Kisah 7 : Nasi Lemak Daun Pisang

Horror & Thriller Series 7260

ATUK menceritakan pengalamannya dahulu. Masa atuk muda-muda, dia suka sangat makan dekat satu kedai di hujung kampung. Bukan dia saja yang suka, boleh kata semua orang kampung yang lain pun suka makan dekat kedai tu.

Masa kedai itu dibuka pertama kali, cuma ada 2 buah meja kata atuk. Tak sampai 3 minggu, tuan kedai tambah lagi 4, 5 buah meja. Yalah, orang tak putus-putus datang ke kedai makan tu. Pagi-pagi buta pukul 3.00 pagi pun ada orang kampung lepak di situ minum kopi.

Dalam banyak-banyak makanan yang dijual di situ, nasi lemak daun pisang yang paling popular. Atuk cakap sudah lebih 30 kali dia menjamah nasi lemak di situ.

Memang sedap. Daun pisang dia wangi, nasi dengan lauk sambal ikan bilis cukup rasanya, senang kata, semua lengkap.

Pada satu malam, waktu atuk berjalan kaki hendak ke surau, atuk ternampak tuan kedai nasi lemak daun pisang berjalan ke arah kebun di seberang jalan. Kebun itu tak ada tuan, jadi orang kampung pakat-pakat mengambil apa saja yang ada disitu.

Pisang, durian, pandan, ulam-ulam dan pelbagai lagi. Atuk pun mengikut tuan kedai itu diam-diam dengan melalui semak samun. Malam itu bulan mengambang jadi keadaan sekeliling agak terang disinari cahaya bulan walaupun sedikit samar.

Sampai di satu tempat, atuk ternampak tuan kedai itu berhenti di hadapan satu pokok pisang. Orang itu mengorek tanah betul-betul di hadapan pokok pisang dan menanam sesuatu.

Selepas itu dia memotong beberapa daun pisang dan bergerak keluar dari kebun. Sikit pun dia tidak perasan yang atuk sedang menghendap di balik pokok. Selepas atuk betul-betul pasti yang orang itu sudah tiada, atuk bergerak menghampiri pokok pisang itu. Atuk mengorek balik tempat tuan kedai itu menanam benda tadi.

Akhirnya, atuk menjumpai satu kotak kecil berbalut kain kuning.

Belum sempat atuk membuka kotak itu, tiba-tiba atuk ternampak satu benda dari jauh. Benda itu putih, tinggi lebih kurang atuk, macam manusia, seperti ada tubuh badan. Atuk memerhati betul-betul apakah yang dilihatnya.

Semakin lama semakin dekat benda itu. Sehinggalah benda itu muncul di tepi pokok pisang. Pocong! Atuk melempar kotak itu dan terus berlari tidak cukup tanah.

Semasa atuk berlari keluar dari kebun, benda itu tiba-tiba muncul di balik pokok. Selepas itu hilang semula. Muncul lagi tempat lain. Dan hilang. Atuk mengaku waktu itu dia terkencing di dalam seluar kerana terlalu takut.

Sampai di tepi jalan, atuk terus berlari sampai ke rumah. Langsung tak tengok ke belakang. Kebetulan pula esoknya abang ipar atuk balik ke kampung. Kata atuk dia seorang ustaz.

Sampai di rumah, abang ipar atuk buatkan air untuk tenangkan atuk. Atuk menceritakan semua yang berlaku. Abang iparnya juga membuka cerita, sewaktu dia melalui kedai yang popular itu, dia ternampak kedai itu sebenarnya tak bersih.

Tuan kedai itu mengambil daun pisang dan memuja pocong untuk menyedapkan makanan yang dimasak. Terutamanya nasi lemak daun pisang. Itu adalah tujuan kenapa kotak kecil itu ditanam yang dijumpai atuk dan itu adalah sebahagian daripada ritual.

Selepas mendengar cerita daripada abang iparnya, atuk teringat yang dia baru saja membeli nasi lemak di kedai itu pagi tadi. Terus dia berlari ke dapur, mengambil nasi lemak dan membuka bungkusan.

Terkejut atuk. Nasi lemak itu berulat dan menjadi busuk. Pada hari itu juga, heboh orang kampung membeli nasi lemak berulat. Tuan kedai serta-merta berpindah selepas dihalau penduduk kampung.

"Siapa suruh mintak tolong syaitan, padan muka!" kata atuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience