Bab 5

Romance Series 33083

DALAM keterpaksaan Camie telan kembali kata-katanya. Mujur juga dia tidak terus berjual mahal dan mujur juga Tuan Damien terus mendesak jika tidak. Pasti Camie tergolong dalam golongan yang rugi.

Melopong mata Camie melihat helikopter di depan mata. Heli yang di depan matanya ini langsung tidak sama dengan heli yang selalu dia lihat di Taman Titiwangsa itu. Heli ini lebih besar dan jauh lebih mewah.

Bila Tuan Damien katakan mahu keluar mencari ilham, Camie membayangkan taman-taman awam, yang paling jauh pun Bukit Ampang sana. Destinasi healing yang sedang tular kala ini. Tidak pula Camie menduga yang mereka akan ke Langkawi dengan Jet Peribadi. Ternyata, definisi healing golongan kayangan ini, melebihi jangkauan akal fikiran Camie yang marhain.

Kerusi berbalut kulit dengan hiasan butiran kristal menarik pandangan mata Camie. Kilauan kristal saat terbias pantulan cahaya matahari sangat menarik untuk terus ditatap. Tanpa sedar jemari Camie naik menyentuh dan membelai kristal di situ.

“Itu semua real diamond. Jangan kau cabut pula. Jatuh hukum mencuri nanti. Haram!” Automatik Camie tarik kembali tangannya. Sejenak kemudian dia jegilkan biji mata bila Damien sudah melepaskan tawa terbahak-bahak. Terkena lagi Camelia!

“Tuan...” Camie mula menderam geram bila dirinya selalu menjadi bahan usikan Tuan Damien.

Dengan penerbangan peribadi, jarak yang beratus kilometer hanya mengambil masa kurang dari dua jam sahaja untuk tiba. Atas faktor inilah juga penerbangan sebegini menjadi pilihan utama para usahawan yang sentiasa sibuk. Setiap minit mereka sangat berharga untuk dibazirkan.

“Camie, kahwin sama aku?”

Tergemap Camie dek soalan yang langsung tidak terduga itu. Namun, Damien tetap dengan pendiriannya. “Kahwin sama aku, Camie?” Sekali lagi soalan yang sama diulang.

Bila Camie kekal membisu. Suasana berubah sepi. Masing-masing mula kekok. Camie toleh ke kiri dan Damien toleh ke kanan. Membuang pandang pada lautan yang terbentang luas di bawah sana.

TUAN Damien sentuh kad ke tempatnya. Pintu yang terbuka di kuak dengan kaki sementara sebelah tangan lagi sibuk menyimpan semula kunci ke dalam kocek seluar.

“Masuklah. Termenung apa lagi depan pintu tu?”

“Kita...” Tak sempat habiskan ayat Damien terlebih dahulu jentik dahi Camelia dengan jari telunjuknya tak sakit tetapi tersentak juga Camie di buatnya, angin tak ada, ribut tak ada tiba-tiba dahi terasa berbisa.

“Jangan selalu buruk sangka sangat dengan aku. Bawak-bawak ajar diri tu untuk percayakan aku. Bilik aku dekat sebelah. Tengah tu ada pintu kalau nak apa-apa kau ketuk aje pintu tu. Tapi pastikan pintu tu sentiasa di kunci. Aku sendiri tak tahu berapa lama aku dapat kawal diri sendiri.” Damien terus berlalu selepas menyisipkan kad kunci ke tangan Camie.

Niat di hati mahu membalas tetapi entah mengapa suara tidak terzahir. Sudahnya Camie diamkan sahaja.

‘Dia main-main aje kot? Tak mungkinlah Tuan Damien nak kahwin dengan aku? Lelaki macam dia, mana tahu nak serius. Jiwa dia cuma tahu nak berseronok aje...’

Camie cuba melupakan soalan Tuan Damien yang masih tergantung tanpa jawapan.

PULANG daripada lawatan tapak projek tadi, Camie terus bawa keluar semua peralatan lukisannya. Lakaran kasar yang dibuat sepanjang lawatan tadi dia teliti satu per satu sebelum tangan mula menari di atas kertas putih. Menzahirkan semua rekaan yang mula bermain di fikiran.

“Tok!” Kerja melakar terbantut saat telinga Camie menangkap bunyi ketukan pintu. Pantas Camie berlari ke pintu utama, mengintai melalui peeping hole. Tiada kelibat sesiapa di situ tetapi bunyi ketukan masih sahaja berlangsung. Camie cuba mengamati bunyi ketukan dan ternyata datangnya dari arah sana. Pintu kayu berwarna dark oak itu direnung lama. Itukan pintu yang dimaksudkan Tuan Damien tadi?

“Kenapa lambat sangat nak buka pintu? Kau buat apa? Mandi?”

“Melabur!” Semberono Camie. Geram bila privasinya diganggu.

“Kau tengah marah bah? Comel bah muka kau. Macam buntut ayam!”

“Tuan ni, tak boleh ke bagi perumpamaan yang senonoh sikit?”

“Alah bergurau pun tak boleh? Kau nak melukis eh? Ini... beg kau. Aku terlupa nak pulang tadi.” Tas tangan milik Camie diletakkan ke atas katil dan punggung Damien selamba sahaja berlabuh duduk di situ. Jemari pula tak duduk diam, sibuk membelek perkakas lukisan Camelia. Pensel gadis itu pun ditiliknya, entah apa yang di cari pun tak tahu.

Camie cebik bibir mengakui kesilapan sendiri. Terlalu seronok dilayan bak puteri raja sehingga lupa beg tangan miliknya yang dikelek Tuan Damien sejak mula sampai habis lawatan tadi. Lagak mereka tak ubah seperti sepasang pasangan kekasih. Setiap apa yang dilakukan, pasti Damien akan dahulukan Camie terlebih dahulu. Dalam kelancangan kata-kata lelaki itu sikap gentleman tetap terselit di setiap kelakuannya. Semakin mengingatkan Camie kepada sosok Abang Budiman yang masih menghilang tanpa khabar berita.

“Kau buatlah kerja, aku limpang(baring) sini ya? Bosanlah tak ada benda nak buat.” Damien berlalu tetapi bukan ke biliknya, sebaliknya ke ruangan rehat. Peti televisyen di buka dan tubuh dilemparkan ke sofa berangkai tiga. Camie terlongo!

“Tuan nak lepak sini ke?”

“Kenapa? Tak boleh? Kau nak kena suasana sunyi sepi ke buat kerja? Nak tutup TV ni ke?”

“Eh, tak... saya okey aje bising-bising pun...”

‘Cuma... tak selesa aje tuan tenung saya macam tu, lari semua idea saya. Nak lukis pun tak senang.’ Andai saja Camie diberi kekuatan, pasti sudah dia jawab begitu. Tetapi malangnya aura Tuan Damien sangat dominan membuatkan Camie hanya mampu berkata-kata di dalam hati sahaja. Lebih-lebih lagi bila lelaki itu berjarak hanya seinci dari tubuhnya. Haruman maskulin Tuan Damien benar-benar mengganggu emosi Camie.

“Kau tahu kau punya pilihan, kan? Kalau tak suka, tak selesa. Suarakan. Jangan asyik nak memendam perasaan aje. Kalau suka pun cakap, jangan risau kena reject, aku pasti terima kau.” Tuan Damien hadiahkan kenyitan mata sebelum melangkah ke pintu penghubung tadi.

“Dah, siapkan dulu mana yang mampu... esok kita balik KL terus masuk ofis. Sekali lagi pintu ni jangan lupa kunci. Takut aku terlupa bah kita belum halal...”

SETELAH berkali-kali panggilannya tidak berjawab. Camie nekad menghampiri pintu penghubung antara dua bilik itu. Perlahan-lahan kunci pintu di lepaskan dan tombol di tarik penuh hati-hati. Terkuak sahaja pintu itu Camie selitkan kepala sendiri. Mencari-cari kelibat Tuan Damien. Gagal menemui apa yang di cari, Camie ambil keputusan melangkah masuk. Mungkin Tuan Damien keluar. Itu yang Camie fikirkan.

Saat kaki mula melangkah, Camie dikejutkan dengan satu pemandangan yang tidak pernah dia terfikirkan selama ini. Sosok seorang lelaki bert-shirt putih dan berkain pelekat sedang bersujud di sejadah. Wajah si dia masih lagi tersorok kerana sosok itu membelakangkan tubuh Camie.

Dalam keheningan pagi, Wajah itu berpaling ke sisi mengucapkan salam dan Camie pasti gerangan si dia melalui pandangan sisi itu. Hati Camie mula dihurung satu rasa yang sukar untuk dia gambarkan, dia sendiri sudah lama melupakan tikar sejadah dek kerana sibukkan urusan dunia. Dia juga sering berburuk sangka kepada lelaki itu kerana perbezaan agama mereka. Rupanya, lelaki yang sering dia salah mengertikan itu lebih mulia dari Camelia sendiri.

“Sejak bila tuan...”

“Baru lagi, tolong rahsiakan dulu. Boleh?”

“Kenapa?”

“Banyak yang aku kena belajar lagi. Malu nak mengaku Islam bila yang aku tahu hanyalah Al-Fatihah dan surah-surah pendek aje. Nak mengaji pun masih terkial-kial.”

“Tuan...” Jeda. Kelu lidah Camie untuk meneruskan bicara sudahnya hanya mata yang berbicara menghantar apa yang gagal disampaikan oleh lidah.

Damien tersenyum seakan mengerti apa yang cuba Camie sampaikan.

“Niat tu dah lama ada. Tapi lepas kenal kau, nekad tu mula datang. Lepas macam-macam ujian yang terjadi dalam keluarga aku dan kerana nak terus mendekati kau, aku cuba-cuba dekatkan diri dengan Islam, selain Arjuna, Ustaz Akmal banyak tolong aku.”

Camie masih jeda. Masih terkejut barangkali.

“Dah jangan nak buat muka terkejut tu lama-lama. Aku geram!” Damien mula mengusik. Terjuih bibir Camie.

“Ambil ni. Aku tak tahulah kau suka atau tidak, yang penting aku suka. Pergilah bersiap dulu. Kita sarapan dulu sebelum gerak balik.”

Camie keluarkan satu per satu barang pemberian Tuan Damien. Baju kurung moden lengkap dengan segala adik-adiknya sekali.

“Aku minta tolong staff hotel belikan, aku tak tengok pun. Kau jangan salah faham lagi dengan aku!” Seakan ada telepati antara mereka, kuat Damien melaung memberi penjelasan dari dalam biliknya.

Suka atau tidak. Percaya atau tidak. Camie hanya mampu terima segalanya.

akhirnya muncul jugak bad boy manajh mak ni..enjoy bacaan okeh... terima kasih selalu support.. luv teruks dekat korang..muaxx!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience