Chapter 51

Mystery Completed 14816

Bab 51

Rumah itu sudah dia jual. Pembelinya sudah ada. Dia akan pergi bertemu dengan pembeli rumah ini untuk mengambil wangnya. Dengan wang yang banyak dia boleh hidup senang di luar negara.

Puan Suriati meneriak pembantu rumah. Dia mengarahkan pembantu rumah membawa kedua-dua begnya turun ke tingkat bawah. Beg berisi duit itu akan dibawanya sendiri. Dia tidak boleh mempercayai sesiapa.

Sedang berkira-kira hendak keluar, Hamzah menerjah di muka pintu bilik tidur Puan Suriati. Terkejut Puan Suriati melihat Hamzah termengah-mengah seperti orang yang sudah berlari berbatu-batu jaraknya. Wajah Hamzah nampak cemas.

Apahal pulak bujang terlajak ni? Kena kejar polis ke? Atau kena kejar hantu? Gerutunya dalam hati.

“Kau dah tahu, Zakuan masih hidup?” tanya Hamzah.

Puan Suriati mengangguk sahaja, memerhati Hamzah yang berdiri di tengah-tengah pintu seolah-olah hendak menghalang dia dari meninggalkan bilik itu.

“Kau nak ke mana ni?”

“Aku nak pergi dari sini…” kata Puan Suriati.

“Kau nak lari ya? Kau nak tinggalkan aku terima padah sorang-sorang? Ooo… rancang sama-sama. Tapi bila nak lari, kau lari sorang-sorang selamatkan diri.”

“Kalau kau nak lari juga… larilah!” balas Puan Suriati.

“Tapi aku tak ada duit! Duit kau bolot sorang. Habis duit dalam peti besi tu kau sapu semuanya. Belum lagi duit yang tersimpan di rumah ni!”

“Tu masalah kau… bukan masalah aku.”

“Apa dalam beg tu?” tanya Hamzah ingin tahu.

Dilihatnya Puan Suriati tidak melepaskan beg itu yang kelihatan agak berat dan buncit isinya.

“Barang-barang aku!” jawab Puan Suriati.

“Aku tak percaya! Bagi aku tengok!” sergah Hamzah garang.

Puan Suriati terkejut melihat Hamzah yang berubah jadi garang. Selama ini Hamzah menurut sahaja kata-katanya. Hamzah tidak pernah bersuara tinggi apalagi menengking. Hamzah seperti takut padanya. Tapi dia tersilap. Hamzah tidak takut padanya lagi sekarang.

“Tak boleh! Tepi sikit! Aku nak cepat,” kata Puan Suriati sambil menolak lengan Hamzah.

“Aku tahu dalam tu ada duit sebab tu kau tak bagi aku tengok!”

“Tak adalah! Aku tak ada duit. Semua duit aku dah habis. Bayar penyangak tak guna tu saja sampai sepuluh ribu! Sekarang cita-cita aku nak jadi pengarah urusan dah berkecai. Zakuan dah balik…”

“Saham kau kan masih ada.”

“Memang ada, tapi sikit sangat Lagipun, apa gunanya saham tu kalau aku ditangkap polis? Aset aku akan dibekukan. Aku akan disumbatkan ke penjara. Tepi sikit, aku nak lalu. Biar aku pergi!” kata Puan Suriati sambil menolak tubuh Hamzah yang mengadang pintu. Tapi Hamzah tidak berganjak.

Dia cuba merampas beg berisi duit dalam pegangan Puan Suriati. Puan Suriati mengelak. Dia berundur ke belakang menjauhi Hamzah.

“Kau jangan tamak!” kata Hamzah matanya liar mencerlang marah.

“Aku juga perlukan duit! Duit tu hak abang aku. Kau pencuri…kau pembunuh!” teriak Hamzah dengan kuat. Dia mulai dikuasai rasa marah yang amat sangat melihat kedegilan Puan Suriati.

“Kau pun sama macam aku. Jangan nak mengata aku saja! Kita sama je lah!”

“Tapi tangan aku tak pernah membunuh. Tangan kaulah yang membunuh abang aku. Kalau membunuh akan dihukum bunuh juga,” kata Hamzah lagi.

Hamzah mara, semakin mendekati Puan Suriati. Wanita itu lari mengelilingi bilik. Akhirnya dia dapat keluar dari bilik itu, lalu terus berlari turun ke tingkat bawah. Belum sempat dia keluar dari pintu utama, kedengaran siren kereta polis memasuki kawasan rumah itu. Puan Suriati terpaku di hadapan pintu yang ternganga apabila melihat anggota polis yang memakai uniform biru gelap dan berpangkat inspektor menuju ke arah pintu. Dia diiringi oleh orang-orangnya yang lengkap bersenjata.

Wajah Puan Suriati pucat lesi. Kakinya terpaku di lantai.

“Puan Suriati! Kami ada waran untuk menahan puan atas tuduhan membunuh, menculik, menggelapkan duit syarikat dan beberapa tuduhan lagi. Lebih baik puan menyerah, bekerjasama dengan polis. Puan boleh memanggil peguam untuk membela diri di mahkamah nanti!”

Tangan Puan Suriati digari. Dia ditarik menghala ke kereta polis. Hamzah turun ke tingkat bawah, terkejut melihat anggota polis yang ada di dalam rumah.

“Encik Hamzah. Awak juga mesti ikut kami ke balai.”

“Tapi… apa… apa salah saya?” tanya Hamzah apabila tangannya juga digari.

“Awak dituduh bersubahat dengan Puan Suriati.”

“Saya difitnah.” jawab Hamzah.

“Kami mempunyai saksi dan bukti. Encik Airiel adalah saksi utama dalam kes ni.”

Hamzah terdiam. Dia menelan air liur pahit. Bibirnya kelu tidak terkata. Matanya memandang sahaja ke arah Puan Suriati saat mereka disumbatkan ke dalam kereta yang sama. Kereta polis membesit laju menuju ke balai polis terdekat.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Leo akan mencari Amalina? Bagaimana keadaan Amalina?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience