Wieyda merenung skrin komputernya sebaik saja selesai mandi dan bersolat. Semua tugasan sudah dihabisi, maka inilah saat untuk berehat seketika sebelum bergelut di dewan peperiksaan pula. Apa lagi penat menyiapkan Latihan Ilmiah masih terasa. Semester ini dihadapi dengan penuh kesulitan. Beban belajar, tugasan, ditambah dengan beban di hati yang tak kunjung hilang, amat berat. Jika tidak difikirkan Latihan Ilmiah itu adalah syarat wajib untuk dia mendapat Ijazah Sarjana Muda, tidak kuasa dia. Tapi disebabkan Latihan Ilmiah itu terlalu penting, maka segala tenaga badan dan otak dikerah untuk menyiapkannya sebaik mungkin. Kini, semua telah selesai, dia mahu berehat seketika.
Tapi..ketenangan fikirannya saat ini diganggu dengan satu baris ayat di skrin.
“Hari-hari terakhir sebagai seorang lelaki bujang”
Status yang berada paling atas di home page facnya itu mengganggunya. Apalagi status itu datangnya dari Hazimi. Ya Allah.. Ya Allah.. Ya Allah..
Hati tersentap. Baca sekali lagi. Benarkah? Ye. Memang benar. Tidak salah lagi. Sedikit pun tidak salah. Tengok komen-komen yang ada. Ye, memang benar status itu membawa maksud dia mahu kahwin.. Dia.. mahu… kahwin.. Benar-benar ni, bukan cobaan lagi.
Bila agaknya mahu kahwin? Dalam 2 3 hari lagikah? Kan dah nak cuti sekolah penggal kedua ni.. Ya Allah.. Ya Tuhan.. Kenapa biarkan aku jatuh cinta padanya? Astaghfirullah..ini ujianMu untuk hatiku.. Kenapa rasa ini masih ada di hatiku???
Ya Allah.. Hatinya terasa sakit tiba-tiba. Ah, apakah ini. Bukankah dia sudah lama menerima semua takdir? Huh, inilah akibatnya masih berani mengharap. Tiba-tiba mata terasa berkaca. Tapi hati memarahi agar jangan biarkan air mata tu gugur. Hati cuba bertenang. Bukankah semua ini sudah diduga?
‘Wahai hati.. jangan menangis.. Wahai diri, jangan bersedih.. Bukankah selama ini kamu mengharapkan dia bahagia, dipertemukan dengan teman hidup yang terbaik dan boleh membuat dia bahagia? Nah, sekarang ini dia sudah mahu kahwin, bermakna dia sudah menemui seseorang yang buat dia bahagia. Kamu harus bergembira, jangan menangis. Bukankah jodoh itu aturan Tuhan. Tuhan yang kamu sembah dan percaya? Jangan bersedih sayang. Doakan kebahagiaannya selalu… Jangan menangis.. Jangan menangis.. Jangan menangis..’
‘Jangan menagis sayang.. Ingatlah jodoh pertemuan adalah ketentuan Tuhan. Tuhan tidak menciptakan dirimu untuk dia. Tuhan hanya mempertemukan dirimu dengan dia hanya untuk berkenal-kenal dan saling tolong-menolong. Syukurlah. Kerana Tuhan pernah pinjamkan dia sekejap dalam hidupmu..walaupun sebagai seorang ‘abang’…’.
‘Allah tidak menciptakan kamu untuk dia, Allah tidak menjodohkan kamu dengan dia. Kerana apa? Kerana ada seseorang yang lain yang telah Allah sediakan untuk kamu. Suatu hari lelaki itu akan hadir dengan izin Allah, bila tiba masa dan waktunya. Sabarlah sayang.. Sabar itu sebahagian dari iman. ‘
‘Seorang ‘adik’, seharusnya gembira dan tersenyum bila abangnya gembira dan bahagia. Kamu kan adik yang baik. Jangan menangis, senyumlah. Doa pada Tuhan, agar satu hari nanti akan ada seorang lelaki yang sama baik atau lebih baik dari ‘abang’ mu itu untuk menemani hari-harimu..’
Wieyda berkata-kata sendiri, memujuk diri dan hati yang teramat sakit. Sukarnya menghadapi. Dulu Hazimi hanya menolaknya secara lembut. Tetapi kini dia terpaksa berdepan dengan hakikat bahawa lelaki itu memang sudah benar-benar akan menjadi suami orang. Sudah tiada harapan lagi. Jika dulu dia masih mengharapkan kuasa Allah akan membenihkan rasa cinta dalam hati Hazimi untuknya walaupun masa itu Hazimi telah menolaknya, namun sekarang, dia tau dia harus berhenti berdoa begitu lagi. Dia juga harus berhenti berharap!
‘Ya Allah..jangan biar aku menangis.’
Wieyda mengemam bibirnya. Air mata yang tak tertahan akhirnya dibiarkan saja gugur menyentuh pipi. Nasib baik Sara tiada malam ini kerana petang tadi dia pulang ke Setiawan, tempat abang Eful. Maklumlah, saat saat beginilah nak luangkan masa bersama.
“Ya Allah.. kenapa aku masih rasa sakitnya? Aku masih tidak redhakah? Kenapa hatiku lemah sangat?”
Wieyda teresak-esak. Hanya insan yang pernah mengalaminya saja yang akan faham, betapa sakitnya perasaan bila dapat tahu seseorang yang kita sayang dan cinta, akan menjadi suami orang. Walaupun dia telah menerima dan bersedia selama ini tapi rasa sakit masih terasa. Ya Tuhan. Ini benar-benar ujian. Aku harus benar-benar menerima hakikat ini sekarang. Keluh hatinya.
Dia mencapai telefonnya. Dia mencari nama Hazimi. Nama yang sudah lama dia tidak lihat di skrin telefonnya. Nama itu masih di situ. Abang Hazimi.
‘Salam. Abg dh nak kawen ye? Bile?’ dia menghantar SMS. Tidak berbalas. Selepas saja dia bersolat Isyak, telefonnya berbunyi, ada SMS baru masuk.
‘Cuti sekolah ni. 26hb.. dengan 1hb..’- Abg Hazimi
‘Oh.. majlis kt rmh abg tu, 1hb ye?’- Wieyda
‘A’ah.. jemputlah.’- Abg Hazimi
‘Oh.. masa tu Wieyda dah dekat sgt nak exam..tak boleh jugaklah Wieyda nak tgk abg kawin. xpelah.. Wieyda ucap selamat pengantin baru dari jauh je la utk abg. Smoga dia adalah jodoh terbaik untuk abang, dunia dan akhirat.. tak ada hadiah, hanya doa Wieyda bh kirim.’- Wieyda
‘Hahaha..tak pe.. terima kasih’- Abg Hazimi
‘Ok.. once again, congratulations. Slmt pngtn br, slmt jd suami, big bro.’- Wieyda
Wieyda menatap telefon. Air mata yang gugur disapu. Hatinya lega sedikit setelah mengucapkan semua itu pada Hazimi. Ye. Lebih baik dia benar-benar redha dan menerima hakikat bahawa Hazimi bukan dicipta untuknya. Lebih baik dia terus berdoa untuk kebahagiaan lelaki itu, daripada menangis dan bersedih. Hatinya lebih lega bila dia belajar redha. Seminggu lagi dia akan menduduki peperiksaan akhir. Dia harus kuat. Dia harus tabah. Tidak mengapa hilang cinta manusia, asalkan cintanya pada Allah, dan cinta Allah kepadanya terjaga. Tak mengapa tiada manusia mahu mencintainya.. asalkan Allah selalu memandangnya dengan pandangan rahmat dan cinta.
Ya Allah…
‘Wieyda please don’t cryyyyyyyyyy’..
******
Wieyda menelan liur. Selesai solat Zuhur, dia tiba-tiba terkenangkan Hazimi. Sungguh dia tak mengerti kenapa masih ada rasa tu. Walaupun selama ni dia bukan main lagi cuba berusaha untuk buang segala. Tapi bila tau Hazimi akan menikah, hari ini, tengah hari ini, dan bila sedar, angan-angannya selama ni harus dikuburkan dan dia terpaksa mengalah dengan kebenaran hakikat yang sedang terbentang di depan mata, membuatkan hatinya sayu.
Melalui jendela biliknya dia memandang langit biru sambil menyeru nama Tuhan.. Setitik air matanya menitis.
‘Ya Allah..permudahkanlah segala urusannya pada hari ini. Ya Allah, izinkanlah dia menjadi seorang suami yang kau redhai hari ini. Ya Allah, buatlah dia bahagia. Ya Allah, jadikan pilihan hatinya itu sebagai jodohnya yang terbaik buatnya di dunia dan akhirat. Ya Allah, terima kasih kerana meminjamkan dirinya padaku walaupun hanya untuk seketika. Ya Allah, jadikan dia bahagia.. Ameen.’
Sehabis doa itu, dia menarik nafas yang terasa tersekat. ‘Ya Allah..berikan kekuatan padaku untuk melupakan semua kenangan dan anganan lama. Semuanya sudah tidak bermakna lagi. Bantulah aku wahai Tuhan yang memiliki segala kekuatan.’
Di ruang matanya kini ada bayangan Hazimi dalam pakaian pengantin sedang berhadapan dengan tok kadi. Cuma bayangan itu tidak sama dengan anganannya selama ini kerana pengantin perempuannya bukan dirinya tapi orang lain. Hari ini… abang Haziminya akan menjadi seorang suami. Hakikat yang sangat sukar diterima. Selamat pengantin baru, abang. Selamat tinggal kenangan.
‘Wieyda.. again, please don’t cry…’
Share this novel