Cuti Pertengahan Tahun!

Romance Completed 117449

Bab 8

SUASANA petang itu cukup tenang, angin laut menampar lembut wajah tuanya yang semakin di makan usia. Ternyata dia telah membuat keputusan yang tepat ketika memilih Teluk Kemang sebagai tapak untuk membina sebuah rumah agam yang bertentangan dengan Selat Melaka. Rumah agam tiga tingkat itu kelihatan gah dengan senireka Inggeris yang sangat mewah. Pagar-pagar kayunya berwarna putih menambahkan gaya klasik yang memukau pandangan. Lelaki penghujung usia itu berdiri kukuh sambil menyedut angin petang di pantai peribadinya. Hanya berada di hadapan rumahnya.

            Sir Adam Taylor Abdullah bekas tentera British yang pernah bertugas di Malaya suatu masa dahulu. Mengambil keputusan untuk berkahwin dengan wanita tempatan yang bernama Sari Mustika, wanita cantik jelita anak seorang pembesar negeri ketika itu. Wanita itu berdarah bangsawan Melayu yang memiliki kedudukan yang tinggi. Sejak kematian isteri pertamanya, juga warga Britain dia tidak pernah mahu berkahwin lagi. Sehinggalah bertemu dengan seorang gadis melayu yang rupawan itu, berjaya membuka hatinya. Ternyata perkahwinan itu membawa rahmat. Dia mengenali agama Islam melalui perkahwinan, namun dia bersungguh-sungguh dalam memahami agama suci itu sehinggalah kematian isteri keduanya itu, dia masih terus dengan akidah yang kuat.

            “Dulu masa aku belum islam, aku tidak menjumpai ketenangan seperti mana aku rasakan pada hari ini... ini adalah agama langit yang benar, tiada bukti yang mengatakan Al Quran itu dusta.”

            “Dulu apa pandangan Tuan Adam tentang islam dan Al-Quran. Malah Muhammad Rasulullah?” soal seorang pembantunya suatu masa dahulu. Kenangan itu menggamit memori.

            “Islam... aku hanya tahu ia agama yang suka berperang. Penganutnya lebih suka mengebom diri untuk masuk syurga. Al-Quran pula tidak lebih dari kitab kuno yang diambil dari gurun padang pasir yang tidak bertamadun. Dan Muhammad... dia adalah seorang pemimpin yang suka berkahwin ramai, malah dengan kanak-kanak.” Jawabnya dengan tenang.

            “Sekarang... bagaimana pula pandangan tuan?” soal lelaki itu lagi. Nampaknya dia berminat untuk mengetahui pendapat lelaki yang pernah menganut salah satu dari agama langit iaitu Kristian.

            “Islam... adalah agama yang berkasih sayang. Allah mengutuskan Rasulnya untuk membawa rahmat atau kasih sayang ke seluruh alam. Bukannya membawa kemusnahan dan kerosakan. Al-Quran, satu-satunya kitab Allah yang terpelihara sehingga ke hari kiamat di masa segala isinya merangkumi segala aspek kehidupan. Ia sangat berbeza dengan kitab-kitab samawi yang lain, dimana banyak tokok tambah di dalamnya. Dan Muhammad...” Sir Adam kelihatan berhenti sejenak sambil menarik nafas.

            “Isa nabi yang mulia. Tetapi Muhammad pelengkap kemuliaan para nabi, beliau seseorang pencinta, cinta kepada umat, cinta kepada wanita, cinta kepada orang tua malah kanak-kanak. Cinta kepada tumbuhan dan haiwan. Apa sahaja yang beliau lakukan, hanya kerana cinta dan kasihnya kepada sesuatu... tidak ada manusia di bumi ini yang mana segala kisah hidupnya dicatat dari kecil sehingga wafat, segala perlakuannya, cara percakapannya, duduknya, bangunnya, tidurnya, makannya, minumnya, malah diamnya juga adalah sunnah yang ternyata dicatat dengan teliti oleh para sahabat sehingga ke hari ini kita dapat merasakan beliau seolah-olah masih hidup bersama kita.”

            Pembantunya itu tersenyum puas dengan jawapan majikannya itu. “MasyaAllah tabarakallah. Teringat saya dengan kisah seorang yang menyoal Nabi tentang islam. Nabi SAW menjawab, Islam adalah agama yang tidak diterima amalnya tanpa solat dan tidak diterima solatnya tanpa Al-Quran.” Dia mendongak ke langit lantas berdoa.

            “Semoga kita bersama Rasulullah, berdiri di belakang panji-panji baginda ketika melintas siratulmustakim. Melintas secepat angin, atau secepat cahaya atau secepat unta yang membawa tuannya.”

            Sir Adam memandang pembantunya dengan sedikit kerutan di dahi. “Bagaimana secepat unta berjalan? Unta kan berjalan lambat?” soalnya meminta kepastian. Pembantunya itu seorang yang banyak belajar agama dan menjadi tempat rujukannya,

            “Walaupun unta berjalan lambat, tetapi ia pasti akan membawa tuannya sehingga ke destinasi iaitu syurga. Pelbagai cara manusia akan melintasi titian sirat bergantung pada amalannya di dunia. Ada yang terhuyung-hayang lalu terjatuh ke dalam neraka.”

            “Bagaimana nasib mereka yang berada di neraka? Adakah berpeluang ke syurga?”

            “Boleh... dengan hanya dua perkara.” Beritahu lelaki itu.

            “Apakah dia?”

            “Rahmat Allah dan syafaat nabi-Nya.”

            “Apakah ada hadis tentang itu?” soal Sir Adam semakin berminat.

“Ada hadis Rasulullah SAW tentang perkara ini yang direkodkan oleh al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi. Nabi bersabda, akan keluar daripada neraka manusia yang sudah mengucapkan La ilaaha illallah yang bermaksud tiada Tuhan selain Allah dan dalam hatinya ada kebaikan, walau hanya seberat biji kacang. Akan keluar daripada neraka manusia yang sudah mengucapkan La ilaaha illallah yang bermaksud tiada Tuhan selain Allah dan dalam hatinya ada kebaikan, walau hanya seberat biji gandum. Akan keluar daripada neraka manusia yang sudah mengucapkan La ilaaha illallah yang bermaksud tiada Tuhan selain Allah dan dalam hatinya ada kebaikan, walau hanya seberat atom.”

“Lihatlah Tuan Adam, betapa kasihnya Allah kepada kita hambanya yang selalu ingkar.”

Tiba-tiba Sir Adam menangis. Tersedu-sedan sehingga terhinjut-hinjut bahunya. “Rahmat Allah terlalu besar... ceritakan bagaimana keadaan orang yang diangkat dari neraka itu?”

“Mereka itu diangkat dari neraka dalam keadaan hitam pekat. Kecuali dahi tempat sujud sahaja yang dilindungi dari api neraka. Mereka diletakkan ke dalam nahrul hayyah sehingga mereka tumbuh sebagaimana benih di tanah yang tergenang air. Kemudian masuklah mereka ke syurga yang paling bawah iaitu Syurga Maqam Amin, tetapi janganlah risau, indahnya tetap tidak terjangkau di mata. Syurga yang sederhana jauh lebih indah dari mahligai raja yang paling gah di langit dan di bumi. Wallahua’alam.”

Sir Adam tersenyum. Perbualannya bersama bekas pembantunya itu hilang dek bunyi deruan ombak yang menghempas pantai. Dia tersentak sedikit, kemudian berganjak beberapa langkah dari gigi air.

            “Sir...” tiba-tiba dia disapa dari belakang. Lantas lelaki itu menoleh dengan seluruh badannya. Itu cara Nabi Muhammad ketika menoleh apabila dipanggil oleh sesiapa. Baginda tidak hanya menoleh menggunakan wajah. Ternyata sunnah Nabi SAW jika dihalusi akan dapat banyak manfaatnya.

            “Sir, ada tetamu. Mereka tunggu di dalam.” Ujar Salleh dengan matanya sedikit berkerut kerana silau cahaya mentari.

            Sir Adam mengangguk kemudian dia kembali memandang Salleh. “Macam mana dengan Malik?”

            “Pihak hospital menyarankan dia dirujuk kepada pakar di luar negara.”

            “Segerakan... buat apa sahaja sehingga Malik kembali sihat seperti biasa dan dapat bekerja kembali dengan saya.” Tegas Sir Adam Taylor memberi arahan. Kemudian dia berjalan seiring dengan pembantu barunya yang menggantikan tempat Malik.

**********

            “APA kau dah buat, hah?!” Bella menolak tubuhku sehingga melekat ke dinding.

            “Berani kau sembunyikan dari kami!” Rita bercekak pinggang. Mata mereka membulat memandangku dengan amarah.

            “Tunggu dulu...” aku mengangkat kedua belah tangan. “Dia yang minta aku rahsiakan, sampailah ke majlis tu.” aku memberi alasan yang sememangnya benar.

            Bella menggigit bibir. “Sejak bila? Sejak bila?!!!” jerit Bella. Geram.

            Aku sangat gerun dengan kedua sahabatku yang sudah kerasukan ahli sihir.

            “Cakap!!” Rita pula menjerit.

            “Dah... dah lama... kami kenal kat luar.” Aku tahu kali ini memang aku berbohong. Tetapi itu semua apa yang diajar si jin itu.

            “Haishh...” Bella ternyata geram. “Kau... kau dah buat ramai orang kecewa semalam tahu. Malah ada aku dengar yang nak bunuh kau!”

            “Apa??!!” serentak aku dan Rita terbeliak memandang Bella dengan tidak percaya. Tak... tak mungkin.

            “Ya... memang ada. Itu akulah!!” Bella menarik-narik pipiku dengan kedua belah tangannya. “Geramnya aku dengan kau ni!!”

            “Adeh... adeh...sakit... sakit!!”

            “Kalau nak bunuh bukan macam ni caranya! Ni siksa namanya!” Rita menarik Bella yang termengah-mengah.

            “Aku geram sebab dia tipu kita.”

            “Aku minta maaf...” aku akhirnya jatuh terduduk di lantai kaki lima bangunan belakang sekolah berhampiran padang. Lemah.

            “Dah popular sekarang kan... seluruh sekolah kita dah gempar. Semua datang nak kawan dengan kau. Makan minum kau semua orang nak belanja. Yela... heroin sekolah biasa macam kita ni dah jadi Tuan Puteri kat Adam Taylor! Semua orang nak tumpang popular.” Rita menempelak dengan sinis.

            “Maafkan aku...” ujarku dengan lemah.

            Bella dan Rita saling berpandangan. Sesaat suasana jadi hening.

            “Er... best tak kereta panjang tu? Emm... ada harapan tak kami nak naik?” tiba-tiba Rita berubah tersenyum kambing. He he he...

            Aku ketawa kecil sambil cuba untuk bangun. Ternyata Bella menghulurkan tangan memberi bantuan.

            “Kami boleh maafkan kau. Tapi dengan syarat, kenalkan kami dengan kawan-kawan Tuan Muda Harry.” Bella menjelir lidah. Kemudian kami sama-sama ketawa. Aku sangat kenal rakan-rakanku. Mereka sebenarnya memang gila-gila sikit. Tap hari ini gila mereka itu agak luar biasa!

            “Hah...” aku mengeluh. “Nampaknya... akan bertambah itik kat sekolah ni yang jadi angsa kat sekolah sebelah!” aku berseloroh walaupun aku masih lemah sebenarnya. Lemah kerana terlalu banyak fikirkan masalah!

            Apa lagi teruslah kedua sahabatku itu menjerit riang. Aduhai...

*********

Cuti pertengahan tahun.

            “YAAHHH!!!” aku kembali bersemangat. Hari ini aku tidak perlu pergi ke sekolah memandang telah bermula cuti musim panas pada tahun ni. Ceh! Musim panas la konon. Saja nak berlagak hebat sikit seperti remaja-remaja lain di negara empat musim. Aya... muhasabah diri. Kau kena bersyukur sebab dilahirkan di Negara Malaysia walaupun cuma ada musim hujan, musim rambutan, musim durian. Best apa?!

            “Assalamualaikum, Kak Siti!” aku menegur dengan ramah pada pagi itu. Seperti tiada apa-apa yang berlaku.

            “Waalaikumusalam... hai, Cik Aya kita semakin bersemangat.”

            “Mestilah... nak balik rumah kan petang ni.” Aku ketawa ceria.

            Kak Siti tersenyum. “Mesti Aya rindukan keluarga, kan?”

            “Sangat...” Aku mengangguk dengan pantas. Sepintas lalu aku melihat Ray memasuki dewan makan dan terus ke meja bulat tempat berhimpun beberapa pelajar lelaki.

            “Aya... Aya!” Kak Siti memanggil aku beberapa kali.

            Aku tersentak. Terus kembali menatap wajah Kak Siti dengan cuak. Alamak... kenapa la mata aku ni tak boleh pandang orang kacak sikit. Mulalah nak pandang lama-lama... haish!

            “Tengok kekasih hati macam nak tersembul biji mata!” perli Kak Siti tersengih-sengih.

            Aku melopong. “Senior Ray bukan kekasih sayalah.” Aku pantas menafikannya.

            “Habis siapa? Tuan Muda Hairy Fattah?!”

            “Haaa??” selagi lagi aku ternganga apabila mendengar nama penuh lelaki itu.

            “Fa... Fattah?!” aku tidak percaya.

            “Eh... Kak Siti kena masuk pejabat sekejap ada meeting ni.” Kak Siti tiba-tiba bergegas dan aku masih melopong di situ.

            Tak sangka... nama bukan main baik. Tetapi kenapa nak guna nama omputih tu juga?! Namun, tidak lama aku memikirkan perihal singa jadian itu kerana mataku tertumpu kembali kepada Ray yang sedang rancak berbincang dengan rakan-rakannya. Kemudian aku mengambil makanan untuk sarapan pagi seperti biasa. Banyak pilihan namun aku mengambil nasi goreng sahaja. Ada juga pelajar sini yang makan macam ni, kalau tidak chef di dewan makan ini tidak akan masak. Seperti yang aku tahu, semua menu mengikut kehendak tuan-tuan muda di asrama ini. Asrama Anak Emas! Itu lebih sesuai, kan?!

            Mujurlah... mujurlah sudah mula cuti sekolah. Kalau tidak hari ini pasti aku akan berdepan lagi dengan rakan-rakanku yang histeria kerana kes pada malam majlis tari-menari minggu lepas. Terutamanya Bella yang melihat sendiri drama itu. Pada mulanya Bella dan Rita agak terkilan kerana aku tidak menceritakan perkara sebenar. Hari itu hari yang paling mencabar dalam hidup aku. Junior-junior pula semua datang serbu aku semata-mata nak dengar cerita sebenar. Fuhh... walaupun sudah terkena tempias popular, semua itu tidak membuatkan aku gembira. Akan tetapi aku jadi sangat-sangat sengsara.

            Aku memandang ke depan dan melihat Ray menghampiri aku. Mulalah aku jadi serba tidak kena.

            “Aya dah habis makan?” soalnya sambil tersenyum.

            “Baju aje habis.” Aku membalas ala kadar.

            “Dapat cuti, eh? Dengar cerita Aya nak balik rumah.”

            “Ha’ah... tak sangka dapat cuti. Ingat kena kerja jugak.”

            “Ni mesti sebab dah jadi kekasih orang paling kuat kat Adam Taylor ni, kan?” Ray mengangkat keningnya sebelah.

            Aku tiba-tiba mematikan senyuman. “Senior... janganlah sebut pasal dia.”

            Ray buat tidak endah. “Presiden tak dapat join kami untuk kem musim cuti ni sebab dia ada tournament. Baru-baru ni dia dapat juara peringkat kebangsaan... Cik Aya tak nak tengok dia buat latihan ke?”

            Aku terasa dadaku semakin sesak dengar kerenah mamat ni!

            “Boleh juga! Lagipun petang nanti baru saya balik rumah.” Aku menyambut gurauannya. Aku sengaja mempamerkan wajah teruja.

            Ray tetap mengariskan senyuman. “Okey, jom!” Ray pantas menarik lenganku.

            Aku berlari anak mengikut langkahnya yang luas.

            Aku dibawa sehingga ke kawasan yang aku tak pernah lalui. Bangunan yang dibina dengan seni bina Inggeris itu sangat memukau pandangan. Di dalamnya terdapat beberapa dewan untuk latihan Ballet, Orkestra dan pelbagai lagi. Aku menelan liur kerana terlampau kagum. Sekolah Tinggi Adam Taylor bukan hanya gah dilihat di luar kawasan tetapi lebih menakjubkan apabila memasuki kawasan dalamnya.

            “Ini... tempat latihan peribadi presiden. Masuklah...”

            Aku terpaku di situ. “Boleh ke?” aku bertanya. Risau juga jika kedatangan aku tidak di alu-alukan. Itu sememangnya...

            “Cik Aya kan orang yang teristimewa bagi presiden. Janganlah risau. Saya ada urusan sikit kat bilik Ballet... see you.” Ray terus meninggalkan aku disitu.

            “Senior...” aku cuba untuk memanggilnya tetapi untuk apa...?

            Aku kembali melihat pintu kaca di depan. Pintu ditolak perlahan-lahan dan aku menapak masuk.

            “Waaa....!!!” aku membeliakkan mata apabila melihat kolam renang yang luas itu. Wah... dia seorang aje ke yang guna? Kedekut betul! Besar kut.

            Aku menghampiri ke kawasan kolam dan...

            Harry masih berenang gaya bebas tanpa menyedari kehadiranku. Aku melangkah menghampiri dan berdiri di tepi tiang. Aku berlindung di sebalik tiang itu tanpa melihatnya.

            “Jangan... jangan tengok.” Aku menekup mata. Harry lengkap dengan swimsuit, goggle serta swimming hat. Lelaki itu kembali ke starting board. Aku menjenguk sedikit.

            “Wahh...” aku benar-benar teruja. ‘kacaknya dia...’

            “Harry...”

            Aku tiba-tiba terkejut beruk apabila mendengar ada seseorang yang memanggil Harry. Aku menutup mulut rapat-rapat.

            Harry tidak jadi meneruskan latihannya. Dia menoleh ke belakang dan melihat seorang gadis cantik memegang tuala putih.

            “For the last time...” Sallyna menghulurkan tuala itu. “Boleh tak you luang masa untuk kita bercakap sekejap?”

            “Thanks...” Harry menyambut dan terus berjalan ke kerusi. Dia duduk di situ dan Sallyna mengambil tempat di sebelahnya.

            “Flight I petang ni...”

            Harry hanya memandang kosong ke hadapan.

            Sallyna masih tersenyum. “Maafkan I... disebabkan I, you kena ambil alih tugas yang berat sebagai presiden pelajar. Selama ni you paling tidak suka terlibat dalam Persatuan Pelajar. Tapi disebabkan oleh tangungjawab... you terpaksa juga terlibat. Semua orang sangat harapkan you. Mula-mula I fikir kenapa you kena susah payah...”

            “Sally... just straight to the point.” Harry kelihatan serius.

            Sallyna terus berubah air muka. “Harry... kenapa you layan I macam ni? I ada buat salah ke?” soalnya dengan air mata yang bergenang.

            “You pun tahu kan... I tak suka cakap benda remeh.”

            “She is not your girlfriend, right?” Tempelak Sallyna. Walaupun begitu gadis anggun itu tetap berlagak tenang. Dia duduk di tepi kolam sambil melunjurkan kaki mengenai air sehingga paras betisnya yang putih bersih.

            Harry tersengih dengan penuh sinikal. “So, you nak I cakap dia bakal isteri I?”

            Aku yang terdengar terasa hampir tercekik air liur. Wahh... apa dah jadi ni? Macam mana ni? Baik aku cabut! Bijak sungguh Cik Sallyna... macam dia tahu kami cuma berlakon? Yelah nama pun bekas presiden! Yang Harry pun satu, dalam bayak-banyak jawapan, apa hal yang bagi jawapan tak munasabah macam itu?! Buat malu aku aje!

            “Harry... boleh tak you jangan sakitkan hati I sampai macam tu sekali! Apa yang I dah buat kat you?”

            “You dah buat I...” ayat Harry mati disitu. Dia berdehem beberapa kali membetul suaranya.

            “Sally... I dah anggap you macam adik beradik I sendiri. Kita dah lama kenal dan bekerjasama dalam Persatuan Pelajar. Family kita pun rapat sejak dulu. Hal hati I... you tak usah risau. Suatu masa you akan puas hati dengan apa yang I buat, walaupun buat masa sekarang you rasa semuanya tak betul. Semoga hidup you lebih bahagia di sana.” Harry serentak itu bangun berdiri dan terus melompat ke dalam kolam renang meneruskan latihan tanpa mempedulikan Sallyna yang terpinga-pinga.

            “Harry... I love you. I really love you.” Ujar Sallyna buat kali terakhir sambil berlari anak keluar dari tempat itu. Dia pasrah!

            Aku termangu di situ. Di sebalik tiang sebesar dua pemeluk. Kasihannya... Sallyna sangat lemah lembut dan baik hati. Kenapa Harry sangat... sangat kejam!

            Tut... tut...

            Aku tersentak. Hampir terlompat kerana terlampau terkejut. Ya Allah... time inilah telefon bimbit aku nak berbunyi pun. Dalam keadaan gelabah aku tidak sempat melihat nombor yang memanggil dan terus menekan butang merah. Apa lagi aku terus membuka langkah untuk ke pintu belakang yang aku masuki tadi.

            “Berhenti!” Harry sudah berdiri di belakangku.

            Berdecit bunyi kasut sukanku apabila aku berhenti mengejut. Aku berdiri tegak dengan nafas tercungap-cungap. Alamak... kenapa aku selalu tertangkap?! Kau ni... memang lembap Nur Marhaya!-akhirnya mengaku.

            “Tak habis-habis nak curi dengar perbualan aku dengan Sallyna, kan?!” sergah Harry lantang.

            “Mana... mana ada!” aku terketar-ketar. Masih tidak mahu menoleh menghadapnya. Oh, tidak! Dengan pakaiannya begitu? Tidak... tidak! Tanpa aku sedar kepala aku turut tergeleng-geleng.

            “Kau ingat punggung kau tu dah cantik sangat ke nak mengadap aku?!”

            “.........”

            Diam. Sesaat, dua saat... keadaan dunia seperti berhenti berputar!

            Si Bedebahhhhh!!!!! Kurang ajar mulut macam tempayan pecah!! Aku terus menoleh memandangnya dengan wajah yang tersangat marah. Rasanya asap-asap sudah keluar melalui hidung dan kedua belah telingaku.

            “Mulut awak ni macam...” aku menjerit lantang.

            “Macam apa?” Harry sudah pun berada di depanku. Dekat.

            “Ma... ma... macam.” Aku pantas tunduk. Jantungku seakan berhenti berdegup. Malunya! ‘Haish... tak payah la tayang badan kau yang macam atlet renang olimpik tu! Cis!’

            “Macam nilah Cik Aya... suka tak? Suka tak aku panggil kau macam, Senior Ray!” Harry sempat mengejek. Sengaja dia melunakkan suaranya memerli aku. Hah! Bunyi macam jelous nampak!

                        “Siapa bawak kau ke sini?”

            “Senior Ray...” Sengaja aku memerlinya balik dengan melunakkan suaraku dengan lebih lagi apabila menyebut nama lelaki itu.

            “Hahaha...” Harry ketawa. Sinis. “Mesti dia sekarang kat bilik Ballet, kan? Dengar cerita dia ada affair dengan salah seorang penari ballet sekolah. Selalu dia masuk situ.”

            Berubah terus wajahku. Betul ke?

            “Iyake? Lah... ingatkan Ray sukakan Cik Sallyna. Sebab dia pernah cakap kat saya, Cik Sallyna tu istimewa.”

            Kini wajah Harry pula berubah. “Apa kau cakap?!”

            Aku terpaksa memanggung kepala dan mendongak melihat wajahnya sahaja. Merenung matanya yang redup.

            “Awak memang sukakan Cik Sallyna, kan? Mesti ada sebab awak nak cuba sembunyikan.”

            “Kalau kau tak nak perut kau tu kenyang minum air kolam tu... lebih baik kau balik.” Harry terus memusing badannya dan berjalan ke arah kolam semula. Aku berdiri kaku di situ. Harry... apa masalah awak sebenarnya?

            “Jangan cakap awak ni gay, Encik Presiden?!” aku menjerit sekuat hati. Geram! Biar padan mukanya.

            Harry berhenti melangkah. Dia menoleh memandangku dengan bengis. Lantas berlari anak ke arahku. Apa... apa dia nak buat?

            Harry mencempung tubuhku lalu dibawa ke kolam. Aku terus menjerit.

            “Aaa... jangan! Jangannnn!!”

            Harry tidak mempedulikan teriakkan aku terus membaling aku ke dalam kolam.

            “Kau yang teringin sangat nak mati awal, kan?” Harry berdiri di tepi kolam sambil mencekak pinggang.

            “Saya tak pandai berenanglah!” aku terasa ingin lemas kerana kakiku tidak mencapai lantai kolam. “Tolong sayaaaaaa!!!!”

            Harry masih teragak-agak. “Kau sengaja kan?”

            Aku terasa air sudah banyak memasuki perutku. Aku tidak mampu menjerit lagi. pandanganku mula kelam!

            Aku memuntahkan air kolam yang memasuki perutku. Terbatuk-batuk aku dibuatnya. Aku membuka mata dan aku melihat... Harry sedang memangku aku.

            “Aku masih hidup ke?” soalku dengan lemah.

            Harry hanya diam. Wajahnya kelihatan merah. Aku mengerut dahi dengan tanda tanya. 

            Seketika aku bingung. Tunggu!! Terus mata aku terbeliak. “Awak buat CPR ke?!”

            “Kau mesti lebih sukakan hidup dari mati kan?”

**********

            ANGGAPLAH semua itu mimpi buruk. Aku mengemas barang-barang untuk pulang. Siap semuanya dalam sebuah beg sahaja. Dan aku terus keluar dari kawasan sekolah untuk menunggu bas dan pulang ke rumahku yang terletak tidak jauh dari kawasan Port Dickson ini.  Sementara aku menunggu bas, fikiranku mula kembali mengingati peristiwa pagi tadi. Aku menggeleng kepala. Tidak... kenapa aku mesti terfikirkan perkara itu? Lupakan... lupakan!

            “Apa awak dah buat ni?! Awak ni memang teruk!!” aku menolak badan Harry sehingga lelaki itu terduduk di lantai.

            “Aku nak selamatkan kaulah, lembap! Bukannya kau sedar pun kan?!”

            “Tapi...” aku masih tak puas hati. “Awak ni memang keji...” aku terus menangis dan meraung.

            “Susahlah cakap dengan budak tak cukup umur macam kau ni!”

            “Kembalikan first kiss saya, bedebah!”

            Harry ketawa besar. “Betul ke tak pernah?”

            “Bodoh!” aku membalas.

            “Memang aku bodoh sebab selamatkan orang tak kenang budi macam kau ni. First kiss konon...” Harry mencebik.

            AKU kembali ke dunia yang nyata apabila sebuah bas berhenti menurunkan penumpang di depanku. Lantas aku bangun untuk menaiki bas. Sakit hati mengingati apa yang dikatakan oleh Harry, apa dia ingat aku macam budak-budak perempuan Adam Taylor High School yang sosial macam orang barat tu? first date, first kiss, semuanya dia dah rampas! Keji!

            Setiba di rumah teres dua tingkat itu aku menekan loceng berkali-kali. Tetapi tiada orang jawab. Aku mengambil telefon untuk menghubungi ayah.

            “Alamak... telefon aku masuk airlah!” sekali lagi aku menyumpah lelaki itu dalam hati.

            “Ayah...” aku cuba memanggil ayahku. Adik-adiku juga tiada di rumah barangkali.

            “Aya?”

            Aku melihat dari jauh abangku yang berjalan kaki datang menghampiriku. Di tangannya ada plastik yang berisi barang dapur.

            “Oppaaaa!!” aku melambai-lambai dengan riang. Ketika abangku sudah hampir, terus aku memeluknya, abangku mengangkat aku dan memusing-musing tubuhku dengan ceria.

            “Kau dah berat sekarang!”

            “Oppa, I miss you so much!”

            “Oppa... oppa, penampo baru tau.” Abang Is meletakkan aku kembali.

            “Jom masuk, kita makan besar malam ni!”

            “Barulah comel, muka abang kan macam Park Shi hoo! Sesuai je!” aku menggedik.

            “Jangan terpengaruh sangat dengan Korea, Jepun tu. Ingat, perkara yang Allah akan soal kita di masyar nanti. Tidak akan bergerak kaki anak cucu Adam selagi mereka tidak menjawab apakah yang mereka sudah lalukan ketika muda. Adakah perkara yang sia-sia, atau perkara yang bermanfaat. Apa Aya nak jawab nanti?”

            Aku melopong. Erk! “Aya... Aya...”

            “Hafal lagu korea? Menangis tengok drama dia? Macam tu?”

            “Abang!” aku menampar abangku. Habis aku kali ni...uwaaa...

            Abangku ketawa kecil. “Dah jom masuk, setakat tu je ceramah depan rumah.”

            Malam itu aku dan abangku sahaja yang makan malam, agak kurang selera aku dibuatnya apabila mendengar tentang ayahku.

            “Majikan ayah, Tuan Adam dah bawa ayah ke luar negara untuk rawatan terbaik dari pakar kat sana. Adik-adik semua balik kampung ibu kat Kedah. Ayah suruh Aya balik kampung jugak. Sebab abang kerja, mesti Aya bosan duduk rumah sorang-sorang.”

            Aku mengeluh. Rupanya aku mendapat panggilan dari abang pagi tadi yang menyebabkan aku tertangkap dek singa tu!

            “Baiknya Tuan Adam...”

            “Bersyukurlah... lepas ni Aya tak payah susah payah kerja lagi. Sebab Tuan Adam nak sara persekolahan Aya dan adik-adik. Abang pun akan masuk universiti, Tuan Adam nak bagi abang biasiswa. Lepas belajar abang berpeluang jadi guru di Adam Taylor High School.”

            “Betul ke? Jadi, Aya tak payah la bekerja lagi?!” aku melompat gembira.

            “Ada syarat...”

            Aku berhenti ketawa riang mendengar kata-kata abangku itu. “Syarat?”

            “Aya, kena tinggal kat rumah besar dia kat Teluk Kemang tu, jadi teman cucu dia. Rumah tu kosong... sunyi. Dia nak ambil Aya jadi cucu angkat dia.”

            “Tak... taknaklah. Apa ni abang? Kenapa mesti macam ni?” aku terasa sebak.

            “Ayah dah setuju... lagipun Tuan Adam dah banyak berjasa dengan keluarga kita, Aya. Aya tak nak tengok abang masuk universiti ke? Adik-adik semua dapat sekolah dengan sempurna. Ayah kalau sihat nanti, bukan boleh kerja berat sangat...”

            Aku menunduk lama. Aku tahu... Tuan Adam sangat baik hati. Tapi... mungkin ada hikmah. InsyaAllah. Aku cuba kuatkan semangat. Ya Rabb... jika ini yang terbaik, aku redha.

            “Lagipun, cucu dia handsome. Kau kan mata keranjang... mesti kau suka.” Selamba abangku memerli sambil minum air kosong,

            Mengecil mataku memandangnya dengan geram. Eeee!! Aku bangun mengejar abangku yang sudah berlari ke ruang tamu.

            “Abang, tarik balik ayat tu!!”

**********

            NASIB baiklah telefon bimbit aku ini masih boleh digunakan. Murah pun bagus juga, lebih tahan lasak. Aku masuk ke dalam bilik yang dah berminggu aku tinggalkan. Agak bersepah! Mesti adikku yang perempuan tu punya kerja ni. Aku menghenyak tubuh di atas katil. Dulu, kehidupan kami agak baik. Sejak ayah jatuh sakit semuanya berubah dengan sekelip mata. Tiba-tiba satu nombor yang tidak dikenali tertera di skrin minta diangkat. Aku terus menekan butang hijau. ‘Kacau daun betul, baru nak berehat.’

            “Assalamualaikum...” aku memberi salam dengan sopan.

            “Waalaikumsalam... kau balik rumah ke?!” sergah suara itu.

            Aku ternganga. “Awak!”

            “Aku tanya ni...”

            “Kak Siti bagi saya cuti...”

            “Esok aku pergi ambil kau kat rumah. Kau kena tolong aku kat asrama.”

            “Mana boleh! Saya tak boleh...” aku bertegas. Banyak cantik, ingat aku hamba kau ke?

            “Kenapa tak boleh?”

            “Saya dah beli tiket, petang esok saya kena balik kampung.” Aku menipu, memang aku akan balik esok ke Kedah menaiki keretapi. Tetapi tiketnya belum dibeli.

            “Kampung?” Harry terdiam sejenak.

            “Yela... awak tak balik rumah ke cuti ni?” perlu ke aku bertanya? Lantaklah...

            “Tak ada siapa kat rumah aku.”

            Aku mengangguk. Samalah nasib kita...

            “Aku ikut kau balik kampung boleh?”

            “Apa?!!” aku terkejut amat. Dia ni apakejadah...?

            “Atau... kau kena datang asrama, tolong aku buat kerja.” Harry memberi kata dua. Sengaja!

            “Ma... mana boleh... itu kampunglah...” aku tergagap-gagap. Dia ni semakin gila. Mahunya mak-mak saudaraku terjatuh pengsan sebab aku bawa balik mamat mata coklat ni.

            “Aku tak kira. Aku nak ikut jugak!”

*********

Share this novel

liyana
2021-02-10 10:22:57 

kalau saya lari terus je


NovelPlus Premium

The best ads free experience