BAB 2

Romance Completed 4031

“It’s ok. Cuma jangan balik lewat. Jangan sampai menyusahkan Shafie untuk hantar kapu pulang.” Pesan Dato’ Rashid dengan suara yang cuba dikawal supaya anaknya tidak dapat mengesan kerisauan yang telah bersarang dihatinya. Pesanan tersebut diterima dengan baik oleh Rania. Dia berasa lega mendengarnya. Sangkaannya, ayahnya tidak dapat menghidu perkara yang cuba disembunyikannya. Sebab itu ayahnya menamatkan perbualan dengan cepat. Tetapi hakikat sebenarnya Dato’ Rashid telah merancang sesuatu. Dia perlu mencari sendiri jawapan mengapa Rania sanggup menipunya. Dia segera mengarahkan Kasim untuk beredar dari situ sebelum disedari oleh Shafie. Arah tujunya sekarang ini adalah pejabat dan bukannya rumah. Dia mahu mencari sesuatu di bilik pejabat anak gadisnya. Gerak hatinya kuat mengatakan rahsia anaknya ada di dalam bilik tersebut.

Sampai sahaja di hadapan bangunan wisma miliknya, Dato’ Rashid terus membuka pintu kereta dan keluar tanpa mempedulikan keadaan kereta yang masih belum dimatikan enjinnya. Dari jauh, Dato’ Rashid memberi isyarat menyuruh Kasim menunggu di dalam kereta sahaja sementara dia ke bilik Rania. Sebaik sahaja sampai di aras sepuluh, Dato’ Rashid segera mengarahkan kerani Rania, Maria yang masih belum pulang untuk membuka pintu bilik Rania yang berkunci. Dato’ Rashid terus menuju ke arah almari pakaian Rania sebaik sahaja pintu bilik tersebut dibuka.

“Dato’ nak saya bantu ke?” tanya Maria apabila dia melihat Dato’ Rashid seolah mencari sesuatu di dalam bilik tersebut.

“Tak perlu. Awak keluar dan tutup pintu tu.” Maria hanya mengangguk dan segera beredar. Dato’ Rashid beralih ke ruang meja kerja Rania. Dia membuka laci-laci di bawah meja tersebut. Juga tiada apa yang pelik dijumpainya. Walau pun dia sendiri tidak pasti dengan apa yang dicarinya, tapi dia masih tetap meneruskan tindakannya. Setelah hampir satu jam mencari, Dato’ Rashid mula berputus asa dan berhasrat untuk pulang sahaja ke rumah. Tetapi hasratnya terhenti apabila dia terpandangkan sebuah foto album yang terletak di atas kabinet rendah berhadapan dengan meja kerja Rania. Foto album tersebut berbentuk hati dan nampak istimewa. Dia segera membelek foto album tersebut.

Dia benar-benar terkejut apabila melihat koleksi gambar-gambar Amirul di dalam foto album tersebut. Kenapa Rania menyimpan gambar-gambar Amirul? Pelbagai persoalan bermain dalam fikirannya. Dia terus menyelak helaian foto album tersebut. Dan buat sesaat dia dapat rasakan jantungnya seakan terhenti apabila melihat foto yang terakhir iaitu gambar Rania sedang memaut erat lengan Amirul. Anaknya kelihatan sangat mesra dengan Amirul. Tahulah dia kini bahawa Rania sedang bercinta dengan Amirul. Pesanan awalnya kepada Rania supaya jangan menjalinkan sebarang hubungan dengan penyanyi tersebut tidak diendahkannya. Dia sangat tidak bersetuju dengan pilihan anaknya. Amirul bukan pilihan yang tepat untuk dijadikan pasangan hidupnya. Hubungan ini perlu ditamatkan sebelum ia menjadi lebih serius. Itulah keputusannya.

“Kenapa ni papa. Rania dah besar. Rania berhak untuk tentukan siapa pasangan Rania.” Tegas suara Rania saat meluahkan ketidakpuasan hatinya. Dia dipanggil secara tergesa-gesa pada waktu pagi itu oleh PA ayahnya hanya semata-mata untuk meminta dia memutuskan hubungannya dengan Amirul. Rania benar-benar kecewa dengan sikap ayahnya yang dianggap sudah ketinggalan zaman.

“Kerjaya kamu berdua sangat berbeza. Timbul tidak sefahaman di kemudian hari nanti.” Keras nada suara Dato’ Rashid.

“Tak papa. Amirul bukan macam tu. Rania boleh faham kerjaya dia. Takkan ada masalah. Kami sefahaman papa.” Rania masih cuba mempertahankan cintanya.

“Papa jumpalah Amirul dulu. Kenal dulu dia macam mana orangnya.” Rania masih mengharapkan agar ayahnya berubah fikiran.

“Papa dah jumpa. Dan papa tahu Amirul seorang lelaki yang baik. Tapi itu bukan jaminan kamu berdua akan bahagia. Sudahlah kamu berdua berlainan latar belakang, kerjaya juga berbeza.” Larang Dato’ Rashid. Rania hampa. Dia berusaha untuk mempertahankan hubungannya dengan Amirul. Pelbagai alasan diberikannya tetapi ayahnya tetap dengan pendiriannya supaya mereka berdua berpisah.

“Rania, keputusan papa muktamad. Sekarang ni kamu pilih. Kamu nak putuskan hubungan kamu berdua atau kerjaya Amirul musnah. Pilihan di tangan kamu.”

“Papa!” Rania sangat terkejut dengan keputusan terakhir ayahnya. Kenapa ayahnya boleh berubah laku begini? Ayahnya bukan seorang yang pentingkan diri. Rania benar-benar buntu. Tanpa memberikan apa-apa jawapan Rania terus keluar meninggalkan ayahnya dengan perasaan yang sangat tidak puas hati. Dato’ Rashid hanya mampu mengeluh melihat sikap Rania. Dia benar-benar perlu buat sesuatu untuk memisahkan mereka berdua sebelum hubungan mereka bertambah serius.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience