BAB 2

Romance Completed 7632

PETANG itu mereka sama-sama menikmati angin petang di Taman Bukit Layang-Layang. Seingatnya, sudah lama Lydia tidak meluangkan masa berjalan-jalan bersama Latif suaminya itu lantaran kenaikan pangkatnya sebagai penolong pegawai jabatan perkhidmatan veterina benar-benar membuatnya sibuk.

“Sayang sibuk ya sekarang ni?” soal Latif perlahan. Tangannya mengelus lembut jari jemari Lydia.

“Sangat,” jawab Lydia sepatah. Sebuah keluhan dilepaskan. Kepalanya dilentokkan ke bahu Latif.

Latif memandang sekilas wajah Lydia. Lydia sedang memejamkan matanya. Dilihat wajah isterinya itu kelihatan agak pucat. Barangkali Lydia sangat letih sekarang ini.

“Kalau sayang penat, jom kita balik,” usul Latif kepada Lydia. Kasihan pula dilihat isterinya itu.

Memang tadi Lydia yang beria-ia benar mengajaknya ke sini setelah pulang daripada kerja. Katanya sudah lama mereka tidak bersiar-siar bersama. Kerana itu mereka ada di Taman Bukit Layang-layang itu.

“Emm,” hanya itu yang keluar daripada mulut Lydia.

Latif hanya tertawa apabila mendengar reaksi Lydia itu. Sah, isterinya sangat penat dan mengantuk. Dibiarkan suasana sepi di antara mereka hampir sepuluh minit. Akhirnya Lydia membuka matanya.

“Abang masih sayang Lydia?” soal Lydia tiba-tiba.

Latif tersentak mendengar pertanyaan Lydia. Senyuman diukirkan menutup kegusaran hatinya. Anak matanya dilarikan daripada memandang wajah isterinya itu.

“Bagi sepuluh sebab kenapa abang tak sayang Lydia,” ujar Latif cuba melarikan diri daripada menjawab soalan isterinya itu.

Angin petang berhembus kuat. Lydia mengalihkan pandangannya ke atas langit. Dilihat layang-layang berbagai warna, bentuk dan saiz sedang terbang tinggi mendahului antara satu sama lain. Ada juga yang boleh menghasilkan bunyi. Kagum dia melihat bentuk satu layang-layang yang berbentuk seakan-akan dua hati yang bercantum menjadi satu itu.

“Kalau sayang kata sayang, tidak aku terbayang-bayang,” ujar Lydia tenang.

Sebenarnya sudah lama dia mahu menanyakan soalan itu kepada Latif. Hari ini baru dia berpeluang menanyakannya setelah usia perkahwinan mereka menginjak enam tahun.

“Lydia meragui kasih sayang abang pada Lydia?” soal Latif. Suaranya kedengaran bergetar.

“Bukan meragui, sekadar ingin memastikan,” lancar sahaja ayat itu meluncur keluar daripada bibir Lydia.

Dan layang-layang berbentuk hati tadi kini sedang terbang tinggi di atas awan meninggalkan layang-layang lain di bawah yang cuba menyaingi ketinggiannya. Kedengaran jeritan suara daripada bawah yang bersorak apabila ada layang-layang yang terputus talinya direntap oleh layang-layang lain.

“Kita kena saling percaya Lydia,” ujar Latif perlahan.

Lydia sekadar mengangguk mengiakan kata-kata Latif tadi. Pandangannya masih tidak beralih daripada memandang layang-layang berbentuk hati tadi. Membuat Latif juga turut sama memandang ke arah layang-layang itu.

Tiba-tiba muncul sebuah layang-layang bewarna hitam dengan bentuk seolah-olah burung menghampiri layang-layang berbentuk hati tadi. Dengan rakusnya, layang-layang hitam itu merentap tali layang-layang yang ada disekitarnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience