Bab 25: Musnah

Romance Series 20066

"WAALAIKUMUSSALAM. Ha, Najihah. Ada apa call mak cik ni?"

Najihah masih terdiam biarpun suara Mak Siti jelas kedengaran di hujung talian. Tatkala itu, fikirannya menerawang entah ke mana hala.

Kepalanya ditundukkan. Dia memang sedang sakit hati tetapi kenapa terasa berat melaporkan kepada Mak Siti? Rasa macam ... perbuatannya ni salah?

Astaghfirullah ... apa yang aku buat ni? Hati Najihah mulai tersedar.

Bila difikirkan semula, tak tergamak dia lakukan semua itu. Entah syaitan apalah yang merasukinya tadi. Sanggup tu nak rosakkan kebahagiaan orang lain.

"Najihah? Mak cik tanya ni, kenapa kamu call? Kamu nak cakap pasal Damia ke?" sangka Mak Siti.

Najihah hela nafasnya. Matanya dipejam seketika sebelum dia bertutur, "Mintak maaf, mak cik. Saya tertekan call pulak." Dia masih lagi berdalih menyembunyikan perkara sebenar.

Najihah akur. Entah ke berapa kalinya dia terpaksa beralah demi kebahagiaan Damia dan Syafiq. Biarpun hati dililit dengan tali cemburu, tetapi dirinya tak sanggup berbuat demikian.

"Lah, ye ke. Ingat sebab apalah tadi ..."

Najihah hanya tersenyum. Senyum yang kelat. Dia bukan saja sudah menipu Mak Siti, tapi dia juga dah menipu dirinya sendiri.

"Ha, Najihah. Alang-alang kamu dah call mak cik ni, mak cik nak tanyalah sikit. Macam mana dengan perkembangan Damia tu? Dia rajin tak mengaji? Dia lancar dah ke?" Bertubi-tubi soalan yang dituju kepada Najihah.

Najihah diam semula. Pantas pandangannya dipindah ke arah pintu bilik yang sedikit terbuka. Kelibat Damia yang sedikit terhad di luar dilihatnya sekilas.

Damia masih tak berhenti berbual dengan 'kekasih hati' di talian. Yang gerangan di hujung talian itu pun, tadi kata sibuk bukan main. Tetapi bila Damia telefon aje, ada masa pulak mahu berbual.

"Alham ... dulillah, mak cik. Damia rajin je mengaji. Saya nampaklah perkembangan dia tu." Dengan suara yang tertahan-tahan, Najihah terpaksa jua berbohong.

Damia memang rajin datang mengaji tetapi dia rasakan yang Damia itu suka mengelat. Mana taknya, sepanjang dua minggu dia mengajar, Damia hanya menghabiskan 10 minit saja menghadap al-Quran. Masa yang selebihnya pulak, sudah tentu dihabiskan bersama Syafiq.

"Baguslah macam tu. Mak cik tahu Damia tu budak baik." Mak Siti terus hamburkan tawa.

Najihah hanya tersenyum hambar. Sampai sekarang, dirinya tak mampu berterus-terang.

Air matanya yang berlinang turun membasahi pipi. Sudahlah, dirinya memang lemah. Dirinya memang seorang pekalah.

*****

Berkobar-kobar dia hari ini mahu keluar rumah. Perasaan teruja dan gembira sudah menyelubungi hati. Bila dia tengok aje tudung bawal berwarna biru yang sudah berbalut elok di kepala, hatinya makin teruja. Tak sabar pulak nak bertemu dengan si pemberi hadiah itu. Ye la, nak jugak ucapkan rasa terima kasih yang tersimpan secara berdepan.

"Amboi! Awal betul kamu bersiap nak pergi ngaji tu. Ada apa?" tegur Mak Siti tatkala anaknya sedang berjalan melintasinya.

"Mana ada apa-apa pun, mak. Angah bersiap awal pergi mengaji pun, salah ke?" dalih Damia lagi.

Mak Siti gelengkan kepalanya. "Kerja nak menjawab je kamu ni." Lalu matanya segera tertumpu kepada skrin telefonnya.

Damia julingkan mata ke atas, Dah ditanya soalan, mestilah kena jawab. Ini tidak, menjawab pun salah.

"Mak."

"Hmm ... apa?" Mata Mak Siti masih tak lari dari tertuju menghadap telefon.

"Mak tak jaga kedai ke hari ni?"

"Kamu ni, memang nyanyuk ke apa? Mesti-mestilah budak Dayah tu yang jaga. Takkanlah mak nak biar je kedai tutup tiap hari," bidas Mak Siti dengan mulut lancangnya.

Damia angguk. Aduh! Boleh pulak dia terlupa tentang Hidayah, pekerja sambilan baru di kedai runcit ibunya itu.

Sebelum ni pun ibunya sudah maklumkan hal itu kepadanya tetapi itulah, Damia buat tak endah. Malas nak fikirkan pasal kedai runcit itu setelah diberhentikan oleh ibu sendiri. Sakit hati betul.

Mak Siti pandang Damia dan matanya dituju semula ke telefon. Kerana berasa semacam, dia alihkan semula pandangan kepada Damia semula. Seluruh tubuh anaknya itu dia amati dengan mata yang sedia membulat.

"Tu tudung baru ke, angah? Mak tak pernah nampak pun sebelum ni."

Gugup. Damia segera sentuh tudung yang membaluti kepalanya itu.

Sudah kerja-kerja melipat juga membasuh kain dan pakaian ibunya lakukan semua, memang ibunya tu syak sangatlah kalau ada pakaian baru yang tampak asing baginya itu.

"Erm ... haah," jawab Damia.

"Siapa bagi? Nak kata kamu beli, macamlah kamu ada duit. Kamu kan penganggur sepenuh masa. Lagipun macamlah kamu ada masa nak pergi kedai beli tudung tu," tanya Mak Siti lagi dengan bergunung-gunung dugaan dalam fikiran.

Damia terdiam lagi. Cuba berfikir jawapan yang mampu membuatkan ibunya percaya. Takkanlah mahu beritahu perkara sebenar. Matilah dia nanti.

"Lokman yang bagi," balas Damia tanpa berfikir panjang. Hanya nama itu sahaja yang mampu disebutnya.

"Lokman bagi?" Mak Siti bertanya kembali. Bukan kerana tak percaya, tetapi lebih kepada mahu kepastian. Bakal menantu pilihan yang bagi kat anak sendiri, siapa tak suka.

Damia angguk. Kalau mak aku ni tanya terus kat Lokman tu, macam mana? Kalau Lokman tu masih berdendam, mesti dengan selamba badak dia jawab tudung itu bukan dari dia. Memang matilah aku masa itu. Gerutu hati Damia.

Tetapi Damia positifkan fikirannya. Ibunya itu pasti tak akan bertanya banyak jikalau kebaikan itu dilakukan sendiri oleh Lokman. Maklumlah, bakal menantu kesayangan.

Mak Siti terus memasang riak teruja. "Lokman tu memang bagus betul. Dia pilih tudung tu, kena dengan muka kamu. Cantik je."

Damia senyum kelat. Mendengar Lokman dipuji, berdesing jugak telinganya ni. Padahal orang lain yang belikan. Lembu punya susu, sapi dapat nama.

"Ha, lepas balik mengaji karang kamu jangan lupa pulak janji dengan Lokman tu."

Damia telan liur. Cuba untuk berpura-pura tak tahu tentang janji itu. Masakan dia mahu lupa, disebabkan janji itulah dia tak boleh tidur dengan lena semalam kerana penat memikirkan cara untuk meloloskan diri dari tunaikan janji tersebut. Tetapi itulah, buat penat je berfikir, solusinya tak jumpa-jumpa pun.

'Okey. Esok kau boleh bawak aku keluar makan, tapi kau tak payah hantar atau ambik aku pergi mengaji. Semak tau tak!'

Pesanan teks yang dihantar kepada Lokman semalam diimbas semula. Alahai ... terpaksalah dia berdiplomasi dengan Lokman tu sebab tak nak Lokman terserempak lagi dengan Syafiq.

Takut jugak kalau Lokman itu buat onar lagi. Sudahlah Lokman itu memegang rahsia terbesarnya biarpun dirinya berpura-pura tak gentar dengan ugutan.

"Ja ... janji?"

"Ye la. Hari ni kan Lokman tu nak bawak kamu pergi makan kat luar sempena hari jadi kamu. Semalam mak dah bagitau kat kamu, kan."

Ibunya ini, kalau berkaitan Lokman, laju je bertindak, mengalahkan anak sendiri. Damia bukannya makin suka malah makin menyampah dengan Si Lokman itu. Dia bukan suka pun hari lahirnya diraikan oleh seseorang yang dibenci. Padahal janji semalam yang dibuat pun, bukan atas dasar kerelaan hati.

"Hmm ..." Ringkas sahaja Damia menjawab.

Malas bercakap lebih tentang hal itu, Damia lalu meminta diri untuk menunggu Najihah di luar saja. Mujurlah ibunya sudah sedia maklum tentang hal itu kerana Lokman. Jadi tak adalah soalan-soalan yang keluar dari mulut bising Mak Siti itu.

Kenapa Najihah yang ambik?

Kenapa tak suruh Lokman je yang jemput kamu?

Itu sahajalah soalan yang bakal keluar dari mulut Mak Siti jikalau bukan gerangan Lokman yang lakukan semua itu.

*****

Lokman kerling seutas jam yang sudah terlilit di tangan. Pukul 5:40 petang. Padahal Damia dah memberitahu yang dia tu akan berada di rumah sebelum 5:30 petang.

Tak guna! Percaya sangat dengan Damia itu sehinggakan dirinya ditipu hidup-hidup.

Buat penat je aku tunggu 10 minit kat sini. Kutuk Lokman dalam hati.

Ah! Memang jelas sangat yang Damia itu mahu mengelak darinya sampaikan dia sanggup pulang lewat dari rumah ustazahnya itu.

"Damia sekejap lagi dia baliklah tu," ujar Mak Siti untuk menyedapkan hati. Geram jugak rasanya dengan tingkah anaknya itu.

Naluri seorang ibu, takkan tak tahu yang anaknya itu sengaja pulang lewat. Semestinya Damia itu mahu mengelat! Mentang-mentanglah sekejap lagi mahu 'berdating' dengan Lokman. Ada je perangainya.

"Hmm ... takpe, mak cik." Lokman juga berlakon tenang padahal dalam hatinya sudah berasap panas. Tak apa, demi Damia, dia sanggup tahan.

Sengaja Mak Siti tak mempelawa untuk minum-minum. Maklumlah, sekejap lagi dua pasangan itu mahu makan besar kat luar.

Tapi anaknya seorang itu belum nampak pun batang hidungnya. Sudah ditelefon berkali-kali pun tak berjawab. Memang cari pasal betul!

"Lokman, kalau kamu tak nak tunggu sini, kamu ambik je Damia tu kat rumah ustazah dia. Entah dia buat apalah kat sana tu. Mengaji sampai khatam agaknya," seloroh Mak Siti yang cuba membuang kejanggalan.

Dia terperasan Lokman itu dari tadi tak senang duduk. Selagi Damia belum ada di depan mata, selagi itulah dia gelisah.

"Tak apalah, mak cik. Saya boleh je tunggu."

Kalau diikutkan, mahu je Lokman menerobos pergi ke rumah Najihah itu seperti tempoh hari tetapi dia masih berpegang kepada peringatan dari Damia. Jangan pergi ke rumah Najihah tanpa arahan.

Lokman ikutkan ajelah kehendak gadis itu. Entah mengapa, dirinya seakan-akan kerdil jika berdepan dengan gadis bernama Damia itu. Dia kini sedang memegang rahsia terbesar Damia itu tetapi rasa macam tak berguna pulak.

Damia pergi mengaji sebab nak jumpa lelaki bernama Syafiq.

Damia pergi mengaji sebab ada agendanya yang tersendiri.

Ayat-ayat itu sentiasa berlegar-legar di fikiran Lokman tetapi dia tidak mampu utarakan kepada Mak Siti. Mungkin kerana sayangnya kepada Damia tidak berubah. Dia tak mahu Damia semakin membencinya. Mungkin dengan cara menyimpan rahsia ini sahaja, kemaafan dapat diperoleh.

Mak Siti angguk. Akur. Dalam hatinya dah dibebel anak daranya itu. Asyik-asyik anak yang sama saja buat hal. Anak yang seorang lagi tu, sibuk sangat dengan kerja kilangnya. Haih! Penat sudah diri mengeluh.

"Lokman nanti pergi keluar dengan Damia, bawaklah dia pergi jalan-jalan sama. Nak bawak pergi shopping pun boleh sangat. Mak cik izinkan." Tawa Mak Siti terhambur keluar. Masih lagi mahu menggunakan nama anaknya demi mengikis sedikit simpanan Lokman itu.

"Boleh je, mak cik."

Lokman pun tersenyum. Dirinya bukan tak kenal dengan Mak Siti ini. Tetapi kerana kenallah dia bersetuju untuk menjadi menantu wanita itu. Dan kerana kenal jugalah dia mahu menjadi suami kepada Damia.

"Ha, lagi satu mak cik nak ucap terima kasih jugak," ucap Mak Siti tiba-tiba.

Lokman segera mengerutkan dahinya. Tiba-tiba sahaja diucap terima kasih padahal dirinya belum lagi pun membawa keluar Damia itu. Bertentang mata pun tak.

Seakan-akan faham dengan persoalan yang bermain di fikiran Lokman, Mak Siti menyambung, "Sebab kamu bagi tudung kat Damia la. Kelmarin bagi tudung, hari ni belanja makan kat luar pulak. Memang baik sungguh kamu ni."

Makin bertambah kerutan pada dahi Lokman. Dia tak salah dengar, kan? Tudung apa pulak ni?

"Tudung?"

"Ye la. Tudung warna biru yang kamu bagi kelmarin. Nampak Damia suka betul dengan tudung tu. Kejap lagi kamu tengoklah muka cantik Damia pakai tudung yang kamu bagi tu."

Dengar aje jawapan Mak Siti, Lokman kepal tangannya. Tiba-tiba, nama seseorang muncul di layar fikiran. Dia seakan-akan faham dan tahu gerangan si pemberi tudung itu.

Tak guna! Patutlah Damia tu tak balik-balik. Rupanya sebab lelaki miskin tu la!

"Kenapa, Lokman? Kamu nampak terkejut je?"

Lokman redakan amarahnya dengan helaan nafas. Walaupun dia belum tahu hubungan sebenar antara Syafiq dan Damia itu, tetapi dia pasti mereka berdua itu lebih dari kawan. Tengok cara mereka berbual hari Sabtu tu pun dia dapat tahu.

"Tak ada apa, mak cik. Cuma ..."

"Cuma apa?" Mak Siti mulai kelihatan panik. Seolah-oleh dapat membaca riak wajah Lokman itu.

Lokman terkaku semula. Dipandang wajah Mak Siti yang sudah menyinga. Nampak gayanya, Mak Siti dah dapat menilik nasibnya.

Mak Siti bingkas bangun dari duduknya. Hatinya mulai goyah. Dia tahu, Lokman menyembunyikan sesuatu.

"Lokman, bawak mak cik kat rumah Ustazah Najihah sekarang," arahnya.

Lokman turut berdiri. Masih terpinga-pinga. "Tapi mak cik ..."

"Bawak mak cik sekarang," pangkas Mak Siti lalu dia terus melangkah keluar dari rumah.

Perasaannya dari tadi umpama cuba mengadukan sesuatu. Patutlah sudah hampir setengah jam Damia tak pulang lagi, rupa-rupanya pasti anaknya itu buat masalah.

Kalau masalah lain, tak apalah jugak tetapi ini masalah yang sudah berkali-kali dia larang dan paling dia benci. Apabila difikirkan sahaja 'onar' yang dilakukan anaknya itu, hatinya dah tak keruan. Jangan biarkan fikiran aku jadi kenyataan! Mak Siti menghambur anaknya.

Lokman telan liur. Memang sudah dapat diagak tadi apabila dia lihat sekilas muka Mak Siti yang mendadak berubah. Maafkan aku, Damia. Maafkan aku ...

*****

"Angah! Angah! Keluar cepat! Mak tahu kamu dah habis mengaji, kan? Jangan ingat mak tak tahu yang kamu menggatal kat sini!" tempik Mak Siti usai menapak keluar dari perut kereta.

Amarahnya membuak-buak. Lengan baju disingsing sehingga atas. Memang dia dah bersedia mahu ganyang anak daranya tu.

Bila dia tengom saja motosikal buruk itu di luar rumah, tekaannya tadi bukan sebarang tekaan. Naluri seorang ibu mana pernah salah. Patutlah dia berasa semacam apabila Lokman bungkamkan diri tadi. Rupa-rupanya ada rahsia di sebalik semua itu.

Dengar sahaja suara memekik dari luar rumah itu, keriuhan di dalam rumah segera lesap. Air muka masing-masing memasang reaksi terkejut.

Damia yang sudah tak asing dengan suara itu bingkas bangun.

"Hoi Angah! Keluar cepat! Mak tau kamu kat dalam tengah menggatal dengan Syafiq tu, kan?"

Dengan mata mencerlung dan mulut yang tak henti-henti mengomel, langkah Mak Siti semakin maju. Lokman pula dari tadi membisu dan turuti sahaja ke mana Mak Siti itu pergi. Bila saksikan Mak Siti mengamuk macam tu, siapa je yang tak seram?

"Damia?" tanya Syafiq yang masih terkejut. Apabila didengar sahaja suara di luar itu, jantungnya turut berdegup kencang seperti tak henti-henti dipam.

"Syafiq, awak tunggu kat dalam," pesan Damia dalam rasa gentar yang sudah menakluki diri. Macam tak percaya pulak ibunya boleh berada di sini. Siap tahu dia bersama Syafiq lagi.

Najihah, Syafiqah dan Pak Ya juga saling berpandangan. Masing-masing mahukan penjelasan. Kenapa pulak ibu Damia datang ke sini marah-marah begitu? Takkanlah disebabkan Damia pulang lewat setengah jam je dia nak marah-marah?

Damia terus membuka langkahnya menuju ke luar. Dia tengok, ada Lokman di belakang ibunya. Dalam hatinya memang sudah disumpah seranah Si Lokman itu. Ini mesti kerja jantan tak guna tu! Riak wajah ibunya yang sudah menyinga itu tidak dihiraukannya.

"Mak kenapa datang sini?" tanya Damia yang masih lagi mahu menutupi rahsianya. Nak berlakon.

Sengaja bertanya sebegitu biarpun dia tahu, rahsianya sudah terbongkar. Ditambah motosikal Syafiq yang terpamer jelas di kawasan pekarangan rumah lagi, memang tak ada harapanlah mahu menipu.

Mak Siti terus maju mendekati anaknya. "Kamu jangan buat-buat tanyalah, angah."

"Kau keluar sekarang, Syafiq! Kau tak payah nak menyorok dari aku. Aku tau kau ada kat dalam." Terteleng-teleng kepala Mak Siti cuba melihat masuk ke dalam rumah. Biarpun kelibat Syafiq tidak mampu dilihatnya, tetapi dia yakin firasatnya 100 peratus benar.

Syafiq telan liurnya apabila namanya disebut. Sebab apa wanita tu datang sini? Dia sudah cukup menderita tatkala pertemuan kali pertama dengan wanita itu. Dia dihina, dicaci dan dicerca. Mana mungkin dia dapat lupakan susuk dan suara wanita bengis itu.

Nafas dihela. Sekarang ini bukan masa yang tepat untuk menghayati perasaan yang gundah. Damia sudah berada di luar menghadap ibunya. Takkan dia masih lagi mahu berselindung di balik Damia.

Dia perlu bertindak sekarang. Ya, dengan menghadap Mak Siti itu.

"Syafiq ..." Pak Ya cuba menghentikan Syafiq tetapi itu hanyalah sia-sia sahaja. Syafiq sudah pun melepasi pintu rumah.

Najihah pun apa lagi, makin menggelabahlah dia. Syafiqah pula dari tadi memeluknya. Takut.

Tiba-tiba ada perasaan yang tak enak menusuk hati. Entahlah, terasa seperti suatu peperangan bakal berlaku sebentar nanti.

"Ya, mak cik. Saya kat sini."

Muncul sahaja Syafiq, keributan di luar senyap seketika. Amarah yang membara dalam hati Mak Siti semakin menyambar-nyambar maraknya.

Tak guna! Memang jantan tak guna!

Bukan Syafiq yang digunakan untuk melampiaskan berangnya, tetapi susuk anaknya yang sudah sedia ada di depan mata. Tudung yang berlitup di kepala anaknya ditarik dan ditanggal kasar sehingga menampakkan keseluruhan rambut Damia. Tudung biru itu dilemparkan ke lantai dan dipijak-pijak Mak Siti dengan rakus.

Apabila diingat semula reaksi Damia sewaktu memakai tudung tadi, memang dia tahu sangat tudung itu pemberian daripada siapa. Kalau diikutkan, mahu aje dia ludah-ludahkan tudung itu tetapi dia pun tak mahulah membazirkan air liurnya demi meludah tudung pemberian orang miskin itu.

"Mak, sudahlah!" Damia cuba menghentikan tetapi ia malah memburukkan keadaan.

Mak Siti segera menunjal kepala Damia berkali-kali. Waktu amarahnya memuncak macam ni jugak anaknya tu mahu menyebelahi lelaki itu? Memang sial!

"Dah, mak cik. Sudah." Segera Syafiq tarik Damia ke belakangnya. Tak mahu Damia dibelasah lebih teruk. Kalau betul Mak Siti itu marah kerananya, biarlah dirinya yang menjadi korban, bukan Damia.

Biarlah dia berdiam diri ketika tudung pemberiannya dipijak-pijak oleh Mak Siti, tetapi dirinya takkan berdiam jika Damia yang menjadi mangsa untuk Mak Siti melepaskan perasaan.

Mak Siti belum habis dengan tingkahnya. Melihat sahaja Syafiq yang bertingkah seperti melindungi Damia, makin meradanglah dia. Tangannya lalu menampar-nampar dan menolak kuat bahu dan belakang Syafiq. Dah macam kena rasuk gamaknya.

Najihah dan Pak Ya segera menghampiri. Melihat kekacauan yang berlaku di luar, takkan mereka mahu berdiam. Sudahlah insiden itu berlaku di rumah mereka.

"Ya Allah! Sabar, puan." Pak Ya terus meleraikan adegan tampar-menampar itu dengan menempatkan dirinya di pertengahan pergaduhan seperti seorang pengadil.

Mujurlah ada Pak Ya. Kalau lelaki tua itu tiada, mungkin keadaan sekarang menjadi lebih rumit.

Najihah pula segera membawa Mak Siti pergi jauh dari susuk Syafiq dan Damia. Nanti makin rancak pulak Mak Siti tu naik tangan.

Lokman juga bertingkah seperti cuba meredakan keadaan tetapi ia hanyalah lakonan semata-mata. Rasanya puas pulak bila tengok Damia dan Syafiq diperlakukan macam tu. Tak menyesal rasanya apabila segala rahsia Damia terbongkar walaupun tak disengajakan.

"Mak cik, kenapa ni? Istighfar banyak-banyak. Benda boleh bawak bincang." Najihah mengurut-urut bahu Mak Siti agar kemarahannya mereda. Biarpun dia tidaklah serapat mana dengan Mak Siti, tetapi terpaksa jualah dia berbuat demikian.

"Ah! Kamu tahu apa, Najihah." Mak Siti terus menepis tangan Najihah itu. Matanya masih terhala ke arah Syafiq dan Damia. Damia membetulkan rambutnya yang kusut-masai dek perbalahan tadi. "Kamu tau tak, anak aku ni dah menipu aku. Nak pergi mengaji semata-mata nak jumpak jantan ni. Memang aku marahlah," sambungnya.

Najihah masih tak mengalah mendekati dan menenangkan Mak Siti. Matanya terlihat sayu. Kata-kata dari Mak Siti tadi umpama menampar dirinya. Jadi betullah apa yang ada di fikirannya selama ini? Damia itu tidak ikhlas mengaji pun!

"Puan, kalau puan marah sekalipun, janganlah macam ni. Betul apa yang anak saya cakap tadi. Benda boleh bawak bincang. Malu kalau jiran semua dengar," tegur Pak Ya pula.

Dada Mak Siti makin berombak. Kesabarannya tercabar. Waktu begini mahu nasihat itu dan ini, memang tak makan samanlah.

"Nak buat macam mana? Anak aku dah melampau. Aku dah banyak kali larang dia jumpak jantan tu, tapi tetap jugak dia nak menipu. Aku tak tahulah apa yang jantan tu buat kat Damia ni." Sempat Mak Siti memberi jelingan tajam kepada Syafiq. "Entah-entah kau guna sihir kat anak aku!" Jari telunjuk Mak Siti tepat mengarah tubuh Syafiq.

"Mak ..." rintih Damia. Tapi belum sempat dia berkata lebih, Syafiq terlebih dahulu mempertahankan dirinya sendiri.

"Mak cik!" tempik Syafiq pula. Kesabarannya yang ditahan-tahan dari tadi terpaksa dirobohkan. "Mak cik boleh hina saya, mak cik boleh kutuk saya. Tapi saya takkan sekali-kali terima kalau mak cik fitnah saya buat perkara terkutuk macam tu," bidas Syafiq dengan muka yang merah padam.

Najihah agak tersentak dengan kelakuan Syafiq itu. Pertama kali dia lihat Syafiq berang sedemikian. Tetapi memang patut pun Syafiq membalas sebegitu. Mulut Mak Siti ni memang dah melampau.

"Ha ... tahu pun panas. Tapi hati aku lagi panas bila tengok anak aku datang sini semata-mata nak dekat dengan kau. Kau tahu tak anak aku ni dah nak jadi bini orang?"

Syafiq ketap bibirnya. Dirinya yang agak pendiam mahu berlawan mulut dengan Mak Siti, memang dia akan kalah. Ada saja bahan bicara yang menjadi modal mencari fasal daripada Mak Siti itu.

"Saya tahu, mak cik. Damia dah nak kahwin dengan Lokman," jawab Syafiq dengan suara bergetar. Matanya terarah kepada Lokman yang masih berdiri di belakang Mak Siti. Lokman terus menjongketkan sebelah keningnya, tanda mengejek.

"Oh! Kamu tahu rupanya. Tapi kamu tetap nak melayan anak aku ni, kan? Dasar lelaki perampas. Mari sini, angah! Kita balik sekarang!"

Terus Mak Siti bergegas menarik tangan anaknya itu. Damia merengek meminta pertolongan tetapi Mak Siti tidak hiraukan rengekan murahan anaknya. Cukuplah dirinya ditipu dengan lakonan anaknya itu berkali-kali.

"Mak ... sakit, mak ..." rayu Damia lagi ketika pergelangan tangan dicengkam kuat.

Biarpun yang lain cuba menghalang Mak Siti, segera tindakan mereka kaku tatkala Mak Siti hambur amarahnya. Mereka faham, Mak Siti tu ibu Damia. Dia lebih berhak ke atas anaknya itu. Tetapi kelakuannya tu terlalu melampau.

Mak Siti terus mengheret anaknya itu masuk ke dalam kereta dengan bantuan Lokman. Sempat lagi ditolak keras kepala anaknya itu untuk melepaskan rasa geram yang tersisa.

"Hoi, Syafiq! Kau jangan ingat anak aku jumpak kau hari-hari, kau berpeluang untuk miliki dia. Aku akan pastikan Damia dan Lokman berkahwin secepat mungkin," sembur Mak Siti lagi. Tak habis-habis.

Selesai memberi amaran terakhir, Mak Siti pula masuk ke dalam kereta. Kereta yang dipandu Lokman meluncur pergi hilang dari pandangan.

Ya Allah ... hati Syafiq runtun setelah apa yang berlaku sebentar tadi. Semuanya bagaikan taufan yang datang tiba tiba memusnahkan segalanya, dan hilangnya juga tiba-tiba. Semua terjadi bagaikan sekelip mata.

"Along ..." Syafiqah dari dalam rumah segera berlari dan memeluk abangnya itu.

Syafiq hampir-hampir menitikkan air mata tetapi dia segera tahan. Sambil menatap tudung yang sudah kotor bergelimpangan di atas tanah itu, raungan hanya mampu dilepaskan dalam hati.

Bersambung...

Damia kena ganyang dengan maknye. Kesian betul. Tapi kesian lagi Syafiq. Hmm banyak betul halangan diorang tu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience