BAB 7

Romance Completed 4092

MALAM ini terasa damai, tidak seperti malam-malam yang lain. Bulan memancar terang di dada langit bersama ribuan bintang-bintang. Aku leka memerhatikan suasana pada malam itu. Selepas solat Fardu Isyak sebentar tadi, aku terus duduk di halaman rumah sambil berkhayal seorang diri. Sengaja aku ke tempat itu, untuk merehatkan minda dari sebarang masalah yang kian membelengguku sejak akhir-akhir ini.

Apabila mengingati semula pertemuanku dengan Syed Aidil siang tadi, perasaan aku tiba-tiba menjadi gelisah tidak menentu. Tidak menyangka, lelaki itu tega menghina diri ini di hadapan kawan-kawan yang lain. Mujurlah, suaranya tidak terlalu kuat. Aku agak khuatir, sekiranya mereka mengesyaki apa-apa tentang kami berdua. Pada mulanya, aku gembira kerana dipertemukan dalam satu kumpulan yang sama dengan Syed Aidil.

Namun begitu, apabila melihat penerimaan Syed Aidil agak hambar padaku, rasa bahagia itu terus bertukar kepada benci. Aku memang panas hati dengan sikap sombongnya itu. Selama ini, sudah puas aku bersabar malah sanggup memberikan ruang kemaafan kepada lelaki itu, tetapi tidak sedikit pun dihargainya. Dia tetap menganggap aku sebagai musuh ketatnya. Entah di mana agaknya salah aku, sehingga dia benar-benar benci pada diri ini.

Mulai malam ini, aku harus memasang tekad untuk mengenakan Syed Aidil. Aku tidak boleh menunggu terlalu lama untuk bertindak. Benar juga kata Syima siang tadi. Lelaki sombong itu perlu diajar cukup-cukup, biar dia tahu diri sedikit.

Telefon bimbit yang masih berada dalam genggaman tangan, aku pandang sekali lagi. Perlukah aku menghubungi Syed Aidil saat ini juga? Bagaimanakah penerimaannya kepada aku nanti? Aku hendak menyamar sebagai siapa pula? Ah, serabut betul fikiran aku sekarang.

Setelah berfikir agak lama, akhirnya aku membuat keputusan untuk menghubungi lelaki sombong itu. Biar apa jua cabaran yang mendatang selepas ini, aku tetap dengan keputusan aku. Lagipun, bukannya dia kenal siapa aku. Selagi aku tak beritahu perkara yang sebenar, selagi itu dia tidak akan tahu.

Niat aku memang ikhlas untuk mengenalinya. Aku buat ini semua demi kebaikan dia juga. Perangai manusia ini boleh berubah-ubah kalau kena dengan gayanya. Moga-moga, Syed Aidil akan lembut hati apabila berkenalan dengan aku nanti. Biarlah rahsia ini, hanya aku dan Syima sahaja yang tahu.

Tanpa membuang banyak masa, aku pantas mencari nombor telefonnya. Punat panggilan aku tekan perlahan-lahan dengan debaran kuat di dada. Aku masih sabar menanti sehingga talian disambungkan. Beberapa saat kemudian, aku terdengar satu suara garau yang menjawab panggilan itu. Dadaku semakin berdebar kencang.

“Hello, siapa ni?” soalnya sedikit kasar.

Aku mulai cemas apabila mendengar suara garaunya. Aku agak yakin, suara itu kepunyaan Syed Aidil. Tidak mungkin aku tersilap dengar. Suara macho itu masih terakam kukuh di ingatan sehingga ke saat ini.

Ah, apa yang aku hendak cakap, ya? ‘Cuba bawa bertenang, Yasmin. Jangan gelabah sangat.’ Hati kecilku berkata-kata, untuk mengusir keresahan yang kian bertandang di fikiran.

“Err…boleh saya bercakap dengan Razak,” ucapku dengan suara yang terketar-ketar. Aku cuba berlakon sehabis baik untuk mengaburi pendengarannya. Hanya cara ini sahaja, aku dapat memancing minatnya. Manalah tahu, jerat aku mengena nanti.

“Eh, you ni dah salah nomborlah. Ini bukan nombor Razak, tapi nombor I. You ni siapa, ya?” ajunya lagi. Nada suaranya kedengaran lembut sedikit berbanding tadi.

Nampak gaya, rancangan aku malam ini akan berhasil seperti yang diimpikan. Aku tersenyum sendiri apabila mendengar suara cemasnya. Barangkali, dia teruja untuk mengetahui siapakah diri aku yang sebenarnya. Sabar ya, Syed Aidil. Aku akan hadir dalam hidupmu sebentar sahaja lagi.

“Nama I, Cempaka Sari. Sebenarnya, I nak call Razak tapi macam mana you pula yang angkat. I rasa, nombor yang dia berikan pada I sudah betul. I sendiri tidak pasti. Mungkin, I yang tersalah dail. Maaflah kerana menganggu you. Bye!” Aku sengaja berkata begitu untuk melihat sejauh mana reaksinya dengan kata-kataku.

Belum sempat aku memutuskan talian, Syed Aidil sudah membuka mulut.

“Cempaka, nanti dulu. I belum habis lagi cakap dengan you. You tinggal kat mana, ni?” ajunya bersungguh-sungguh. Aku tertawa kecil di hujung talian kerana jerat aku baru sahaja mengena. Yes! Aku dah menang.

“I stay kat Johor Bahru. You?”

“Samalah. I pun duduk kat JB. Bolehlah kita jumpa nanti. Teringin juga I mengenali you dengan lebih dekat lagi. Mesti you ni, cantikkan orangnya,” pujinya lagi.

Emm…memang dasar buaya tembaga betul mamat seorang ini. Sengajalah tu hendak ambil hati aku. Dia ingat, aku boleh termakan pujuk rayu dia. Jangan haraplah Syed Aidil. Kali ini, aku hendak ajar dia cukup-cukup. Biar dia tahu rasa. Aku akan buat sampai dia gila bayang pada aku. Hahahaaa…Tanduk aku sudah mula naik di atas kepala.

“I pun teringin juga bertemu dengan you. Tapi, kita kan baru saja kenal. I takut, ada orang marah kalau I kenal dengan you,” tambahku, cuba menarik minatnya lagi.

“Siapa pula yang nak marah? I masih solo tau, belum terfikir pun untuk bercinta dalam usia yang masih muda macam ni. I lebih suka berkawan dulu. Tak sangka, kita boleh kenal malam ini, ya. Kalau you tak tersalah dail nombor I tadi, mungkin kita tak kenal, kan.”

Terasa meluat pula telingaku mendengar pengakuan ikhlas Syed Aidil itu. Orang lelaki, semuanya sama sahaja. Sudah ada kekasih hati, masih lagi hendak menipu. Kononnya masih solo saat ini. Habis itu, perempuan gedik yang sering menemaninya saban hari itu, siapa pula? Takkan sekadar kawan biasa sahaja. Tingkah mereka berdua pun kelihatan mesra sahaja macam pasangan kekasih. Ini tidak boleh jadi. Aku kena siasat sampai ke akar umbi.

“Baguslah kalau you masih single. I pun sama juga. I harap, perkenalan kita ini akan berlanjutan sampai bila-bila. Esok pagi, you tak pergi kolej ke? Hari esok kan dah mula sesi pembelajaran,” ucapku, tanpa berfikir dua kali. Entah macam mana, aku boleh tersasul kerana

terlampau gembira dapat berkenalan dengan Syed Aidil.

“Kolej? Eh, macam mana you tahu I belajar kat kolej ni? You pun study kat kolej masakan juga ke?”

Alamak! Aku dah tersalah cakap. Ish, kenapalah mulut aku ni boleh tersasul pula. Tentu dia hairan apabila aku mengetahui dirinya belajar di kolej. Ya Allah, apa yang aku sudah buat? Matilah aku kali ini.

“Opss..sori. I tersalah cakap tadi. I agak-agak aje, manalah tahu kalau you belajar di kolej. I pun belajar kat kolej. I ambil bidang perubatan. You?” Aku memberikan alasan paling logik kepada Syed Aidil. Akalku cepat sahaja mencari helah supaya kesilapan aku sebentar tadi tidak disalahertikan.

“Oh, I ingat, you pun belajar satu kolej dengan I. I ambil bidang masakan. Baru sahaja mendaftar kira-kira seminggu yang lepas. Seronok juga dapat belajar kat situ. Ramai kawan I jumpa. Cuma, yang tak best tu, I jumpa musuh ketat I. Tak sangka pula, badak air macam dia tu belajar satu kolej dengan I.”

Penjelasan Syed Aidil itu membuatkan aku tertanya-tanya sendiri Aku cuba memahami ucapannya sebentar tadi. Siapakah gerangan badak air yang dia ingin maksudkan? Sudah tentulah badak air yang dia maksudkan itu adalah aku. Siapa lagi yang memiliki gelaran sebegitu kalau bukan aku. Darahku terasa mendidih saat ini. Aku baru sahaja hendak menenangkan hati. Boleh pula dia menambahkan beban di fikiran yang sudah berserabut sejak semalam lagi.

“Siapa badak air yang you maksudkan tu?” tanyaku cuba mengorek rahsia. Padahal, aku sudah mengetahui jawapannya itu.

“Entahlah. I sendiri pun tak tahu namanya. Kalau boleh, I tak ingin tahu nama dia. Tengok muka dia pun dah rasa meluat sangat. I gelilah nak dekat dengan dia. You tahu tak, dia tu suka sangat perasan bagus. Kalau cantik tu, tak apalah. Nak juga I berkenalan dengan dia. Ini tak, badan dahlah besar macam tong deram, pastu muka buruk. Loya tekak I ni apabila teringatkan dia. Nasib baik you ada. Tenang sikit hati ini.”

Terasa berbahang dunia ini aku rasakan. Geram betul dengan sikap sombongnya kepada aku. Kalaulah dia tahu aku ni gadis yang dia benci, mesti dia akan jauhkan diri. Paling tidak pun, dia pasti akan mengutuk aku habis-habisan. Aku hanya mendengar sahaja ucapannya itu tanpa mengulas apa-apa. Mood aku tiba-tiba sahaja mati dalam sekelip mata.

“Ala, you tak payah pening kepala fikirkan dia. Kalau you sendiri tak suka, buat apa nak susahkan diri you. I kan ada kat sini. You tak perlu risau okey.”

Aku cuba menenangkan Syed Aidil. Biarlah lelaki sombong itu melupakan dulu perihal gadis bernama Yasmin. Sekarang ini, tugas aku adalah untuk memancing minatnya supaya jatuh hati kepada Cempaka Sari. Klasik betul, ya nama samaran aku ini. Heheee…

“Betul juga kata you. I tak akan ingat lagi pasal budak gemuk tu. Biarlah dia dengan kehidupan dia sendiri. I malas nak masuk campur. Buat masa sekarang, I nak fokuskan pada perhubungan kita dulu. I suka berkawan dengan you walaupun ini kali pertama kita berkenalan. I harap, perhubungan kita ini akan berkekalan sampai bila-bila.”

“I harap pun begitu juga. Ada masa nanti, I call you lagi okey. Hari pun dah lewat malam ni. Esok pagi, I nak pergi kuliah. Good Night. Bye!”

“Okey. Thanks sebab call I. Take care, sayang. Bye!” ucap Syed Aidil sebelum mematikan talian. Lontaran suaranya yang lembut itu membuatkan aku terpana seketika. Alangkah indahnya dunia ini apabila Syed Aidil memanggil diri aku sayang. Terlupa sebentar rasa marah aku kepada dirinya. Tetapi, benarkah dia ikhlas berkawan dengan aku? Ah, apa yang aku merepek ni. Aku tidak boleh tewas dengan permainan cintanya. Tujuan sebenar aku mengenalinya adalah untuk mengenakan dirinya cukup-cukup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience