FABIAN melangkah keluar dari lif menuju pintu pejabat peribadi Datin Natalia, yang terletak di tingkat atas penthouse keluarga mereka. Bangunan itu penuh dengan lantai marmar, dinding kaca yang menghadap pemandangan bandar, dan perabot moden serba mewah. Lorong menuju bilik pejabat ibunya sunyi, hanya dihiasi dengan lukisan abstrak dan lampu gantung kristal yang berkilauan.
Dengan pakaian gaya ala drama Korea, turtleneck hitam, blazer kelabu, dan seluar chinos hitam, Fabian tampak seperti pewaris muda yang penuh gaya. Kasut kulitnya bergema di lantai marmar, menandakan kehadirannya. Dia sempat membetulkan jam tangan mewahnya sambil menarik nafas panjang. Penampilan luarannya mungkin kelihatan tenang, tapi di dalam hatinya, ada gelombang perasaan bercampur-baur, terutama setiap kali dia hendak berhadapan dengan ibunya, Datin Natalia.
Sampai di depan pintu besar pejabat itu, Fabian mengetuk dua kali. Suara dingin ibunya kedengaran dari dalam. “Masuk.”
Dia membuka pintu dan melangkah masuk ke dalam bilik pejabat yang luas, penuh dengan rak buku, dinding kaca besar, dan meja kerja yang rapi. Datin Natalia duduk di belakang meja, wajahnya tegas dan tanpa senyuman, membuatkan suasana lebih kaku.
“Kenapa, mama?” tanya Fabian, cuba menjaga nada suaranya agar tidak terlalu defensif.
Datin Natalia mendongak dari majalah yang dipegangnya, menatap Fabian dengan pandangan tajam sebelum bangkit dan mendekati anak lelakinya. Majalah itu dihempas ke meja dengan sedikit bunyi.
“This,” Datin Natalia bersuara dengan tenang tapi tegas, “kamu tahu apa kamu dah buat, Ian?” soal Datin Natalia dengan tegas, mengangkat majalah itu dan menunjukkan tajuk utamanya:
-Pewaris Terkemuka: Layakkah Fabian-
Wajah Madison kabur dalam gambar, tapi cerita penuh sindiran memenuhi halaman utama.
Fabian menarik nafas dalam. “Mama, ini bukan salah Madison. Ini semua spekulasi murahan.”
Datin Natalia bangkit dari kerusinya, mendekati Fabian.
"Sampai bila kamu nak faham, Ian? Nama keluarga kita dipertaruhkan. Mama dah beri semua pada kamu, tapi kamu tetap rosakkan maruah kita dengan perempuan yang tak ada masa depan. Kamu tahu betapa ramai yang telefon mama hari ni? Mereka semua persoalkan kelayakan kamu sebagai pewaris!"
“Mama, saya takkan tinggalkan Madison. Dia tak bersalah dalam hal ni,” Fabian cuba mempertahankan hubungan mereka. “Saya sayang dia.”
Datin Natalia tersenyum sinis. “Sayang? Sayang kau tak akan selesaikan masalah ni, Ian. Kalau kau benar-benar serius dengan dia, buktikan. Kahwin dengan Madison, atau tinggalkan dia. Itu saja cara untuk tutup mulut orang ramai.”
Fabian terdiam, terkejut dengan keputusan mendadak yang diberikan ibunya. “Kahwin?”
“Ya, kahwin. Kalau kau tak nak benda ni berleluasa, buat keputusan sekarang. Jaga nama keluarga atau hancurkan semuanya hanya kerana ‘sayang’ kau tu.”
Fabian memandang ibunya dengan keraguan, seolah-olah cuba mencari tanda-tanda jenaka atau agenda tersembunyi. Datin Natalia bukanlah wanita biasa, dan Fabian tahu itu. Ibunya licik, selalu mempunyai rancangan tersendiri di sebalik setiap keputusan besar.
"Mama serius?" Fabian bertanya, nada suaranya hampir tidak percaya.
Datin Natalia menatap Fabian tanpa sebarang tanda senyuman. “Jangan berfikiran jauh sangat, Ian. Mama cuma nak satu perkara—nama keluarga kita tetap terjamin. Itu saja.”
Fabian terdiam, matanya kembali menatap majalah yang dihempaskan tadi. Bukan soal kahwin yang membuatnya tergamam, tetapi kenyataan bahawa dia seolah-olah tidak diberi ruang untuk memilih. Sejak kecil, hidupnya sudah ditentukan oleh Datin Natalia—segala langkah, setiap keputusan. Dan kini, sekali lagi, dia berada di persimpangan yang ibunya ciptakan.
“Ian, ini bukan soal apa yang kamu nak. Ini tentang keluarga kita,” kata Datin Natalia lagi, nadanya lebih lembut tapi tetap tegas.
“Perkahwinan dengan Madison boleh hentikan khabar angin ini. Kamu akan dilihat sebagai lelaki bertanggungjawab, dan kita boleh kawal cerita yang tersebar.”
Fabian diam, kepalanya tunduk. Dia tahu dia tidak diberi hak untuk bersuara, walaupun hatinya membara dengan keinginan untuk melawan.
-
PAGI itu, seperti biasa Fabian menunggang Kawasaki ZX10 hitamnya menuju ke universiti. Jalanan agak sunyi, hanya deruan angin yang menemani sepanjang perjalanan sambil melayan lagu daripada earpodnya.
Careless, careless
Shoot anonymous, anonymous
Heartless, mindless
No one, who care about me?
Setibanya di kawasan tak jauh dari pagar masuk universiti, matanya tertancap pada satu situasi yang tidak menyenangkan. Dari jauh, dia melihat seorang lelaki—yang dia kenal sebagai Mickey, seorang pelajar yang berada di dalam kumpulan seni tarian universiti yang dia uruskan, "The Vibe Tribe", sedang mengganggu seorang gadis.
Fabian memerhati sejenak, matanya mengecil saat dia menyedari siapa gadis itu. Maureen.
"Eh, kenapa Maureen seorang diri? Bukan ke Madison yang selalu teman dia sama-sama pergi kelas?" bisik Fabian dalam hati, sedikit hairan. Dia tahu betapa rapatnya kembar itu, jarang sekali Maureen ke mana-mana tanpa Madison.
Tanpa berfikir panjang, Fabian memberhentikan Kawasaki ZX10 nya di belakang mereka. Dia tidak turun, hanya menekan pedal dengan kuat, deruman enjin yang tiba-tiba mengejutkan Mickey dan Maureen. Mickey segera menoleh, wajahnya berubah ketika dia melihat Fabian yang duduk di atas motorbike dengan pandangan serius, memberi amaran tanpa perlu berkata apa-apa.
"Ada masalah ke, Mau?" tanya Fabian, nada suaranya tegas namun terkawal. Dia turun dari motorbike nya dan berdiri menghadap antara mereka berdua.
Dia mengangkat kening, memerhati Maureen yang diam membisu, tunduk tanpa berani mengangkat wajah. Jelas dari riak wajahnya, Maureen kelihatan takut, tangan kecilnya menggenggam erat tali beg, seolah-olah cuba menahan perasaan cemas yang menghantui dirinya. Bibirnya bergetar sedikit, tapi tiada sepatah kata pun yang keluar. Dia benar-benar tidak selesa dengan situasi ini, namun Maureen bukan jenis yang tahu bagaimana hendak melawan.
Sebelum Maureen sempat menjawab, Mickey menyampuk dengan nada santai, sambil menepuk bahu Fabian. "Relax la, bro! Aku cuma berbual dengan dia je."
Fabian mengetap gigi, jelas dia tidak suka dengan sentuhan itu. Matanya tajam memandang Mickey, seakan memberi isyarat agar dia berhenti. "Aku bukan bro kau. So, stop sentuh aku." Suaranya rendah dan dingin, penuh amaran.
Mickey mengangkat tangan, pura-pura bersikap selamba. "Okay, okay. Chill, bro. Aku cuma nak berkenalan dengan gadis cantik ni je. Ala... macam kau dengan Madison tu."
Mendengar nama Madison disebut, wajah Fabian semakin tegang. Dia melangkah ke depan, berdiri rapat di hadapan Mickey, matanya langsung tak beralih dari pandangan lelaki itu. "Jangan berani bandingkan diri kau dengan aku," ujar Fabian, nadanya tajam.
"Dan jangan sentuh Maureen lagi. Ini amaran aku." Fabian menjelingnya dengan tajam.
"Alright, okay! Geesh!" Mickey angkat kedua-dua tangannya lagi tanda mengalah, menjeling tersenyum ke arah Maureen yang tunduk kepala sebelum dia pergi dari situ.
"Kau nak kawal dua orang kembar tu? Kau silap, bro," bisik Mickey dengan nada menyindir, sambil berlalu pergi dengan gaya menyampah, mulutnya bersiul-siul tanpa peduli.
Fabian hanya menggeleng kecil, matanya tajam mengawasi Mickey hingga lelaki itu hilang dari pandangan.
Setelah memastikan suasana kembali tenang, Fabian menaiki motorbikenya semula, menoleh ke arah Maureen yang masih berdiri terpaku, menunduk seperti sedang memikirkan sesuatu. Dia melihat Maureen mula melangkah perlahan menuju pagar masuk universiti.
"Mau, jom naik," pelawa Fabian sambil menepuk ruang di belakang motornya.
Maureen kelihatan teragak-agak, wajahnya sedikit merah. "Err... aku... tak nak," jawabnya dengan suara perlahan, hampir tak kedengaran.
Fabian mengangkat kening. "Kenapa pula? Kau segan ke naik motorbike?" tanyanya dengan nada bersahaja, sedikit hairan. "Sorry, aku sengaja tak guna kereta sebab aku dah lambat."
Maureen cepat-cepat menggeleng. "Tak... tak... bukan pasal tu..." jawabnya tergagap, pandangannya beralih ke arah lain.
"Kan... kalau naik motorbike... kena... peluk... emmm..." Maureen menggaru kepalanya, jelas kelihatan dia malu dengan situasi itu.
Fabian ketawa kecil mendengar alasan Maureen. "Oh, itu je masalahnya?" dia ketawa lagi, cuba menenangkan keadaan.
"Relaxlah, Maureen. Aku tak kisah. Kau pegang je jaket aku, tak perlu peluk kalau kau segan."
Nak tak nak, akhirnya Maureen naik juga, walaupun rasa segan masih menyelubungi dirinya. Dia melangkah perlahan-lahan ke arah motorbike Fabian, menarik nafas dalam sebelum duduk di belakangnya. Beberapa pelajar yang lalu lalang mula memerhati mereka, dan Maureen dapat mendengar bisik-bisik, mungkin menyangka dia adalah Madison, kembarnya.
Sebaik sahaja Maureen duduk, Fabian menekan pedal motor. Tiba-tiba, tubuh Maureen terhuyung ke depan sedikit, menyebabkan dada dia tanpa sengaja menyentuh belakang Fabian. Wajahnya serta-merta memerah. Dengan cepat, Maureen menarik hoodie jacket yang dia pakai, cuba menutup muka yang sudah kemerah-merahan itu, berharap tiada siapa yang perasan.
Fabian terasa sentuhan ringan di belakangnya, tetapi dia tidak berkata apa-apa, hanya terdiam sambil memandang ke depan. Dia menumpukan perhatian pada jalan, membawa mereka masuk ke dalam kawasan universiti dengan tenang, namun perasaannya bercampur-baur. Suasana antara mereka terasa sunyi, tetapi juga penuh dengan debaran yang tidak terungkap.
MADISON sedang duduk santai di kafe sambil menyedut air tin gasnya itu, tiba-tiba ditegur oleh Julie. "Eh, Mad. Aku ingat kau tadi dengan Fabian."
"Yelah, Mad. Rupanya tu Maureen adik kau, eh?" tambah Tiena yang datang bersama Julie tadi, sambil tersenyum.
Madison terdiam seketika, meletakkan menghentikan sedutannya. "Yeke? Mereka buat apa?" tanyanya, rasa tak sedap hati mula menyelinap, bercampur dengan sedikit perasaan cemburu.
Julie hendak menjawab, "Mereka berdua..." namun belum sempat dia habiskan ayatnya, kelibat Fabian muncul di depan mereka. Julie dan Tiena terus terdiam, dan tiba-tiba, mereka seperti rasa tak selesa.
"Errr... Kami pergi dulu, Mad," kata Tiena cepat-cepat, lalu dia dan Julie bergegas pergi dari situ, seolah-olah takutkan sesuatu.
Fabian menghampiri Madison yang kelihatan sedang memerhati gerak-gerinya dengan wajah yang susar untuk dibaca.
"Tadi kau datang sini dengan siapa?" tanya Madison, matanya tajam memandang Fabian, nadanya seakan memancing jawapan.
Fabian hairan. "Macam mana pula dia tahu?" bisik Fabian dalam hati.
Fabian menarik nafas panjang, lalu duduk di sebelah Madison. “Siapa beritahu kau?” soalnya, memandang wajah Madison yang kelihatan tidak puas hati.
“Julie dan Tiena nampak kau depan pagar masuk tadi,” jawab Madison dengan cepat. Fabian mengeluh perlahan.
“Oh, itu... Mickey kacau Maureen, so aku datang tengok,” balas Fabian, cuba menjelaskan dengan tenang.
Fabian mengambil tin air gas Madison untuk minum, tapi Madison dengan pantas menarik balik tin itu dengan kasar, membuatkan Fabian tersentak. Dia dapat merasakan kemarahan Madison, jelas dari cara kekasihnya bertindak balas.
“Yeke? Kiranya kau jadi hero la tadi, lepas tu ajak Mau naik motor kau lah, gitu?” bebel Madison, nadanya sinis.
Fabian sekali lagi mengeluh, tak ingin memperpanjang pertelingkahan.
“Haaa... Ini yang aku tak suka,” Madison melepaskan perasaan geramnya.
“Aku tanya, kau mengeluh, diam, tak nak jawab. Kenapa, eh?” Madison merenung Fabian, menunggu jawapan, namun Fabian hanya diam, cuba menahan rasa kecewa.
Madison mendesak lagi, “Kenapa kau tak boleh jujur dengan aku? Apa sebenarnya yang kau nak daripada hubungan kita ni, Fabian?”
"Mad, aku datang sini nak jumpa kau, bukan nak cakap pasal benda ni," kata Fabian sambil meletakkan helmet hitamnya di atas meja.
"Aku takde mood nak berbual dengan kau hari ni." Madison bangun dari kerusinya, namun Fabian dengan cepat menarik pergelangan tangannya, memintanya duduk semula.
"Kejap, sayang. Duduklah," pujuk Fabian dengan nada lembut. Madison tetap ego, ingin Fabian memujuknya lebih, tapi bila mendengar rayuan Fabian, hatinya perlahan-lahan cair.
"Ha, ada apa? Cepat cakap," ujar Madison dengan nada ego, walaupun jelas dari matanya yang dia tak sabar menunggu jawapan.
Fabian menghela nafas dalam-dalam, bersedia untuk membuka mulut tentang sesuatu yang lebih besar daripada pertengkaran kecil mereka tadi.
"Mama aku..." Fabian terdiam sejenak, berfikir bagaimana nak beritahu perkara ini. Dia tahu betapa Madison tidak suka jika perbualan melibatkan ibunya, Datin Natalia.
Madison memotong dengan cepat, "Kenapa dengan datin tu? Mesti dia suruh kita berpisah, kan?" Wajahnya menunjukkan rasa ralat, tapi dia juga bersiap sedia untuk menerima apa saja berita buruk yang biasa.
Fabian menggeleng kepala, berusaha menenangkan Madison, walaupun dalam dirinya bergelut dengan rasa berat untuk berkata-kata. "Tak... dia tak suruh kita berpisah," ujar Fabian perlahan.
Fabian menarik nafas lagi, kali ini dengan susah payah, sebelum akhirnya berkata, "Mama nak kita... kahwin."
Madison terkejut beruk. Segala rasa cemburu dan amarah tadi hilang serta-merta. Dia menatap Fabian dengan mata terbeliak, tak percaya apa yang baru didengarinya.
"Kahwin? Kau... serius?" Soalnya, tergagap.
Share this novel
nextt cepatlaa hm
next plz..ada bau² Mady jelouse jgn Mau...nsib Fab kawin ngn Mau...x sukalah ngn Mady..x sbr nk thu Fab ngn Mau lps kawin...hihihi..
nexxx