Tanpa menunggu lama, Puan Mastura sudah bergerak ke belakang. Tidak sampai seminit kemudian dia sudah muncul dengan sebekas air. Ditambah dengan ketulan ais. Tubuh Ruhaini yang begitu sedap mengerekot atas katil dipandang dengan perasaan yang sangat panas. Ringan saja tangannya mencurah air tadi ke atas muka Ruhaini.
“Argh!!!” terus saja jeritan Ruhaini pecah. Tiba-tiba saja macam termimpi hujan ais batu mengenai kepalanya. Buka saja mata, wajah Puan Mastura yang bengang bercekak pinggang berdiri di depannya. Dan, dia pun tahulah dari mana punca hujan ais batu itu.
KELUHAN meniti bibirnya. Nampak gayanya ini pun tidak akan berjaya juga. Masuk kali ini, sudah 20 temuduga dia hadiri tanpa putus. Namun satu pun tak nampak tanda-tanda hendak berjaya. Bosannya!!! Jerit hatinya.
Dengan fail di tangan, dia terus saja berjalan melalui bangunan tinggi yang berdekatan situ. Mana tahu, untung boleh jumpa iklan, walk-in-interview. Boleh juga dia hendak mencuba nasib.
“Kenapalah hidup Intan Ruhaini Samad kena macam ni…” rungutnya perlahan. Itulah kerjanya. Pagi, petang, siang dan malam, tahu merungut saja. Bukannya nak bersyukur. Kalau dengar dek emak, mahu dibebelnya sampai lunyai gegendang telinga.
“Kamu tu Ruhaini, tak ada usaha langsung nak ubah perangai buruk kamu. Macam mana nak cari rezeki, kalau 24 jam asyik fikir nak tidur saja.” Bebelan emak kembali menjengah di ruang telinga.
“Lepas makan, tidur. Lepas mandi, tidur. Lepas tengok TV, tidur. Bila masanya yang kamu takkan tidur. Kita ni bukan orang kaya Ruhaini oi… kalau kita tak usaha cari rezeki, tak adanya rezeki nak jatuh gedebuk dari langit.”
Ruhaini mengeluh lagi.
“Kan senang kalau ada rezeki yang jatuh gedebuk dari langit.” Gumamnya sendiri. Dan pada ketika itu…
GEDEBUK!!!
Bukan rezeki yang jatuh. Ruhaini yang jatuh bagaikan nangka busuk saja. Punggungnya yang pedih ditepuk beberapa kali. Dijeling sekilas ke arah sekeliling. Nasib baik, tak ada orang. Kalau tak, jatuh saham aku! Itulah, kalau berjalan jangan berkhayal… kan dah jatuh.
Share this novel