KTING! Ktang!
Dua pahlawan lengkap dalam topeng serta baju besi Armour zaman Inggeris Medieval sedang berlawan pedang di dataran istana, di temani beberapa orang lagi susuk tubuh dalam pakaian yang sama.
Bergemaan bunyi pertemuan di antara dua pedang itu dalam lingkungan kawasan kubu berdinding istana. Pahlawan kanan menghantar serangan. Pahlawan kiri menutup dengan perisai lalu kedengaran lagi bunyi-bunyian.
Bercampur pula dengan gema sorakan para penonton. Tidak terkecuali sang raja dan si maharani di sebelah tersenyum-senyum melihat kebolehan anak teruna mereka yang semakin dewasa dan kacak itu.
Putera Kaspian Alexander IV atau seringkali dipanggil nama Putra Kas mengayunkan pedangnya kembali. Dan si lawan melindungi diri dengan perisai.
Ke depan dan ke belakang dua susuk tubuh berpakaian armour itu berlawan pedang. Sorakan kembali bergema saat Putra Kas dapat melontar tinggi pedang si lawan ke langit, menandakan dialah pemenangnya pada kejuaraan pedang tersebut.
Raja Alex dan Ratu Rozane berpelukan di balkoni menara istana.
"Hip hip hooray!!!" Ulangi mereka dengan berkali-kali sambil melambung-lambung tubuh putera mahkota dari Kerajaan Vlad itu ke udara.
Setelah tubuh itu mereka turunkan. Putra Kas menunduk tubuh sambil membuat lambaian hormat pada bonda dan ayahandanya di balkoni.
"ATREA! Kau ni mesti berangan lagikan? Kali ini putera mahkota mana pulak?" Sergah si rakan merampas lolipop dari pegangan tangan Atrea.
"Bila masanya aku berangan. Kau tak nampak apa yang sedang aku recce?" Sanggah Atrea memusingkan laptopnya ke arah si rakan.
Si rakan memandang pada skrin. Terangguk-angguk. Barulah dia faham. Dia terlupa pada tesis yang akan mereka lakukan nanti.
"So, tiket bagaimana? Aku dah dapatkan tempahan hotel tau. Kau nak tahu apa nama hotel tu?" Atrea teruja ingin tahu. Menopang dagu dia atas permukaan meja kafe. Dan si rakan mengeluarkan telefon pintarnya lalu mengunjuk screen shot hotel tersebut.
"Dah alang-alang istana yang kita akan pergi ni memang tempat dia. So nama-nama yang ada di situ memang akan mengambil sempena istana tersebut."
"Hotel Transylvania? Tahu-tahu. Ahah, memang sempena nama-nama benda yang menjadi poin utama kajian kita nanti."
"Atrea, tapi… kau yakin ke nak ke istana itu? Istana Raja Drakul tu…" Soal si rakan masih gundah kerana tempat yang akan mereka lawati ini terkenal dengan dunia kegelapannya.
"Ya, kitakan nak mengkaji tentang benda-benda ini. Tentang werewolf? Memang aku tahu sinilah tempat paling sesuai. Kau jangan bimbang nanti kawan aku akan temani kita…"
"Kawan kau? Orang sana? Romania? Kau tak beritahu aku pun ya? Hensem tak? Apa namanya ada gambar?" Macam kereta api soalan dari Su sambil tersengih-sengih.
"Sampai sana nanti. Kau kenal-kenallah ya… okay lah aku nak ke library ni. Banyak lagi buku-buku yang perlu kita pinjam and bawak ke sana. Kau nak ikut?" Kata Atrea sudah pun bangun lalu menggalas beg serta memeluk buku-buku yang diambil dari atas meja.
"Ahah, ya. Jomlah. Lagi pun aku nak pinjam novel-novel juga. Kut boring-boring atas flight nanti…" Su juga bingkas bangun. Dan kini keduanya berpapasan ke laluan untuk ke perpustakaan fakulti.
"APA yang anakanda menungkan tu? Bagaimana dengan persiapan?" Suara Ratu Rozane menerjah masuk ke corong telinga. Laju Putra Kas memalingkan muka yang tadi merenung langit petang.
"Persiapan bonda?" Soal Putra Kas sengaja sebenarnya buat-buat tidak mengerti akan maksud si bonda. Ratu Rozane tersenyum sinis.
"Kas…" Panggilnya dengan membelai-belai rambut hadapan anak teruna tinggi lampainya itu. Putra Kas mengeluh, dia terasa bosan jika dipaksa sebegitu rupa.
"Bonda tahukan pendirian Kas. Anak bonda ni, masih tidak bersedia untuk itu…" Tutur Putra Kas cuba selembut mungkin. Tidak mahu bondanya terasa hati pula. Tidak mahu derhaka walau hatinya memberontak.
"Tapi sayang. Ini cuma majlis pertunangan saja. Lagi pun, bonda tak nampak apa-apa pun yang kurang pada Puteri Kerajaan Eutopia itu…" Sahut Ratu Rozane lagi.
Putra Kas hanya tersenyum. Bagaimana lagi dia mahu membantah?
Ini belum lagi dari arahan Raja Alex, ayahanda tercintanya itu.
"Boleh bonda tahu apa perkara yang menyebabkan anakanda kesayangan bonda ini tidak mahu mengikat tali pertunangan? Ini kali kedua sayang. Ayahanda sudah bising juga…"
"Jadi inilah sebabnya bonda ke mari ya? Macam anakanda katakan tadi lah bonda. Anakanda tak bersedia. Lagi pun, Kas ada sesuatu yang harus dilaksanakan dahulu…" Putra Kas serta-merta teringat pada kata-kata berbaur ancaman beberapa hari sudah.
Dan gulungan kertas dari panahan tidak di ketahui oleh sesiapa itu, masih lagi dia simpan. Putra Kas cukup yakin ia dari Kerajaan Cellas. Hanya kerajaan itu sahaja yang tidak pernah sekali pun menyetujui apa saja piagam undang-undang Kerajaan Vlad.
"Ada perkara tersembunyi ke Kas? Boleh bonda tahu buat sekian kalinya?" Soal Ratu Rozane merenung dan meneliti roman penuh resah milik putera mahkota yang tidak lama lagi bakal menaiki takhta.
"Nanti anakanda beritahu," sahut Putra Kas lagi. Ratu Rozane mengangguk dan dia akur seandainya itu adalah kemahuan si anak.
"Cuma satu bonda, yang Kas mahu bonda tolong lakukan…" Pinta Putra Kas memaut tangan si ibu lalu digenggam seerat mungkin kerana apa yang ingin dia nyatakan ini ada sangkut-paut dengan empayar mereka.
"Baiklah. Tapi apakah ia?" Soal Ratu Rozane sedia mendengar. Putera Kaspian Alexander IV mendekati Ratu Rozane lalu berbisik di temani kerutan kening si ibunda.
Putra Kas menjarak kembali. Ratu Rozane bermenungan seketika. Apa yang anakandanya itu inginkan agak sukar juga untuk dia lakukan. Putra Kas juga risau jika bondanya gagal dalam melaksanakan tugasan tersebut.
Tapi dalam masa sama, hanya ibundanya saja yang dapat melepasi kamar rahsia kerajaan ayahandanya itu. Putra Kas masih lagi tidak dibenarkan selagi belum menaiki takhta raja Kerajaan Vlad.
Sebuah kerajaan dahulunya amat digeruni oleh kesemua rakyat jelata. Takut menjadi mangsa pada Vlad I yang gilakan darah manusia. Namun setelah takhta berganti walau nama kerajaan masih kekal dengan nama Vlad, raja yang memerintah tidak sekejam Vlad I.
Raja Alexander IV merupakan seorang pemerintah yang disegani serta dikasihi oleh setiap rakyatnya. Dan ini, termasuklah Putera Kaspian Alexander IV anak tunggal keluarga Diraja itu.
"Bagaimana bonda?" Soal Putra Kas kedengaran resah pabila sang ibunda menyepikan diri.
"Baiklah. Bonda akan cuba menyusup masuk kamar rahsia kerajaan. Tapi, bonda kena pastikan dahulu ayahanda tiada dalam kamar itu dahulu ya?"
"Baiklah bonda. Tapi, tolong ya. Ini penting bonda..." Rayu Putra Kas bersungguh-sungguh. Ratu Rozane berasa kasihan dan serba-salah akhirnya dia menegaskan jawapan dengan mengatakan ya.
"Terima kasih bonda..." Ucap Putra Kas tersenyum lega.
epik fantasi
Share this novel