Bab 12

Romance Series 106380

"ABANG... Zai bang. Dia kena pukul dekat Restoran Pak Akim bang." Kelam kabut Salmiah mengabarkan berita yang baru diterimanya tadi.

Terbatuk-batuk Sahak dibuatnya. Mujur tak mati akibat tersedak air. Salmiah sudah mula mengalirkan air mata.

"Cepatlah abang, kita ke sana." Salmiah sudah teresak-esak menangis. Hujung lengan baju kebarungnya digunakan untuk mengesat air matanya.

"Haaa... Jomlah. Yang awak tu pun tercegat serupa tiang seri buat apa. Pergilah sarung tudungnya," ujar Sahak cemas. Bergegas dia mencapai kunci kereta.

Melihat Sahak yang telah pun meloloskan dirinya masuk ke dalam kereta, terkocoh-kocoh Salmiah mengunci pintu rumah.

"Abang ni, cubalah bawa laju sikit. Ni slow je dah macam kura-kura je." Marah benar Salmiah dengan Sahak. Time cemas ginilah dia buat hal. Selalu tu, elok je pecut.

"Sal oiii... kang anak tak pape, kita pulak yang masuk hospital." Jawapan Sahak membuatkan hati Salmiah menjadi geram.

"Time gini pun abang boleh nak melawak kan?" Geram benar Salmiah dengan Sahak. Mau saja dicubit lengan suaminya itu. Namun mengenangkan Sahak tengah memandu, terpaksalah ditahan rasa hati.

Sampai saja di depan Restoren Pak Akim, Salmiah segera mencari kelibat Zailani. Namun hampa. Suasana restoren juga tenang seperti tiada apa yang berlaku.

Pak Akim ralit melayan pelanggan apabila melihat Salmiah bagai kucing kehilangan anak. Dia segera memanggil.

"Salmiah... Sahak..." Bergegaslah mereka berdua mendapatkan Pak Akim.

"Bang, mana anak saya?" Pak Akim buat muka sedih.

"Tu dekat bahagian belakang sana. Aku letak dia kat sana. Badan je sado. Tapi lembik kalah kurita." Mencerlung mata Salmiah memandang Pak Akim.

"Abang jangan nak mengata anak saya ye. Lembik-lembik dia pun, dia tetap anak saya. Marah benar Salmiah bila orang mengata Zailani.

"Dari kau bebelkan aku, baik kau pergi tengok anak kau sana. Tak kuasa aku nak melayan." Pak Akim berlalu meninggalkan Sahak dan Salmiah.

Pelik benar perangai Pak Akim. Baru hari ni dia mengata Zailani. Selalunya dialah yang akan menjawab bagi pihak Zailani andai anaknya itu dibuli.

Salmiah segera menarik Sahak. Pelik benar apabila ruangan belakang restoren itu gelap. Selalunya di situlah menjadi tempat kegemaran para pelanggan di restoren itu kerana terletak di tepi sungai.

"Zai..." Salmiah cuba mencari dimana keberadaan Zailani. Tapi hampa. Langsung tak nampak apa-apa dari kesamaran cahaya. Salmiah mengeluh.

"Mana anak saya?" Ditoleh kebelakang Sahak tiada. Baru hendak melangkah meninggalkan ruang itu, kedengaran nanyian syahdu.

Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan kamu
Allah selamatkan Siti Salmiah
Allah selamatkan kamu...

Berpusing semula Salmiah. Kelihatan Zailani sedang menatang sebiji kek. Sahak juga berdiri disebelah Zailani.

Hampir luluh rasa jantungnya ketika itu. Terharu bercampur marah.

"Selamat hari jadi mak. Semoga panjang umur, diberi kesihatan yang baik dan sentiasa cantik untuk ayah." Zailani mencium pipi Salmiah.

Tiada acara meniup lilin. Memang dari dulu Salmiah tidak mengajar Zailani untuk menyambut hari kelahiran berserta nyalaan lilin di atas kek.

Kek di tangan telah selamat mendarat di atas meja. Zailani menghampiri Salmiah seraya memeluknya. Namun lain pula yang diterimanya. Salmiah memiat telinganya sehingga terteleng kepalanya ke kanan.

"Adoi mak... sakitlah. Zai tak buat salah pun." Tangan Salmiah cuba dileraikan dari terus memiat telinganya.

"Tak salah kata kau. Sampai cakap kau kena pukul. Naik luruh jantung mak ni tahu tak?" Sebenarnya tak adalah Salmiah marah sangat. Hatinya lega bila melihat anaknya itu baik-baik je. Tapi dia sengaja mahu mengajar Zailani supaya tidak bergurau begitu lagi.

"Malulah orang tengok." Teguran Sahak membuatkan Salmiah memandang sekeliling. Hampir jatuh rahang mulutnya melihat Zaitun sekeluarga turut sama berada di situ.

Juwita dari awal lagi tidak setuju dengan rancangan Zailani untuk prank maknya sendiri. Malah kerana hal itu jugalah Juwita bermasam muka dengannya.

"Kau ni... kalau mak tu ada sakit jantung, dah ke hospital agaknya. Bergurau langsung tak beringat." Juwita masih dapat melihat dengan jelas wajah cemas Salmiah ketika mereka baru tiba tadi.

"Kalau aku tak buat macam ni, jangan haraplah mak nak datang sini." Zailani masih juga membela dirinya.

"Ada banyak cara nak buat surprise kan? Bukan ni je cara yang ada." Juwita masih dengan pendiriannya.

"Korang ni kalau bergaduh, sampai ke tua pun takkan habis." Zaitun faham benar sikap Juwita. Ada saja yang tak kena Zailani di mata Juwita.

"Ibu... ibu suka kalau Ju buat macam ni? Bukan niat mahu kurang ajar tapi cara Zai tetap salah." Geleng kepala Zaitun.

"Tenang Juju. Mak tak pape pun. Memang betul kata Zai. Kalau dia ajak mak makan kat luar, memang mak takkan keluar. Mak tak minat makan kat luar ni." Ketawa Salmiah dengan kata-katanya sendiri.

Setelah Salmiah berjaya meredakan kemarahan Juwita, mereka semua ke meja makan. Sambil menjamu selera, sambil bersembang. Lama mereka tidak seperti itu. Andai saja baba Juwita masih hidup... pasti suasana akan lebih gamat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience