"ASSALAMUALAIKUM..."
"Waalaikumsalam, err... encik ni siapa dan nak berjumpa dengan siapa?" Pengawal keselamatan yang bertugas di banglo mewah milik Dato' Arsyad itu bertanya sebaik sahaja Izwan menapak di hadapan pintu pagar utama.
Tuan Azwan? Eh... takkanlah! Muka dia ni sama! Jangan-jangan dia ni... gerutu hati Azmar. Pandangan matanya tetap tertumpu ke arah jejaka tinggi lampai yang seiras dengan arwah majikannya itu.
Izwan mengerling ke arah laman banglo mewah itu seraya menoleh ke arah Azmar, pengawal keselamatan yang menjalankan tugas. "Err... ini rumah Dato' Arsyad ke?"
"Ye... ini rumah dia, encik ni siapa? Nak jumpa Dato' ke?" sahut Azmar seraya bertanya. Nasib baik suara dia ni berbeza. Kalau tidak, dah tentu Azmar pengsan dibuatnya.
"Oh ya, saya Izwan... Khairil Izwan, adik kembar arwah Khairul Azwan. Err... saya nak berjumpa dengan kakak ipar saya, Hanna. Dia ada di dalam tak?" jawab Izwan seraya bertanya. Selepas itu dia mengerling ke arah Aryan yang berdiri di sebelahnya.
"Lah... saudara kembar yang arwah selalu ceritakan tu rupanya. Saya ingatkan siapalah tadi. Patutlah muka serupa macam arwah. Body pun sado, sama macam arwah jugak... Oh ya! Puan Hanna baru aje bertolak ke Pulau Pangkor satu jam yang lepas. Err... ni... Aryan tak bagitahu ke?" ujar Azmar sambil mengerling Aryan di hadapannya.
Izwan tersengih menayangkan barisan giginya yang putih ke arah Azmar. "Arwah abang Azwan selalu bercerita pasal saya?" Lega hatinya. Rupa-rupanya selama ini arwah Azwan sentiasa ingat akan dirinya. Dia mengerling pula ke arah sepupunya, Aryan yang berdiri di sebelahnya. Kening kirinya dijongketkan. "Jadi, Aryan... kau tahulah yang Hanna sekarang ni dalam perjalanan ke Pulau Pangkor? Kenapa tak cakap awal-awal?"
"Err... aku... aku..." Aryan kelu lidah untuk berkata. Tangannya sibuk menggaru belakang kepalanya yang tak gatal.
"Aku... aku apa?! Kau tahu tak, tindakan kau tak nak berterus terang tadi dah melambatkan proses untuk aku berjumpa dengan balu arwah Abang Azwan, tahu tak? Oleh itu... kau didenda..."
Belum sempat Izwan menghabiskan kata-katanya, Aryan segera memintas.
"Adoi Wan... jangan pulak kau nak cakap yang aku kena ikut kau pergi ke Pulau Pangkor tu jugak..."
"Ye... kau memang akan aku bawak ke Pulau Pangkor tu sekali. Sekarang, jom masuk dalam kereta!" Izwan segera meloloskan dirinya ke dalam perut kereta Toyota Vios berwarna putih miliknya. Punggungnya dihempaskan di atas tempat duduk penumpang hadapan. Dia mengerling pula ke arah luar di mana sepupunya, Aryan sedang melopong sambil memerhatikannya. "Wey! Kau buat apa lagi tercegat dekat situ? Cepatlah masuk... aku nak kau drive sampai ke Lumut!"
"Hah?!" Semakin besar mulut Aryan ternganga sebaik sahaja kata-kata Izwan yang berbaur arahan itu menampar telinganya. "Aku tahulah kau tu tuan inspektor polis... dengan sepupu sendiri pun dibagi arahan jugak ke... macamlah aku ni konstabel polis aje." Aryan mencebik sambil berpeluk tubuh tanda protes.
Izwan tergelak melihat gelagat sepupunya itu. "Dah tu? Kalau kau cakap awal-awal tadi, confirm kita dah sampai ke Perak dah sekarang ni." Kening kirinya dijongketkan sambil tersengih macam kerang busuk. "Cepatlah masuk... ini tidak... berdiri aje tercegat macam batu tunggul!"
Aryan mendengus kuat tanda protes. "Yelah-yelah! Habis rosak plan aku malam ni. Kau punya pasal la ni."
Berdekah Izwan gelak melihat gelagat sepupunya itu. "Plan apa pulak ni wahai sepupuku yang handsome dan macho?"
"Tak ada apa-apalah... lupakan!" Punggungnya dihempaskan di atas tempat duduk pemandu. Enjin kereta dihidupkan seraya kaki kanannya menekan pedal minyak perlahan. "Kau cakap aku handsome dan macho ke tadi? Maknanya, sekarang kau dah ada pesainglah ni? Hahaha!"
Izwan mencebik sambil matanya memberikan cerlungan maut kepada Aryan yang duduk di sebelahnya. "Pantang dipuji sikit terus nak kembang hidung. Takde-takde... aku ni lagi handsome dan macho dari kaulah!"
Aryan ketawa. "Yelah... ambillah kau semua. Suka sangat nak angkat bakul..."
Izwan merenung sepupunya itu sambil tersengih menayangkan barisan giginya yang putih. Dia mengerling pula ke arah luar tingkap keretanya sambil memberikan senyuman kepada Azmar, pengawal keselamatan yang bertugas untuk jaga banglo mewah Dato' Arsyad. "Terima kasih... err... nama kau siapa?"
"Oh ya! Panggil aje Azmar. Semoga selamat tiba ke destinasi yang dituju." Tangan kanannya melambai ke arah Izwan dan Aryan.
??????
DUA keping tiket feri untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pangkor yang dihulurkan oleh gadis penjual tiket di kaunter jeti itu dicapai. Sekeping lagi tiket diserahkan kepada Aryan yang berdiri di sebelahnya. Izwan mengerling sepupunya itu sambil tersengih. "Nah... tiket."
"Wan..."
"Apa?" Kening kirinya dijongketkan ke atas, Izwan tersengih merenung wajah cemberut sepupunya itu.
"Kita nak bermalam berapa lama dekat Pulau Pangkor tu?" Aryan bertanya. "Dah la aku tak bawak apa-apa ni... sehelai sepinggang, kau tahu tak?"
"Alah... pasal tu kau tak perlu risaulah... aku pun sama macam kau jugak, sehelai sepinggang... Pulau Pangkor tu kan pulau peranginan, dah tentu banyak pakaian dijual dekat sana... kau jangan risaulah... aku belanja," ujar Izwan sambil tersenyum. Tapak tangan kanannya menampar lembut bahu kiri Aryan seraya mengatur langkah untuk menuju ke arah feri yang baru sahaja tiba dan akan meneruskan perjalanan ke Pulau Pangkor semula.
"Kalau macam tu... okey, aku setuju!" Terus bersemangat Aryan sebaik sahaja Izwan berkata. Langkahnya dipercepatkan menuju ke arah feri yang sedang menunggu.
"Amboi... laju pulak dia. Tadi bukan main lagi slow... berjalan pun mengalahkan siput!" bebel Izwan sambil melajukan langkah kakinya mengejar Aryan yang sudahpun meloloskan diri ke dalam perut feri.
Dua puluh lima minit berikutnya, feri yang dinaiki Izwan dan Aryan selamat tiba di jeti Pangkor. Izwan menepuk bahu Aryan yang terlena di tempat duduk bersebelahan dengan tingkap.
Pap!!
"Woi! bangunlah... kita dah sampai ni. Apalah... body sado, muka macho macam ni pun boleh mabuk naik feri! Hahaha!" Berdekah Izwan gelakkan Aryan yang sudah pucat mukanya itu.
"Wan... tolong aku kejap! Aku tak larat nak bangunlah. Kepala aku pening! Tak larat nak jalan. Rasa macam nak mun... uweeekkk!!"
Belum sempat Aryan menghabiskan kata-katanya, semua isi perut terkeluar dengan banyaknya. Habis kotor baju t-shirt biru mudanya dilumuri muntah. Tak semena-mena Izwan yang masih duduk di sebelahnya juga turut terkena tempiasnya.
"Woi! Apa ni bro! Tak pasal-pasal aku pun terkena! Dah la busuk!" marah Izwan. Dia segera bingkas bangun seraya membuka kancing bajunya seraya menanggalkan kemeja biru dari tubuhnya.
Aryan juga turut sama menanggalkan baju t-shirt biru miliknya. Kini kedua-dua jejaka itu menjadi perhatian penumpang-penumpang yang masih berada di dalam perut feri itu. Kedua-duanya sudah tidak mengenakan baju. Masing-masing menayangkan bentuk tubuh yang sasa. Mereka berdua segera keluar dari perut feri dan cepat-cepat meluru ke arah toilet untuk membersihkan diri.
Share this novel