Bab 29

Short Story Series 55082

Setahun kemudian…

Qalifh berlari dengan gembira apabila tangannya dilepaskan oleh Aqil ketika itu. Inilah peluangnya untuk berlari apabila dapat keluar daripada rumah agam Tan Sri Mansur. Jarang dirinya dapat keluar dan melihat orang ramai. Qalifh begitu teruja melihat orang disekelilingnya yang sibuk membeli belah dan tidak memperdulikan orang lain. Dia mendekati ruang tengah pusat beli belah yang telah dipagari untuk melihat tingkat aras bawah dan tingkat aras atas.

“Qalifh be careful. Jangan lari laju sangat nanti jatuh.” Terdengar suara Aqil memanggil Qalifh apabila melihat kanak-kanak berusia dua tahun itu mula berlari semula apabila melihat sesuatu yang menarik perhatian anak kecil itu.

“Abi…sini…” Qalifh melambai-lambaikan tangannya ke arah Aqil dan menunjuk ke arah sebuah kedai permainan yang sedang mempamerkan mainan yang paling digemari oleh dirinya iaitu robot karakter Robocar Poli.

“Qalifh nak robot itu ke?” Aqil duduk dengan satu lutut kirinya ke lantai agar sama ketinggiannya dengan Qalifh ketika itu.

Qalifh menganguk dengan teruja kerana dia bakal dibelikan permainan robot yang menarik perhatiannya ketika itu. Matanya seperti digam pada robot yang dipamerkan di dalam kaca kedai permainan itu.

“Tak boleh. Semalamkan atuk sudah belikan Qalifh mainan baru.” Tiba-tiba kedengaran suara wanita melarang Aqil daripada membeli permainan robot itu untuk Qalifh. Mereka serentak memandang ke arah wanita berpurdah hitam dan berjubah coklat pekat itu.

“Alah…tapi Qalifh nak yang ini.” Qalifh petah berkata-kata walaupun masih pelat tetapi masih boleh difahami oleh mereka yang mendengarnya.

“Qalifh, jangan membazir. Membazir itu amalan syaitan. Qalifh tidak mahukan jadi kawan syaitan?” Rina melutut dengan kedua lututnya ke lantai disebelah Aqil memandang ke arah Qalifh. Dipegang kedua tangan anaknya itu dengan kedua tangannya.

“Tak mengapa, semalam itu hadiah daripada papa, ini hadiah daripada saya untuk dia.” Aqil bermurah hati mahu membelikan mainan itu untuk Qalifh sehingga bibir Qalifh menguntumkan senyuman semula.

“Jangan manjakan dia, Aqil. Memberikan dia segalanya apa yang diminta bukan satu ajaran yang baik. Dia harus belajar hidup bersederhana. Dia harus belajar bersyukur dengan apa yang dia ada walaupun dia masih kecil. Anak yang masih kecil seperti Qalifhlah sudah harus diajar untuk berdisiplin.” Rina memandang Aqil agar lelaki itu mengerti bahawa dia sedang mendidik Qalifh agar menjadi seorang anak yang soleh pada masa hadapan.

“Qalifh lupa ayat yang ummi ajarkan? ‘Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”. Surah Luqman ayat 12.” Rina memandang Qalifh yang sudah menunduk melihat lantai.

“Maafkan Qalifh, ummi.” Perlahan-lahan Qalifh mendekati Rina dan dipeluk erat tubuh ibunya itu dan dia mula menangis.

Rina tersenyum disebalik purdahnya. Qalifh seorang anak yang lembut hatinya. Rina bersyukur kepada Allah kerana memakbulkan doanya iaitu menjadikan hati anaknya itu selembut hati Nabi Yahya yang sering tersentuh apabila mendengar kebesaran Allah swt. Sejak dirinya yang menjaga Qalifh selepas tersedar daripada koma, Qalifh sudah diperdengarkan alunan surah al-Quran di dalam kamar mereka dan apabila Qalifh mula pandai berbicara Rina langsung mengajarkan ayat al-Quran kepada Qalifh walaupun anak itu masih tidak tahu membaca al-Quran dengan lancar. Qalifh hanya diajar menggunakan lisan dan mendengar sehingga kanak-kanak itu mula pandai menghafal al-Quran sedikit demi sedikit.

“MasyaAllah, tabarakallah. Anak ummi yang soleh. Kamu menangis kerana kamu rasa bersalah?” Rina mendukung Qalifh dan dicari wajah anak kecil itu yang disembamkan ke dadanya. Perlahan-lahan Qalifh mengangguk masih menyembunyikan wajahnya.

“Mahu ummi belikan aiskrim kerana Qalifh menjadi anak yang baik?” Rina memujuk Qalifh yang masih tidak mahu memperlihatkan wajahnya kerana malu.

“Aiskrim coklat?” Akhirnya Qalifh mengangkat wajahnya yang basah kerana air mata yang mengalir. Wajah itu kembali ceria apabila Rina mahu membelikan dirinya aiskrim.
Rina mengangguk dan Qalifh tersenyum. Perlahan-lahan badannya digelongsorkan ke bawah daripada dukungan Rina. Qalifh memimpin tangan Aqil yang berada di depannya dan ditarik Aqil mengikuti langkahnya mahu mencari kedai aiskrim. Rina tersenyum daripada belakang melihat gelagat Qalifh yang mencuit hati.

Ketika Rina mahu mengikuti langkah mereka, Rina terpandangankan satu pasangan yang tidak jauh daripada mereka. Rina mengerutkan keningnya dan mengikuti langkah pasangan itu agar dia dapat melihat lebih jelas tetapi pasangan itu terus menghilang selepas pusing ke bahagian kiri. Rina cuba mencari lagi pasangan yang dilihatnya tadi tetapi mereka sudah tiada.

“Kenapa Rina?” Tiba-tiba terdengar suara Aqil menegurnya daripada belakang. Qalifh disisinya juga memandang Rina.

“Saya seperti melihat…” Rina menghentikan ayatnya.

“Melihat siapa?” Aqil mengerutkan keningnya. Aqil melihat sekeliling untuk melihat jika ada orang yang dikenali oleh mereka tetapi tiada satupun pengunjung di pusat beli belah itu yang dikenalinya.

“Tiada apa-apalah. Mungkin saya yang tersalah melihat.” Rina menjawab perlahan seperti masih tidak dapat melupakan pasangan yang dilihatnya tadi.

“Ummi marilah…” Qalifh menarik tangan Rina dengan tangan kanannya dan tangan kirinya menarik Aqil juga agar mereka berlalu daripada situ. Rina menggelengkan kepalanya sebelum kembali fokus kepada Qalifh yang berceloteh itu dan ini sehingga membuatkan mereka ketawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience