BAB 3

Drama Completed 621230

ESOK dan hari-hari seterusnya, Naura tidak lagi menunggu dihantar oleh Salina. Sebaliknya, dia terus ke sekolah dengan basikal sebaik sahaja selesai bersiap. Baju-baju sekolah Fatin dan Fatih dia gosok siap-siap sebelum tidur. Malah seawal pukul empat pagi dia sudah bangun untuk mengulangkaji sebelum turun menyediakan sarapan. Perasaan tersisih, terluka, terabai, dia tolak jauh-jauh supaya tidak mengganggu tumpuannya untuk peperiksaan SPM. Masa dua bulan masih belum terlambat untuk dia berusaha mendapat keputusan yang baik. Kata Cikgu Rohani, dia pelajar yang pandai. Dia pernah menjadi pelajar terbaik semasa di tingkatan satu dan dua. Bermakna, dia juga boleh mendapat keputusan yang baik untuk SPM. Tidak mendapat semua A pun tidak apa-apa. Empat atau lima A sudah memadai.

Dia menjalani hidupnya dengan gembira biarpun apa yang dilalui tidak seindah yang diperlihatkan. Tetapi dia tidak mahu perkara remeh mengganggu fokusnya. Dipujuk hati dengan mengatakan semuanya sudah tidak lama dan akan berakhir.

“Assalamualaikum cikgu!” Naura menyapa Cikgu Mazlan yang sentiasa menjadi penunggu setia di pintu pagar sekolah kerana jawatannya sebagai guru disiplin.

“Waalaikumussalam. Mimpi apa semalam Naura? Awal sampai hari ni.”

“Mimpi cikgu bawak rotan besar.” Naura mengekeh.

“Eloklah tu. Biar tiap-tiap malam mimpi macam tu,” balas Cikgu Mazlan.

Naura hanya tersengih sambil menuntun basikalnya masuk menuju ke tempat letak basikal.

“Naura…”

Naura yang sedang menongkat basikalnya, menoleh apabila suara lembut Cikgu Rohani menyapa telinga.

“Ya cikgu.”

“Awal sampai hari ni?”

“A’ah cikgu.”

“Bagus…Bagus…Belajar rajin-rajin ya?”

“Inshaa’Allah. Terima kasih cikgu. Doakan Naura ek cikgu.”

“Inshaa’Allah. Semoga Naura dapat straight A nanti ya.”

Mengembang senyum Naura dengan kata-kata Cikgu Rohani.

“Amin. Naura masuk kelas dulu cikgu.” Dihulur tangan menyalami gurunya itu sebelum melangkah ke kelas.

“REL, aku rasa Naura tu calon menantu pilihan ibu kau,” ujar Nazeem sambil muncung dihala ke arah Naura dan Cikgu Rohani yang sedang berbual mesra . Dari koridor kelas mereka di tingkat dua yang menghala terus ke tempat letak basikal, pemandangan itu dapat mereka lihat dengan jelas.

Airel hanya menyengir sebal. Ibunya memang rapat dengan Naura sejak dulu lagi. Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan Naura adalah pelajar kesayangan ibunya.

“Kau tahu tak Rel, Naura ada adik perempuan? Cantik gila dowh.” Irfan tiba-tiba menyampuk perbualan.

“Ye ke? Form berapa?” tanya Airel.

“Form one. Fatin nama dia. Tunggu masa sahsiah kejap lagi aku tunjuk,” ujar Irfan. Waktu sahsiah adalah waktu penghayatan agama mengikut amalan agama. Pelajar Islam dengan program bacaan Yasin di surau sekolah, manakala pelajar Cina dan India menjalankan aktiviti mengikut kepercayaan agama mereka.

“Fuh…penatnya!!”

Sontak ketiga-tiga mereka menoleh sebaik sahaja mendengar keluhan serentak dengan bunyi pintu kelas dirempuh.

Kelihatan Naura sedang bersandar pada pintu kelas dengan nafas mencungap.

“Itulah kau, gemuk sangat. Kan dah mencungap. Cuba kuruskan badan tu sikit.” Alisha, pelajar kelas sebelah yang kebetulan lalu di depan kelas Naura, mencemuh.

“Aku gemuk sebab Airel,” balas Naura.

Buntang mata Airel sambil menunjuk ke arah dirinya sendiri. Naura yang gemuk, dia yang salah?

“Yalah. Setiap hari saya bawak dua bekal tapi awak tak ambik. Sudahnya saya terpaksa makan dua portion. Sebab tu saya gemuk. Cuba kalau awak ambik makanan yang saya bagi, mesti saya kurus.”

“Aku tak suruh kau bawak makanan untuk aku.”

“Tak kisahlah. Saya tetap akan bawak.” Naura angkat tangan kanannya yang menjinjit bekal untuk dia dan Airel.

Airel mendengus sebal. Lenyap rasa kasihan yang sempat terbit saat Naura dimarahi Cikgu Zawiah semalam.

“Saya letak atas meja awak. Kalau tak nak saya gemuk, jangan lupa makan tau.” Tanpa menunggu jawapan Airel, Naura terus melengos masuk ke dalam kelas.

“Eh kau nak gemuk, gemuklah. Tak ada kena mengena dengan aku,” balas Airel kesal. Bertambah jengkel apabila Irfan, Nazeem dan Kamil terkekeh-kekeh mentertawakannya.

“Awak kena bertanggungjawab atas kegemukan dan kekurusan saya.” Naura yang sudah keluar semula bersama Sabrina untuk program sahsiah di surau, menjawab kata-kata Airel tadi.

“Patutlah semua orang menyampah dengan kau. Sejenis tak faham bahasa.” Airel menggerutu sambil menyaingi langkah rakan-rakannya yang sudah mula menuju ke surau.

“HAH yang tengah gelak-gelak tu adik Naura.” Irfan menunjuk ke arah Fatin yang sedang berbual dan bergelak ketawa dengan rakannya selepas keluar daripada surau.

“Yang jalan belakang Ustaz Nawi tu ke?” tanya Airel.

“Ha ah. Ha tu…tu…yang toleh kanan tu.”

Airel memandang ke arah susuk gadis yang ditunjukkan Irfan. Ada sedikit iras wajah Naura, tetapi lebih kurus dengan penampilan yang nampak terjaga.

“Betullah cantik.”

“Kan?” Tersengih Irfan bangga kerana berjaya memperoleh informasi yang tiada sesiapa antara mereka berempat yang tahu.

“Kau buat-buatlah baik dengan Naura, lepas tu kau korek pasal adik dia. Cun tu wei. Rugi kalau melepas.” Kamil mengapi-api.

Tiada tanggapan daripada Airel, namun matanya terus memerhati gadis yang bernama Fatin itu. Berbeza dengan Naura. Tanpa perlu berusaha keras, Fatin mampu menarik perhatian ramai lelaki untuk mendekatinya.

“NAURA!”

Jeritan dengan kekuatan bunyi 88 desibel itu langsung tidak mengejutkan pemilik nama yang sudah melentokkan kepalanya ke atas meja. Sabrina di sebelah sudah mencuit-cuit, namun tidur Naura sedikit pun tidak terusik.

“Naura Jacinta!”

“Ya cikgu!” Mendengar nama penuhnya yang dipanggil dengan sebutan yang salah serta suara Cikgu Erma yang sudah naik sehingga lebih 90 desibel, membuat dia sontak terbangun dan terus berdiri dengan mata terpisat-pisat. Tidak dipedulikan seisi kelas yang sedang galak mentertawakannya.

“Ha, bangun pun!” Cikgu Erma, guru Prinsip Akaun bersuara geram.

“Bukan Jacinta cikgu. Ha-Sin-Ta.” Naura memperbetulkan sebutan namanya.

“Saya baca ikut ejaan.”

“Tak boleh, cikgu. Nama tu special, diambil sempena nama bunga Hyacinth. Dalam Bahasa Sepanyol ejaannya Jacinta. Tapi cara baca yang betul ialah Hasinta.” Dia sangat sensitif dengan sebutan namanya itu. Kata papa, nama itu dipilih mamanya. Ejaan Jacinta, tetapi dibaca Ha-Sin-Ta.

“Banyak cakap pulak. Jawab soalan 1d, hitung dividen interim.”

Cepat-cepat Naura membelek buku tulisnya.

“Ada buat tak Naura Hasinta?” Sengaja Erma menekan suaranya saat menyebut Hasinta.

“Buat cikgu.”

“Berapa jawapannya?”

“RM7500 cikgu.”

“Betul kelas?”

“Betul!!”

“Tunjuk jalan kerja kat depan,” ujar Erma.

Membawa buku tulisnya, Naura menunjukkan jalan kerja untuk soalan itu pada papan putih. Setelah selesai, dia kembali ke tempat duduknya. Erma memerhatikan jalan kerja yang ditunjukkan Naura pada papan putih sebelum mengangguk-angguk.

“Bagus. Lepas ni jangan tidur lagi.”

“Maaf cikgu.”

Erma hanya menjawab dengan gumaman sebelum menyambung perbincangan soalan latihan itu.

LOCENG waktu rehat berbunyi, seperti biasa semua pelajar bergegas ke kantin. Namun kali ini Airel tidak menyertai rakan-rakannya. Sebaliknya dia menarik kerusi mendekati meja Naura dan Sabrina sambil membawa bekal yang diberikan Naura pagi tadi.

Terkebil-kebil dua gadis itu memandangnya dengan riak tidak percaya.

“Aku tak nak bertanggungjawab atas kegemukan kau, jadi kali ni aku makan bekal kau bagi,” ujar Airel, faham dengan maksud tatapan Naura dan Sabrina itu.

Tersengih Naura dengan kata-kata Airel. Berbunga-bunga hati apabila buat kali pertama Airel menerima pemberiannya.
“Awak dah tertipu sebenarnya.”

“Eh…?”

“Badan saya ni takkan kurus dah. Kalau awak nampak saya kurus tu, kalau tak potong usus, mungkin kencing manis.” Naura terkekeh lalu menyuap bihun goreng ke mulutnya.

Airel tidak membalas. Kurus atau gemuk bukan persoalannya kerana dia ada sebab lain untuk mendekati dan berbuat baik kepada Naura.

“Kau istikharah ke malam tadi?” Sabrina yang sejak tadi hanya memerhati, tiba-tiba bersuara. Curiga pula dia dengan perubahan Airel yang mendadak.

“Istikharah?” Berkerut Airel tidak faham.

“Yalah. Tiba-tiba buat baik dengan Naura hari ni. Mencurigakan!”

“Salah ke aku buat baik?”

“Buat baik tak salah. Yang salahnya kalau buat-buat baik.”

“Aku tak buat-buat baik. Aku memang nak buat baik.”

“Kalau nak buat baik, buat baik-baik. Kalau kau buat-buat baik je, kau tahulah nasib kau.” Sabrina mengancam dan dari raut wajahnya, dia tidak bergurau dengan amarannya itu.

Airel tertawa. “Nasib aku bukan di tangan kau.”

“Kita tengoklah nanti.”

“Ala Bina. Chilllah. Buat baik ke buat-buat baik ke, tak ada beza pun. Yang penting, hati kita Tuhan je tahu.”

“Kau tak curiga dengan aku yang tiba-tiba buat baik dengan kau?”

Naura tidak segera menjawab. Mengunyah perlahan sambil wajahnya kelihatan berfikir-fikir.

“Orang buat-buat baik sebab ada tujuan tertentu kan? Contohnya macam awak nak bodek ayah awak nak beli motosikal, awak pun buat-buat baik dengan dia. Ataupun awak nak mintak tambah markah Matematik, awak pun buat-buat baik dengan Cikgu Zawiah. Tapi…awak macam tak ada motif nak buat-buat baik dengan saya kan? Jadi saya rasa awak memang nak buat baik.”

Airel tersenyum nipis sebelum perlahan mengangguk. Sabrina pula jeling tajam. Tidak berpuas hati kerana Naura dengan begitu mudah mempercayai Airel. Apa cinta sebuta itu sehingga membuat kewarasan akal tidak berfungsi sempurna? Namun dia malas berkata apa-apa lagi. Bimbang dikata menjadi batu api pula.

PETANG itu Airel diajak ibunya makan di luar sekali lagi. Setiap kali ayahnya bekerja di luar kawasan, ibunya jarang memasak. Tidak berbaloi katanya. Yang makan cuma dua orang, tetapi penatnya sama seperti memasak untuk tiga orang. Ya, mereka bertiga sahaja di rumah jika ayahnya ada. Dia anak bongsu dan ada seorang abang yang sekarang di tahun dua University of Sheffield dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Ketika sedang menunggu pesanan, mata Airel menancap pada susuk seorang gadis bersama seorang wanita dan budak lelaki masuk ke restoran. Ralit dia memandang sehingga tindakannya itu disedari oleh ibunya yang lantas turut menoleh ke arah yang sama.

“Amboi, tak berkelip mata tengok anak dara orang,” usik Rohani, membuat Airel gelagapan lalu segera mengalihkan tatapannya.

“Ibu tahu tak, siapa budak perempuan tu?” tanya Airel.

“Siapa?”

“Adik Naura.”

“Ya?” Rohani toleh sekali lagi. Baru dia perasan tiga sekeluarga tadi adalah Salina dan anak-anaknya. Tetapi dia tidak melihat Naura di sana bersama mereka. Terbit pula rasa sedih membayangkan Naura sendirian di rumah sedang mama dan adik-adiknya makan di restoran.

SEMENTARA Fatin sengaja memilih kerusi yang mengadap ke arah meja yang diduduki oleh Airel dan ibunya menjadikan kedudukan dia dan lelaki itu setentang.

“Mama, mama tahu tak Naura suka sorang budak lelaki kelas dia?”

Salina yang sedang memilih menu, angkat muka sekilas sebelum tertawa sinis. “Budak lelaki tu suka dia tak?”

“Gemuk, selekeh macam tu siapa yang nak?”

“Itulah.”

“Budak lelaki tu handsome tau ma. Pelajar target straight A.” Fatin masih tidak mengalihkan tatapannya daripada Airel yang dia sedar sesekali menjelingnya. Terbit rasa bangga apabila lelaki yang diminati Naura menunjukkan minat kepadanya.

“Ya ke?”

“Yalah. Mama toleh belakang, yang meja dia barisan kiri kita ni, selang tiga meja dengan meja kita.”

Salina toleh ke arah yang dinyatakan oleh Fatin. “Memang handsome.”

“Kan? Mak dia cikgu sekolah tu jugak. Cikgu Rohani.”

Berkerut dahi Salina mendengar nama Cikgu Rohani. Jika tidak salah ingatannya, nama cikgu itulah yang selalu disebut Zawiah selalu mengambil berat dan membela Naura.

“Dia ajar Matematik ke?” tanya Salina.

“A’ah, dia ajar tingkatan satu, dua, tiga. Tapi dia tak ajar kelas Fatin.”

Salina mengangguk-angguk. Memanggil pelayan dan membuat pesanan, dia bangun lalu menghampiri meja Rohani dan Airel.

“Cikgu Rohani ya?” sapanya sambil menghulurkan tangan. Wajah dimaniskan dengan senyum ramah.

“Ya, saya.” Rohani membalas huluran tangan Salina.

“Saya Salina, mama Naura.”

“Oh ya. Kita pernah jumpa sekali dulu kan? Masa hari terbuka.” Rohani masih ingat ketika Naura di tingkatan dua, Salina datang bersama papa Naura, Nazhan. Saat itu dia terfikir, Naura beruntung kerana memiliki ibu tiri yang menyayanginya seperti anak sendiri.

“Ya.” Salina mengangguk, mengiakan. “Naura selalu cerita pasal cikgu dengan Airel.”

“Ya?”

“Katanya seronok belajar dengan Cikgu Rohani dulu. Senang faham. Dengan Cikgu Zawiah asyik nak marah-marah je.”

Rohani tertawa perlahan, tidak berniat untuk membalas kerana dia tahu Salina dan Zawiah berkawan baik. Jawab sedikit, bimbang nanti diputar cerita oleh Salina sehingga menjadi lain. Bermasam muka pula dia dan Zawiah di sekolah kelak.

“Terima kasih ya cikgu, dah ajar Naura.”

“Sama-sama.”

Salina pandang Airel pula yang hanya diam menyedut minumannya.

“Airel sama kelas dengan Naura kan?”

“Ya.”

“Apa kata kalau Airel datang rumah, study sama-sama dengan Naura. Sebab auntie tengok Naura tu macam dah merosot sikit sejak naik tingkatan 4, 5 ni.”

Tawaran Salina itu bagai pucuk dicita ulam mendatang bagi Airel, namun dia tidak mahu terlalu menunjukkan keterujaannya. Dipandang ibunya, dengan harapan diberi izin.

“Boleh je. Tak ada masalah. Tapi kena ajak dua tiga oranglah sebab tak manis pulak kalau Airel berdua dengan Naura je,” ujar Rohani, membuat Airel menganga tidak percaya.

“Eh boleh…boleh…Tak ada masalah. Datang je. Boleh Airel tolong ajar-ajarkan Naura tu. Semangat sikit dia nak belajar.”

“Inshaa’Allah.” Rohani mengangguk dan tersenyum seadanya.

“Datang ya, Airel. Jangan lupa ajak kawan baik Naura tu. Sabrina namanya. Auntie kalau boleh nak Naura berjaya sebab dia anak sulung kan. Biarlah jadi contoh pada adik-adik dia.”

Airel mengangguk. “Inshaa’Allah auntie.”

“Auntie pergi dulu ya.” Salina tersenyum sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Rohani pula. “Saya pergi dulu ya cikgu?”

“Yalah. Naura tak datang ke? Sebab tak nampak dia kat sana.”

Berubah wajah Salina dengan pertanyaan Rohani, namun cepat-cepat dia mengatur semula ekspresinya supaya kembali tersenyum.

“Dia tak nak ikut. Ada kerja sekolah katanya. Dia suruh bungkus je.”

“Oh…”

“Saya...Mintak diri dulu ya?”

Rohani mengangguk dan tersenyum.

“MAMA cakap apa dengan Cikgu Rohani tadi?” tanya Fatin.

“Mama mintak Airel datang rumah, ajarkan Naura.”

“Biar betul.”

“Betullah. Tak lama lagi kan dia nak SPM. Biarlah dia belajar sama-sama dengan Airel. Biar bersemangat sikit.” Sengaja Salina berkata begitu supaya Fatih mendengarnya. Tidaklah nanti Fatih bercerita yang tidak-tidak tentangnya. Anaknya yang lelaki itu sentiasa membela dan menyebelahi Naura.

Dia bukanlah bersungguh mahu Airel mengajar Naura. Hanya saja dia mahu menunjukkan kepada Rohani bahawa dia mengambil berat tentang Naura. Melalui Zawiah dia mendapat tahu Rohani mengesyaki Naura dibuli di rumah. Dia tidak mahu terus diburuk-burukkan sehingga cerita itu sampai ke telinga Nazhan apabila suaminya itu pulang dari Rusia kelak.

Assalamualaikum, hai semua. jemput baca novel terbary Calyta. 4 bab ni boleh baca secara percuma. bab seterusnya perlu guna ncoins. happy reading ya.

Share this novel

Tohhoi
2023-01-14 02:00:26 

boleh kh yg tdk dibayar


NovelPlus Premium

The best ads free experience