Entah jam berapa Khairul pulang ke rumah malam tadi, Surina tidak sedar. Sarapan semua sudah tersedia. Memang Surina lebih suka menyediakan sendiri sarapan pagi untuk keluarganya sejak dari dulu lagi. Dia sanggup bangun awal pagi semata-mata hendak menggoreng nasi atau mihun atau pun menyediakan nasi lemak hatta hanya menggoreng jemput-jemput sekali pun.
Hatinya lebih puas menjamah hidangan sarapan buatannya sendiri daripada membelinya di kedai. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 6.40 pagi. Khairul masih tidak bangun menunaikan solat subuh. Terkial-kial Surina meniti anak tangga mahu mengejutkan Khairul.
Sampai di bilik
“Abang” Surina menggoyang perlahan tubuh Khairul seraya mengejutkan untuk menunaikan solat subuh dan bersiap ke pejabat.
“erkhhhh” Khairul mengeliat seperti anak kecil hendak bangun pagi.
“Dah pukul berapa ni?”, tanya Khairul.
“Pukul 6 lebih, bang. 6.45 dah¦”
“Hahhh? Alaaa awak ni selalu macam ni lah. Kenapa tak kejut saya tadi. Ni dah lewat ni”, komplen Khairul .Dia memang hanya suka membengkeng saja. Itulah Khairul .Kesabaran yang ada pada Surina sahaja yang mempertahankan keharmonian rumahtangga mereka. Bingkas Khairul bangun terus mencapai tuala lantas menuju ke bilik mandi. Surina pula mengemas katilnya.
Setelah Khairul bersiap, dia cepat-cepat menghidupkan enjin kereta.
“Abang. Abang tak jamah sarapan ni dulu ke?” pelawa Surina.
“Tak payah! Aku dah lewat ni! Cepat sikit kalau awak nak naik kereta ni”, laung Khairul .Kasar benar kata-katanya. Tanpa berlengah, Surina melangkah pantas mengunci pintu lalu menaiki kereta suaminya yang sudah tidak sabar-sabar hendak ke pejabat.
Sepanjang perjalanan, Khairul dan Surina diam menyepi. Begitu kut keadaan pasangan yang sudah melebihi 10 tahun usia perkahwinannya. Kalau dulu, sebelum berkahwin macam-macam hal hendak diperkatakan. Perjalanan jauh pun rasa macam dekat jer.
Khairul memberhentikan keretanya. Surina turun di hadapan bangunan pejabatnya.
“Abang, hari ini temankan saya jumpa doktor. Temujanji pukul 2 petang nanti. Boleh yer, bang?”
“Eh, awak ni kenapa hah?? Dah tak reti nak pergi sendiri ke? Selalunya kan awak pinjam kereta si Julia tu?” tinggi sahaja nada suara Khairul bila berbicara dengan isterinya. Tak pernah sepicing pun dia mahu bercakap lembut. Surina hanya diam. Dia faham Khairul tidak mahu menemaninya ke hospital petang ini. Kereta Khairul meluncur laju selepas tangannya dikucup Surina.
Share this novel