Bab 34
“Oh! Tuhan… Gambar ni! Gambar pertama yang dia ambil. Kami sempat bertengkar kerana gambar ni!” kata Leo sambil menunjuk pada Affendi gambar sepasang rusa.
Leo menyebak helai demi helai, dia tersenyum dan terus tersenyum. Gambar itu sangat cantik, dicetak diatas kertas berkilat yang sudah tentu mahal harganya. Suatu hari nanti, dia akan membaca tulisan Amalina. Malam ini dia hanya ingin melihat gambar-gambar yang pernah mereka rakam bersama.
Malam ini terasa kenangan itu kembali semula, memburu dan mengekorinya. Tidak terasa dia sudah hampir menyelak helaian akhir. Di muka surat itu ada gambar suasana kampung, rumah Tok Batin juga rumah Mak Upeh. Leo terpegun, air matanya mengalir perlahan. Dia rindu pada kampung dan Mak Upeh.
Di situ juga ada gambar Pilar. Dan di muka surat akhir ada gambar dirinya. Gambarnya sungguh unik… Gambar saat dia sedang menggelengkan kepala, hingga rambutnya berterbangan dan air memercik dari seluruh arah. Ada juga gambar dia sedang tersenyum sambil memegang selaras senapang.
“Amalina… Gambar ni memang cantik!” seru Leo perlahan, berbisik.
Air matanya menitis. Ada rindu yang bertamu dalam hati, dalam mata dan suaranya. Dia membalikkan kulit belakang buku itu. Di situ ada gambar kekasihnya… wanita yang dicintai. Cinta yang belum dia ungkap. Cinta yang hanya disampaikan oleh angin yang lewat. Entah ia turut dirasai oleh Amalina ataupun tidak.
Namun Leo yakin dengan sepenuh hati, Amalina mendengar suara hatinya seperti dia mendengar suara Amalina lewat bukunya yang sarat dengan nostalgia dan rindu yang tiada penghujung.
“Masuk tidurlah dulu!” kata Affendi sambil bangun.
Sejak tadi dia membiarkan Leo mengulit diri dengan buku hasil tangan Amalina.
“Esok masih ada.”
“Fendi… Aku nak jumpa Alin! Kau ada nombor telefon dia?”
“Jangan takut, ada.” jawab Affendi.
“Tapi malam ni tidur dulu. Aku yakin malam ni kau tak boleh tidur nyenyak, kan?”
Affendi bergerak ke dalam namun suara tawanya terdengar. Mentertawakan temannya yang sedang mabuk cinta.
Puan Suriati benar-benar pelik. Dia hairan melihat betapa rapatnya Affendi dengan pemandu peribadi yang baru diambilnya bekerja. Lelaki berambut panjang, kerinting kasar dan kusut itu selalu mengikut dia ke mana sahaja. Semua orang memanggil lelaki itu dengan panggilan Leo.
Puan Suriati tidak tahu namanya yang sebenar. Hanya Leo… Tiada siapa peduli siapa nama sebenar jejaka bertubuh sasa, tegap dan macho itu.
Dia memang akui jejaka itu sangat menarik hati. Ramai gadis-gadis di pejabat itu mulai mengagumi si dia. Dia punya wajah tampan, dengan hidung mancung dan senyuman yang menawan. Walau bagaimana pun dia sukar didekati. Dia hanya rapat dengan Affendi.
Syarikat itu masih belum mempunyai peneraju utama. Buat sementara waktu itu, Affendi berlagak seolah-olah dialah yang berkuasa sepenuhnya. Puan Suriati dan Irfan bagaikan ditolak ke tepi. Peguam Wong belum balik dari China. Dia gagal menghubungi peguam tersebut. Namun Affendi berkata, Peguam Wong akan pulang secepat mungkin.
Airiel dan Irfan sudah seminggu bercuti ke Bali. Jadi, dia langsung tidak tahu apa yang berlaku di sini. Puan Suriati rasa kehilangan sokongan. Hamzah juga tidak ada, bercuti di Sabah.
Pesawat dari China baru menyentuh landasan KLIA. Peguam Wong berada di dalamnya. Waktu Malaysia menunjukkan ke pukul lima pagi. Dia terus menuju jalan keluar. Di ruang menunggu, kepulangannya disambut Affendi dan Leo.
Affendi mengajak Peguam Wong ke satu tempat. Dia mesti mendahului Puan Suriati. Jika Puan Suriati tahu Peguam Wong sudah balik ke Malaysia, sukar untuknya menyakin lelaki itu.
Affendi menerangkan satu persatu semua masalah yang membelenggu sejak Datuk Omar meninggal dunia. Dia juga memperkenalkan Leo pada Peguam Wong sebagai pewaris Datuk Omar yang sah. Peguam Wong terkejut.
“Saya bimbang, nyawa Leo dalam bahaya. Untuk sementara waktu ni tak usah reveal siapa sebenarnya Leo. Tu lebih selamat.” kata Affendi.
“Jika betul Puan Suriati cuba buat sesuatu yang tak baik, memang kita tak boleh biarkan dia,” kata peguam Wong.
“Saya ingat nak pasang perangkap.” Affendi berkata dengan yakin.
“Perangkap?”
“Ya. Perangkap supaya dia mengakui semua jenayah yang dia lakukan terhadap Leo, sepuluh tahun dulu.”
“Saya setuju!”jawab Peguam Wong sambil berpaling pada Leo.
“Wah! Tak sangka… kau masih hidup Zakuan!”
“Ya… Syukur pada Tuhan,” jawab Leo.
“Dalam wasiat terakhir Datuk Omar, sebelum saya keluar luar negara, dia memang ada sebut beberapa perubahan penting. Nama Puan Suriati dan Airiel sudah dia singkirkan awal-awal lagi.”
“Puan Suriati tahu?”
Peguam Wong menggeleng.
...bersambung
Bab akan datang:
Apakah yang bakal dirancang oleh Leo/Zakuan, Affendi dan Peguam Wong bagi memerangkap Puan Suriati?
Share this novel