MULUT semakin rancak mengunyah kerepek. Hanya dengan mengunyah sesuatu saja yang dapat meredakan geramnya.
Mana taknya, baru je Mak Siti nak bersenang-lenang sikit, tiba-tiba dia dapat mesej dari Damia. Kalau setakat mesej merayu memohon ampun, mungkin dia boleh abaikan jugalah. Tetapi mesej kali ni Damia menyatakan yang dia mahu membawa Syafiq dan adik iparnya ke rumah! Itu gila namanya.
"Mak! Takkanlah mak nak biar je angah tu bawak suami dia kat sini? Siap nak bawak adik ipar dia sekali pulak tu. Mak halanglah dia," cadang Nadia tak puas hati. Sekarang ni, jurus menghasut patut digunakan.
Mak Siti masih terdiam. Nafas dihela panjang. Otaknya masih tak henti memikir untuk membuat keputusan apakah patut dia terima kunjungan tersebut atau menghalau aje.
"Itulah mak. Berlembut sangat dengan angah tu. Hari tu bukan main lagi nak jodohkan dia dengan Lokman. Lepas tu, bila angah dengan penjual sate tu kahwin, mak biarkan pulak. Peninglah!" sambung Nadia lagi.
Kali ini jelingan tajam dihadiahkan Mak Siti. Anaknya itu dari tadi mengomel sana sini, nanti ada jugak yang makan penampar.
"Kamu boleh diam tak? Mak tengah pening ni tau. Ni tambah kamu pulak tak henti-henti bercakap, lagi serabutlah mak!" marah Mak Siti dengan mata mencerlungnya.
"Ala, mak. Nak fikir apa sangat. Sepatutnya mak kena putuskan hubungan dengan laki bini tu. Senang. Dah angah suka melawan mak, mak halaulah dia."
"Ewah ... cakap senang eh kamu ni. Lebih sudu dari kuah! Mak separuh nyawa lahirkan angah tu, takkan mak senang-senang nak buang dia. Sejahat-jahat mak, mak ada hati perut lagi tau. Bukan macam kamu tu," bidas Mak Siti.
Kadang terasa melampau pulak anak sulungnya tu. Salah dirinya sendiri jugak kerana terlalu manjakan anak kesayangannya tu sampaikan mulut pun tak bertapis.
Nadia mencebik. Kena sindir dengan ibu sendiri, tahu pun sentap.
"Along pun ada hati perutlah mak. Kalau along tak ada hati perut, dah lama along mintak macam-macam kat penjual sate tu sebab angah dah langkah bendul along tau. Tapi bila difikirkan, macamlah penjual sate tu ada duit sangat nak beli macam-macam." Nadia membuka mulut lagi. Masih cuba mempertahankan perdebatannya.
"Padan muka kamu kena langkah bendul dengan adik sendiri. Lain kali cakap besar lagi. Nak kahwin dengan CEO la, anak Datuk la. Last-last, jadi andartulah kamu," balas Mak Siti semula.
Apabila dibedil sebegitu oleh ibunya, Nadia terus mati kata. Mahu menyangkal, pasti ibunya ada saja bahan untuk membidas. Sudahlah, daripada biarkan perbualan menjadi tak berpenghujung, lebih baik dia diamkan diri tanda mengalah biarpun hati masih panas.
Mak Siti menyambung kunyahannya. Geram. Bertekak dengan anaknya yang seorang ni, bukannya membantu pun. Makin merosakkan lagi keadaan adalah.
Mak Siti jeling Nadia yang kini mengalihkan fokusnya kepada telefon pintarnya. Tersenyum-senyum anaknya bermain telefon. Entah apalah yang dibuatnya itu. Pantas jelingan Mak Siti kepada anaknya bertukar. Matanya sedikit membulat.
"Kamu hari ni tak kerja ke? Kelmarin bukan kamu dah ambik cuti ke?" tanya Mak Siti dengan penuh rasa keganjilan.
Nadia tujukan pandangan ke arah ibunya. Matanya menerawang mencari idea untuk menjawab soalan. Tengok ibunya yang sedang memasang muka serius tu, Nadia hela nafasnya.
"Err ... along dah berhenti kerja, mak," jawab Nadia jujur.
"Hah? Berhenti kerja?" Semakin terbeliak mata Mak Siti dengan jawapan tak disangka-sangka itu.
Nadia telan liur lalu hanya tertawa janggal. Tertawa pun sekadar mahu ibunya tak berang dengan pengakuannya itu.
"Habis tu? Siapa yang nak bagi duit kat mak bulan-bulan? Takkan nak harapkan kedai runcit tu je? Kamu tahu tak sekarang ni mak berharap kat kamu je?"
"Mak, along ada simpananlah mak. Mak jangan risaulah." Nadia lalu berdiri dari duduknya. Takut juga jika ibunya bertanya hal yang lebih-lebih. "Kejap lagi along nak keluar dengan kawan, tau."
Laju kakinya melangkah meninggalkan ruang tamu itu tanpa sempat Mak Siti bertanya lebih. Lain semacam perangai Nadia ini.
"Hoi, along! Kelmarin dah keluar takkan hari ni nak keluar lagi?" jerit Mak Siti.
"Kamu jangan kata yang kamu buat benda bukan-bukan ..." Nada Mak Siti sengaja dileretkan. "Kamu jangan macam-macam, along."
"Ish! Mana ada mak! Suka hati je menuduh," suara Nadia pula memekik dari kejauhan. Derap langkahnya sudah hilang dari pendengaran menandakan dia sudah melangkah jauh pergi ke tingkat atas.
Mak Siti menggelengkan kepalanya. Hatinya kini penuh prasangka. Sejak-sejak ni, kelakuan Nadia makin pelik pulak.
Kalau dulu, setiap cuti memang Nadia tu akan pergi keluar bersama kawannya tetapi kali ni, dia selalu pulang lewat daripada kebiasaan. Kadang pukul 10:00 malam barulah nampak batang hidungnya pulang.
Ditambah pula dengan berita dia berhenti kerja yang sememangnya mengejutkan. Sudah tiga tahun Nadia bekerja di kilang pembuatan perabot, tak pernah dia mengadu ada masalah dengan kerjanya. Takkanlah Nadia dah dapat kerja lain?
Tetapi itulah, Nadia takkan buat perkara yang bukan-bukan. Dia tu seseorang yang boleh dipercayai. Mak Siti cuba berfikiran positif.
*****
Selesai sahaja mandi, Damia baring seketika di atas katil. Otot-otot yang terasa nyeri ditegangkan. Boleh tahan penat jugak membantu suami dan adik iparnya mengemas rumah tadi.
Dahlah dirinya tu paling malas kalau bab-bab mengemas ini. Tetapi mujurlah tugas yang dia lakukan tak sesusah mana. Setakat sapu sampah dan tukar sarung sofa je. Jadi masih boleh dikategorikan sebagai tugas mudah.
"Sayang ..."
Baru saja fikirannya hampir melayang ke mana hala, suara si suami segera menyedarkannya.
"Eh, abang." Damia terus bangun dari pembaringan. Turut dia memberi senyuman kepada suaminya itu.
Syafiq yang sedang tercegat di depan pintu bilik segera tanggalkan kopiah yang dipakainya. Kopiah itu diletak di atas laci kayu miliknya.
"Dah nak tidur ke? Baru pukul 9:00 ni," tanya Syafiq seraya melabuhkan punggungnya di birai katil.
"Tak adalah. Saja nak relaks-relaks sekejap."
Syafiq angguk kepalanya. "Umm ... sayang?"
"Hmm?"
"Esok macam mana? Mak balas tak lagi mesej sayang tu?"
Soalan Syafiq itu membuatkan air muka Damia berubah muram. Kepalanya digelengkan. Melihat dari ekspresinya itu, sudah semestinya ia menunjukkan bukan jawapan itu yang mereka impikan.
"Mak tak balas apa-apa pun. Saya cuba call, dia reject. Whatsapp pun, dia bluetick je." Damia hela nafasnya.
Syafiq angguk. Biarpun jawapan Damia itu memberi sedikit kehampaan, tapi dia masih kekal bertenang. Tak mengapa, segala benda memerlukan masa. Yang mereka perlukan sekarang ini, hanyalah kesabaran.
"Tak apalah, sayang. Mak masih marah tu. Nanti kalau lama sikit, okeylah tu," ucap Syafiq cuba menyuntik ketenangan.
"Tapi kan bang ... kalau esok kita pergi terus jumpak mak tak boleh ke? Abang rasa okey tak kalau kita buat macam tu?"
Syafiq pandang isterinya dengan riak terkejut. Pergi rumah Mak Siti secara tiba-tiba? Tanpa keizinan? Mulalah hati diserang sangkaan yang tak sedap belaka. Bukan apa, takut jugak kalau ibu mentuanya tu makin meradang.
Bibirnya masih tertutup. Tak tahu mahu beri jawapan apa. Bukan kerana dirinya tak bersedia untuk menghadap Mak Siti, tetapi kerana takut keadaan jadi makin melarat.
Melihat Syafiq yang masih membisu, Damia menyambung, "Sebab abang jugak yang suruh kita usaha dapatkan hati mak. Saya tahu cadangan saya tu agak merepek. Pergi rumah mak tanpa kebenaran dia. Tapi kalau abang tak setuju, saya okey je."
Bebola mata Syafiq bergerak-gerak. Dia yang menyuruh untuk berbaik dengan Mak Siti, masakan dirinya pula yang mahu menolak cadangan tersebut. Lagipun betul juga kata Damia. Mereka berdualah yang perlu berusaha untuk memperbaiki hubungan antara keluarga yang sudah retak itu.
"Tak ... abang okey je, sayang. Betullah apa yang sayang cakap tadi. Kalau kita tak pergi rumah mak dalam masa yang terdekat, entah bila pulak, kan? Sementara kita baru dua hari berkahwin ni, baik kita jumpak dia cepat-cepat." Setuju jua Syafiq dengan cadangan isterinya.
Damia memberi segaris senyuman nipis. Tahu cadangannya itu bukan yang terbaik tetapi apakan daya, mereka berdua kena berusaha lebih. Takkanlah setiap masa mahu tunggu respons dari ibunya.
Silap hari bulan, sampai Mak Siti dapat cucu pun, belum tentu dia membalas segala mesej dan panggilan anaknya itu.
Syafiq membalas senyum. Kemudian senyumnya kian menghilang tatkala Damia kelihatan gelisah. Mungkin isterinya tu masih belum bersedia untuk menghadapi ibunya sendiri.
Tangan Damia digenggam. "Sayang ... maaf kalau sayang rasa abang ni terlalu memaksa sayang untuk berbaik dengan mak. Abang tahu sayang masih bertegang urat dengan mak. Tapi abang tak nak hubungan kita sekeluarga makin renggang. Abang hanya nak ..."
Bicara Syafiq terbantut. Matanya membulat luas apabila bibirnya terasa disentuh oleh sesuatu yang lembap dan hangat.
Damia terus mengoles senyuman. "Tak payah mintak maaf, bang. Saya tahu abang nak yang terbaik untuk kita, kan?" Seperti tiada apa-apa Damia membalas.
Syafiq masih terkaku seperti patung. Liur diteguk berkali-kali. Jantungnya semakin laju berdetak.
Dia masih tergamam dengan kucupan isterinya tu. Habis segala topik yang dibincangkan tadi dilupakan begitu saja bagai diterbangkan angin.
"Tadi sayang buat apa?"
"Mana ada buat apa-apa," sangkal Damia lalu kepalanya ditoleh ke arah lain. Benda dah terang tetapi masih lagi mahu menyembunyikan.
Padahal mulut kata lain hati kata lain. Ketika itu juga, terasa seperti aliran darah segera menyerbu ke bahagian muka. Terasa membahang dan memerah. Tahu pun malu dengan kelakuannya sendiri tadi.
"Sayang cium abang kan tadi?" Syafiq tak henti ajukan soalan. Tahu sangat Damia tu pura-pura tak faham.
Dah isterinya yang mulakan dulu tadi, sekarang rasakan! Tapi itulah, isterinya berbuat begitu pasti kerana mahu dirinya tidak terlalu dihimpit tekanan.
"Tu ... tu saya hanya nak balas balik je. Semalam kan abang cium dahi saya." Dengan tergagap-gagapnya Damia menjawab.
"Jadi semalam sayang tak tidur lagilah masa tu?"
"Baru nak tidur. Tapi sebab saya mengantuk sangat, mata yang terpejam tu rasa berat nak bukak," jawab Damia lagi.
Syafiq senyum sambil tergeleng-geleng kepalanya. Tengok isterinya yang menggelabah tu, makin membuak-buaklah perasaan ingin mengusiknya. Firasat nakal kian menjelma.
Lalu kucupan dihadiahkan kepada isterinya. Sama seperti tindakan isterinya yang mengucup bibirnya tadi, bibir milik Damia pula menjadi titik sentuhannya.
Damia biarkan sahaja bibirnya dipagut. Tanpa sedar, terasa pinggangnya dirangkul dan tubuhnya semakin rapat ke arah Syafiq. Tak cukup dengan bibir, kawasan dahi dan pipi turut menjadi mangsa kucupan suaminya itu.
"Abang sayangkan sayang banyak-banyak. Terima-kasih sebab faham abang."
"Damia pun sayangkan abang. Banyak-banyak ..."
*****
Seluruh bahagian wajah dan leher Damia sapu dengan krim asas. Takut jugak kalau Syafiqah bertanya tentang kesan-kesan yang terserlah di tubuhnya itu, memang terkebil-kebillah nak menjawab.
Dalam hatinya sudah membebel kat Syafiq tu. Mana taknya, habis segala cap mohor ditinggalkan suaminya itu. Semuanya gara-gara malam tadilah!
"Eh, Kak Damia. Selamat pagi," sapa Syafiqah apabila setibanya Damia di ruang dapur.
Damia membalas dengan senyuman lalu menghampiri meja makan. Kerusi berhadapan Syafiq menjadi tempat duduknya untuk menjamu selera.
"Nah, nasi lemak." Syafiq lalu menghulurkan sebungkus nasi lemak yang dibelinya tadi kepada Damia.
Damia mencapai bungkusan itu dengan ucapan terima kasih. Pantas tangannya membuka daun pisang yang membaluti nasi lemak itu. Usai membaca doa, sesuap nasi selamat mendarat ke dalam mulut.
"Sayang? Kenapa muka sayang putih semacam? Pakai bedak ke?" soal Syafiq sambil matanya mengamati seluruh wajah isterinya.
Baru je nak suap nasi buat kali yang seterusnya, Damia tersentak. Pantas tangan kirinya menyentuh wajahnya sendiri. Dia pakai foundation, terlalu tebal ke?
"Err ... bukan bedak. Tapi foundation." Damia tersenyum lalu matanya dikecilkan menatap wajah suaminya. Ni mesti Syafiq sengaja bertanya hal tu, kan? Syafiq pulak jongketkan kening seakan mengejek.
Syafiqah pasang muka pelik. Dahinya berkerut-kerut. "Eh? Kat rumah pun pakai foundation? Tapi kulit Kak Damia bukan dah cantik dah ke?" Kali ini Syafiqah pula menyoal.
Damia tertawa kecil. Rasa tak puas hati kepada suaminya semakin meluap-luap. Dalam banyak-banyak benda, kenapalah hal itu jugam suaminya nak tanya? Sekarang dirinya pula yang menanggung padah mahu menjawab soalan Syafiqah. Geram!
Tapi belum sempat Damia menjawab, suara garau Syafiq mencelah. Mulut Damia tiba-tiba terasa bagai dikunci.
"Semalam Kak Damia kena cubit," jawab Syafiq selamba.
Cubitlah sangat! Sebagai balasan, kakinya di bawah meja disepak kuat. Damia besarkan matanya memberi amaran. Kan dah mendapat. Mentang-mentanglah dirinya sudah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, makin menjadi-jadi pulak Syafiq mengusiknya.
Syafiqah masih tak faham tentang apa yang sedang berlaku. Wajah Damia dan Syafiq dipandangnya bersilih ganti. Akhirnya dia putuskan untuk tak ambil peduli. Daripada dia melayan abang dan kakak iparnya tu, lebih baik dia habiskan dulu nasi lemak yang masih tersisa.
Syafiq tahan senyum. Ditambah dengan muka Damia yang menyinga itu, bila-bila masa aje boleh terburai tawanya. Aduilah, seronok pulak usik bini.
"Syafiqah, kejap lagi nak ikut tak pergi rumah mak Kak Damia?" tutur Damia mengubah topik yang baru.
Daripada topik tadi diperbincangkan semakin panjang, lebih baik dia tukar perbualan mereka tentang hal lain. Lagipun, memang hal tu bakal dia pertanyakan kepada Syafiqah. Hal yang agak penting baginya.
"Rumah mak Kak Damia?" Syafiqah pandang sekilas wajah abangnya. "Kat mana?"
Suasana terus bertukar serius. Wajah Syafiqah terlihat sedikit terkejut. Dengar je perkataan mak kepada Damia, tiba-tiba dirinya terbayang akan wajah bengis itu.
Kejadian Mak Siti membelasah Damia di depan rumah Ustazah Najihah diimbas semula di layar fikiran. Tahap garang wanita tua itu, bukan boleh dibuat main. Gerun juga kalau dirinya pulak yang menjadi mangsa wanita itu.
Sudahlah wanita tua itu membencinya. Mungkin sebab dirinya terkena tempias kebencian daripada abangnya. Buktinya, sewaktu hari pernikahan abangnya dan Damia berlangsung. Ketika Syafiqah mahu menyapa dan bersalam dengan Mak Siti, malah dia dihadiahkan dengan jelingan hinaan. Amat sinis.
"Haah. Tak jauh pun, kat kampung sebelah je. Kurang 10 minit sampailah." Damia lalu menuang air teh ke dalam cawan lalu meneguknya.
Diam. Syafiqah masih tak tahu akan keputusannya. Dia amat takut bertemu lagi dengan wanita garang itu, tetapi jika dia tak ikut, nanti dia pula berseorangan kat rumah. Tiba-tiba, nama seseorang terlintas dalam benaknya.
"Kalau Syafiqah tak nak ikut boleh tak?"
"Kenapa pulak? Habis tu, adik nak duk sorang ke?" Kini Syafiq pula bertanya. Jelas kerisauan dalam nadanya.
Syafiqah diam sejenak. "Syafiqah rasa nak duduk dengan Ustazah Najihah. Rindu pulak kat ustazah." Syafiqah mencebikkan bibir.
Damia terkedu. Dengar je nama Najihah, dirinya dilanda sedikit rasa cemburu. Syafiqah masih lagi melebihkan ustazahnya itu walaupun dirinya sudah berkahwin dengan Syafiq. Sekarang ini, aku yang kakak ipar Syafiqah, bukan Najihah! Jeritnya yang hanya mampu terbuku di dalam hati.
"Eh, Syafiqah ... jangan macam tu. Minggu ni kan minggu last Ustazah Najihah ajar mengaji, jadi Syafiqah boleh jumpak dia lagi. Lagipun, bila-bila je Syafiqah boleh jumpak dia," rayu Damia. Sekarang ini, Syafiqah patut mengikutnya dan Syafiq. Semuanya demi penerimaan ibunya terhadap dua beradik itu.
Damia lalu memberi isyarat mata kepada Syafiq agar menyokong pernyataannya tadi. Kalau pujukannya tak jalan, mungkin Syafiq mampu membantu.
Syafiq mengangguk. "Adik ... betul cakap Kak Damia tu. Bila-bila je boleh jumpak Ustazah Najihah." Kepala Syafiqah dia usap perlahan. "Adik jangan takut. Along dengan Kak Damia kan ada."
Syafiqah yang sedikit tertunduk tadi kini menatap wajah abangnya. Terkejut kerana abangnya memang dapat menilik isi hatinya. Sedikit sebanyak, pernyataan abangnya tadi memangkas rasa was-wasnya.
"Mak Kak Damia tu baik cuma dia tak biasa lagi dengan kita. Nampak aje garang tapi tak pun. Along dengan Kak Damia nak pergi rumah dia sebab nak berbaik dengan dia. Mana tahu kita boleh rapat dengan dia?" Syafiq jongketkan kening. Damia di hadapannya pula mengangguk.
"Kenapa nak kena rapat dengan dia pulak?"
"Sebab dia dah jadi keluarga kita. Bila kita perlukan bantuan, dia tolong kita dan bila dia perlukan bantuan pulak, kita pulak tolong dia." Syafiq jeda bicaranya. "Nanti bila along dah start kerja kat gerai, dia boleh tolong tengok-tengokkan Syafiqah dengan Kak Damia."
Syafiqah masih membisu. Dulu setiap malam Ustazah Najihah yang jagakan dirinya, tapi takkan kali ini mahu mintak tolong Mak Siti pulak? Tapi apabila dengar saja Kak Damia turut ada bersamanya, resahnya surut. Dia menggangguk apabila melihat wajah Damia yang seperti menagih harapan darinya.
Damia hela nafas lega setelah kepala Syafiqah terangguk-angguk bersetuju. Terima kasih kepada Syafiq kerana mampu meyakini adiknya tu. Kalau nak ulaskan tentang restu, mungkin Syafiqah sedikit tak faham tetapi mujurlah Syafiq pandai memutar sedikit saja bicaranya.
Tetapi rasa lega itu kian memudar tatkala memikirkan saat sebentar nanti. Entah apalah reaksi Mak Siti dengan kehadiran tak diundang mereka. Hati kini hanya mampu berdoa semoga dipermudahkan segala urusan.
Bersambung...
thank you readers :-)
Share this novel