Saya saja biarkan kawasan meja saya gelap kerana saya senang membuat kerja di dalam keadaan gelap dan sunyi. Senang untuk saya menumpukan konsentrasi. Tidak ada orang yang mengganggu kononnya.
Sedang khusyuk membuat kerja di depan laptop, tiba-tiba terdengar seperti seseorang sedang menggunakan komputer juga.
Keyboard komputer dihentak-hentak. Bunyinya agak jelas. Saya pun tidak menghiraukannya.
Selepas itu terdengar pula seperti bunyi seseorang sedang bermain-main dengan langsir plastik yang disangkut di tingkap pejabat. Saya pun buat tak endah. Saya masih teruskan membuat kerja saya.
Mungkin sebab dah biasa mendengar hal begitu, maka saya diamkan saja. Saya teringat pesan orang tua-tua. Buat bodoh saja. Kita tak kacau dia, dia tak kacau kita. Semakin lama, semakin kuat bunyinya.
Tergerak hati ingin menghidupkan lampu. Tapi saya lupakan sahaja. Kejadian lembaga sosok seperti wanita yang terapung-apung hari itu kembali menjengah fikiran tapi cepat-cepat saya lupuskan dari ingatan. Saya meneruskan kerja saya. Tapi kalau dia menjelmakan dirinya sekali lagi, memang saya lari seperti hari itu juga. Namun disebabkan tiada apa-apa yang berlaku cuma bunyi itu saja maka saya tinggal dan siapkan kerja sampai sudah.
Share this novel