“SIAPA yang belum makan lagi, makan dulu. Lepas tu sambung kerja dan boleh balik. Jangan lupa tanda tangan dan tulis pukul berapa korang balik,” pesan Burn selaku kapten di dalam Banquet Department itu.
Terjengah-jengah Zafira mencari kelibat Jue. Saat matanya menangkap susuk tubuh Jue, gadis itu memberi isyarat agar Zafira mengambil makanan yang berada di meja buffet terlebih dahulu. Zafira hanya mengangguk tanda faham. Dia berjalan membuntuti beberapa pekerja part time yang lain menuju ke meja buffet yang berada di tengah-tengah dewan.
Bola mata Zafira bergerak laju melihat satu per satu makanan yang masih berbaki di dalam tray stainless steel itu. Air liur ditelan berkali-kali. Serta merta perutnya terasa berkeroncong.
Sedapnya.
Sekali lagi air liur diteguk kasar. Air sirap selasih yang berada di dalam balang kaca besar itu juga menarik perhatiannya. Dari jauh kelihatan peluh-peluh kecil meleleh di dinding balang kaca itu. Nampak sangat mengiurkan air sirap selasih itu. Tanpa menunggu, Zafira terus berjalan laju menuju pada balang air tersebut. Sejak dari tadi dia merasa begitu haus.
Gelas kaca dicapai. Ditadah air itu sehingga memenuhi gelas yang dipegang. Kemudian, dia berpusing laju sambil meneguk air di dalam gelas. Belum sempat air masuk ke mulut, ia tumpah membasahi baju kemeja putih Zafira. Habis basah dan melekap baju pada badannya sehingga menampakkan bentuk bahagian hadapan tubuh Zafira. Mujur dia memakai baju singlet putih di dalamnya. Kalau tak, free show!
Zafira tergamam dan terkebil beberapa kali. Dia memandang geram pada sosok tubuh di depannya itu.
“Tak tengok orang ke???” Marah Zafira. Mencerlung matanya dihalakan pada lelaki itu. Dada berombak laju menahan rasa sakit hati. Sudahlah haus, sedikit pun air tidak sempat masuk ke mulutnya. Kini, dia pula basah lencun di situ.
“Sorry, saya tak sengaja,” ucap lelaki itu dengan cemas . Spontan sahaja dia memegang dada Zafira cuba membersihkan sisa biji selasih yang melekat di baju gadis itu. Semakin membuntang mata Zafira apabila tangan kasar lelaki itu menyentuh bahagian dadanya. Dikala ini, semua mata yang berada di situ tertumpu pada situasi itu. Lagilah membuatkan Zafira malu.
Tanpa menunggu, Zafira menolak tangan lelaki itu dengan kasar. “Pervert!!” jeritnya dengan kuat. Suasana menjadi kecoh ketika melihat Zafira menghambur marahnya pada Assistant Manager hotel itu.
Qaid telan air liur. Terkebil-kebil matanya saat ini. Dia sendiri tidak sangka dengan tindakannya sendiri. Tidak pernah dia memegang dada seorang wanita. Dek kerana terkejut, dia tidak sedar apa yang dilakukan sebentar tadi.
Wajah menyinga gadis itu dipandang dengan rasa bersalah. “Sorry, saya tak sengaja pegang…” kata-kata itu terhenti di situ. Tiba-tiba terasa kakinya disepak kuat.
BUK!!!
“Aduhhh!!!” Qaid mengerang kesakitan. Sepakan itu terkena tepat pada tulang kaki. Dia menggosok kakinya dengan laju sambil mata dihalakan pada sosok tubuh gadis itu yang telah berlalu pergi dari situ.
“Dah. Dah. Jangan berkumpul sini. Pergi settle kan kerja cepat,” Burn menghalau pekerja-pekerja yang mengerumuni Qaid.
“Boss okey tak?” Soal Burn yang baru sahaja menghampiri Qaid.
“Okey. Sikit je ni,” balas Qaid dengan dahi yang masih berkerut menahan sakit. Boleh tahan kuat juga gadis itu menghayunkan sepakan itu tadi.
“Budak baru tu. Dia tak kenal boss kut,” kata Burn lagi.
“Masa briefing tadi dia takda ke?” soal Qaid dengan pelik.
“Lepas je boss habis bagi briefing tadi, dia dengan kawan dia baru sampai,” jelas Burn. Masakan dia tidak perasan gadis secantik Zafira. Pasti menjadi tumpuan mata setiap pekerja lelaki di situ.
Qaid sekadar menganguk tanda faham. “Kawan dia yang mana satu?” soal Qaid ingin tahu.
Mata Burn meliar mencari susuk tubuh gadis yang dimaksudkan itu. Namun, tiada. “Takda pula,” jawab Burn dengan mata yang masih melingas.
“Takpalah,” kata Qaid. Dia kembali berdiri tegak. Bajunya dikemaskan.
“Saya ada nombor phone dia. Boss nak?” soal Burn.
“Tak perlu. Cuma nanti bila dia ambil payment, suruh dia datang jumpa aku,” pesan Qaid. Dia berharap agar gadis itu mahu bertemu dengannya. Dia benar-benar merasa bersalah dengan apa yang berlaku tadi. Pasti gadis itu malu.
“Alright boss,”
Kemudian, Qaid berlalu pergi dari situ dengan hati yang bercampur baur. Dia juga merasa malu dengan kejadian sebentar tadi.
ZAFIRA berjalan pantas keluar dari perkarangan hotel. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah lelaki yang mengambil kesempatan terhadapnya itu tadi. “Kurang ajar pegang dada aku!!!”
“Fira!!!” Panggil Jue. Sejak dari tadi dia mengejar Zafira.
Zafira tidak menoleh, sebaliknya dia hanya menghentikan hayunan kaki dan menunggu sehingga Jue mendekatinya.
“Kau okey tak ni?” soal Jue bimbang saat melihat riak muka Zafira.
Wajah sahabatnya itu kelihatan masam mencuka.
Zafira menggeleng pantas. “Tak okey.”
Jue tarik nafas dalam. “Yang langgar kau tadi tu Assistant Manager hotel ni tau,” Jue sekadar memberitahu. Zafira buat muka tak heran. “Peduli apa aku. Dia yang langgar aku sampai basah baju aku ni. Lepas tu, ambil kesempatan raba dada aku. Takkan aku nak diam!” Bentak Zafira masih membara kemarahannya. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia menghadiahkan penumbuk sulung pada muka lelaki itu tadi. Tetapi, akal warasnya menghalang dari dia bertindak sedemikian.
“Dia tak sengaja kut. Encik Qaid tu bukan lelaki gatal lah,” ujar Jue.
“Tak kisahlah dia bukan lelaki gatal ke, miang ke… masalahnya sekarang ni, dia dah pegang dada aku. Aset aku. Faham tak?” Bidas Zafira dengan geram kerana sahabatnya itu tidak menyebelahinya. Jue terdiam. Dia tahu Zafira marah. Tidak sepatutnya dia membela lelaki yang telah membuat onar pada sahabatnya itu.
“Sorry, Fira. Janganlah marah,” Jue mula memujuk.
Tanpa membalas kata-kata Jue, Zafira meneruskan langkahnya dengan laju. Malas untuk berbicara apa pun saat ini. Dia hanya mahu pulang dan berehat. Itu sahaja.
QAID termenung di balkoni bilik sambil menikmati pemandangan malam. Setiap hari selepas membersihkan diri setelah pulang dari hotel, pasti dia akan duduk di situ mengambil angin sebelum dia masuk tidur.
Matanya terpejam kejap saat angin malam menyapa kulit mukanya. Nyaman terasa.
Tiba-tiba Qaid teringat insiden yang berlaku di hotel tadi. Dia melepaskan keluhan kecil. Telapak tangannya direnung. Teringat tindakan bodoh yang dia buat di hotel tadi. Seakan masih terasa bahagian yang dipegang dari tubuh gadis itu. Lembut. Pantas dia menggeleng dengan mata dipejam kuat.
“Iisshh… mesti dia ingat aku miang sengaja ambil kesempatan.” Bebel Qaid sendiri sambil membuka matanya perlahan.
Dia meraup wajahnya dengan kasar. Mulut melepaskan keluhan berat. Kemudian, mata dibawa ke kaki yang disepak oleh gadis itu. Digosok kakinya dengan perlahan. Sakitnya masih terasa di tulang kaki.
“Aku mesti jumpa semula dengan perempuan tu. Aku tak nak dia salah faham,” nekad Qaid. Dia tidak mahu maruahnya tercalar dek kerana insiden itu tadi.
TOK!TOK!TOK!
Serta merta Qaid menoleh ke belakang saat terdengar pintu biliknya diketuk seseorang. Dia diam beberapa detik untuk mengamati semula ketukan itu.
TOK!TOK!TOK!
“Qaid!!” Kali ini ketukan disertai dengan panggilan dari pembantu rumah mereka iaitu Mak Embun. Suara wanita itu kedengaran cemas.
Tanpa berlengah lagi, dia bangun dari duduknya dan masuk ke dalam bilik. Langkah dibesarkan menghala ke pintu. Tombol dipulas dan daun pintu ditarik.
Terpacul wajah cemas pembantu rumah mereka di depan biliknya. Belum sempat Qaid membuka mulut bertanyakan apa-apa, Mak Embun terus berbicara dengan riak cemas, “Qaid, Puan Sharifah tak sedarkan diri. Dia pengsan di dapur!”
Qaid terpempan seketika. Tanpa menunggu dia bergegas turun ke dapur. Mak Embun turut membuntuti Qaid.
Sebaik sahaja memasuki ruangan dapur, kelihatan Pak Karim, suami Mak Embun yang bekerja sebagai tukang kebun di rumah agam itu sudah pun berada di situ. Qaid terus duduk ke lantai dan menampung kepala Sharifah Sofia dan diletak ke pahanya.
Pipi Sharifah Sofia ditepuk lembut sambil Qaid memanggil-manggil nama nendanya. “Nenda, wake up!”
“Tadi, Puan Sharifah elok saja minum di kerusi ni,” Pak Karim cuba menjelaskan keadaan sebelum wanita itu tidak sedarkan diri. Qaid hanya memandang sekilas pada wajah Pak Karim. Kemudian, matanya kembali tertancap pada wajah Sharifah Sofia yang kelihatan pucat itu.
“Nenda, please. Jangan buat Qaid risau,” bergetar suara Qaid saat ucapan itu disebut. Sungguh dia begitu bimbang. Dia tidak sanggup kehilangan satu-satunya orang yang dia sayang.
“Kita bawa Puan Sharifah ke hospital, Qaid. Biar Mak Embun hubungi Pak Latif,” cadang Mak Embun. Wanita itu juga kelihatan begitu bimbang.
“Takpa. Qaid bawa nenda. Mak Embun tolong ambil barang-barang nenda. Pak Karim ikut Qaid,” arah Qaid. Kedua-duanya hanya mengangguk.
Lantas tubuh Sharifah Sofia, dicempung dan dia berjalan menuju ke pintu rumah. Pak Karim membuntuti lelaki itu.
“KAU jangan risau. Nenda tak apa-apa,” kata Syed Ilham. Dia dan Sharifah Wilma baru sahaja sampai di hospital beberapa minit yang lalu selepas mendapat panggilan telefon daripada Qaid.
“Mama aku boleh jaga nenda sementara kau uruskan hal hotel,” sambung Syed Ilham lagi apabila melihat Qaid masih diam membisu sejak dari tadi. Dia tahu lelaki itu risau akan keadaan Sharifah Sofia.
“Qaid, she will be fine. Don’t worry, bro,” pujuk Syed Ilham sekali lagi. Bahu Qaid ditepuk lembut.
Qaid raup wajahnya dengan perlahan. Keluhan berat dilepaskan. Sejak dari tadi dia menanti Sharifah Sofia sedar dari pengsan. Namun, nendanya masih begitu. Dia merenung Sharifah Sofia dari sofa tempat dia duduk. Sudah penat berdiri disisi wanita itu sejam yang lepas. Kemudian, matanya beralih pada susuk tubuh mak cik nya, Sharifah Wilma.
“Thanks aunty, sudi datang,” ucap Qaid. Sharifah Wilma memandang Qaid sambil menguntum senyum. “Nenda masih ibu mertua aunty, Qaid,” balas Sharifah Wilma dengan tenang. Walaupun wanita itu pernah membelakangkan keluarganya pada masa lalu, namun, tanggungjawab sebagai seorang menantu, tetap dijalankan.
Mana tahu, dengan cara ini, anaknya, Syed Ilham akan dipandang oleh Sharifah Sofia selepas ini.
Qaid membalas senyuman Sharifah Wilma. Kemudian, dia mengangguk.
“Buat sementara waktu ni, aunty boleh jaga nenda di sini. Qaid pulanglah. Berehat,” sambung Sharifah Wilma.
“Qaid nak tunggu nenda sedar. Baru Qaid pulang. Selagi nenda tak sedarkan diri, Qaid tak boleh pulang begitu sahaja,” satu per satu kata-kata itu ditutur. Walaupun hatinya tika ini dihenyak seribu satu perasaan bimbang, namun, dia tetap pamer riak tenang.
“Qaid, mama aku ada. Kau jangan risau. Pergi balik. Rehat. Esok kita jumpa dihotelkan? Kau janji nak ajar aku,” celah Syed Ilham. Dia tidak mahu sepupunya itu terlalu ikutkan perasaan bimbangnya. Qaid merasa serba salah. Mahu pergi
meninggalkan Sharifah Sofia di situ tanpa menunggu wanita itu sedar membuatkan hatinya tidak tenang.
“Ya, Qaid. Pulanglah. Kalau nenda dah sedar nanti, aunty call Qaid,” janji Sharifah Wilma pula. Mahu atau tidak, terpaksa juga dia akur pada kata-kata dua beranak itu.
Perlahan Qaid menolak tubuhnya bangun dari sofa dan dia berjalan lemah menuju ke arah Sharifah Sofia. Wajah pucat itu direnung lama. Satu kucupan dihadiahkan pada dahi wanita itu. Tangan kanannya berlabuh pada ubun-ubun Sharifah Sofia dan diusap lembut dibahagian itu.
“Nenda, Qaid pulang dulu. Nanti Qaid datang semula. Nenda cepat sedar, okey. Qaid tunggu,” lembut nadanya saat menutur bicara. Pandangannya berbalam-balam. Kelopak mata juga terasa panas.
“I love you, nenda,” sekali lagi bibirnya hinggap ke dahi Sharifah Sofia. Saat matanya terpejam kejap, air jernih meleleh dari juring mata Qaid. Air mata itu diseka dengan hujung jari bersama keluhan berat.
“Qaid, jangan risau. Nenda akan sihat semula. Nenda ni kuat semangat. Aunty tahu,” ujar Sharifah Wilma saat melihat wajah sayu Qaid. Dia tahu anak saudaranya itu terlalu bimbang akan keadaan Sharifah Sofia.
“Yalah, bro. Doktor pun cakap, nenda tak apa-apa. Cuma perlu berehat sahaja,” celah Syed Ilham sekali lagi. Qaid tersenyum pahit. Sungguh tiada siapa dapat memahami perasaannya saat ini. Hanya Sharifah Sofia tempat dia bermanja. Dia tak mampu untuk melihat keadaan wanita itu sebegitu rupa.
“Jom, balik. Aku follow,” bahu Qaid diraih lembut.
“Drive elok-elok,” pesan Sharifah Wilma kepada kedua-dua lelaki itu. Syed Ilham hanya membalas dengan isyarat ibu jari. Manakala Qaid hanya mengangguk.
Keluar sahaja dari bilik wad, mata Qaid meliar mencari susuk tubuh Pak Karim. Mujur dia teringat yang dia membawa lelaki itu bersama. Jika tidak, pasti Pak Karim akan ditinggalkan di hospital itu. Naya Pak Karim!
“Kau cari siapa?” soal Syed Ilham apabila melihat Qaid seakan mencari seseorang.
“Pak Karim. Aku bawa dia sekali tadi,” berkerut dahi Qaid sambil mata melingas ke sana sini mencari susuk tubuh lelaki itu.
“Qaid!”
Pantas Qaid menoleh pada sosok tubuh yang memanggilnya.
Pak Karim!
“Mujur Qaid teringat yang Pak Karim ikut sekali tadi. Kalau tidak…” kata-kata Qaid terhenti di situ.
“Maaflah. Pak Karim ke tandas tadi. Hospital ni sejuk sangat. Berulang kali ke tandas. Tak tahan!” balas Pak Karim beria-ria menjelaskan apa yang berlaku padanya.
Qaid dan Syed Ilham ketawa kecil.
“Marilah. Kita balik,” ajak Qaid.
“Puan Sharifah macam mana?” soal Pak Karim ingin tahu.
“Belum sedar lagi. Tapi, Aunty Wilma tolong jagakan. Kalau nenda dah sedar, Aunty Wilma akan inform Qaid,” jelas Qaid dengan tenang. Pak Karim mengangguk tanda faham.
Kemudian, mereka bertiga berjalan keluar dari bangunan hospital menuju ke parkir kereta. Qaid dan Syed Ilham berpisah di situ.
Share this novel