ni.”

Opah ditarik perlahan menuju ke tempat duduk.

“Opah tengah buat apa tadi? Kan Del dah pesan jangan buat kerja, opah rehat je. Del dah goreng mihun tadi sebelum jalan. Opah dah sarapan ke?”

“Opah dah sarapan. Nampak tadi masih banyak nasi lebihan semalam, ingat nak goreng. Boleh buat bekal untuk kau bila kau buka kedai nanti.”

Deila tersenyum memandang opah. Tak sampai hati mahu terus membebel tentang sikap opah yang tersangatlah keras kepala. Bukan sekali berlaku kemalangan, kalau bukan jatuh dan tercedera, habis hangus periuk belanga gara-gara opah terlupa mematikan api. Dia sampai tukar gas memasak. Kena guna pemetik api untuk nyalakan gas memasak semata-mata kerana tidak mahu opah memasak.

“Takpe opah, nanti Del je gorengkan.” Opah hanya mengangguk akur. Buah durian di atas meja direnung dengan mata terjegil.

“Besarnya durian! Kita dua makan tak habis ni.”

“Takpe opah, lebihan nanti boleh buat bubur dan aiskrim. Nanti Del boleh jual dekat kedai runcit. Budak-budak pasti berebut nak beli nanti.” Itulah dia otak seorang businesswoman. Ada-ada je idea untuk buat duit.

“Yela, ingat sikit… jangan asyik cari duit je Deila oi, cari jugak laki buat peneman kau. Opah ni tak selamanya ada di sisi kau.”

Deila buat tak dengar. Bukan sekali opah bicara hal yang sama, telinga dah lali. Kadang-kadang dia jawab, kadang-kadang macam nila. Dia hanya diam kerana keinginan mahu cari pasangan belum ada. Dia lebih berminat mahu majukan perniagaan yang baru setahun jagung beroperasi.

Hampir meleleh air liur bila durian terbelah dua menayangkan isi yang besar-besar berwarna kuning terang. Tanpa kesabaran, Deila mengambil seulas lalu diserahkan kepada opah. Seulas lagi dia ambil untuk diri sendiri.

“Rasalah opah, ini spesis Musang King tau. Jenuh saya buat kajian dan saya yakin seratus percent, ini durian Musang King. Durian kayangan yang tak mungkin mampu kita beli.”

Sungguh-sungguh Deila menikmati rasa isi durian ketika masuk ke dalam mulut. Kemanisannya, keempukannya, rasa lemaknya… pergh! Memang heaven.

“Susah-susah kau kahwin jela dengan budak Amirul anak tok ketua tu. Budak tu asyik berkepit je dengan kau kan?”

“Uhuks!” Hampir tertelan biji durian bila Deila dengar kata-kata opah. Budak Mirul tu? Teman sepermainan dari kecilnya? Eh, taklah!

“Opah nak lagi? Biar Deila ambilkan. Nah, makanlah opah. Sedap kan?” Dia mahu tutup mulut opah dari terus membebel soal jodohnya.

Hanya dua ulas, itu pun seulas hampir tak mampu dihabiskan, Deila dan opah tersandar kekenyangan. Perut yang sememangnya telah terisi dengan sarapan mihun goreng dan air milo bertambah sesak bila disumbat pula dengan isi durian.

Setelah merehatkan perut dalam beberapa minit, Deila bingkas berdiri. Beberapa ulas isi durian dia simpan dalam kontena plastik untuk santapan dia dan opah nanti manakala selebihnya akan dia masak buat pencuci mulut petang nanti. Mana yang lebih dia berniat mahu buat aiskrim ikat untuk dijual di kedai runcitnya.

“Hari ini kau tak buka kedai ke?” Opah tanya sambil membantu Deila mengemas dapur.

“Hari ni petang sikitlah saya ke situ. Biar Mirul je jaga kedai. Saya nak selesaikan dulu kerjakan durian ni.”

Opah angguk tanpa suara. Selesai mengemas dapur, opah beredar ke bilik air. Deila meneruskan aktiviti memasak dan seterusnya membungkus aiskrim ikat hujungnya. Bubur durian bersama ubi manis, macaroni dan sagu juga sedikit jagung lebihan dia buat aiskrim dimasukkan ke dalam bekas pakai buang. Dia sengaja bungkus lebih untuk diberikan kepada Amirul di kedai nanti. Ada separuh lagi dalam belanga. Sengaja dia tinggalkan untuk dia dan opah manalah tahu tengah malam mengidam nak makan. Tinggal panaskan je.

Selesai semuanya termasuk menyediakan makan petang opah. Kenapa makan petang? kerana opah akan merayap ke rumah jiran sebelah untuk membawang, petang baru opah akan muncul semula di rumah. Itulah rutin harian opah. Kalau bukan merayap, seharian opah berada di luar rumah membersihkan rumput dan daun kering.

Deila mandi dan bersiap-siap mahu ke kedai runcit. Setelah memasukkan semua barang-barang yang mahu di bawa ke dalam kereta kancilnya, Deila berjalan menuju ke rumah jiran.

“Opah! Del pergi kedai runcit dulu!” Deila jerit kuat. Kalau perlahan opah tak dengar.

“Yela, hati-hati Del!” Terdengar sahutan opah dari dalam rumah jirannya. Tergeleng Deila dengan sikap opah. Bukan tak ditegah, tapi itulah kesukaan orang tua tu. Asyik menganggu nenek Jiah, penghuni yang tinggal di sebelah rumahnya itu. Entahlah apa je cerita orang tua tu. Mereka boleh duduk bercerita sampai pagi kalau tak ditegah.

Deila memandu tenang menuju ke kedai runcitnya yang terletak betul-betul di hujung simpang kampung. Kedainya bersebelahan dengan jalan utama. Dulu, ketika mula-mula berniaga, dia ada pasang niat mahu buka kedai makan juga, tetapi bila lihat jarang kereta lalu di jalan utama, niat dibatalkan. Nak target orang kampung? Tak kot! Penduduk di situ tersangatlah rajin memasak. Kalau dia jual sayur yang jarang didapati memang laku keras. Berebut-rebut orang kampung mahu beli.

“Mirul!” Deila jerit sebaik sahaja keluar dari perut kereta.

Tidak lama kemudian, seorang pemuda tinggi lampai, bertubuh sederhana, tak terlalu kurus dan tak juga terlalu tegap melangkah keluar dari sebuah bangunan kecil yang diperbuat dari bata dan bahan konkrit. Berwajah tampan ala-ala chinese tapi mata taklah terlalu sepet, cuma kecil tetapi berkelopak mata dan berkulit putih sedang-sedang. Rambut hitam pekatnya terlindung di sebalik baseball cap yang dipakai secara terbalik. Memakai sweater oversize tetapi seluar ketat nak mampus, ikut-ikut trend KPop!

“Asal hari ni lambat kau datang? Budak-budak sibuk cari Miss Pepero… mana Miss Pepero… Pepero strawberry kami mana? Pepero coklat kami mana? Jenuh saya melayan!” Muncul-muncul terus membebel mengalahkan opah!

“Ni, tolong saya angkat box ni. Saya masak tadi. Tu pasal lambat.” Jawab Deila sambil menarik pintu bonet belakang kereta kancilnya. Amirul menghampiri lalu mengintai ke dalam bonet.

“Harumnya bau durian! Kau bawa durian ke, Del?” Tegur Amirul dengan nada teruja. Bahu Deila ditolak dengan bahunya supaya Deila memberi sedikit laluan untuk dia. Deila mengesot ke sisi.

“Untuk jualan!” Jawab Deila bersahaja lalu menarik sebuah bakul rotan yang dianyam dengan kemas keluar dari bonet. Dia biarkan box plastic yang agak besar itu untuk diangkat oleh Amirul. Tak berat mana pun, hanya penuh dengan aiskrim plastik ikat hujung je.

“Ala, untuk saya takde ke?” Keluh Amirul sedikit kecewa. Box besar tahan sejuk berwarna putih biru itu diangkat lalu dia kejar langkah Deila yang sudah agak jauh di depan.

“It’s all about the money, Mirul! Orang business macam kita ni kena selalu fikirkan tentang duit. Kita nak kembangkan perniagaan kan? Nak ke? Belilah!”

“Why so savage? Bertahun-tahun you and me together-gether, takkan tak bagi muka langsung dekat saya?” Langkah Deila sontak mati. Badan dipaling dengan kasar menghadap Amirul. Tercengang lelaki itu dengan tindakan tiba-tiba Deila.

“Mirul, are you okay?” Tambah tersentak bila dahinya dipegang oleh Deila.

“S… saya…” Terus tergagap mahu jawab! Pipi mulai tercemar dengan tompokan rona merah hati.

Deila yang langsung tak menyedari perubahan air muka Amirul menggeleng laju.

“Mirul… saya rasa inilah masanya kau cari calon untuk dibuat bini. Kau dah semakin teruklah saya tengok!”

Tercengang Amirul dengar! Laju kaki dibuka untuk mengejar Deila yang kembali menyambung langkah masuk ke dalam kedai runcit dengan papan tanda besar bertulis ‘MISS PEPERO’S SHOP’ yang terlekat di atas pintu masuk.

“Kahwin? Siapalah yang nakkan saya ni. Dahlah orang kampung, takde kerja, pendidikan juga tak tinggi mana. Keluar kampung pun bapak saya tak bagi, sibuk nak turunkan jawatan Ketua Kampung dia tu dekat saya.” Sambil meluah, sambil itu tangan sibuk menyusun plastik aiskrim di dalam freezer.

Deila meletakkan bakul rotan di atas meja kecil berdekatan dengan kaunter duit. Bebola mata kembali melekat ke arah Amirul.

“Ish, jangan merendah diri boleh tak? Dah macam bukan Amirul anak Encik Aman saya tengok! Yela, kau orang kampung, tak berpelajaran. Tapi keluarga kau punya berpuluh ekar ladang kelapa sawit, punya banyak lori besar milik keluarga buat angkut buah sawit untuk dihantar ke kilang dan tak lama lagi, siaplah kilang pemprosesan minyak kelapa sawit keluarga kau. Nanti kau jadi anak taukeh minyak pula lepas ni.”

Amirul tersenyum kelat. Dia tak bangga pun dengan semua itu. Bagi dia itu adalah hasil usaha orang tua dan bukan dirinya.

“Kau jangan jual mahal sangat Mirul, bukan saya tak nampak banyak je gadis-gadis di kampung ni termasuklah kampung-kampung sebelah tu tergedik-gedik depan kau, pilihlah satu dan kahwin. Jangan jadi bujang terlajak Mirul oi, kau tu anak tunggal. Siapa nak teruskan keturunan kau nanti?”

Amirul mendengus. Kembang kuncup lubang telinga dengar bebelan Deila.

“Eh, dia ni kan! Bebel mengalahkan opah dan mak kita. Kang saya sumbat aiskrim ni dalam mulut kau baru kau reti nak diam kan? Saya tak suka perempuan gedik! Saya takde niat nak kahwin buat masa ni! Kau bising lagi soal ni, saya balik ajak bapak saya masuk meminang kau sekarang jugak!”

Sontak Deila kemam bibir. Badan dipusing laju. Langkah diorak menuju ke kaunter. Punggung dihenyak. Kunci dari poket seluar jeans dia ambil lalu laci berisi duit cash ditarik keluar. Mahu mengira hasil jualan hari itu. Selain dia, Amirul juga pegang kunci pendua laci duit.

“Del!” Panggilan Amirul buat Deila menengadah lalu memaku pandangan pada seraut wajah cute Amirul.

“Saya nak balik sekejap, saya tak makan lagi!”

Ah, ya tak ya! Dia terlupa tentang itu. Selalunya Amirul akan balik ke rumah pada waktu tengah hari untuk makan kecuali bila dia bawa bekal lebih dan berkongsi dengan lelaki itu. Tetapi hari ini, dia sampai lewat. Jadi pasti dah setengah hari Amirul tahan lapar.

“Saya ada bawa nasi goreng dan bubur durian. Kau nak?” Deila mempelawa lalu bingkas mengangkat punggung, mahu mengambil bakul rotannya. Amirul teguk air liur. Naklah gila! Sedap tu… batin menjawab.

“Err… cukup ke untuk kau? Saya boleh je balik makan, rumah tak jauh mana pun, naik motor jugak bukan jalan kaki.” Amirul berbasa basi, walhal dalam hati mengharap ada bahagian untuknya.

“Saya memang bawa lebih untuk kita berdua. Tapi takpelah kalau kau tak nak, nanti saya sedekahkan je kepada budak-budak yang…”

“Eh! Saya naklah! Bila masa saya kata tak nak? Kau ni kan, memandai je!” Amirul meluru menghampiri Deila.

Sempat dia panjangkan leher untuk mengintai isi dalam bakul rotan yang dijinjing oleh gadis itu. Bau harum yang terbit dari dalam bakul buat perut semakin berkeroncong. Tak sabar rasanya mahu jamah air tangan Deila yang tak pernah mengecewakan tekaknya itu.

Masing-masing menarik kerusi mengelilingi meja bulat bersaiz kecil, ngam-ngam muat dua pinggan. Di situlah tempat mereka selalu duduk makan. Deila mengeluarkan beberapa bekas berbentuk empat segi dari bakul rotannya.

Amirul baca doa makan dengan laju sebelum kelam kabut membuka penutup bekas makanan di hadapannya.

“Ya Allah… sedap gila Deila Araferro!” Hampir juling mata Amirul menikmati keenakan bubur durian yang Deila masak.

“Kau tahu durian apa dalam tu?” Amirul yang sedang rakus menikmati buburnya sekadar jongket bahu, nampak tak berminat mahu tahu.

“Musa…”

“FINALLY! THANK YOU YA ALLAH!”

Suara Deila spontan tersangkut di kerongkong bila tiba-tiba satu suara berteriak di luar kedai. Deila dan Amirul berbalas pandang. Masing-masing pamer wajah terkejut. Amirul lebih dulu bingkas berdiri dan mengorak langkah menuju ke luar. Deila kelam kabut menjilat bibir sebelum berdiri dan mengejar Amirul.

Langkah Amirul mendadak mati bila lihat sekujur tubuh sedang bersujud di hadapan kedai runcit. Apa-apaan itu? Adakah kedai runcit mereka dijadikan tempat berlakon? Mengapa dia tidak tahu? Mengapa tiada sebiji kamera pun di situ?

“Err… encik!” Amirul cuba memanggil. Spontan wajah yang menekur tanah itu didongak, bebola mata bertembung dengan sepasang mata milik seorang gadis yang baru keluar dari kedai runcit tersebut. Sontak lelaki itu membeliakkan mata. Deila ternganga.

“Kau lagi?!!!”

Hampir serentak mereka berdua menyebut ayat yang sama!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience