Bab 20

Romance Series 106380

DUA puluh tujuh tahun yang lalu...

"Aku tak kira. Samada kau suka atau tak, kau kena nikah dengan Kamarul. Keputusan aku muktamad." Tuan Zaleha memandang Zaitun dengan pandangan tajam.

Zaitun tertunduk hiba. Dia tak ingin bersuamikan Kamarul. Bukan dia tak kenal siapa Kamarul. Malah Kamarul sering menjadi bualan rakan-rakannya.

Buaya darat yang sangat terkenal. Gadis mana yang tidak mahu bergandingan dengan Kamarul. Semua tergilakannya. Ada nama, ada rupa, bahkan bukan dari keluarga sebarangan.

Siapa je yang tak diapit oleh Kamarul. Asal cantik di mata, datang menyerah diri, lagilah dia suka.

Namun begitu, Zaitun sedikit pun tidak tertarik dengan Kamarul. Apatah lagi dengan perangai buaya daratnya. Zaitun belum cukup bodoh untuk masuk ke perangkap Kamarul.

Berapa ramai telah menjadi mangsa Kamarul. Semuanya kerana nafsu serakah. Habis madu sepah dibuang. Setelah puas, dicampaknya gadis-gadis itu. Malah ada yang dilayan seperti sampah.

"Tapi bonda, Kamarul bukan seperti yang bonda sangkakan. Dia bukanlah lelaki yang baik untuk menjadi suami Tun. Tun tak mungkin bahagia dengan dia, bonda." Zaitun masih berharap agar Tuan Zaleha dapat melupakan hasratnya bermenantukan Kamarul.

Tak habis fikir bagaimana Tuan Zaleha boleh mengenali Kamarul. Zaitun cukup yakin Kamarul bukanlah anak dari kalangan teman-teman Tuan Zaleha kerana lelaki itu tidak pernah muncul dalam mana-mana majlis yang diadakan oleh Tuan Zaleha.

"Keputusan aku muktamad. Samada kau suka atau tak, kau tetap kena ikut. Aku dah tetapkan tarikh nikah kau hujung bulan ni." Tuan Zaleha berlalu meninggalkan Zaitun yang telah teresak-esak menangis.

Hari bersilih ganti dan suka atau tidak, Zaitun terpaksa akur dengan kehendak Tuan Zaleha. Siapa dia untuk membantah kerana dia sedar syurganya masih di telapak kaki Tuan Zaleha. Meskipun ketika itu hanya ada satu nama di hatinya. Hanya Sazali satu-satunya lelaki yang bertakhta di hatinya.

Segala persiapan telah dibuat. Zaitun termenung memerhatikan dirinya yang telah siap disolekkan oleh mak andam.

"Cantik kau, Tun. Tak payah make up banyak sangat. Dah naik seri pengantin tu." Zaitun tersenyum kelat. Andai saja Sazali pengantin lelaki, pasti dia akan tersenyum bahagia.

"Ish... pengantin kena ceria. Janganlah buat muka sedih macam ni." Zaitun menahan rasa. Jika diikutkan, dia mahu menangis saat itu.

"Dah tu. Jom ke depan. Bonda kamu dah panggil. Sekejap lagi pengantin lelaki sampai." Zaitun akur.

Dengan berat hati dia melangkah keluar dari biliknya. Tiada mungkin ada jalan untuk dia mengelak. Suka atau tidak, perkahwinan itu perlu diteruskan walau hatinya terluka.

"Kau jangan malukan aku ye, Tun. Jangan kau terfikir untuk lari." Sempat Tuan Zaleha berbisik ketika dia melabuhkan punggungnya di atas bantal kecil yang terletak diruang akad nikah dijalankan.

"Lama lagi ke ni? Saya ada dua pasangan lagi nak dinikahkan." Tiba-tiba tok kadi bersuara. Zaitun menjerling Zurin disebelahnya.

"Pengantin lelaki dah lewat setengah jam," bisik Zurin. Zaitun mengeluh lega. Biar saja pernikahan ini terbatal. Asal saja bukan dia yang membatalkan. Memang itu yang sering didoakan. Dia tak sanggup bersuamikan Kamarul.

Suasana sedikit kecoh diluar. Zaitun tidak pasti apa yang berlaku sehinggalah masuk seorang wanita dengan angkuhnya menendang Zaitun.

Tersentak Zaitun. Berkerut dahinya menahan sakit. Seumur hidupnya, belum pernah dia diperlakukan begitu.

"Tuan Zaleha, kau dengar sini baik-baik. Anak kau ni tak layak jadi menantu aku. Anak kau dah ditebuk tupai. Aku tak ingin bermenantukan perempuan yang tidak bermaruah." Tersentap Zaitun mendengar tuduhan itu.

Tuan Zaleha memandang tepat ke arah Zaitun. Seakan ingin ditelannya. Zaitun memandang Tuan Zaleha mengharapkan dia tidak dijatuhkan hukuman tanpa usul periksa.

"Kau jangan nak fitnah anak aku." Tuan Zaleha masih cuba mempertahankan maruah keluarganya.

"Kau tanya dia, siapa lelaki yang sering bersama dengan dia. Kawan-kawan aku banyak kali nampak anak kau dengan lelaki tu. Pernikahan ni aku batalkan. Aku tak sanggup simpan perempuan tak bermaruah macam anak kau." Dia terus berpaling pergi.

Rambut Zaitun direntap Tuan Zaleha. sungguh dia berasa sangat malu ketika itu. Anak yang diharapkan menconteng arang ke mukanya.

"Kau memang tak guna, Tun. Sampai hati kau buat aku macam ni. Sanggup kau malukan aku." Tuan Zaleha menolak kasar tubuh Zaitun ke dalam bilik lalu dikuncinya dari luar.

Tetamu yang hadir diminta menjamu selera setelah majlis pernikahan itu terbatal. Zaitun yang dikurung tidak dipedulikan.

Semenjak peristiwa itu, Zaitun dilayan tak ubah seperti orang asing. Berminggu Zaitun menangis. Saban hari dia menerima amukan dari Tuan Zaleha kerana malu.

"Mana je aku pergi, orang mengata aku. Belum pernah ada keturunan aku yang buat onar macam ni. Kau memang pecah tradisi Tun. Kalau aku tahu ni balasan kau, memang dah lama aku bunuh kau." Itulah kata-kata yang saban hari terpaksa Zaitun telan.

Entah bagaimana lagi harus dia membuktikan semua itu dusta. Dia mati akal. Hanya Sazali yang boleh membantunya. Semoga saja Sazali masih setia dengan janji yang dilafazkan.

Akibat tidak tahan berdepan dengan amukan Tuan Zaleha saban hari, Zaitun membuat keputusan untuk berhubung dengan Sazali. Tetapi bagaimana caranya sedangkan dia sendiri terkurung di situ.

Puas berfikir, satu hari atas bantuan Pak Mat. Zaitun mengirim surat kepada Sazali memintanya untuk hadir ke rumah. Dalam surat itu juga Zaitun menceritakan segala perihal yang telah berlaku kepadanya.

Petang itu juga Sazali tiba di rumah Tuan Zaleha. Mungkin kerana dia hanya lelaki kebanyakan yang tidak punya harta, Tuan Zaleha mencemuhnya.

"Ini lelaki yang dah rosakkan kau ye? Malam ni juga aku nikahkan korang. Dan malam ni juga aku nak kau berambus dari rumah aku." Keputusan Tuan Zaleha muktamad.

Segera dia mengarahkan Pak Mat memanggil tok kadi untuk menikahkan Zaitun dan Sazali malam itu juga. Pak Mat hanya menurut arahan Tuan Zaleha.

Tiada siapa berani ingkar arahan Tuan Zaleha. Apatah lagi dia hanya driver. Sayu sekali dia memandang Zaitun. Serba salah dibuatnya. Anak itu terlalu baik. Tidak tahu membezakan taraf hidup seseorang. Dilayan sama rata.

Malam itu selepas maghrib, tok kadi tiba di rumah Tuan Zaleha bersama dua orang saksi. Tiada majlis yang meriah. Hanya ada mereka.

Usai akad nikah, Zaitun memandang Tuan Zaleha. Mengharap secebis kasih dari seorang ibu. Sungguh dirinya tak bersalah. Mana mungkin dia melakukan perkara yang akan mencemarkan maruah keluarga apatah lagi dirinya sendiri.

"Bonda, Tun tak salah. Tun tak buat semua tu bunda." Zaitun merayu. Menangis hiba memeluk kaki Tuan Zaleha. Namun, Tuan Zaleha masih berkeras. Tidak mungkin dia memaafkan Zaitun.

Sazali juga telah menjelaskan hal yang sama. Namun hanya caci maki yang dia terima dari Tuan Zaleha. Kata-kata mereka langsung tidak dipercayai.

"Itu beg pakaian kau. Aku haramkan kaki kau jejak rumah aku sekalipun aku mati. Jangan bagi aku nampak walau bayangan kau sekalipun. Berambus kau dari sini. Hiduplah kau dengan jantan tak guna tu." Tubuh Zaitun ditolak kasar lalu, Tuan Zaleha melangkah masuk. Pintu ditutup rapat.

Serapat hatinya yang tertutup untuk menerima penjelasan Zaitun. Apatah lagi memaafkan Zaitun.

Zaitun menangis teresak-esak mengenangkan dirinya yang teraniaya. Sazali tidak sanggup melihat Zaitun begitu. Terus saja dia memaut bahu Zaitun.

"Sudah tu Tun. Pasti ada hikmahnya semua ni berlaku. Jangan peduli pandangan manusia. Tapi fikirlah apa pandangan Allah pada kita. Mari kita pergi." Zaitun akur. Beg pakaian Zaitun Sazali raih. Dengan berat hati Zaitun melangkah meninggalkan rumah yang selama ini menjadi syurganya.

Kini dia telah pun menjadi isteri kepada Sazali walaupun bukan dengan cara yang sering diangankan. Namun, dia tetap bersyukur kerana tidak perlu hidup dengan lelaki seperti Kamarul.

Setahun mereka menempuh segala onak duri hidup berumahtangga sehinggalah Sazali mendapat tawaran bekerja di Singapura.

Kerana ingin mengubah nasib hidup mereka, Sazali menerima tawaran tersebut lalu mereka berpindah ke sana.

Susah senang mereka lalui bersama. Walau Zaitun kerap jatuh sakit kerana rindukan Tuan Zaleha, Sazali tetap sabar menjaga Zaitun.

Share this novel

wahida
2020-09-11 15:01:01 

somi zaitun nm rasul ke sazali..konfius


NovelPlus Premium

The best ads free experience