Chapter 4

Thriller Completed 13723

Bab 4

Di koridor kedengaran beberapa orang berlarian ke sana ke mari.

“Aduh… orang tengah kelam-kabut ni, masa nilah kau nak main pasir kat atas tu,” gerutu Maria sambil mendongakkan kepalanya ke atas.

Bukan pun dia boleh melihat budak yang sering bermain pasir di tingkat atas itu, tetapi dapat bersungut melepaskan geram pun sudah memadai baginya.

“Memang nak kena budak tu. Dua malam lepas, dia bukan main guli atau serakkan pasir je, dia boleh main bola hoki! Tung tang tung tang.”

Kali ini, Zira pula meluahkan rasa tidak puas hatinya. Dia mencuba mengajuk bunyi yang didengarinya pada malam itu.

“Tak boleh tidur dibuatnya…” keluhnya lagi.

“Habis tu, kau tak pekik ke?” tanya Emi.

“Nak pekik macam mana, aku merungut jelah. Macam ikan dalam sangkar. Cakap sorang-sorang. Kau faham?”

“Ya, aku faham sangat peel engkau tu,” jawab Maria sambil menjuihkan bibir.

“Eh, sambil tu, jomlah kita keluar. Panaslah aku dalam telekung ni,” tutur Siti langsung melangkah ke pintu. Sambil berjalan sambil mengibas-ngibaskan tangan kanan ke muka.

Di pintu, dia terus memulas tombol pintu dan menarik daun pintu hingga terbuka lebar. Kemudian, dengan selamba dia menyarungkan selipar lalu melangkah setapak keluar.

“Berangin sikit kat luar ni!”

Melihat Siti sudah berada di luar, rakan-rakan yang lain turut mengekori.

“Ha, sambung cerita,” kata Siti sambil mencuit bahu Zira.

“Okey, okey. Tak sabar nak cerita ni,” jawab Zira sambil tersenyum.

Dengan langkah perlahan, mereka berempat berjalan rapat-rapat. Bukan kerana takut, tetapi kerana mahu mendengar cerita Zira.

“Aku bantai sound je orang kat atas tu. Kononlah. Aku feeling-feeling macam aku sedang sound diorang.”

“Aku kata sudah-sudahlah main-main tu. Orang nak tidur, tolonglah hormat jiran tetangga. Tiap-tiap malam kau memekak, ingat orang kat bawah ni tak de life ke?”

“Lepas tu aku merepek-repeklah kata annoyinglah, bosanlah, geramlah. Lama-lama, bunyi bola hoki melantun tu hilang. Hilang ataupun aku yang terlena, aku pun tak pasti.” Zira menghabiskan ceritanya dengan helaan nafas yang berat.

“Hmm…” Siti mengeluh lemah.

Memang isu ini sering mereka perkatakan. Gangguan itu bukan setakat bunyi guli yang melantun di lantai sahaja malah sesekali kedengaran bunyi pasir diserak seperti yang baru mereka dengar tadi.

Kadangkala akan kedengaran bunyi bola hoki melantun seperti yang didengari oleh Zira. Juga pernah didengari oleh Emi dan Siti sebenarnya.

Itu pun mungkin Maria terlupa, dia pernah terdengar bunyi orang menumbuk sambal di tingkat atas pada waktu tengah malam.

Lebih kurang pukul 3.00 pagi. Bunyi itu membuatkan dia terjaga dan menerbitkan keinginan untuk ke tandas.

Ketika itu, Maria cuma memikirkan mungkin jirannya yang berada di atas itu mahu berjalan jauh. Jadi itulah sebabnya mereka mula menyiapkan bekalan makanan pada jam 3.00 pagi.

Hhmm… Maria memang selalu menjaga hatinya agar tidak berprasangka buruk terhadap orang lain. Selain dia juga agak naif orangnya.

“Orang kat atas tu bukan saja suka main guli malam-malam, tapi suka ubah perabut jugak, kan. Tapi takkanlah hari-hari mesti nak ubah kedudukan perabut? Saiko ke apa? Asyik tak puas hati dengan diri sendiri…” kata Siti pula. Rungutan yang sering diulang-ulang oleh mulutnya.

Sebagaimana jiran mereka yang tidak pernah penat membuat bunyi-bunyi pelik, begitu juga dengan empat orang gadis ini, tidak pernah penat meluahkan rasa tidak puas hati sesama sendiri.

“Yang pelik tu, tiap-tiap malam! Ih! Aku memang teringin sangat nak tengok muka orang kat atas tu macam mana,” tambah Siti dengan raut wajah yang tegang dengan menguatkan suaranya pada perkataan sangat menandakan betapa seriusnya dia pada waktu itu.

“Memang aku nak sound dia kaw-kaw,” sambung Siti. Jelas dia memang tidak berpuas hati dengan jiran mereka yang berada di atas.

Apa lagi, betul-betul di atas kepalanya, saat dia berbaring, kadang-kadang dia terdengar bunyi seperti orang sedang mengetuk simen dengan tukul besi. Seolah-olah ingin memecahkan simen untuk dipasang mozek atau apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kerja-kerja pertukangan. Sedang mereka asyik meluahkan perasaan tidak puas hati masing-masing, tiba-tiba...

“Aaa!!! Hantu!”

“Cik Ton! Cik Ton! Shh… Relaxlah Cik Ton. Ini sayalah! Siti.”

Gadis berempat itu sudah berada di tingkat bawah. Mereka terserempak pula dengan Mak Cik Zaiton, atau lebih mesra dengan panggilan Cik Ton.

“Ya Allah! Astaghfirullahalazhim. Astaghfirullahalazhim. Astaghfirullahalazhim,” Cik Zaiton beristighfar berkali-kali sambil mengurut dada.

“Mau luruh jantung aku dibuatnya,” gerutunya diiringi tawa kecil.
Siti yang berdiri di sebelahnya hanya mampu ketawa kecil sambil meminta maaf berkali-kali. Cepat-cepat dirangkulnya bahu Cik Zaiton untuk menenangkan wanita tua itu.

…bersambung

Bab akan datang:
Mengapa apartment di atas sering terdengar bunyi bising?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience