LELAKI itu langsung berjalan mendekati Damia. Matanya umpama sedang menagih harapan daripada gadis itu.
"Sungai mana satu ni? Yang mana?" tanyanya dengan sedikit keras dan tegas biarpun niatnya bukan untuk memarahi Damia.
Damia sedikit tersentak tapi dia faham, lelaki itu dalam keadaan cemas. Pasti Syafiqah itu orang yang lelaki ini sayangi.
"Mari saya tunjukkan." Seraya itu Damia menghidupkan enjin motosikalnya, bersedia untuk menunjukkan arah keberadaan budak perempuan tadi.
Lelaki itu terus mendapatkan motornya semula. Pelekuh penghidup motor ditendang beberapa kali sebelum bunyi enjin yang merapak itu kedengaran semula.
Patutlah bunyinya macam tu, lihat model motosikal milik lelaki itu saja sudah faham. Model berjenama EX5 lama yang sudah luntur warnanya. Ekzos motor pun sudah kelihatan berkarat.
"Nak saya ikut ke?" Tiba-tiba Najihah mempelawa diri untuk membantu tapi segera lelaki itu menolak.
"Tak apalah, ustazah. Ustazah kan tengah sibuk ajar mengaji. Biar saya je yang pergi."
Najihah mengangguk faham. Dia sememangnya mahu membantu mencari Syafiqah itu tapi dalam masa yang sama dia teragak-agak mahu menghabiskan kelas mengaji lebih awal. Lagipun kedengaran pelajar-pelajarnya di dalam rumah itu masih membaca al-Quran dengan penuh semangatnya.
Lalu Damia meneruskan tunggangan motosikalnya sebelum diiringi lelaki itu. Damia tak mahu bercakap panjang, takut dibentak lagi nanti.
Najihah hanya mampu melihat sahaja Damia dan lelaki itu beredar dengan motosikal masing-masing. Perlahan-lahan kelibat mereka hilang dari pandangan.
Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusannya. Doa dari Najihah dipinta.
*****
Damia mengerling lelaki itu melalui cermin sisinya. Lelaki itu masih mengikut rapat di belakangnya.
Memang lelaki tu tekad percayakan kata-kata Damia tanpa menyoal kesahihan keberadaan Syafiqah itu.
Tapi siapa Syafiqah? Ah! Itu tak penting lagi bagi Damia. Yang penting sekarang dia dapat tunjukkan keberadaan budak perempuan di tepi sungai tadi kepada lelaki itu.
Mahu berkenalan? entah. Mahu mendapat pujian dan ganjaran? Juga entah. Apa yang pasti, dia memang mahu bantu lelaki itu.
Tapi jika budak perempuan tadi bukan gerangan yang dicarinya, mahu malu Damia nak menghadap muka lelaki itu lagi. Sudahlah bagi harapan palsu, nanti disangka menipu pula tu.
Haih ... harap betullah budak tadi tu Syafiqah.
Tiba di lokasi yang dituju, Damia memberhentikan motosikalnya di tepi jalan berdekatan sungai itu. Lelaki itu turut mengikuti dan meletakkan motosikalnya di belakang Damia.
"Budak tu ke yang awak cari? Dia ada kat bawah sana." Jari telunjuk Damia pantas menuding ke arah budak perempuan tadi.
Budak tu sedang bermain dengan batu-batu kerikil di tepi sungai. Mujurlah budak perempuan itu tidak berganjak dari tadi. Kalau tidak, satu hal pula mahu mencari lagi.
Lelaki itu mengecilkan mata umpama meneropong ke arah yang ditunjukkan Damia. Lalu tanpa bersuara lelaki itu berlari pantas mendapatkan budak perempuan itu. Sepertinya, memang budak itu yang dicarinya.
Damia tidak menyusuli lelaki itu malah dia masih tetap berada di atas motornya. Mahu ikut nanti dikira penyibuk pula.
"Adik! Adik!" panggil lelaki itu sambil berlari mendapatkan budak perempuan itu.
Budak perempuan itu langsung memandang arah suara yang memanggilnya.
"Along?"
Langsung lelaki itu bertinggung dan memeluk kejap budak perempuan itu. Pelukan dileraikan usai melihat-lihat keadaannya yang tiada apa-apa itu.
Adik dia rupanya ... patutlah risau semacam. Damia bermonolog sendiri.
Damia yang melihat dari kejauhan itu turut tersenyum sahaja melihat suasana itu biarpun perbualan mereka berdua tidak didengarinya.
Dalam hatinya terdetik rasa terharu dan kagum dengan hubungan mereka antara adik-beradik itu. Tak macam dia dengan kakaknya. Asal nampak muka saja, ada saja perkara yang mahu berdebat.
"Adik kenapa duduk sorang-sorang kat sini? Penat along cari tau tak?" tanya lelaki itu dengan nada risaunya. Mahu sebak dirinya kerana akhirnya berjumpa jua dengan adiknya itu. Takut kalau sesuatu berlaku kepada adiknya.
Budak perempuan yang bernama Syafiqah itu langsung mencebik. Sungai yang mengalir dia pandang dengan pandangan sayu.
"Adik, kenapa ni? Kenapa lepas habis sekolah tak balik rumah? Along ada buat salah ke?" Lelaki itu sambung bertanya dengan lembut.
Laju saja Syafiqah menggeleng. Turut dia bermain-main dengan jari-jemarinya kerana berasa berat untuk memberitahu hal sebenar.
Lelaki itu menjongketkan kening, masih menunggu jawapan daripada adiknya yang kelihatan sedih dalam gelisah.
Syafiqah yang melihat abangnya masih setia menunggu untuk jawapan keluar dari mulutnya akhirnya mengalah jua.
"Tadi kat sekolah, kawan-kawan adik ejek dan kacau adik. Dia orang kata adik miskinlah, anak yatimlah. Adik benci!" ujar Syafiqah dengan muka yang masam mencuka.
"Diorang buat lagi?"
Itu sahaja pertanyaan yang keluar dari mulut lelaki itu dalam keadaan terkejut. Nampak gayanya, ini bukan pertama kali Syafiqah diperlakukan sebegitu oleh kawan-kawannya.
Syafiqah mengangguk. Mulutnya masih dimuncungkan ke hadapan tanda merajuk.
Mengetahui adiknya diperlakukan sebegitu membuatkan lelaki itu berasa hiba mengenangkan nasib mereka berdua ketika ini. Adiknya masih bersekolah rendah tetapi sudah diberi ujian sebegitu.
Salahkah menjadi miskin? Salahkah menjadi anak yatim?
Tetapi lelaki itu sepertinya sudah kental dengan perkara yang ditimpa. Segera dia mengusap-usap kepala adiknya itu. Tugasnya sebagai abang mestilah untuk memberi semangat dan dorongan agar adiknya tetap kuat.
"Adik janganlah hiraukan apa yang kawan-kawan adik cakap. Dia orang kacau adik sebab dia orang jealous je tu. Adik along ni kan pelajar pandai, sebab tu la ramai yang dengki." Lelaki itu memberi senyuman kepada adiknya.
Kini muka Syafiqah yang cemberut itu kian memudar dengan senyuman. Rasa sedihnya kian terubat.
"Lepas ni kalau kawan adik tu kacau adik lagi, buat tak tahu je. Adik kan ada along. Along pun hanya ada adik sorang je tau. Janganlah merajuk dah." Lelaki itu memujuk lagi agar Syafiqah tenang sepenuhnya.
"Baiklah. Terima kasih, along." Syafiqah terus memeluk abangnya itu dengan senyuman yang kian mekar.
Lelaki itu membalas pelukan adiknya. Lega rasanya adiknya sudah tidak bersedih lagi. Mujurlah Syafiqah ini senang dipujuk.
Dalam asyik melihat adegan dan drama dua beradik itu, lalu Damia tersedar yang sepatutnya dia tidak patut menunggu di situ. Padahal dirinya tadi sudah berniat mahu pulang cepat ke rumah.
Segera Damia menghidupkan enjin motosikalnya. Muka lelaki itu dia pandang lagi sebelum akhirnya dirinya memulakan perjalanan menunggang motor.
Bye. Ada jodoh, kita jumpak lagi. Sempat lagi dia ucap dalam hati.
Ketika menunggang motor itu, dia masih melihat kedua beradik tersebut. Tetapi spontan dia fokus kepada tunggangannya kerana jalan sedikit berbatu dan berpasir yang menyebabkan tunggangan Damia terenjut-enjut.
Ish! Apa hal jalan kampung ni teruk sangat ni. Sakit punggung aku tau tak! Damia malah merungut tentang hal itu. Batu besar dan tajam dia cuba hindari, kalau terlanggar ni boleh rosak tayar motor.
Kerana leka melihat jalan yang berbatu itu untuk berwaspada, dan tanpa sedarnya, sesuatu dari raganya terjatuh dan tercicir.
Beg baju Mak Siti!
Tapi Damia tidak terperasan akan hal itu dan terus sambung menunggang motosikalnya. Mungkin kerana dirinya mengantuk, dan ditambah dengan bunyi deruan angin dan enjin yang kuat, memang taklah Damia mahu terperasan akan itu.
*****
"Jom kita balik. Along ada masak ikan gelama goreng dan sambal telur untuk adik tau," kata lelaki itu seraya menghulurkan tangan untuk memimpin tangan Syafiqah.
"Yeay! Sedapnya. Elok adik tengah lapar ni." Lalu Syafiqah mengusap perutnya yang memulas-mulas itu. Dari balik sekolah tak makan, memang kosonglah perut tu.
Lelaki itu hanya tertawa dengan celoteh adiknya sambil memimpin tangan adiknya.
"Along, adik nak tanya ni boleh?"
"Mestilah boleh. Adik nak tanya apa?"
"Macam mana along boleh tahu adik ada kat sini? Padahal kita jarang datang sungai hujung kampung ni. Along boleh tahu pulak ye?" Syafiqah memasang muka pelik tatkala teringat akan itu.
"Lah, nak tanya tu ja?" Lelaki itu tersenyum.
"Kakak tu yang..." Tiba-tiba mata lelaki itu membuntang saat menunjuk ke arah keberadaan motorsikalnya.
Eh? Dah hilang?
Matanya meliar-liar mencari keberadaan gadis tadi. Padahal tadi gadis itu betul-betul memberhentikan diri kat depan motosikal miliknya.
Tak ada angin tak ada ribut, dia blah macam tu je?
Padahal baru aku nak ucap terima kasih kat dia. Keluh lelaki itu.
"Kakak? Kakak mana ni?" Syafiqah mengerutkan dahi apabila dia melihat ke arah yang ditunjukkan abangnya. Tiada sesiapa pun di sana. Yang ada hanyalah motosikal buruk abangnya itu.
"Umm ... tak ada apalah. Jom kita balik cepat." Lelaki itu mengubah topik. Mahu terangkan panjang-panjang pun, Syafiqah bukannya akan faham pun.
Tetapi dalam hati, lelaki itu masih merasakan perasaan tidak lengkap selagi tidak bertemu dan ucapkan rasa syukurnya kepada gadis tadi. Tapi kerana adiknya berada di sisinya, dia cuba abaikan dahulu rasa itu.
Syafiqah menuruti sahaja kata abangnya. Mereka segera berjalan ke arah motor itu. Lelaki itu menunggang di hadapan manakala Syafiqah membonceng di belakang.
"Satu, dua, tiga. Jom!" Lelaki itu terus memulas pemegang motosikalnya membelah jalan berbatu itu.
"Along, bawaklah slow sikit. Adik takut jatuhlah. Dahlah jalan kat sini tak elok." Syafiqah menampar perlahan bahu abangnya itu.
Lelaki itu tergelak saja dengan kelakuan Syafiqah. Mana taknya, adiknya terlalu takut sampai pinggangnya dipeluk kuat. Saja nak menyakat.
Lalu dia meredakan kelajuan tunggangan motornya. Syafiqah baru boleh bernafas lega semula. Tapi rasa leganya tidak lama apabila dia terlihat sesuatu.
"Eh! Along. Berhenti kejap!" Tiba-tiba Syafiqah separa jerit kepada abangnya itu.
Brek motor ditekan seperti tindakan refleks. Terkejut dengan suara Syafiqah itu.
"Kenapa ni, dik?" tanya lelaki itu.
Syafiqah tanpa berkata apa terus turun dari boncengan motornya dan segera berlari anak ke belakang.
"Along! Tengok ni. Siapa punya baju kat tepi jalan ni?" Syafiqah menunjuk ke bawah.
Terlihat sepasang baju kurung moden berwarna hijau terkeluar dari perut beg kertas itu. Kerana terjatuh di atas tanah, sedikit bahagian baju itu kotor dibuatnya.
"Macam mana pulak baju ni boleh terjatuh kat tepi jalan ni?" Lelaki itu berjalan ke arah adiknya.
Baju itu dia lihat-lihat keadaannya. Nampak macam ... baru jatuh aje.
Mujurlah tiada apa yang rosak dan koyak. Hanya kesan kotor dari tanah sahaja kelihatan.
Syafiqah mengangkat bahunya. Gerangan pemilik baju itu sudah semestinya dia takkan tahu. Bukan dia yang saksikan semuanya.
Lelaki itu ambil beg kertas di atas tanah itu. Matanya tertumpu pada beg kertas itu umpama mahu pancarkan sinaran laser.
Ketika itu juga, dia teringat dan terperasan akan sesuatu. Sewaktu dia ke rumah Najihah tadi, dia terperasan beg kertas dengan warna yang sama berada dalam raga motor gadis yang membantunya tadi.
Jadi, baju ni perempuan tadi punyalah ...
Bersambung...
Next chapter esok :-)
Share this novel