1.00 pagi. 3 April 2014.
Aku terjaga daripada tidur dalam keadaan mamai dan kepala yang teramat berat. Aku bangun perlahan-lahan dan duduk melunjur. Aku urut tengkuk bagi melancarkan aliran darah. Hampir beberapa minit aku dalam keadaan begitu barulah keadaan aku kembali normal.
Aku bangun dan terus menuju ke tingkap. Aku harapkan dapat menjamu pandangan dengan sinaran mentari pagi. Sebaik tingkap dibuka keadaan gelap dan kelam. Dahi aku berkerut. Lantas aku berlalu menuju ke katil mencapai telefon bimbit. Hampir-hampir terkeluar biji mata sebaik melihat waktu dan tarikh tertera. Ini bermakna aku telah tidur hampir satu hari suntuk! Aku menelan liur basi ku sendiri. Tidak pernah seumur hidup aku tidur selama sehari suntuk. Aku meramas rambut berulang kali. Peti mesej dan panggilan aku semak. Mesej dan panggilan dari Mona memenuhi skrin telefon.
12.34 p.m @Jawab call please.
12.40 p.m @Kau ada mana ni? Call dari tadi x angkat.
12.42 p.m @Kau tido lagi k?
2.03 p.m @Jawablah call.
2.15 p.m @Bro. Aku risau pasal kau ni. Jawab call or mesej please.
3.00 p.m @Kau ada dekat mana? Aku risau ni!
Mesej selanjutnya aku tidak buka lagi. Baru aku teringat aku ada berjanji untuk menjemput Mona pada hari ini. Pantas aku membuat aku membuat panggilan telefon. Tetapi panggilan tidak bersambung. Baki menunjukkan RM 0.00 ringgit.
“Masa ni kau nak buat hal pun!”rungut aku sambil merengus kasar.
Aku melangkah menuju ke bilik air. Sebaik selesai menyegarkan diri dan menyalin pakaian, aku melangkah keluar daripada bilik. Aku merancang untuk keluar ke kedai serbaneka berdekatan untuk membeli kredit dan sedikit makanan bagi mengisi kekosongan perut.
Sebaik tiba di ruangan bawah, hampir kesemua pekerja berhenti melakukan kerja mereka dan mula merenung ke arah aku.Aku yang menapak pantas sebentar tadi mula mengatur langkah perlahan sambil memerhati wajah-wajah mereka yang merenung ke arah aku. Renungan mereka amat tajam seolah-olah berbaur dendam yang bernanah. Aku cuba untuk tidak mengendahkan renungan mereka tetapi hati aku berasa tidak senang. Satu perkara yang mula perasan. Wajah mereka masing-masing memucat seolah-olah pesakit leukemia.
“Encik nak ke mana?”tegur pekerja wanita di kaunter pendaftaran.
“Kedai sekejap. Beli barang.”jawab aku acuh tidak acuh.
Bagi aku itu adalah privasi diri untuk keluar ke mana-mana sahaja. Tak perlu untuk memberitahu atau meminta kebenaran sesiapa pun.
“Maaf encik. Encik boleh checkout. Tapi encik tak boleh tinggalkan tempat ini.”balas wanita itu dengan nada suara yang perlahan tetapi tegas.
“Apa maksud awak?”aku menyoal.
“Saya cuma menurut arahan kapten.”jawab wanita itu. Dia menundukkan wajah apabila melihat aku sedikit meradang.
“Mana kapten? Saya nak berjumpa.”ujar aku tegas.
Masing-masing hanya menundukkan kepala. Aku merengus perlahan lantas mengorak langkah menuju ke pintu keluar hotel. Sebaik tombol dipulas ternyata ianya berkunci. Aku merentap berulang kali dengan kasar dan keras. Kemarahan mula terasa membuar di jiwa.
“Buka pintu ni.”arah aku kepada salah seorang pekerja yang berdekatan.
Sebaliknya dia tidak menghiraukan arahan aku. Seolah-olah aku tidak wujud di situ sama sekali. Aku berlalu menuju semula ke kaunter pendaftaran.
Share this novel