Fatma melopong. Ali Fattah? Anak kepada Datuk Asran yang dituduh menyeleweng wang berjuta-juta lima tahun yang lalu?
“Apa kau nak? Aku dah tak ada kaitan dengan semua tu,” soal Fatma dalam dia cuba mengusir rasa takut yang bertandang.
Ali Fattah tersenyum sinis. Nyata lebih sinis dari senyuman Fatma. Mudahlah kerjanya nanti. Nama Datuk Asran akan dibersihkan oleh perempuan itu sendiri. Perempuan yang telah menyebabkan papanya terkurung di dalam tirai besi!
“Tak ada kaitan? Tapi kau yang menang kes tu. Kau yang sumbat papa aku masuk penjara! Lima tahun aku tunggu saat ni! Lima tahun mama aku menderita sakit dan meninggal macam tu je! Semuanya sebab kau! Kalau kau tak menangkan anak guam kau yang nyata bersalah tu, papa aku takkan meringkuk dalam penjara dan mati macam tu!”
Suara Ali Fattah hampir seakan menjerit. Nasib baik mereka berada di kawasan yang terlindung daripada orang ramai.
Fatma telan liur yang dirasakan kelat. “Jadi kau nak aku buat apa, Ali Fattah? Kes tu dah lama dah. Dan aku hanya jalankan tugas aku sebagai lawyer.”
“Kau makan duit haram, Fatma Hanim. Orang yang bersalah terlepas, sedangkan orang yang tak bersalah dah tak ada. Kau tak rasa bersalah ke?”
“Apa yang boleh aku buat lagi?”
“Senang je. Hapuskan Datuk Marzuki untuk aku.”
“Hah? Aku dah tak ada kaitan dengan Datuk Marzuki. Lima tahun dah kes tu berlalu. Kau nak aku hapuskan dia untuk kau?”
Nada suara Fatma benar-benar terkejut dengan permintaan lelaki itu. Bagaimana dia mampu menghapuskan orang sudah tidak punya kaitan dengan dirinya?
Sudah lima tahun kes itu selesai. Datuk Marzuki juga telah hilang entah ke mana. Ali Fattah mahu dia menjatuhkan seseorang yang sudah hilang jejak khabar?
Ali Fattah menganggukkan kepala. Memang itu niat sebenarnya. Berpura-pura melanggar Fatma kemudian meminta perempuan itu melakukan sesuatu untuknya. Sebaik semuanya terlaksana seperti perancangan awalnya, Fatma akan ditawarkan dua perkara.
“Nonsense.”
“Apa yang mengarutnya, Fatma?”
Fatma mengangkat wajah. Memandang Laila dengan penuh serba-salah. Sekali lagi dia terlibat dalam perkara yang tidak baik. Dulu Datuk Marzuki. Kemudian, Amar. Dan kini dia melakukannya untuk seorang lelaki bernama Ali Fattah. Waris perniagaan arwah Datuk Asran!
Share this novel