Bab 8
Dengan cepat, Siti menanggalkan kunci di pintu gril dan terus berjalan sepantas kilat ke arah Emi dan Zira yang sedang menunggu di tangga.
Dengan tangan yang menggigil, Siti memasukkan kunci itu ke dalam beg tangannya. Langkahnya dilajukan.
“Alololo, sopannya anak dara ni. Jalan tunduk je. Sopan sungguh. Terus rasa macam nak rekomen kat bos aku yang bujang tu,” usik Emi dengan tawa kecil.
Siti tidak membalas gurauan Emi sebaliknya dia berjalan laju mendahului mereka menuruni tangga.
“Aik? Siti, kenapa ni? Tadi ko suruh tunggu, sekarang ko nak cepat-cepat pulak, apesal?” tegur Zira, pelik dengan perubahan sikap Siti.
“Jomlah cepat. Tadi kata dah lambat…” gumam Siti antara dengar dan tidak.
Emi dan Zira saling berbalas pandangan, mengangkat kening dan kemudian mengangkat bahu. Selepas itu, serentak mata mereka memandang anak-anak tangga ke bawah lalu dengan cepat mengekori langkah Siti yang laju.
Sesampainya mereka bertiga di bawah, dalam perjalanan menuju ke pondok menunggu bas, Siti berkata, “Sampai kat office nanti, aku WhatsApp korang.”
Kemudian, dia melajukan langkahnya ke seberang jalan. Dia harus ke seberang jalan untuk mendapatkan perkhidmatan bas yang akan lalu di tempat dia bekerja.
“WhatsApp?” tanya Emi dan Zira serentak.
Namun saat itu, Siti sudah pun berada di tepi lampu isyarat pejalan kaki. Ketika Emi dan Zira sedang mendekati, Siti sudah pun melintasi lorong yang disediakan untuk pejalan kaki. Meninggalkan rakan sebilik dan rakan serumahnya tertanya-tanya.
Zira menepuk bahu Emi, “Apesal dengan Siti tu? Apa terjadi malam tadi?”
“Tak ada apa-apa,” jawab Emi sambil mengerutkan dahi.
“Betul tak ada apa-apa?”
“Betul… semua okey je. Tak ada apa-apa,” ulang Emi.
Zira merenung Emi seolah-olah tidak berpuas hati dengan penjelasan Emi.
“Tak apalah, Zira, kita tunggu jelah WhatsApp dari dia, ek,” pujuk Emi kepada Zira. Juga memujuk dirinya sendiri untuk bersabar.
Perjalanan ke tempat kerja pagi ini, amat lambat bagi kedua-dua gadis itu.
******
“Siti, kau ada nampak apa-apa lagi tak?” soal Maria ketika mereka berempat sedang menonton rancangan Runningman. Rancangan yang dirakam dengan menggunakan alat decoder PVR.
Dua minggu sudah berlalu semenjak kejadian pelik di pagi hari itu berlaku. Selama itu, mereka mencuba sebaik mungkin untuk tidak mempedulikan sebarang bunyi yang dihasilkan oleh ‘penghuni’ yang berada di tingkat atas.
Penghuni atau pun penunggu. Entahlah, tiada sesiapa antara empat orang gadis itu yang mahu mengklasifikasikan makhluk di tingkat atas itu sebagai penghuni atau penunggu. Yang penting bagi mereka ialah ‘tolong jangan ganggu kami’.
“Tak ada. Syukur Alhamdulillah binatang tu tak ada menunjukkan muka lagi. Tidur pun lega jugak sekarang ni,” jawab Siti perlahan.
Rancangan Runningman berehat sebentar untuk siaran iklan, dan tiada sesiapa mahu mempercepatkan rakaman itu ketika Maria membuka mulut tadi. Dalam diam, Emi dan Zira turut tertunggu-tunggu perkhabaran terbaharu daripada Siti, sekiranya ada.
Namun nampaknya, penantian mereka itu sia-sia sahaja. Memang semenjak kemunculan makhluk pelik di siling pada dua minggu sudah, tidak Siti mahupun sesiapa yang lain terlihat apa-apa yang ganjil di apartment mereka.
Selama ini pun, mereka tidak pernah terlihat apa-apa. Itulah sebabnya mereka tidak pernah menyangka yang rumah di atas itu tidak berpenghuni. Nampaknya mereka sudah ditipu atau tertipu dengan ‘penghuni’ yang berada di tingkat atas itu.
Perbualan dengan Cik Zaiton pun agak hambar. Cuma Cik Zaiton ada menasihatkan mereka untuk rajin membaca Al-Quran surah Al-Baqarah untuk menjauhkan gangguan daripada syaitan dan jin. Tambahnya, jika mereka tidak berkesempatan, buka saja You Tube dan biarkan sahaja surah Al-Baqarah itu berkumandang di dalam rumah.
“Ikhtiar,” kata Cik Zaiton.
“Jangan berserah membuta-tuli saja,” tambahnya.
Selepas selesai menonton rancangan Runningman, mereka berempat masuk ke bilik masing-masing. Emi dan Siti masuk ke bilik di hadapan, dan Zira dan Maria pula ke bilik mereka yang berada di belakang, iaitu bilik utama apartment itu.
Bilik tengah sengaja dibiarkan kosong untuk kegunaan tetamu dan kadangkala dijadikan bilik untuk mengerjakan solat secara berjemaah. Kini mereka sering berkumpul di bilik tengah untuk sama-sama membaca surah Al-Baqarah, seperti yang dinasihatkan oleh Cik Zaiton.
“Good night Maria, sweet dream.”
“Same to you, my dear friend,” balas Maria dengan mata separuh tertutup.
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam,” jawab Maria sambil memusingkan badan ke kiri lalu memeluk anak patung teddy bearnya. Hadiah daripada buah hatinya.
Zira mengerling Maria sekilas dan tersenyum. Dia tahu, Maria sedang asyik bercinta. Dan hujung tahun ini, dia harus mencari teman sebilik yang baharu kerana Maria akan berkahwin.
******
Dengkuran halus Siti sudah mula kedengaran. Sesekali bertingkah dengan bunyi deruan angin di luar.
…bersambung
Bab akan datang:
Adakah Siti akan menceritakan tentang lembaga hitam itu kepada rakannya?
Share this novel