“Tolong buka pintu depan tu.”kata aku. Nafas aku turun naik menahan kemarahan.
“Saya hanya mendengar arahan kapten.”jawab pekerja wanita itu.
“Kalau macam tu saya nak berjumpa dengan kapten sekarang!”balas aku lantang.
Sebaik aku berkata sedemikian, lantai aku berpijak terasa bergegar. Aku lihat pekerja-pekerja mulai cemas dan ketakutan. Aku tidak faham dengan situasi yang terjadi. Seluruh hotel terasa bergegar seolah-olah dilanda gempa bumi. Cuping telinga aku menangkap bunyi dengungan yang berpuing-puing. Semakin lama semakin kuat seolah-olah kerumunan lebah yang sedang membuat sarang. Aku berkalih perlahan-lahan.
Dari atas tangga, aku lihat gerombolan asap hitam berkepul-kepul menuruni tangga dengan pantas. Pusaran asap itu meluncur laju meluru ke arah aku. Sebaik hampir tiba di hadapan aku, pusaran asap hitam itu berkecai lalu membentuk satu wajah yang amat mengerikan dan menakutkan. Wajah itu menderam dengan buaran nafas yang ganas.
“May God have mercy on your soul!!!”
Lantunan suara amarah yang garau dan keras itu bergema di seluruh pelusuk ruangan hotel. Selajur itu, wajah buruk yang terbentuk dari gerombolan asap itu terus menerpa ke arah aku. Aku terdorong ke belakang menerima hentaman bersifat tembus itu. Aku hilang kawalan diri lantas terjatuh di atas lantai. Kepala aku terhentak dengan kuat. Dunia terasa berputar dan pandangan kian kelam. Aku tidak ingat apa-apa lagi selepas itu.
Aku terjaga dari pengsan dalam keadaan kepala yang terasa memusing. Aku memegang kepala. Rasa sakit terasa di bahagian belakang kepala. Aku mengitari pandangan di sekeliling. Aku berada di dalam bilik yang aku sewa tempoh hari. Aku cuba mengingati perkara terakhir yang terjadi ke atas diri aku semalam. Tetapi ingatan aku gagal dikembalikan. Yang aku ingat aku terjaga daripada tidur dan kemudian aku tertidur semula. Tiada memori lain yang hinggap di kotak fikiran. Aku mengeluh perlahan.
Aku capai telefon bimbit. Tarikh dan masa yang ditunjukkan membuatkan aku tersentak. 4 April 2014 pukul 3.00 pagi! Aku menelan liur. Ini bermakna telah hampir dua hari aku berkurung di dalam bilik menghabiskan cuti. Tidak semena-mena memori aku kembali terpanggil perisitiwa semalam.
Segalanya melayang-layang di hadapan mata memutarkan kembali ingatan. Kepala aku terasa sakit. Aku tidak mampu menghadami semua ini. Aku berlari menuju ke bilik air. Sekonyong-konyong aku membuarkan isi perut di dalam sinki. Hanya sedikit isi perut yang keluar. Liur aku sahaja yang keluar tanpa henti.
Aku kesat saki baki kesan muntah di bibir menggunakan belakang tangan. Pili air dibuka. Air meluncur laju. Aku membasahkan tangan dan bibir. Kemudian aku melihat refleksi wajah di cermin. Rambut aku yang panjang tidak terurus dan kusut. Wajah aku mula ditumbuhi tunggul-tunggul janggut. Lebam hitam melingkari kawasan mata aku. Bahkan wajah aku juga pucat tidak bermaya. Aku meraup wajah dan meramas rambut. Tekanan perasaan mula dirasai. Aku tidak tahu musibah apa yang sedang melanda diri aku kini.
Lantas aku menakung air yang meluncur laju dari pili. Lalu aku simbahkan ke wajah. Aku lakukan berulang kali. Pada takungan aku yang keempat, air bertukar warna menjadi merah darah. Serta merta aku menarik tangan. Aku dihambat kejutan apabila melihat sinki dipenuhi dengan air berwarna merah. Bau hanyir yang meloyakan tekak menusuk ke hidung. Aku melihat wajah di dalam cermin.
Satu lagi hambatan kejutan melanda diri aku. Satu susuk tubuh berpakaian serba putih yang berlumuran tanah kubur dengan rambut yang menutupi wajah sedang berdiri di belakang aku. Aku menoleh pantas. Tiada apa-apa yang berada di belakang aku. Sebaik pandangan dialihkan semula ke arah cermin, ternyata makhluk itu masih ada. Bulu roma aku berdiri keseluruhannya. Tubuh aku menggeletar ketakutan. Darah merah membuak-buak keluar dari kawasan perut mengalir sehingga bertakung di kawasan lantai. Pakaian putihnya telah dicemari dengan darah merah yang pekat lagi hanyir. Aku menahan diri dari muntah.
Tiba-tiba makhluk itu mengangkat wajahnya. Aku dapat melihat dengan jelas wajahnya itu. Biji mata yang terjojol merah bernyala. Tiada mulut yang kelihatan melainkan gigi yang berceracak tajam. Daging-daging mereput hampir keseluruhan bahagian muka. Ulat satu persatu gugur dari liang-liang wajahnya yang berlubang. Dia menderam dan merenung aku dengan tajam. Serentak itu satu jeritan nyaring yang membingitkan anak telinga terletus.
Share this novel